Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Bagaimana kepimpinan lemah kerap berakhir dengan berbagai pergolakan

Pergolakan politik di negara berbilang kaum dan agama kerap menjejas hubungan kaum dan agama sesama rakyatnya. Dapatkah ini dielakkan daripada menjadi bertambah buruk?

Anggaran Waktu Membaca:

Pergolakan politik yang melanda Malaysia baru-baru ini memanglah bukan sesuatu yang memeranjatkan bagi ramai pemerhati terutama mereka yang telah mengamati perkembangan di negara tersebut.

Walaupun sebuah kerajaan baru telah dibentuk, ramai berpendapat kemelut yang dihadapinya belum lagi berakhir.

Malah besar kemungkinan ia hanyalah permulaan kepada satu lagi perkembangan politik yang belum tentu hala tujunya.

Bagi sekumpulan penyelidik yang telah lama mengkaji politik moden Malaysia, mereka melihat keadaan tidak mantap dalam politik negara itu berpunca daripada beberapa faktor sejak beberapa dekad lalu.


Para pengkaji seperti John Funston, Clive Kessler, James Chin, Bridget Welsh dalam buku mereka The End of UMNO? -  Essays on Malaysia’s Dominant Party (Disunting oleh Bridget Welsh, 2016), melihat bahawa pokok masalah terletak pada model kepimpinan politik Melayu seperti yang diamalkan oleh parti utamanya, UMNO.

Edisi pertama buku mereka diterbitkan hanya dua tahun sebelum pilihan raya umum 2018 di mana UMNO dan perikatan campuran pimpinannya,  Barisan Nasional,  hilang kuasa buat pertama kalinya sejak enam dekad lalu.

PETANDA JELAS  

Dua tahun sebelum pilihan raya tersebut, para pengkaji itu telah pun menjatuhkan 'hukuman' bahawa model politik UMNO sebenarnya tidak mempunyai masa depan cerah.

Apakah yang menjadi masalah dasar sehingga ramai pengamat berpendapat sedemikian?

Apakah kaitan model kepimpinan Melayu UMNO itu dengan pelbagai masalah dan kegenjotan yang menyumbang kepada satu demi satu pergolakan politik di Malaysia?

Bagi Funston, Kessler, Chin dan Welsh dan mungkin juga ramai penganalisis lain, mereka sudah pun melihat petanda jelas bahawa model kepimpinan UMNO mempunyai banyak kelemahan yang boleh meruntuhkannya satu hari kelak, seperti dalam PRU 2018 itu.

Tema utama semua penulisan mereka cukup jelas: krisis yang dihadapi oleh UMNO memang sudah mencapai peringkat yang terlalu kritikal, menantikan masa sahaja untuk menutupkan hayatnya.

Bukan kerana tiada harapan untuk ‘merawatnya’ tetapi kerana si pesakit langsung tidak mahu menjalani sebarang pemulihan (seperti melakukan pembaharuan dan perubahan dasar yang menyeluruh).

PELBAGAI KELEMAHAN

Kelemahan utama pada penilaian mereka, adalah parti itu telah jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya sebagai sebuah parti akar umbi yang berpegang pada prinsip-prinsip demokrasi.

UMNO, kata mereka, telah menjadi parti yang terlalu elitis yang lebih memberatkan  kepentingan golongan kepimpinannya daripada golongan bawahan parti – apatah lagi rakyat jelata dan juga kaum-kaum minoriti lainnya.

Funston menulis tentang bagaimana pelbagai cabaran dan pergelutan yang dihadapi UMNO mewujudkan ‘politik wang’ yang banyak bertanggungjawab dalam memecahbelahkan parti terutama sekali semasa pemilihan pucuk pimpinan.

PENDORONG UTAMA

Dengan berleluasanya ‘politik wang’,  Funston menulis tentang banyaknya kesulitan yang dihadapi oleh pucuk pimpinan UMNO ketika bersaing sesama sendiri dalam pemilihan parti, kerana ini semua memerlukan sejumlah wang yang besar.

Inilah yang menjadi pendorong utama bagi mereka untuk terlibat dalam banyak perniagaan atau mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan.

Dengan sumber kekayaan yang banyak yang boleh diagih-agih secara peribadi ia menjadi ‘jaminan untuk mengukuhkan lagi kedudukan seseorang pemimpin parti tanpa perlu adanya semak dan imbang (check and balance) dan kepertanggungjawaban (accountability).’

Akhirnya tiadalah insentif untuk pucuk pimpinan melakukan apa-apa perubahan.

Kelemahan kepimpinan inilah yang telah mendorong parti itu jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya  sebagai parti nasionalis demokratik yang  berfaham sederhana, pragmatik dan terbuka.

POLITIK WANG DAN KAUM

Berhadapan dengan saingan yang sengit daripada Parti Islam PAS, UMNO kemudian terjerumus pula ke dalam kancah politik agama dan kaum untuk terus mendapat sokongan masyarakat Melayu, terutama mereka yang di luar bandar.

Percampuran politik wang dan kemudian politik agama dan kaum, mengheret UMNO jauh ke kanan dengan sikapnya yang keterlaluan sebagai pejuang fahaman nasionalis Melayu yang sempit dan fahaman agama yang konservatif.

Akibatnya, menurut Funston, UMNO semakin menjurus ke arah perwajahan Islam konservatif disamping mengekalkan pendiriannya sebagai parti nasionalis yang percaya kepada konsep ‘Ketuanan Melayu’.

Semakin kuat pegangannya kepada dasar-dasar berbau perkauman seperti ‘Ketuanan Melayu’ dan dasar pengIslaman, ia juga semakin jauh daripada prinsip-prinsip asalnya sebagai parti demokratik nasionalis-sekular.

AGENDA MELAYU & ISLAM

Sejarah politik moden Malaysia seperti yang dilalui oleh UMNO jelas adalah manifestasi persaingan yang berdekad-dekad lamanya antara parti itu  dengan PAS melibatkan ‘agenda Melayu’ dan ‘agenda Islam’.

Terdesak dengan cabaran dan saingan hebat dari parti lawan ini, mendorong UMNO untuk turut sama dalam memperjuangkan agenda-agenda Melayu/Islam, sehingga adakala laungannya sendiri menjadi terlalu ‘nyaring dan mencemaskan’ dibandingkan dengan pihak lawan.

Menurut Kessler, agenda Melayu UMNO kemudian berubah menjadi agenda parti haluan kanan dalam soal kaum sementara agenda Islamnya pula menjadi ‘agenda Islam tidak liberal’ (il-liberal).

PANDUAN MASA DEPAN

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019. (Gambar: BERNAMA)

Dalam keadaan demikian sejauh manakah agenda negara berbilang kaum dan agama dengan kepentingan setiap kaum dan penganut turut diberikan perhatian secukupnya?

Hanya kepimpinan yang bijak dan arif dalam mempelajari sejarah dapat membimbing negara ke arah yang betul tanpa dipengaruhi dengan pelbagai pertimbangan politik jangka pendek.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan