Images
  • facial illustration
    Gambar hiasan CNA

RENCANA: Derita selepas Raya diperdaya iklan kecantikan

Trend rawatan kecantikan kosmetik di sesetengah pusat kecantikan dikatakan amat membimbangkan terutama sepanjang Ramadan dengan pelbagai promosi ditawarkan pada harga tidak masuk akal. Rencana SAKINI MOHD SAID ini menyorot kesan-kesan merbahaya akibat trend tersebut.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Begitulah lumrahnya, setiap kali menjelang Ramadan, pengguna akan diasak dengan pelbagai promosi jualan murah dengan dakwaan potongan harga sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Bukan setakat perabot, barangan elektronik mahupun aksesori rumah, perihal penjagaan kecantikan juga tidak terkecuali.

Bermodalkan daya kreativiti pemasaran sama ada menggunakan gambar testimoni mahupun video yang dicipta khas, promosi kecantikan seperti memutihkan kulit, meruncingkan dagu, membuang lemak badan pada harga istimewa pastinya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja untuk mencubanya.

Jadi tidak hairan apabila ramai wanita begitu mudah terperangkap dengan promosi kecantikan dan terdorong untuk mencuba. Persoalannya, apakah selamat prosedur yang dilakukan di pusat kecantikan berkenaan Paling penting, apakah mereka bertauliah

Pakar Perubatan Estetik, Dr Nazelia Thibroni. --Foto Hak Milik Dr Nazelia Thibroni.

Menurut Pakar Perubatan Estetik, Dr Nazelia Thibroni, trend rawatan kecantikan kosmetik di pusat kecantikan negara ini amat membimbangkan apatah lagi sepanjang Ramadan dengan pelbagai promosi ditawarkan pada harga tidak masuk akal.

DERITA SELEPAS RAYA

Ini kerana majoriti pusat kecantikan berkenaan menawarkan rawatan yang sepatutnya hanya boleh dilakukan oleh doktor berkelayakan dalam bidang estetik sahaja.

 “Tetapi kerana motif keuntungan ia dilakukan pakar kecantikan tidak bertauliah. Keadaan ini amat merisaukan.

 “Boleh dikatakan hampir setiap tahun selepas raya klinik saya didatangi ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan membetulkan kembali wajah mereka yang rosak kesan daripada menggunakan khidmat pusat kecantikan tidak bertauliah semasa Ramadan,” kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.

Berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang Perubatan Estetik, Dr Nazelia berkata kebanyakan pesakitnya yang mendapatkan rawatan selepas perayaan adalah disebabkan suntikan dermal filler atau lebih dikenali sebagai 'filler’ yang kini semakin popular di negara ini.

Tanpa memerlukan pembedahan dan hanya suntikan diberikan, trend yang bermula di luar negara ini menjadi pilihan ramai wanita masa kini yang menginginkan wajah dan bentuk idaman misalnya seperti bibir seksi Angelina Jolie atau hidung mancung mahupun dagu runcing.

 Ia juga digunakan dalam bidang kosmetik sebagai anti penuaan untuk mengurangkan garis-garis halus, menegangkan tisu yang kendur serta menaikkan isipadu tisu seperti garisan pipi dan sebagainya.

Malah, membesarkan payu dara dan pinggul juga tidak terkecuali menjadi tumpuan wanita yang merasakan kaedah sebegini adalah lebih selamat dilakukan berbanding pembedahan plastik.

Walhal, ramai tidak menyedari rawatan ‘filler’ bukan daripada doktor berkelayakan dalam bidang kecantikan atau estetik sebenarnya tetap berisiko dan berbahaya kepada individu itu biarpun tidak melibatkan sebarang pembedahan.

Ini kerana ia berisiko mengundang komplikasi pada wajah atau bahagian disuntik dan sekiranya lambat mendapatkan rawatan ada berkemungkinan besar diserang kanser, hilang fungsi anggota badan, buta, lumpuh bahagian muka mahupun maut!

BAHAN DIRAGUI

 “Kebanyakan yang datang ke klinik saya selepas mendapat suntikan filler haram disebabkan terdapat benjolan di muka, berlaku radang kulit, bernanah, pendarahan, ada jangkitan kuman, lebam dan sebagainya

 “Boleh dikatakan, majoritinya keadaan agak kronik kerana lambat mendapatkan rawatan. Mereka datang beberapa bulan selepas hari raya kerana cuba berunding dengan premis kecantikan tersebut dahulu tetapi tidak dilayan, lepas tangan dan suruh jumpa doktor.

 “Ini yang dikatakan cantik hanya semasa raya tetapi kemudian derita. Ada pernah saya menerima kes payu daranya rosak akibat filler haram kerana lambat mendapatkan rawatan,” tambah Dr Nazelia.


Pakar Perubatan Estetik, Dr Nazelia Thibroni sedang melakukan rawatan wajah kepada salah seorang pesakitnya. -- Foto Hak Milik Dr Nazelia Thibroni

Menurut beliau, apa yang menjadi kebimbangannya bukan sahaja berkaitan prosedur salah tetapi juga jenis bahan yang digunakan turut menjadi persoalan sangat penting.

 Ini kerana bahan untuk suntikan ‘filler’ yang digunakan pusat kecantikan tidak bertauliah adalah meragukan dan berkemungkinan besar tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 Untuk proses suntikan ‘filler’, ia melibatkan dua jenis rawatan yang ditawarkan pengamal perubatan yang layak sama ada jenis kekal mahupun jangka pendek dan biasanya di klinik Dr Nazelia menggunakan prosedur yang kesannya hanya boleh bertahan untuk tempoh tertentu sahaja.

 “Asid hialuronik adalah bahan paling asas dalam suntikan filler. Ia biasanya akan kekal selama sembilan hingga 12 bulan dan selepas itu suntikan perlu diulang semula untuk mendapat kesan diingini.

 “Bagaimanapun, pusat kecantikan tidak bertauliah ini ada yang menggunakan bahan berunsurkan petrolatum bagi menggantikan asid hialuronik kerana harga asid hialuronik ini bukannya murah.

 “Apabila menggunakan bahan tidak sepatutnya seperti petrolatum, ia menyebabkan bahagian yang disuntik itu menjadi keras, rasa sakit dan berlaku ketulan,” jelasnya.

MEREKA TIDAK LAYAK

 Sikap kebanyakan wanita yang terlalu obses kecantikan, menginginkan kesan segera, harga murah tanpa menyelidiki pusat kecantikan tersebut bertauliah atau tidak menjadi punca berlakunya lambakan pakar estetik jadian atau haram yang mengaut keuntungan tanpa mempedulikan risiko bahaya kepada mangsa.

 Sebelum ini, pernah dilaporkan lebih 20,000 pakar kecantikan atau estetik tidak bertauliah didakwa bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang sepatutnya hanya boleh dikendalikan oleh pengamal perubatan berkelayakan bidang tersebut.

 “Masih ramai menyangka pakar kecantikan boleh membuat semua rawatan kosmetik dengan alasan mereka sudah lama dan berpengalaman dalam bidang berkenaan. Sebenarnya, persepsi itu salah sama sekali.

 "Hampir kesemua rawatan kosmetik perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu kecuali rawatan facial biasa atau urutan. Malah, proses tompok pada wajah disebabkan jeragat pun hanya boleh dilakukan doktor sahaja tetapi sekarang begitu berleluasa diiklankan oleh mereka tidak bertauliah.

 “Ini kerana ada yang mempunyai kulit sensitif, alahan, perlu dirawat dengan ubat makan, ubat sapu dahulu sebelum melakukan rawatan kerana dikhuatiri ada risiko komplikasi di kemudian hari. Pemeriksaan sejarah pesakit tidak dilakukan di pusat kecantikan tidak bertauliah dan ini sangat bahaya,” katanya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan kesahihan alat perubatan kosmetik seperti mesin laser yang digunakan di pusat kecantikan kerana ada kemungkinan besar ia hanyalah mesin biasa sahaja.

 Ini kerana kos mesin laser -- ‘medical grade laser’ -- sangat mahal sehingga mencecah ratusan ribu ringgit dan ia hanya boleh dikendalikan pengamal perubatan bertauliah berdasarkan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

 “Saya tidak rasa mereka menggunakan mesin laser, mungkin ia sekadar mesin yang hanya ada nyalaan lampu tertentu dan bertindak seolah-olah mesin laser. Penggunaan tersebut boleh menyebabkan kesan hitam seperti terbakar pada wajah, “ katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa lebih teliti memantau aktiviti rawatan haram ini kerana ia banyak diiklankan di media sosial.

Misalnya, iklan suntikan vitamin C yang kononnya memutihkan kulit dan pengguna boleh menyuntik sendiri di rumah dengan kos lebih murah.

 “Kebanyakan suntikan vitamin C yang diiklankan bukan hanya mengandungi vitamin c tetapi bahan lain seperti tranaxaemic acid yang jika disuntik boleh menyebabkan kerosakan pembuluh darah. Ada juga bahan lain berisiko menyebabkan kegagalan buah pinggang,” kata Dr Nazelia.

BUKAN MURAH

Menurut Dr Nazelia, adalah mustahil rawatan estetik ditawarkan murah kerana kebiasaannya kos tersebut adalah mahal berikutan menggunakan bahan berkualiti, prosedur yang betul daripada tenaga berkelayakan, sekali gus dijamin selamat.


Dr Nazelia sedang merawat pesakit (gambar facebook Dr Nazelia)

Sememangnya, amat penting bagi sesiapa yang ingin tampil cantik mendapatkan maklumat secukupnya serta merujuk pakar bertauliah sebelum membuat keputusan membuat rawatan.

 Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana sedikit kesilapan bukan sahaja akan berhadapan kos lebih tinggi bagi merawat kembali kerosakan bahkan berisiko mendapat penyakit kronik.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan estetik, pastikan mengunjungi doktor yang mempunyai lesen pertauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) daripada KKM. Biasanya, lesen LCP ini akan dipaparkan di bahagian pendaftaran sesebuah klinik.

"Bukan semua doktor berkelayakan menawarkan rawatan tersebut kerana bukan mudah untuk mendapatkan LCP selain tempoh yang panjang dan prosedur ujian juga agak ketat,” katanya.

 Lesen LCP diperkenalkan KKM sebagai antara usaha yang dilakukan bagi memantau peningkatan mendadak pengamal perubatan estetik tidak bertauliah di negara ini.


- BERNAMA

Top