Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Agama tidak mengekang kebebasan dan kemajuan wanita, malah sebaliknya

Kalau dahulu wanita Aceh pernah dililhat sebagai contoh wanita sebagai pemimpin, kini gambarannya sangat berbeza. Apakah yang telah menyebabkan perubahan ini? 

Anggaran Waktu Membaca:

Hari ini, wilayah Aceh sering kali dikaitkan dengan pelaksanaan hukum Syariah yang sangat ketat.

Paparan di media sosial secara meluas menggambarkan bagaimana pelaksanaan itu dijalankan seiring dengan undang-undang Hudud yang antaranya meliputi hukuman sebat terhadap beberapa kesalahan.

Ada yang mengatakan bahawa ini semua sekadar stereotaip dan tanggapan berleluasa semata.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa secara realitinya pelaksanaan hukum yang didakwa berlandaskan ‘Islam’ itu telah menghambat dan membawa dampak besar terhadap kehidupan seharian masyarakat Aceh khususnya, golongan wanita.

MENYEKAT KEBEBASAN

Kunjungan penulis ke Aceh baru-baru ini untuk mewawancara sekumpulan anak muda wanita memberikan kesedaran bahawa Aceh seperti yang dilabel ramai pihak - sebuah wilayah yang tertutup dan sangat ketat dengan pelaksanaan hukum Syariah.

Golongan wanita di Aceh diwajibkan memakai ‘Jilbab’ meskipun di luar kehendak dan kemahuan mereka. Minat terhadap sesuatu wadah hiburan yang berbentuk ‘moden’ dibataskan, pergaulan antara kaum lelaki dan wanita turut dikawal.

Akibatnya, sesetangah daripada mereka yang tidak berani untuk melawan sistem itu, terikat dengan peranan tradisional mereka.

Namun pemerhatian ini juga sama sekali tidak boleh memukul rata dengan mengatakan bahawa kesemua wanita Aceh terkebalakang atau tidak moden kerana hidup di bawah pelaksanaan hukum Syariah.

Semestinya, pengalaman di Aceh juga melihatkan sesetengah golongan wanita yang turut mempamerkan ciri-ciri ‘moden’.

Mereka merangkumi golongan kelas atas yang sebahagiannya turut ingin memperjuangkan agenda kebebasan hak wanita.

TERDAHULU MAJU

Evolusi peranan wanita Aceh mengalami perubahan yang menarik. Jika diselidik sejarah mereka, wanita Aceh sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawan yang bebas, malah boleh dianggap moden.

Buku “Wanita Berdaulat di dalam Kerajaan Islam: Sultanah Aceh 1641-1699”, hasil karangan profesor Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Sher Banu. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Sejarawan dan pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Sher Banu dalam bukunya yang berjudul “Wanita Berdaulat di dalam Kerajaan Islam: Sultanah Aceh 1641-1699”, membuktikan golongan wanita Aceh sebenarnya diberikan kebebasan yang setaraf dengan lelaki pada masa lalu.

Malah mereka juga diberikan tanggungjawab sebagai ketua negara - memimpin dan mentadbir negara buat berdekad-dekad lamanya.

Dalam kajiannya terhadap manuskrip dan rekod lama, Banu membentangkan bahawa Aceh dikenali ramai sebagai sebuah wilayah yang makmur apabila ia dipimpin oleh seorang pemimpin wanita - Sultanah Safiatuddin Shah selama 34 tahun (1641-1975).

Penyelidikannya terhadap era kepimpinan Sultanah Safiatuddin menunjukkan bagaimana beliau dihormati ramai kerana mempunyai sifat kemanusiaan, murah hati dan bersikap objektif dalam pelaksanaan undang-undang.

Kebijaksanaan beliau memimpin, menurut Banu, berjaya merancakkan ekonomi Aceh apabila berdepan dengan kuasa-kuasa besar seperti Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).

Aceh begitu stabil sehinggakan orang-orang Belanda lebih menyenangi kepimpinan Sultanah Safiatuddin yang digambarkan “lebih baik” daripada suaminya, Iskandar Thani.

Ciri-ciri kepimpinan posiitif Sultanah Safiatuddin dan sultanah-sultanah berikutnya (Naqiyatuddin, Zakiatuddin, dan Kamalat Shah) itu membuatkan Banu menyifatkan pemerintahan mereka sebagai “zaman kegemilangan sebenar dalam sejarah Aceh”.

WANITA ACEH DAN ISLAM

Daripada perspektif Banu, Islam tidak menghalang peranan wanita daripada terus berkembang maju. Ulama pada masa tersebut juga tidak membantah tatkala Sultanah Safiatuddin dilantik menjadi Ketua Negara.

Bagi Sultanah Safiatuddin sendiri, beliau menganggap dirinya sebagai seorang “Khalifah Fil Ard” (Pemimpin di Bumi Tuhan) yang dilantik untuk mentadbir negara dengan adil dan saksama.

Beliau dan kepimpinan ulama pada waktu itu langsung tidak melihat isu jantina sebagai satu masalah atau persoalan untuk memimpin negara, mahupun dalam soal penampilan diri di khalayak ramai.

Meskipun situasi dan peranan yang dimainkan oleh Sultanah Safiatuddin dan wanita Aceh hari ini berbeza, apa yang perlu diteliti adalah bagaimana peranan wanita Aceh pada masa lalu tidak dihadkan walaupun Aceh ketika itu turut melaksanakan Syariah.

Rakaman sejarah pada abad ke-17 menunjukkan wanita Aceh juga boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki apabila diberikan peluang dan hak yang sama.

Pelibatan aktif wanita Aceh dalam aspek politik dan ekonomi dapat dicapai apabila masyarakat, khususnya golongan ulama pada waktu itu, faham tentang makna dan nilai agama Islam, dan keterkaitannya dengan isu dan perihal wanita.

PENGARUH LUAR

Persoalannya hari ini adalah mengapa dan bagaimana wanita Aceh tidak seperti dahulu? Apakah faktor yang mengubah nasib mereka sehinggakan menjadikan mereka sebagai golongan wanita yang lebih tertutup di tengah-tengah keadaan global yang sangat terbuka hari ini?

Malah, sekali imbas, wanita Aceh hari ini dilihat seperti dalam keadaan lebih tradisional daripada golongan wanita pada abad ke-17!

Pastinya, terdapat pelbagai faktor yang mengubah konteks Indonesia, atau Aceh secara khususnya, menjadi lebih terikat dengan pelaksanaan hukum Syariah.

Pakar dalam Pengajian Islam, Michael Feener, dalam bukunya yang berjudul “Muslim Legal Thought in Modern Indonesia” merekod faktor sosio-politik Indonesia terhadap pelaksanaan Syariah secara formal pada abad ke-21.

Feener berhujah, dampaknya bermula seawal 1980-an lagi apabila ‘Islam Politik’ (Politik yang mempergunakan agama) diserapkan ke dalam pemerintahan Ode Baru Indonesia.

POLITIK ISLAM

Tidak seperti amalan ‘Islam Nusantara’ yang dipraktikkan mengikut keadaan masyarakat Indonesia, ‘Islam Politik’ yang diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan gerakan Islam tahun-tahun 1980-an memperjuangkan pelaksanaan undang-undang Islam di Indonesia.

Akibatnya perbahasan menuntut pelaksanaan Syariah tidak sahaja terbatas di peringkat nasional, malah turut menjadi wacana politik kebebasan bagi wilayah seperti Aceh.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Hasil persetujuan politik antara pemerintah pusat dengan gerakan pembebasan Aceh, wilayah itu diberikan taraf ‘autonomi khas’ di mana ia boleh melaksanakan hukum Syariah.

Feener berpendapat gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin dengan ideologi Islamisnya telah menjadi pengaruh kepada kumpulan-kumpulan Islam yang lain di Indonesia.

Antara pengaruh itu termasuklah desakan supaya dilaksanakan hukum Syariah secara pukul rata tanpa mengambil kira konteks masyarakat yang berbeza.

KEMBALI KEPADA TRADISI

Ada sesetengah pihak yang khuatir terhadap trend menghidupkan kembali tradisi, dan amalan berdasarkan sejarah dan konteks lampau.

Namun dalam soal ini tidaklah janggal sekiranya cara kehidupan yang diperjuangkan oleh Sultanah Aceh silam itu dijadikan pengajaran dan pedoman.

Ini juga bermakna, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh golongan ulama adalah untuk memikirkan dan mengkaji semula teks dan hujah yang dijadikan sandaran terhadap isu-isu berkaitan wanita.

Adakah dengan memberikan hak dan kebebasan asas mereka, golongan wanita Aceh akan melencong dan tersasar jauh daripada kehidupan bersyariah ?

Apakah sesuai atau pun tidak hukum dan undang-undang Islam yang dilaksanakan hari ini terhadap golongan wanita mengikut konteksnya hari ini?

PELUANG UNTUK MAJU

Tentunya kemahuan dan cabaran wanita hari ini adalah berbeza daripada masa-masa lalu.

Namun, seperti kebanyakan wanita lain, mereka hanya boleh maju dan membangun apabila peluang, ruang dan sistem yang terbuka diberikan kepada mereka.

Jika sebaliknya yang berlaku, wanita-wanita ini akan mundur dan terbelakang.

Ini bukan kerana mereka tidak mahu bangkit tetapi ia lebih disebabkan pelaksanaan sesuatu hukum agama yang sempit dan terlalu mengongkong kebebasan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan