Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Agama tanpa paksaan; sikap rela dan ihsan menjadikan Muslim lebih baik

Kebebasan jiwa dan berfikir amat penting dalam beragama demi menjamin keimanan yang lebih utuh. Amalan agama haruslah atas kerelaan diri sendiri dan bukannya paksaan dari luar. 

Anggaran Waktu Membaca:

Setiap kali bulan Ramadan ada sahaja kita dikejutkan dengan berita-berita mengenai tindakan pihak berkuasa tempatan menangkap dan memalukan mereka yang dituduh mencemar agama kerana tidak berpuasa. 

Gambaran yang terbentuk akibat tindakan sedemikian adalah Islam tentunya dilihat sebagai agama yang menitikberatkan paksaan untuk menegakkan syiarnya. 

Apakah sebenarnya kedudukan paksaan dan kekerasan dalam pelaksanaan nilai-nilai dan hukum agama?

Persoalan ini menjadi tumpuan perbincangan Mustafa Akyol dalam bukunya Islam Without Extremes – A Muslim Case for Liberty (Islam Tanpa Keekstreman – Penghujahan Bagi Kebebasan).

Pada dasarnya Akyol berhujah: Mungkinkah seseorang itu boleh menjadi Muslim yang baik tanpa kebebasan jiwa dan akal; Mungkinkah semangat beragama yang sejati dapat dikembangkan jika kebebasan bertindak dan berfikir terlalu dikongkong?

Akyol, zamil di Institut Cato, Amerika Syarikat, berpendapat bahawa kebebasan jiwa dan akal amat penting sekali dalam melahirkan Muslim dengan jiwa beragama yang tulen.

Beliau menggariskan bukti-bukti sejarah bahawa gagasan kebebasan amat sebati dengan Islam dengan banyak sumber mengenainya boleh didapati daripada ajaran Islam itu sendiri.

Ini walaupun terdapat juga banyak peristiwa, gerakan dan idea dalam sejarah yang mengandaikan sebaliknya;  yang mengarah kepada pemahaman lebih keras, tegar dan menyempitkan.

Beliau seperti ramai sarjana yang lain melihat bahawa gagasan kebebasan, baik dalam bentuk fahaman agama, politik dan ekonomi, bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam, walaupun pada peringkat awalnya.

BANYAK PEMBAHARUAN

Pertama sekali, Al Quran sendiri ketika ia diturunkan oleh Allah pada kurun ke-7, sebenarnya membawa banyak pembaharuan dan perubahan jauh daripada masanya ketika itu.

Perubahan yang dianjurkannya berpaksi kepada dua prinsip utama Islam iaitu keadilan dan kebebasan – baik kebebasan daripada kejahilan mahupun  ketidakadilan dalam sistem masyarakat.

Gagasan-gagasan baru yang mencerminkan nilai-nilai tersebut adalah pentingnya kesamarataan di kalangan semua orang, perlindungan kepada wanita dan harta benda, memupuk keluhuran undang-undang,  penganjuran supaya diluaskan penggunaan akal fikiran dan penguasaan ilmu pengetahuan.

Semua ini menggambarkan bahawa sejak dari mula lagi Islam adalah sebuah agama progresif yang menganjurkan banyak nilai mulia,  lebih maju daripada masyarakat terdahulu daripadanya.

Bagaimanapun ini semua terancam atas beberapa faktor sejarah.

TIDAK INGIN PERUBAHAN

Antaranya adalah kemunculan golongan yang tidak inginkan perubahan kerana sudah selesa dengan keadaan mereka ketika itu.

Mereka menentang keterbukaan, kesederhanaan dan kebebasan berfikir kerana melihat semua itu sebagai mengancam masyarakat.

Walaupun bertindak atas nama ‘anti-pembaharuan’, golongan ini sendiri banyak melakukan pembaharuan dan penambahan terhadap isu-isu agama. 

Walaupun ia tidak terdapat di dalam Al Quran, tidak ramai yang mempersoalkan sama ada semua hukuman dan larangan tersebut sejajar dengan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Tidak ramai juga yang mahu mempersoalkan sama ada semua hukuman dan larangan itu merupakan suatu ‘pembaharuan’ ( bid’ah)  semata-mata berdasarkan tafsiran dan fahaman golongan tertentu.

GUGAT KEBEBASAN

Bagi Akyol, kemunculan fahaman dan pendekatan sedemikian yang menyempitkan pengertian agama.

Ia merupakan faktor utama yang perlahan-lahan menggugat gagasan kebebasan yang dianjurkan  Islam.

Bagaimana fahaman sempit begini semakin berpengaruh, mungkin sekitar kurun ke-10, masih menjadi perbahasan para sarjana.

Bagi sesetengah pengamat seperti Akyol, mereka melihat faktor sosial, ekonomi dan politik dalam melahirkan satu elit baru, yang menurutnya, berbeza daripada jenis yang lalu. Elit ini termasuklah kalangan pucuk pimpinan negara dan tentera, golongan berharta, sarjana dan juga kepimpinan agama.  

Walaupun mereka merupakan  ‘elit baru’, tetapi mereka sebenarnya berpaksikan pada nilai-nilai lama yang mahu kembali kepada ‘budaya padang pasir’ yang cuba dihapuskan Islam pada zaman awalnya. 

Islam pada era permulaannya diasaskan oleh golongan pedagang (seperti Rasulullah sendiri) dengan cara berfikir mereka yang ‘rasional, bertenaga dan kosmopolitan’.

KURANG RASIONAL

Beberapa kurun kemudian corak elit dalam masyarakat Islam telah berganti pula dengan golongan berpengaruh yang baru termasuk ‘pemilik hartanah’, ‘ golongan tentera dan petani’.

Berbeza daripada elit terdahulu, mereka ini  mempunyai gaya pemikiran yang agak tegar, kurang rasional  dan kurang terbuka terhadap pemahaman hidup dan agama yang lebih luas dan progresif.

Dengan kerangka pemikiran sedemikian dan kedudukan mereka yang berpangaruh, tidak hairanlah corak pemikiran mereka yang terbatas turut mempengaruhi pemahaman dan pendekatan masyarakat terhadap agama umumnya.

Dalam Islam Without Extremes,  Akyol cuba menjelaskan mengapa banyak ciri ketegaran dan pemikiran sempit yang dilihat hari ini ada kaitannya dengan apa yang berlaku dalam sejarah.

Namun Akyol tetap optimistik bahawa keadaan ini masih boleh diperbaiki semula.

Ini kerana Islam sejak dari asalnya lagi adalah agama yang sederhana dan percaya kepada kebebasan penganutnya.

Ini boleh berlaku dalam kehidupan yang tidak terkongkong dan lebih terbuka kerana dalam keadaan sebegini sahaja penghayatan agama yang lebih sejati dapat berputik.

KEIMANAN LEBIH UTUH

Untuk membolehkan masyarakat sedemikian terbentuk, adalah penting memastikan bahawa tiada golongan tegar agama dan juga pelampau sekular boleh dengan mudah mencampur adukkan  agama dengan politik.

Bagaimana semua ini boleh berlaku amat bergantung kepada kesedaran umat Islam sendiri tentang apa sebenarnya masalah penghayatan dan pemahaman agama kita hari ini.

Hanya selepas itu barulah kita dapat menghargai apakah langkah-langkah sesuai yang perlu diambil untuk memperbetulkan keadaan.

Akhirnya, Akyol melihat kebebasan jiwa dan berfikir amat penting dalam beragama demi menjamin keimanan yang lebih utuh.

Kita menjadi seorang Muslim bukan kerana paksaan orang lain ke atas kita, tetapi lebih kerana kerelaan diri sendiri atas pertimbangan jiwa dan hati yang terbuka.

Agama yang diamalkan menerusi paksaan pula dikhuatiri hanya mewujudkan lebih ramai pengikut yang hidup dalam pembohongan dan kepura-puraan sahaja – baik secara sedar atau pun tidak disedari sama sekali.  

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan