Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Warisan Budaya & Keadilan Sosial, mengapa kedua-duanya perlu dilestari dan maju seiring

Setiap masyarakat memerlukan imaginasi warisan yang dinamik, progresif dan hidup. Ini adalah keterbalikan dari tanggapan yang mudah,  dan sering kali tanpa sengaja, yang melihat warisan sebagai suatu benda yang diwariskan dari generasi terdahulu, kemudian diperaga, dipamer atau diceritakan. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Warisan Budaya & Keadilan Sosial, mengapa kedua-duanya perlu dilestari dan maju seiring

Pameran bergerak yang diadakan bagi mendapatkan maklum balas tentang Jalur Budaya Geylang Serai. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Setiap masyarakat memerlukan imaginasi warisan yang dinamik, progresif dan hidup. Ini adalah keterbalikan dari tanggapan yang mudah, dan sering kali tanpa sengaja, yang melihat warisan sebagai suatu benda yang diwariskan dari generasi terdahulu, kemudian diperaga, dipamer atau diceritakan.

Pastinya ini wajar dan diperlukan, dan pastinya juga belum mencukupi.

Memerhatikan kecenderungan masa kini terhadap warisan, bisa dikesani terselit semacam kenostalgiaan akan zaman yang telah hilang dan hari ini ghairah terpamer dan tercerita di merata tempat awam.

Kenostalgiaan bisa memberi perangsang minat kepada sejarah, tetapi berlebih-lebihnya perasaan ini bisa menjadi perlarian dari keterkaitan sejarah dan realiti masa kini.

படம்: Latar langit kawasan CBD Singapura (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Ya, sejarah dan masa kini ada keterkaitan yang tidak bisa kita lepaskan. Sesiapa yang gagal memahami bahawa proses perubahan sosial, akan terjebak dengan suatu pandangan yang tidak produktif, yakni sikap ahistorical, kecenderungan menafikan sejarah, tidak menghargainya, tidak memberatinya dalam erti kata sebenar.
Wacana warisan hari ini telah mendapat perhatian dunia akademik, perencanaan birokrat, penajaan korporat, serta minat dari kelompok tertentu, khasnya dari kelompok yang banyak sumber, pendedahan dan keseleraan budaya yang tinggi.

Rata-rata perihal warisan kini menjadi kepedulian penguasa yang mengurusi hal-ehwal warisan kerana ia dilihat sebahagian daripada pembinaan negara bangsa. Malah ada penguasa beria-ia mengurusi warisan kerana potensi perwisataan yang kelak bisa menjana wang dan pelaburan.

MELESTARI WARISAN BUKAN SETAKAT UNTUK MENJANA DANA

Dunia akademik juga memberi perhatian kepada wacana warisan kerana ia adalah sebahagian dari kajian sejarah, kebudayaan dan kemasyarakatan, sehingga meraih biaya dan geran penyelidikan.

Semua ini wajar kita alu-akukan kerana dalam menjaga warisan, ertinya kita diberikan ruang dan sumber untuk melestarikan kebudayaan dengan rasa bangga dan bermartabat.

Namun penting untuk dibicara dalam minat mendukung dan merawat warisan ini, kita harus melihat dinamika bagaimana idea warisan telah direncana, diperluaskan dan didukung dalam masyarakat.

Sekiranya ada beberapa negara yang memberikan premium kepada warisan demi menjana tarikan wisata, begitu juga ada yang mendukung warisan kerana ada faktor kepentingan kelas yang dapat dikaitkan dengan selera dan kepentingan kelompok tertentu.

Ini bermaksud, hanya segolongan tertentu yang terwakil sangat baik dalam naratif warisan, sedangkan yang lain tersenyap, atau tidak terangkum sama dalam naratif tersebut.

Wacana warisan dalam sesebuah masyarakat majmuk sebenarnya berpotensi untuk menjadi wadah yang merangkum lebih menyeluruh dengan perwakilan kelompok berdasarkan etnik, bahasa, kebudayaan, agama, generasi, geografi, jantina, pekerjaan dan kategori-kategori lain.

Sebuah pameran di Pesta Warisan Singapura 2016 (Gambar: Nisha Karyn Sreenivasan)

Ini penting di saat naratif sejarah “rasmi” sebagaimana yang dikaji di perguruan tinggi, diajarkan di sekolah, dipamerkan di muzium dan perpustakaan masih lagi dalam takuk dominan, yang belum terlepas dengan sifat elitis, yakni masih dibelenggu naratif kolonialisme ataupun nasionalisme sektarian, dan sering ditonjolkan cerita orang-orang besar, yang umumnya lelaki golongan atasan yang berpengaruh dalam sejarah.

PERLU WUJUDKAN KESADARAN YANG LEBIH INKLUSIF

Dengan adanya wadah dan wacana warisan, dan mendapat perhatian besar di dekad-dekad kebelakangan ini, maka terbitlah kesadaran akan representasi sejarah yang lebih inklusif.

Kekadang dapat kita bandingkan betapa wadah warisan lebih bersifat inklusif sedangkan naratif sejarah dominan masih dalam takuk yang sama.

Pastinya banyak lagi yang boleh dilakukan agar perwakilan dalam warisan yang adil dapat merangkul yang lainnya.

Termaklum, pemikiran dominan sama ada di pihak penggubal dasar dan pentadbiran, serta keahlian pakar yang menyokongnya, menjadi penyebab utama dalam “pemilihan” warisan tertentu.

Yakni, mana warisan yang menjadi premium yang berprestij dalam usaha menyemarakkan warisan ini. Dalam keadaan seperti ini wadah warisan ternyata sudah berat sebelah.

Di sinilah letaknya peri penting mengaitkan persoalan warisan dengan keadilan sosial.

PERSOALAN ANTARA WARISAN BUDAYA DAN KEADILAN SOSIAL

Di satu sisi, wadah dan wacana warisan memberi peluang kepada kelompok-kelompok yang belum pernah, jarang atau tertinggal dalam naratif sejarah dan warisan sebelum ini. Ini harus ditabik dan diteruskan.

Masalahnya ialah apabila satu paradigma tentang sejarah dan warisan yang dipegang oleh penggubal dan pengurusnya masih dibelenggu oleh pandangan sejarah sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi dengan kepentingan dan selera kelas sosial yang melatari latar belakang mereka.

Inilah antara sebab jelas, kenapa keprihatinan dan pendanaan kepada warisan cenderung berpihak kepada kelompok elit dan golongan tertentu, sedangkan yang lain tidak menerima perhatian yang sama besar, baik pendanaan dan dukungan.

Orang ramai di Orchard Rd S'pura memakai pelitup di tengah COVID-19 pada 2 Sep 2020 (Gambar: Gaya Chandramohan)

Dalam mengaitkan persoalan warisan dengan keadaan sosial mungkin dua soalan berikut wajar dipertanyakan.

Pertama, bagaimana warisan bisa diolah dan dijayakan seiringan dengan aspirasi keadilan sosial.

Kedua, sejauh manakah dalam ranah warisan kita hari ini telah membenarkan akses kepada pelbagai kelompok, ataupun akses ini lebih banyak ditumpukan kepada kelompot elit dalam masyarakat.

NIKMAT WARISAN BUKAN UNTUK GOLONGAN ELIT SAJA

Umumnya apa yang kita lihat dan faham tentang warisan sering kali berkenaan dari pengalaman dan kelaziman yang pernah ada di kalangan mereka yang berada, dengan penyimpanan, pengisahan, perawatan alat, benda, gaya hidup lebih tercatat lebih baik dibandingkan dari kelompok-kelompok lain.

Pastilah kita tidak boleh menghalangi kelompok ini dari menikmati wadah warisan yang sedia ada. Yang boleh kita persoalkan --- bagaimana pula golongan bawahan boleh turut sama terakrab dalam medan warisan.

(Gambar: NLB)

Demi menilai perkara yang ditimbulkan di atas, sayugia kita meninjau bagaimana warisan terpamer di muzium, galeri seni, perpustakaan, instalasi awam, termasuk program sampingan menjejaki warisan.

Termasuk juga wacana dan pendidikan warisan yang telah diterapkan di institusi pendidikan.

Sama pentingnya ialah mempersoalkan sama ada naratif warisan itu substantif sifatnya, termasuk adanya sisi pendidikan yang tersedia di dalamnya.

Adakah wadah dan wacana warisan yang kita bangunkan benar-benar inklusif sifatnya, dan akses kepadanya dapat diperolehi dengan mudah dan selesa oleh kelompok yang kita sasarkan itu.

Perencanaan serta visi yang kukuh dan jelas sangat penting dalam masyarakat membangun.

Perancangan warisan budaya sayugia melihat tiga dimensi yang harus dapat memastikan keadilan sosial, malah boleh juga disebut sebagai keadilan warisan (heritage justice) yang merangkumi:

(a) pemerangkulan pelbagai kelompok dalam narasi warisan;

(b) pemerolehan oleh khalayak dan

(c) penjanaan sikap pemersatu lewat warisan, selain menjadi sumber pemberdayaan kepada kelompok sasaran tertentu.

KESIMPULANNYA

Usaha membangun warisan adalah milik bersama. Pihak yang berwenang seperti Lembaga Warisan Negara (NHB) telah sangat proaktif menggerakkan kesadaran, wadah, wacana warisan untuk masyarakat Singapura yang berbilang budaya dan bangsa.

Terwujudnya pusat warisan untuk pelbagai kelompok etnik dan budaya di republik ini adalah contoh kepedulian dan keprihatinan tentang warisan yang pelbagai.

Istana Kampong Gelam. (Gambar: NHB)

Perhatian besar ini harus dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan negara, dan di pihak komuniti masing-masing, ia sebagai pembangunan komuniti. Kedua-dua ranah ini penting demi menjadikan negara yang berbudaya dan beradab.

Sama pentingnya ialah wujudnya kesadaran bahawa wadah inilah juga yang mampu memberi peluang kepada kelompok-kelompok kecil dan kepentingan tertentu, untuk dapat tampil terangkum dalam naratif warisan.

Warisan adalah penceritaan yang hidup, yang harus diserikan oleh kepedulian bahawa setiap satu berharga diingati dan dimaklumi dalam sejarah. Cerita yang “hidup” ini biarpun berkenaan perorangan, peristiwa dan benda yang telah lalu, tetap wajar tampil dalam imaginasi warisan kita.

Warisan yang hidup dan menghidupi inilah yang harus kita teruskan.

Harusnya kita bersyukur kerana perihal warisan semakin mendapat tempat, bersamaan kesadaran tentang sejarah lisan, sejarah sosial, dan sejarah dari bawah. Namun sekiranya warisan hanya barang pameran, sambutan, dan kegiatan musiman, ia sebenarnya biasa-biasa sahaja, betapa banyak sumber telah diperuntukkan untuknya.

Bila imaginasi warisan kita dapat memastikan warisan yang tersedia itu menjadi pemacu bagi kesadaran kritis, kefahaman sejarah yang jelas, menyuguhkan rasa bangga kepada mereka yang boleh mengaitkan warisan itu sebahagian daripada jati diri mereka, maka di situlah letaknya segi keadilan sosial dalam ranah warisan.

Disimpulkan mudah, inilah sisi keadilan sosial yang harus terpaut sama dalam ranah warisan. Penataan warisan tidak boleh bersifat elitis. Akses kepada warisan harus tersedia kepada semua warga, dan sekiranya ada kelompok yang kurang mampu, program yang lebih menarik harus tersedia untuk mereka, selain diyakinkan bahawa warisan itu sebahagian daripada milik mereka.

Jangan pula ia dibuat asing bagi mereka.

Ini semua perlukan perancangan cermat, dan terpaling dimulakan dengan kesadaran bahawa keadilan sosial wajar terlafaz dalam wadah, wacana dan semangat warisan. Ia menjanjikan, bahkan suatu pertanggungjawaban.

Dr Azhar Ibrahim Alwee.

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan