Images
  • isis women
    Seorang suri rumah 51 tahun ditangkap di Malaysia setelah mendapati ingin membuat serangan di tempat mengundi di Puchong. (Gambar: E8: Divisyen Counter Terrorism Cawangan Khas Malaysia)

KOMENTAR: Wanita dalam pengganasan – kenapa usaha lebih khusus sangat diperlukan

Sejak tiga tahun lalu, kes empat orang wanita yang telah ditahan di Singapura mencerminkan bagaimana wanita kini memainkan peranan yang lebih besar dalam isu keganasan. Untuk mencegah ‘gejala’ ini apakah cara berkesan untuk membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan ancaman dari kelompok ini.

Baru-baru ini, Rasidah Mazlan, 62 tahun, dilaporkan sebagai seorang daripada tiga individu yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kesalahan berkaitan dengan keganasan.

Dia dikenakan Arahan Sekatan disebabkan kegiatan secara online yang tidak terkawal, termasuk berhubung dengan beberapa entiti asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang berkaitan dengan keganasan, meliputi beberapa individu yang melahirkan rasa sokongan terhadap ‘Islamic State’ atau Daulah Islamiyah (ISIS).

Namun apa yang membimbangkan ialah, Rasidah merupakan wanita keempat yang ditahan Singapura kerana menyokong ISIS.

Peranan wanita dalam keganasan di rantau Asia Tenggara disifatkan sebagai pasif dan bersifat menyokong secara semula jadi.


PERALIHAN PERANAN WANITA

Walau bagaimanapun, terdapat perubahan sejak kebelakangan ini dengan melihatkan wanita kini menggalas peranan yang lebih aktif berbanding dengan wanita-wanita radikal di bawah pengaruh Jemaah Islamiah (JI) apabila mereka memainkan peranan sebagai kumpulan pengganas terbesar di rantau ini.

ISIS memberi inspirasi kepada wanita radikal untuk menggalas peranan sebagai seorang isteri, perekrut dalam online, penyokong kewangan dan logistik, pesimpati, pengganas dan propagandis. Apa yang nyata, pelibatan wanita sebagai pengganas meningkat secara beransur di rantau ini.

Singapura tidak terkecuali. Pada tahun 2017, Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansar menjadi wanita pertama yang ditahan bagi kesalahan berkaitan dengan keganasan di Singapura. Meskipun Syaikhah menjadi radikal menerusi online, dia bukan seorang penyokong ISIS yang pasif. Sejak tahun 2014, Syaikhah giat mencatat dan mengongsi catatan secara online tentang propaganda dan bahan pro-ISIS di laman media sosial.

Setakat ini, sekurang-kurangnya dua daripada empat wanita yang ditahan di Singapura telah melahirkan hasrat untuk menyertai ISIS di Syria.

TURUT AKTIF SEBAGAI PEREKRUT

Wanita pada hari ini hidup dalam sebuah masyarakat ‘egalitarianisme’ online, seperti netizen-netizen lain. Pada pandangan mereka ‘egalitarianisme’, menjadikan setiap netizen berada dalam tahap dan taraf sama rata sehingga semua pihak berhak mendapat peluang yang sama. Fahaman seperti inilah merupakan faktor utama yang mendorong mereka menjadi radikal.

Ini kerana media sosial boleh bertindak dan memainkan peranan untuk mengaburkan peranan stereotaip gender dan memberi peluang kepada wanita radikal untuk menjadi lebih aktif dalam lingkaran mereka yang radikal.

Malah dengan kemudahan untuk merahsiakan identiti dan cara berkomunikasi secara tidak langsung di media sosial membolehkan para wanita radikal untuk merekrut kedua-dua lelaki dan wanita. Sejak kemudahan ini, lebih ramai wanita diilihat menjadi perekrut online yang aktif, menggunakan wadah media sosial untuk menjalin rangkaian dengan wanita dari negara lain.

BACA: KOMENTAR: Fahaman ideologi radikal - mengapa ada yang masih terus terpengaruh?

MENARIK LEBIH RAMAI WANITA

Antara taktik yang digunakan adalah dengan meluaskan kehadiran mereka di lelaman media sosial. Bagi mereka yang sudah menyertai ISIS pula, mereka akan menceritakan pengalaman mereka secara online dan mengongsi dan mempromosikan kehidupan di Syria.

Ini bertujuan untuk menarik dan mendorong lebih ramai wanita untuk ‘berhijrah’ bagi menyertai ISIS, atau menjadikan mereka radikal dan menyokong kumpulan tersebut. Catatan-catatan online mereka disifatkan sebagai sangat terperinci dan padat sehinggakan ia menjadi bahan rujukan oleh kaum lelaki radikal.

Catatan-catatan tersebut sudah terbukti efektif sehingga mampu untuk menjadi umpan bagi mereka yang sedang mencari erti kehidupan atau ingin menuntut balasan bagi apa yang dianggap sebagai ketidakadilan terhadap agama Islam.

NARATIF YANG BERUBAH

Sejak ISIS ditubuhkan pada tahun 2014, ia telah berulang kali melakarkan peranan utama kaum wanita dalam majalah-majalah propaganda (seperti Dabiq dan Inspire), iaitu yang mewawarkan peranan wanita sebagai seorang isteri dan ibu yang memupuk generasi pelapis pejuang masa hadapan.

Bagi berdepan dengan cabaran tersebut, majalah pro-ISIS Indonesia Al-Fatihin edisi ke-6 yang dikeluarkan pada April 2018, menekankan larangan terhadap kaum wanita untuk menyertai sebarang aktiviti pertempuran melainkan jika ada keperluan – “Para wanita digalakkan untuk bertempur secara fizikal hanya jikalau keselamatan rumah mereka terancam.”

Dalam menggalas peranan yang bersifat pasif, kelompok wanita radikal tidak digalakkan untuk mengangkat senjata sebagai pengganas.


(Wanita-wanita ini dipercayai isteri dan anggota kepada kumpulan IS, berjalan di bawah pengawasan seorang pejuang perempuan dari Pasukan Demokrasi Syria di perkhemahan al-Hol di Syria. Gambar: AFP/BULENT KILIC)

TURUT LANTANG

Meskipun begitu, ia semakin jelas bahawa kelompok wanita radikal di rantau ini tidak lagi berpeluk tubuh dan menerima peranan yang bersifat tradisional. Terdapat beberapa isyarat di ruang siber yang menunjukkan kaum wanita radikal lantang menyuarakan pendapat dan kekecewaan mereka kerana tidak diberi peluang dan peranan yang setaraf kaum lelaki.

Setelah ISIS gagal mempertahankan kubunya yang terakhir di Baghouz, terdapat sebuah gelombang naratif yang baru dari penyokong ISIS wanita.

Perbualan radikal secara online di Asia Tenggara menunjukkan kekecewaan para wanita radikal kerana diketepikan dan mereka menyuarakan keinginan yang kuat untuk memainkan peranan yang lebih besar serta menjadi anggota yang lebih berguna kepada ISIS.

Meskipun ISIS terus menekankan peranan-peranan tradisional wanita, ada di kalangan mereka yang berkumpul dengan individu-individu yang bersependapat untuk terus memberontak kerana tidak dibenarkan mengangkat senjata sebagai pengganas.

Keinginan yang kuat ini dapat dilihat menerusi catatan-catatan online yang menyatakan bahawa para wanita radikal patut “dibenarkan untuk bergadai nyawa” bagi memperjuangkan misi ISIS.

KHUSUS BAGI WANITA

Dengan ancaman keganasan yang besar ini, sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa dan badan-badan masyarakat untuk mengambil usaha mencegah ekstremisme yang ganas atau ‘preventing violent extremism’ (PVE), khusus bagi kaum wanita.

(Golongan asatizah menghadiri ceramah RRG)

Walaupun di satu sisi, ISIS kekal dengan pandangan tradisional mereka terhadap wanita, namun di sisi yang lain pula mereka tetap telah menghasilkan bahan-bahan propaganda yang khusus ditujukan kepada kaum wanita.

Misalnya, buat pertama kalinya pada tahun lalu, ISIS menghasilkan sebuah video yang menampilkan para pejuang wanita. Meskipun penghasilan video tidaklah kerap, gelombang trend serta naratif di ruang siber mampu menghasilkan kenaikan jumlah terhadap wanita yang radikal.

Justeru itu, agensi-agensi yang terlibat dalam usaha mencegah keganasan harus menimbangkan strategi yang ditujukan khusus kepada wanita.

Dari aspek masyarakat, terdapat usaha aktif untuk membangunkan naratif alternatif secara online untuk memerangi mesej ISIS yang memutarbelitkan ideologi. Meskipun begitu, lebih banyak bahan yang bertumpukan kepada gender turut perlu dibangunkan, di mana wadah naratif, mesej dan jangkauan dibezakan dan dipelbagaikan.

BINA KEMAHIRAN USTAZAH

Contohnya, konsep yang disalahertikan seperti “Balu Seorang Syahid” (Martyr’s Widow), yang kerap menjadi daya tarikan kepada wanita yang terdedah kepada diayah ekstrem, perlu diperbetulkan.

Ia harus digabungkan dengan usaha-usaha membina kapasiti dan kemahiran untuk mengadakan lebih ramai ustazah yang terlatih dalam menangani atau peka akan isu bersangkutan dengan ideologi, serta faktor-fakor yang mendorong wanita menjadi radikal, supaya mereka dapat membimbing kaum wanita radikal dengan lebih baik.

Wanita seperti Rasidah seharusnya mempunyai sumber autoriti dan rujukan yang moderat untuk membimbing keinginan mereka untuk berbuat baik, dari berpaling kepada idea-idea esktrem untuk menyumbang kepada kemaslahatan kaum Muslim.

Strategi yang bertumpukan kepada gender boleh mengurangkan jumlah wanita radikal, iaitu mereka yang semakin berminat untuk menggalas peranan yang bersifat operasi dan agresif, dalam landskap terorisme dari terus meningkat.

MENGENAI PENULIS


Amalina Abdul Nasir adalah Juruanalisis Penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa bagi Politik Keganasan dan Terrorisme, sebuah unit khas di Sekolah Kajian Antarabangsa (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. 

- BERITAmediacorp/ur

Top