Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Bagaimana fahaman agama yang progresif bertapak di S’pura

Daripada sebuah kota pelabuhan yang sibuk dengan pelbagai bentuk perniagaan, Singapura muncul sebagai pusat pemikiran penting seawal lewat kurun ke-19. Sumbangannya kepada kemunculan fahaman agama yang lebih segar dan luas turut terkesan sehingga ke hari ini.  

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Bagaimana fahaman agama yang progresif bertapak di S’pura

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. (Gambar fail: BERITAMediaCorp)

Sekitar buku:

Studies on Islam and Society in Southeast Asia oleh William Roff (National University of Singapore Press (January 1, 2009) 

 

Seperti masyarakat Islam yang lain, masyarakat Melayu/Islam Singapura juga berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran dalam ia mengharungi arus pemodenan hampir dua kurun lalu.

Salah satu cabaran besar itu adalah bagaimana masyarakat boleh menyesuaikan diri dengan arus tersebut, tanpa kehilangan nilai-nilai kepercayaan, budaya dan jati diri.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu Singapura pada lewat kurun ke-19 apabila pulau ini dibuka luas kepada perdagangan bebas, dengan kemasukan manusia, teknologi dan pelbagai bentuk pemikiran dan nilai ke sini.

Sedikit gambaran tentang bagaimana masyarakat Melayu Singapura mengharungi perubahan-perubahan itu dijelaskan oleh William Roff dalam dua buku beliau: The Origins of Malay Nationalism dan Studies on Islam and Society in Southeast Asia.

Roff, seorang profesor sejarah mempunyai pengalaman selama empat dekad dalam mengkaji dan menulis tentang sejarah moden masyarakat Islam di Asia Tenggara. (Beliau meninggal dunia pada 2013 dalam usia 84 tahun). 

Tumpuan utama beliau adalah terhadap sejarah sosial dan juga pemikiran masyarakat Islam rantau ini, terutama sekali dalam ia berhadapan dengan pelbagai proses pembaharuan yang bermula pada lewat kurun ke-19. 

KEGEMILANGAN

Selepas beberapa dekad sahaja ia menjadi pelabuhan bebas milik Inggeris, Singapura berubah menjadi tumpuan penting bagi kegiatan pemikiran, kebudayaan dan kemajuan ekonomi dunia Melayu.

Singapura pada kurun ke-19, menurut Roff, bolehlah diumpamakan sama gemilangnya seperti Melaka pada kurun ke-15.

Kehadiran manusia dari pelbagai pelusok dunia disamping kerancakan ekonomi dan perniagaan, turut menjadikannya menarik bagi golongan cerdik pandai, termasuk agamawan dan wartawan.

Bagi masyarakat Islam, kerencaman masyarakat dan kepelbagaian corak pemikiran yang wujud, telah disumbangkan oleh peranan Singapura sebagai pusat persinggahan bagi ramai tokoh agama dan pendatang Arab – ramai ke sini sama ada untuk berniaga, mengajar dan akhirnya untuk terus menetap.   

Sebagai pusat persinggahan yang penting, Singapura cukup berperanan dalam membantu masyarakat Islam setempat membangunkan institusi pendidikan dan juga keagamaan.

Antaranya penubuhan madrasah terawal Al Iqbal Al Islamiyah yang dibuka pada 1908.

MENANGANI CABARAN

Kepesatan perubahan dan pemodenan membuka pelbagai peluang untuk maju dan makmur kepada sesiapa sahaja.

Namun tidak halnya bagi sebahagian penduduk Melayu yang tidak cukup tangkas dalam memanfaatkan perubahan dan peluang-peluang yang tersedia ada.

Akibatnya pada lewat kurun ke-19 dan awal ke-20, ramai penduduk Melayu mula berasa kekok dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain berhadapan dengan sejumlah besar pendatang baru dari dalam dan luar rantau ini, mereka juga mendapatinya sukar untuk bersaing dengan pendatang-pendatang tersebut.

Menyedari hal inilah yang mendorong sekumpulan cendekiawan Muslim untuk melakukan sesuatu dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu.

Tumpuan mereka adalah bagaimana masalah  kemunduran dan ketinggalan di belakang, dapat diatasi menerusi perubahan sikap dan cara berfikir.

Bagi para cendekiawan seperti Sheikh Tahir Jalaludin, Sayyid Syaikh Al Hadi, Haji Abas Mohd Taha dan Syakh Mohd Salim Al Kalali – mereka memilih jalan pendidikan, penerbitan dan kewartawanan untuk membangkitkan kesedaran baru itu.

Sayyid Syaikh Al Hadi (Gambar wikipedia)

Antara mereka berempat, peranan utama dimainkan oleh Syaikh Al Hadi yang disifatkan Roff sebagai yang paling bertenaga dan cukup mahir dalam membentangkan idea-idea pembaharuan ketika itu.

Menerusi penerbitan utama mereka, Al Imam (1906), mereka menimbulkan isu-isu tentang masalah keterbelakangan masyarakat Melayu dan faktor-faktor yang menyumbangkannya.

TITIK TOLAK PENTING

Kemunculan Al Imam, menurut Roff, adalah satu titik tolak penting dalam dunia penerbitan Melayu.

Inilah kali pertama kata beliau, sebuah penerbitan Melayu membangkitkan dengan cukup tegas dan tersusun di mana dijelaskan ‘falsafah bertindak’ yang perlu diamalkan oleh masyarakat.

Berlandaskan nilai-nilai Islam, Al Imam, berhujah bahawa Islam sebenarnya tidak menentang ilmu pengetahuan atau kemajuan sesebuah bangsa itu.

Ia juga berhujah bahawa masyarakat Melayu haruslah bangkit untuk membentuk ‘persatuan-persatuan’ dalam memupuk pendidikan, pembangunan ekonomi dan kesedaran diri sendiri.

Turut menjadi keprihatinannya adalah soal kebebasan yang lebih besar untuk kaum wanita mendapatkan pendidikan dan juga dalam menentukan kehidupan mereka.

Menurut Al Imam, sistem pendidikan masyarakat Melayu, yang ketika itu merupakan sistem madrasah, haruslah menjalani pembaharuan dengan diterapkan ilmu-ilmu moden dan pendekatan yang lebih rasional.

(Al Imam, 1908)

 

PENYEBARAN IDEA

Peranan Singapura dalam penyebaran idea-idea ‘pembaharuan’ dari Al Imam dan tokoh-tokoh yang mendirikannya adalah besar sekali.

Sebagai pusat pendidikan, penerbitan dan pemikiran utama di rantau ini, ia bertanggungjawab dalam meluaskan idea-idea tersebut menerusi pelbagai penerbitan dari sini.

Menerusi institusi pendidikan seperti madarasah Al Iqbal, idea-idea pembaharuan berkembang ke dalam masyarakat tempatan dan juga di luar Singapura, menerusi para pelajar yang dididiknya.

Dari Al Iqbal (walaupun ia terpaksa ditutup tidak lama kemudian) madrasah-madrasah progresif yang serupanya dibuka di kawasan-kawasan lain di Semenanjung Melayu. 

Menurut Roff, institusi pendidikan sedemikianlah yang menjadi ‘ejen penyebaran idea’ kumpulan pembaharuan tersebut.

BUKAN TUGAS MUDAH

Tetapi apa yang yang diperjuangkan oleh Al Imam dan tokoh-tokoh di belakangnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat memanglah bukan tugas yang mudah.

Ia kerap menghadapi pelbagai rintangan dan bantahan dari golongan tradisional, baik di pihak pegawai agamawan rasmi seperti mufti mahu pun pihak imam dan khatib di kawasan-kawasan pendalaman.

Perbalahan dan kontroversi yang membabitkan kedua-dua pihak itu – dengan golongan pembaharuan digelar ‘kaum muda’ dan golongan tradisional sebagai ‘kaum tua’ – mungkin mirip dengan keadaan kita hari ini di mana isu-isu dan fahaman agama sekali lagi menjadi perbalahan antara satu sama lain.

Bagi Al Imam dan gerakannya yang bergelar ‘kaum muda’,  ia telah berjaya ‘merembah jalan baru’ yang memudahkan masyarakat Melayu/Islam mengharungi liku-liku pemodenan seterusnya.

Roff menukil R J Wilkinson, sebagai menyatakan bahawa bahawa penerbitan berbahasa Melayu (termasuk Al Imam) dan pendidikan umumnya, memainkan “peranan amat penting dalam peningkatan pemikiran dan kemajuan kebendaan masyarakat Melayu.”

Ini kerana sebelum penerbitan seperti Al Imam, tiada langsung perbincangan serius mengenai isu-isu agama dan kaitannya dengan soal pembangunan sosio-ekonomi masyarakat.

PERANAN MEMBUKA MATA

Malah boleh dikatakan bahawa peranan membuka mata yang dilakukan oleh penerbitan seperti Al Imam cukup berkesan sehingga impaknya dapat dilihat pada dekad-dekad seterusnya.

Baik dalam isu pendidikan, pembangunan sosio-ekonomi, kesedaran politik dan juga fahaman agama yang lebih segar -  ia terus mendapat perhatian masyarakat sehingga hari ini - baik di Singapura, mahupun di bahagian lain rantau Melayu.

Tiga faktor berkait yang memungkinkan ini semua adalah:  kedudukan utama Singapura dalam arus pemodenan, kehadiran sekumpulan cendekiawan berdedikasi dan peranan mereka dalam menghasil dan menyebarkan buah fikiran progresif  menerusi  pelbagai wadah seperti penerbitan, kewartawanan dan pendidikan.

Pengalaman dan segala cabaran yang mereka lalui itu masih lagi relevan pada Singapura moden hari ini dan boleh dijadikan iktibar dalam kita memandang jauh ke hadapan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan