Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Wanita dalam politik – cabaran dan faktor yang menentukan kejayaan mereka

Apakah cabaran yang dihadapi wanita yang menceburi bidang politik? Apakah faktor penting yang membantu mereka menangani cabaran dan rintangan tersebut?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah cabaran yang dihadapi wanita yang menceburi bidang politik? Apakah faktor penting yang membantu mereka menangani cabaran dan rintangan tersebut? Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokhtar mengongsi pengalaman beliau.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa pada suatu hari kelak saya akan menceburi bidang politik.

Saya mula berjinak-jinak melakukan kerja-kerja sukarela dengan Mendaki dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura berhubung isu-isu wanita, kanak-kanak dan pendidikan yang menarik perhatian saya.

Saya diundang menyertai majlis minum teh anjuran Parti Tindakan Rakyat (PAP), di mana saya ditanya sama ada saya ingin menceburi bidang politik.

Pada ketika itu, saya baru sahaja menimang cahaya mata dan memerlukan masa untuk menimbangkan peluang itu.

PERJUANGKAN DASAR

Kemudian saya membincangkan perkara itu dengan suami saya. Saya menyedari bahawa jika saya bersungguh-sungguh ingin memperjuangkan dasar-dasar atau isu-isu tertentu, keberkesanan kerja-kerja sukarela mempunyai batasnya yang tersendiri.

Orang ramai di kawasan Orchard Road, Singapura. (Gambar: TODAY)

Sebaliknya, penyertaan saya dalam politik benar-benar boleh membantu untuk mendatangkan perubahan dari segi penggubalan dasar dan mempengaruhi serta membentuk undang-undang.

Lantaran itu saya berfikir bahawa politik mungkin merupakan panggilan hidup saya dan penyertaan dalam politik adalah langkah seterusnya yang patut saya pertimbangkan.

Seterusnya saya mengambil keputusan untuk menyertai PAP dua minggu sebelum Pilihan Raya Umum 2011. Sebelum itu saya tidak pernah merancang untuk menceburi bidang politik.

Penyertaan saya seolah-olah tidak disengajakan. Memandangkan saya benar-benar ingin memperjuangkan isu-isu tertentu, ini mungkin laluan yang terbaik bagi saya supaya boleh mengusahakan dasar-dasar dan perubahan yang penting bagi diri saya.

KELUARGA DAN KERJAYA

Secara peribadi, saya amat beruntung kerana mendapat sokongan padu suami saya. Beliaulah yang meminta saya untuk menyambung pengajian meskipun kami telah mendirikan rumah tangga.

(Gambar hiasan: Pixabay)

Lantaran itu, saya ingin menyaksikan lebih ramai suami memainkan peranan untuk menyokong pasangan masing-masing kerana perkahwinan itu benar-benar merupakan usaha bersama.

Cabaran pertama yang dihadapi seorang ahli politik adalah kecenderungan untuk menganggap bahawa seseorang wanita itu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga rumah tangga dan dengan menyertai politik, seseorang isteri itu mengejarkan pembangunan profesional atau kerjaya peribadi semata-mata.

Adakah ini bermakna bahawa tuntutan kerjaya itu semestinya mengurangkan masa isteri untuk meluangkan masa dengan keluarga?

Saya berfikir huraiannya adalah untuk mengurus masa dan mengongsi tanggungjawab rumah tangga dengan pasangan anda untuk mencapai keseimbangan antara tuntutan keluarga dengan kerjaya.

JALINAN PENDUDUK

Cabaran kedua adalah kecenderungan untuk menilai seseorang berdasarkan penampilan. Saya memakai tudung dan lantaran itu ada sesetengah orang yang menilai saya berdasarkan stereotaip dan mengandaikan bahawa saya tidak berupaya membina jalinan dengan para penduduk dari kaum-kaum lain.

Demografi masyarakat S'pura yang berubah-ubah dipercayai antara faktor utama ramai tidak berbelanja di pasar basah. 

Bagi memudahkan saya untuk beramah mesra dengan para penduduk dan membuat mereka berasa senang, mempelajari bahasa-bahasa lain boleh membantu.

Saya mempelajari sepatah dua perkataan Mandarin agar saya boleh mendengar dan bercakap dengan para penduduk kawasan undi saya semasa melakukan kunjungan.

Usaha menghambat hati para penduduk kadangkala bukan sekadar menyampaikan ucapan berapi-api tetapi menjalin hubungan antara manusia yang memberi isyarat bahawa:

“Saya ingin bekerjasama dengan anda. Saya berada di sini untuk berkhidmat kepada anda dan saya ingin memahami keprihatinan anda."

MEMBAKAR SEMANGAT

Sebagai ahli politik seseorang perlu mempunyai pegangan yang kukuh. Anda perlu meneroka bidang-bidang khusus yang menarik perhatian anda bagi memperjuangkan pindaan undang-undang dan perubahan dasar-dasar.

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

Bagi diri saya, saya amat prihatin terhadap isu-isu keibubapaan dan pendidikan. Saya bersenang hati atas kemajuan yang dicatatkan dalam bidang-bidang tersebut di Singapura.

Sebagai contoh, saya telah mengemukakan saranan-saranan dasar perkahwinan dan keibubapaan. Sebagai seorang ibu, saya berfikir terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilaksanakan pemerintah untuk menyokong ibu bapa.

Bukan sekadar menyediakan cuti jagaan dan bantuan membesarkan anak, tetapi juga bagi kaum bapa untuk memainkan peranan lebih luas.

Menyusuli kemajuan yang tercatat baru-baru ini, cuti bapa kini sepanjang dua minggu – berbanding hanya sehari sebelum ini.

Satu lagi isu yang penting bagi saya adalah pendidikan. Salah sebuah bidang yang saya giat usahakan adalah mengenai pengasingan pelajar menurut aliran.

Ini kerana saya pernah mengajar pelajar-pelajar aliran Normal Teknikal yang dikatakan paling lemah dari segi pencapaian akademik.

Saya tidak suka dengan label-label sedemikian kerana setiap pelajar membangun dengan cara-cara mereka yang tersendiri.

Kini, setelah bertahun-tahun memperjuangkan perubahan, pemerintah sedang meneroka pendekatan pendidikan yang lebih luas dan menyediakan perjalanan pendidkan yang pelbagai supaya pelajar boleh memilih subjek menurut tahap keupayaan masing-masing.

Lantaran itu bersungguh-sungguhlah dalam memperjuangkan perubahan yang ingin anda saksikan.

KESANTUNAN WANITA

Sebagai wanita, kita boleh menjayakan sesuatu tanpa berteriak atau menggunakan kekerasan tetapi sebaliknya dengan meyakinkan orang lain.

Wanita cenderung mengambil pendekatan menyemai dan kita boleh menjayakan sesuatu dengan kesantunan.

Kita perlu menggunakan kemahiran sedemikian untuk meyakinkan orang lain, lebih-lebih lagi lelaki dalam bidang politik supaya mengubah dasar demi kebaikan masyarakat.

MENGENAI PENULIS: 

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

Dr Intan Azura Mokhtar adalah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (Jalan Kayu) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan