Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Wanita dalam pekerjaan mencabar – percaya dan tabahkan diri sendiri

Wanita juga boleh menjalankan tugas yang baik dalam pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh lelaki. Bagaimana mereka boleh persiapkan diri untuk pekerjaan sedemikian?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Wanita dalam pekerjaan mencabar – percaya dan tabahkan diri sendiri

Cik Nurazilah Jamlan. (Gambar: Jurong Port Tank Terminals)

BERITAmediacorp: Wanita juga boleh menjalankan tugas yang baik dalam pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh lelaki. Bagaimana mereka boleh persiapkan diri untuk pekerjaan sedemikian?

Persekitaran dan latar belakang keluarga saya mempunyai kaitan yang rapat dengan industri maritim sejak saya kecil lagi.

Hampir semua lelaki dalam keluarga saya - bapa, pakcik, abang dan suami - pernah atau masih bekerja dalam industri maritim.

Hanya apabila saya ternampak terdapat jawatan kerja sebagai seorang pekerja Operasi Kesihatan, Keselamatan, Pertahanan dan Sekitaran (HSSE) di Pulau Jurong , barulah saya mula mempunyai minat yang lebih mendalam dan memupuk idea untuk menceburi industri maritim.

Tahun ini menandakan tahun ke-9 saya bertugas dalam industri maritim, khususnya sektor minyak dan gas, dan pertama sekali saya bersyukur kerana telah diberi peluang.

Izinkan saya berkongsi bagaimana saya menjalani tugas sebagai seorang pekerja wanita dalam industri maritim.

RAGU DAN BIMBANG

Perjalanannya mungkin tidak mudah tetapi mengetahui apa yang bakal anda kendalikan itu dapat membantu. Pada mulanya, saya juga turut merasa ragu dan bimbang kerana industri ini masih secara konvensional, dikuasai lelaki.

Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan rondaan. (Gambar hiasan: MANAN VATSYAYANA / AFP)

(Gambar hiasan: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Peranan saya, seperti yang dijangkakan, memerlukan tenaga fizikal. Tetapi itu hanya sifat pekerjaan - anda akan menghabiskan sebahagian besar hari anda di luar untuk memeriksa pematuhan kontraktor terhadap arahan permit kerja anda, serta menjalankan latihan, latih tubi dan pemeriksaan harian di tapak kerja untuk memastikan piawaian HSSE dipatuhi.

Ini bermakna saya terpaksa berada di bawah terik matahari selama berjam-jam, dengan memakai Peralatan Perlindungan Peribadi yang terdiri daripada jaket lengan panjang, seluar panjang, gogal pelindung dan topi keledar!

Ketika baru mula bekerja, saya malah bimbang jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja secepatnya berbanding dengan rakan kerja lelaki yang mungkin dianggap lebih kuat secara fizikal, dan dengan itu lebih mampu melakukan kerja berat.

Tetapi ia menjadi terkawal dari semasa ke semasa. Sehingga sampai ke satu masa di mana kesukaran itu tidak lagi akan membimbangkan anda.

BERSEDIA FIZIKAL DAN EMOSI

Namun, anda masih perlu sentiasa bersedia secara mental, fizikal dan emosi, sebelum terjun ke bidang yang tidak diketahui. Setiap hari membawa pelajaran dan cabaran yang baru. Ini benar, terutama sekali, untuk tugas amali seperti pekerjaan saya.

Saya bekerja dalam persekitaran yang unik dan berisiko tinggi di Jurong Port Tank Terminals (JPTT). Di dalam terminal tangki, peraturan HSSE amat penting kerana banyak risiko keselamatan mengelilingi kami kerana sifat kerja kami.

(Gambar: Jens Johnsson/Unsplash)

Sebagai contoh, pencegahan kebakaran merupakan kebimbangan utama kerana terdapat banyak bahaya kebakaran, kesan kebakaran dan letupan produk simpanan dalam tangki, dan kebakaran wap gas yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia.

Faktor-faktor ini boleh menimbulkan ancaman segera terhadap operasi dan keselamatan pekerja di tempat kerja dan persekitaran di sekeliling kita pada bila-bila masa saja.

Sekiranya anda ingin menjadi seorang pekerja operasi HSSE, kemahiran penting yang diperlukan termasuklah sentiasa berjaga-jaga untuk mengesan tanda-tanda amaran yang berisiko dan mengetahui bagaimana untuk berkomunikasi dengan pantas dan berkesan juga amat penting.

Pada waktu-waktu kecemasan, salah faham adalah perkara terakhir yang semua inginkan.

KURANG PEMAHAMAN

Lama-kelamaan, ia menjadi satu perkara biasa bagi saya untuk menerima komen tentang bagaimana ciri-ciri pekerjaan saya dalam maritim ini dianggap terlalu kasar untuk wanita.

Ada juga yang menasihati saya supaya mencari pekerjaan yang lebih feminin! Daripada menjauhkan diri daripada komen-komen sedemikian, ia lebih mendorong saya untuk berjaya.

Mungkin mengapa salah faham ini masih berterusan disebabkan oleh kekurangan pemahaman dan pendidikan mengenai prospek kerjaya yang pelbagai dan bermanfaat dalam sektor maritim.

Pada September tahun lalu, Pertubuhan Maritim Antarabangsa telah mencipta tema 'Memperkasakan Wanita dalam Komuniti Maritim’ untuk Hari Maritim Sedunia.

Ini membuka banyak peluang untuk membincangkan kepelbagaian dan keterangkuman, yang merupakan isu penting untuk masa depan, kerana buat masa ini, wanita dianggarkan hanya membentuk 2% tenaga kerja maritim sedunia, menurut perangkaan daripada Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa.

Saya agak terkejut apabila mengetahui statistik itu dan saya pasti lebih banyak lagi yang dapat dilakukan untuk menarik lebih ramai wanita ke dalam industri ini.

LEBIH DIHORMATI

Namun, walaupun terdapat statistik yang rendah di peringkat global, terdapat peningkatan pada jumlah wanita yang menyandang jawatan kepimpinan dan memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Juga, ini mungkin suatu kejutan, tetapi secara peribadi saya merasakan bahawa lelaki dalam industri ini lebih menghormati saya dan mereka juga cenderung untuk memberi lebih perhatian kepada kata-kata seorang wanita kerana tidak ramai wanita dalam lapangan ini.

Dalam pekerjaan yang lasak seperti ini, kepentingan wanita juga meningkat kerana mereka sering dapat memberikan "sentuhan lembut" berbanding lelaki, yang ada kalanya lebih mujarab membuat orang lebih menerima cadangan dan arahan anda berkaitan tugas.

Walaupun sektor maritim mempunyai beberapa wanita yang hebat yang boleh dijadikan teladan, lebih banyak boleh dilakukan untuk mengenal pasti dan menaikkan pangkat mereka.

Mempunyai mentor yang kuat pasti membantu. Sebagai contoh, saya rasa amat dihormati bekerja dengan mentor pada tahun-tahun awal saya, yang secara positif telah membentuk cara saya bekerja dan berkembang dalam industri ini.

Beliau adalah seorang yang berani menerima kegagalan, mempunyai keupayaan untuk menukar kekecewaan menjadi motivasi, dan sentiasa menjadi tunggak keyakinan diri.

Mentor saya mengajar saya bahawa kadang-kadang kelemahan wanita itu digembar-gemburkan, dan kekuatan kita dipandang rendah.

SEIMBANG DAN BERAZAM

Oleh itu, semuanya terletak di tangan kita untuk membuktikan pengkritik kita salah. Dalam kerjaya dan kehidupan seseorang, ciri-ciri paling penting yang perlu kita miliki adalah keseimbangan dan keazaman.

Kedua-dua perkara ini akan membawa anda melalui masa yang paling sukar dan malam yang paling panjang.

Saya menyaksikan kekuatan yang tidak berbelah bahagi ini daripada wanita dalam industri yang dikuasai oleh lelaki dan ia amat memberi inspirasi.

Juga, kecekapan, dorongan dan pengalaman tidak ditentukan oleh jantina dan ini adalah kualiti yang telah membolehkan saya untuk membuktikan nilai saya.

PERCAYA DIRI SENDIRI

Dengan berkongsi pengalaman, saya berharap untuk menjadi contoh kepada kaum wanita di luar sana yang ingin menyertai industri maritim.

Saya pasti lama-kelamaan, jurang kepelbagaian jantina dalam industri ini akan mengecil dengan pendidikan dan rangkaian sokongan yang lebih besar untuk kaum wanita mendapatkan peluang kerjaya dalam bidang maritim.

Tempat yang baik untuk bermula bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk meneroka kerjaya maritim adalah laman web Maritime Singapore Connect Office (MSC) di www.maritimesgconnect.com.

Pejabat MSC merupakan sebuah unit di bawah Yayasan Maritim Singapura, dan portal sehenti mereka merupakan sumber berguna yang menjadikan maklumat mengenai peluang-peluang maritim lebih mudah untuk diakses.

Jika saya mempunyai satu perkara untuk dikatakan kepada semua wanita di luar sana yang sedang mencari langkah pertama mereka untuk memasuki dunia pekerjaan, ia adalah untuk mempercayai diri mereka sendiri dan membina ketabahan menghadapi cabaran-cabaran.

Cik Nurazilah Jamlan. (Gambar: Jurong Port Tank Terminals)
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan