Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Agama dalam media – sumber pedoman atau bahan diperalat?

Antara penggunaan label Islam yang semakin berleluasa adalah apa yang dipanggil ‘kewartawanan Islam’. Apakah sebenarnya prinsip dan matlamat di sebalik kewartawanan sedemikian?

Anggaran Waktu Membaca:

Kita kini semakin terbiasa dengan penggunaan meluas apa sahaja label atau jenama yang meletakkan nama Islam.

Kalau dahulu penggunaan label begini hanya terhad kepada bidang-bidang tertentu seperti ‘parti Islam’, ‘perbankan Islam’, ‘sains atau perubatan Islam’, kini ia sudah luas digunakan untuk merujuk kepada lebih banyak bidang lain.

Antaranya termasuklah ‘pemakanan Islam’, ‘gaya hidup Islam’, ‘pelancongan Islam’ dan juga kepada produk-produk seperti ‘kosmetik Islam’, ‘pakaian atau fesyen Islam’ dan lain-lain lagi.

Amalan penjenamaan begini sebenarnya masih dianggap sebagai gejala baru memandangkan ada yang tersebar luas hanya kira-kira tiga empat dekad lalu sahaja.

Demikian kuat kuasa penjenamaan begini maka tidak hairanlah mengapa amalan melekatkan label Islam itu mungkin berterusan untuk satu jangka masa yang lama.

MEDIA ISLAM

Antara yang terbaru dalam penggunaan label Islam yang semakin mendapat perhatian hari ini adalah apa yang dipanggil sebagai ‘media atau kewartawanan Islam.’

Apakah ciri-ciri yang cuba dijelaskan apabila label Islam itu dipakai kepada bidang media dan kewartawanan?

Apakah ada nilai atau prinsip yang berlainan antara amalan kewartawanan Islam dengan yang tidak menggunakan label sedemikian?

Dalam bukunya, Mediating Islam: Cosmopolitan Journalisms in Muslim Southeast Asia, pengkaji Janet Steele  mendapati penggunaan istilah ‘Islam’ itu sendiri membawa pelbagai pengertian yang berbeza kepada wartawan atau ‘pengamal media’ yang menjadi bahan kajiannya.

Steele, profesor pengajian media dan ehwal awam, menjalankan kajiannya selama dua dekad di Indonesia dan Malaysia, meliputi amalan kewartawanan dan pemberitaan di lima syarikat media di kedua-dua negara.

AMALAN KEWARTAWANAN

Mereka termasuklah para wartawan Indonesia bagi  sebuah majalah Islam, Sabili, harian Republika dan majalah Tempo.

Di Malaysia, beliau meluangkan masa bersama-sama para wartawan Muslim di akhbar Parti Islam Se-Malaysia, PAS dan media online terkemuka, Malaysiakini.

Mereka kesemua mencerminkan kepelbagaian yang meluas di dalam masyarakat Islam sendiri baik di Indonesia dan Malaysia.

Ada di kalangan mereka apa yang dipanggil wartawan ‘fundamentalis’ atau ‘scripturalist’ (mereka yang memahami teks secara literal atau harfiah) hinggalah kepada mereka yang digelar sebagai golongan kosmopolitan pluralis (terbuka dan sedia menerima pelbagai perbezaan di dalam masyarakat.)

NILAI-NILAI AGAMA

Bergantung kepada tafsiran dan pemahaman masing-masing terhadap beberapa ayat Al Quran dan Hadis, kebanyakan wartawan Muslim yang ditemui penulis percaya bahawa Islam itu cukup dengan nilai-nilainya dalam memupuk kewartawanan yang baik.

Ia termasuklah nilai-nilai yang menggalakkan kebaikan, menegakkan keadilan dan kebenaran serta mencegah kemungkaran termasuk penyebaran fitnah yang kita kenali sekarang sebagai ‘berita palsu’.

Meskipun demikian tentunya apa yang dimaksudkan dengan kewartawanan Islam bukanlah sekadar menyenaraikan prinsip-prinsip baik yang perlu diamalkan oleh seseorang wartawan Muslim.

Dalam kajiannya, Steele mendapati terdapat  tafsiran dan amalan yang berbeza di kalangan para wartawan yang ditemui tentang bagaimana mereka melihat peranan, prinsip dan pelaksanaan prinsip-prinsip kewartawanan Islam.

PERANAN BERDAKWAH

Di Indonesia, umpamanya,  para wartawan majalah Sabili didapati amat memberatkan peranan ‘berdakwah’ sebagai tugas utama seorang wartawan.

Para wartawan ini melihat kaitan Islam dengan kewartawanan adalah dalam agama itu memupuk kebaikan dan keadilan.

Tidak hairanlah jika para wartawan yang diambil bertugas di Sabili adalah di kalangan mereka yang mahir dalam berdakwah.

Para wartawan Tempo pula melihat diri mereka sebagai Muslim progresif yang menjalankan tugas kewartawanan mereka sebagai ibadah, walaupun majalah itu sendiri tidak dilihat sebagai media Islam.

Dari segi pendiriannya terhadap Islam, Tempo lebih dilihat sebagai wadah Islam kosmopolitan yang mahu menggalakkan pemahaman yang lebih segar terhadap Islam.

Dari segi politik, ia kerap dilihat sebagai media bebas yang tidak takut dalam menyiasat sebarang penyelewangan kuasa di kalangan ahli-ahli politik dan pemegang-pemegang jawatan.

Sebuah lagi penerbitan Indonesia, Republika, pula bukan sahaja mencerminkan ciri-ciri kosmopolitan dan pluralis.

Ia juga menjadi wadah masyarakat pertengahan Muslim bandar dengan gaya hidup dan nilai-nilai  konsumerisme mereka.

Jemaah menunaikan solat pada malam pertama Ramadan di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada 5 Mei 2019. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

MENGGALAK KEBAIKAN

Di Malaysia pula, Steele mendapati para wartawannya juga melihat bahawa tugas kewartawanan mereka sebagai suatu ibadah – dari aspek ajaran agama seperti menggalakkan apa yang baik dan mencegah kemungkaran.

Bagi wartawan-wartawan Muslim Malaysiakini, ada yang berpendapat bahawa nilai-nilai kewartawanan yang mereka pegang adalah 100% menyamai matlamat agama – yakni menegakkan keadilan, membantu golongan susah, menggalakkan kesamarataan dan membasmi rasuah.

Di kalangan wartawannya, mereka perlu sentiasa mencari titik pertemuan antara prinsip-prinsip Islam dengan amalan ‘politik Islam’ yang dipegang oleh parti itu.

Namun Steel mendapati bahawa kebebasan media merupakan suatu isu yang kerap menjadi masalah sesetengah wartawan Harakah, kerana tiadanya kebebasan bagi mereka untuk tidak menerima pendirian atau keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

KEWARTAWANAN BAIK  

Kesimpulan kajian dalam ‘Mediating Islam’ mendapati bahawa apa itu ‘kewartawanan atau media Islam’  amat bergantung pada konteks seseorang pengamal media itu sendiri.

Sebagai wartawan yang taat kepada agama, merekalah yang memberi tafsiran terhadap apa yang mereka maksudkan dengan kewartawanan Islam.

Sekiranya mereka mengamalkan bidang kewartawanan dengan berpegang kuat kepada nilai dan prinsip asas Islam, seperti menggalakkan kebaikan, kejujuran dan keadilan, mereka sebenarnya juga mengamalkan apa yang dipanggil sebagai ‘kewartawanan baik’ atau ‘good journalism’.

Semua wartawan berwibawa akur bahawa prinsip ‘kewartawanan baik’  juga menganjurkan kejujuran, sikap objektif, kesaksamaan dan integriti – suatu yang turut ditegaskan oleh Islam sendiri.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan