Images
  • protesters

ULASAN : Antara pemimpin emosi dengan yang berisi – dapatkah kita membezakannya

Suatu gejala yang semakin ketara tetapi masih kurang mendapat perhatian secukupnya adalah bahaya meningkatnya sikap, pemikiran dan luahan perasaan yang berasas emosi semata-mata.  

Kita dapat melihat gejala ini menerusi kerapnya luahan pandangan dan pengucapan yang cukup beremosi yang semakin lantang di khalayak ramai.

Baik mengenai isu kaum, bahasa dan agama kini semakin kedengaran tanpa segan silu lagi cakap-cakap keras dan emosi – seperti hilangnya kedaulatan bahasa Melayu dan lunturnya kedudukan agama Islam disebabkan orang bukan Islam umpamanya.

Begitu juga pengucapan seperti orang bukan Melayu/Islam merupakan penumpang sahaja di rantau Melayu ini.

Kalau mengenai ekonomi pula, orang bukan Melayu dan pendatang asing yang kerap dipersalah kerana menyebabkan melesetnya kedudukan ekonomi masyarakat Melayu.

Jelasnya semua luahan ini bersifat emosional semata-mata tanpa asas kukuh yang boleh disokong oleh fakta-fakta rasional dan munasabah.

Walaupun ia tidak disokong oleh fakta berasas, malah ada yang berdasarkan pembohongan dan penyelewangan fakta semata-mata, hakikatnya ia tetap semakin berleluasa.

Masyarakat umum mungkin keseluruhannya tidak menerima luahan-luahan emosi sedemikian, tetapi ia terus dipermainkan di sana sini.

Inilah sebabnya walaupun perkara-perkara bercorak emosi ini boleh ditolak atas dasar fakta dan rasional,  ia tetap boleh mempengaruhi masyarakat jika ia terus digembar-gemburkan sehingga apa yang bukan fakta menjadi realiti di benak pemikiran sesetengah orang.

PENYELEWENGAN FAKTA

Luahan emosi sedikit sebanyak amat berkait rapat dengan soal penyelewengan fakta atau fakta yang terlalu dibesar-besarkan sehingga ia tidak lagi berasaskan kebenaran.

Walaupun ia berupa suatu bentuk pembohongan ini tidak pula menjadi masalah sesetengah pihak, baik para pemimpin politik mahupun para pemimpin agama untuk terlibat dalam memainkan isu-isu emosi.

Walaupun  pembohongan dan penyelewengan fakta adalah perbuatan tidak beretika, ia tetap tidak menjadi masalah bagi mereka ini.

EMOSI TIDAK BERETIKA

Bagi golongan seperti ini apa yang penting adalah bukan prinsip agama atau dasar beretika tetapi perjuangan politik atau agenda tertentu mereka – mungkin kerana gilakan kuasa ekonomi, kedudukan dalam masyarakat, mahukan pengaruh terhadap orang lain dan sebagainya.

Mereka yang sudah terkeliru dengan pendirian sebegini – yang tidak dapat membezakan antara prinsip agama dengan matlamat perjuangan politik mereka, umpamanya, langsung tidak mempunyai masalah untuk berbohong terhadap apa-apa isu sekalipun.

Lantaran tidaklah hairan ada daripada golongan seperti ini yang boleh berpendirian bahawa menipu, mencuri atau apa sahaja perbuatan tidak beretika itu tidak menjadi kesalahan selagi ia memenuhi agenda atau kepentingan politik tertentu.

Gejala pemimpin yang memainkan isu emosi,  malah juga terlibat dalam pelbagai bentuk pembohongan untuk tujuan-tujuan politik  merupakan antara perkara yang disentuh dalam tulisan William Davies, NERVOUS STATES – Democracy And the Decline of Reason (WW Norton & Company, 2019).  

Dalam perspektif Davies, masalah berleluasanya luahan emosi ini bukanlah perkara baru. Beliau melihatnya sebagai kelangsungan daripada trend-trend sejagat yang telah berjalan berdekad-dekad lamanya.

Khususnya, beliau melihat gejala ini sebagai kemelesetan pemikiran bersifat logik dan fakta kepada pemikiran yang lebih dipengaruhi oleh emosi – terutama sekali emosi ketakutan dan resah gelisah.

Melihat kepada pengalaman dunia Barat umpamanya, beliau menulis bahawa sejak dua ratus lalu, pemikiran logik banyak mempengaruhi ideal dan nilai-nilai kehidupan.

SEMAKIN DICABAR

Baik dalam kehidupan politik, ekonomi mahupun agama, nilai-nilai dan idealisme yang disanjung tinggi dibentuk dan dipengaruhi oleh pemikiran rasional dan saintifik yang banyak berkembang semasa zaman Pencerahan Eropah.

Tetapi kini corak pemikiran rasional dan logik itu bukan sahaja semakin dicabar oleh unsur-unsur emosi, malah adakalanya terus diambil alih oleh pemikiran emosi sepenuhnya.

Apa yang berlaku adalah apabila pemikiran rasional, saintifik dan penghormatan terhadap fakta dan bukti sudah tidak lagi dihargai,  apa yang tinggal adalah kekosongan intelek semata-mata.

Setiap kali kekosongan sebegini berlaku ia akan dengan cepat diisi pula dengan pemikiran dan perasaan emosi semata-mata.

Bagi kita di sebelah Timur ini apa yang berlaku di sebelah Barat tentu sekali menimbulkan kesan besar juga ke atas kita.

DISERANG DARI BERBAGAI SUDUT

Barat  telah lama menjadi paksi pemodenan dan kemajuan dunia atas dasar sanjungan dan penghormatan tingginya terhadap pemikiran logik dan rasional.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini semua dasar pemikiran sedemikian semakin kerap diserang bertubi-tubi dari mana-mana sudut, terbaru daripada golongan berhaluan populis yang berpaksikan kepada emosi menakut-nakutkan masyarakat dalam apa sahaja perkara.

Bagi kita di sebelah Timur, pemikiran bersifat rasional, saintifik dan menghormati fakta mungkin baru hendak bertapak dalam masyarakat Melayu misalnya.

Dan kini sebelum akarnya dapat mekar lebih mendalam lagi, ia sudahpun berhadapan pula dengan cabaran pemikiran emosi ini.

Seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, kita juga dapat menyaksikan meningkatnya pelbagai jenis emosi ‘tidak tentu pasal’, seperti rasa takut, cemas dan bimbang mengenai pelbagai perkara.

Umpamanya, ‘bimbang dan takutkan orang lain’, ‘kebencian keterlaluan’ terhadap mereka yang berlainan agama, kepercayaan dan gaya hidup, serta ‘resah gelisah’ terhadap apa sahaja perkara yang di luar keselesaan biasa.

BERKEMBANG LUAS

Dalam keadaan beginilah pemikiran emosi itu boleh berkembang luas di dalam masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia terus dimain-mainkan oleh pemimpin dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apakah huraian segera terhadap gejala seperti ini.

Tentunya pertama sekali masyarakat haruslah dilindungi daripada pengaruh-pengaruh negatif,  baik dari dalam ataupun luar yang cuba menggugat pemikiran rasional yang sihat.

Dan di kalangan para pemimpin itu sendiri, mestilah adal di kalangan mereka yang menyedari tentang masalah ini.

Mereka perlulah tampil ke depan dalam membantu  mengenalpasti gejala ini dan bersama-sama mencari huraian untuk menguatkan benteng masyarakat supaya semua pengaruh tidak baik itu dapat dibanteras awal-awal lagi.  

- BERITAmediacorp/ib

Top