Images
  • Remy Mahzam FAizal
    Remy Mahzam dan Muhammad Faizal bin Abdul Rahman. (Gambar: Remy Mahzam)

KOMENTAR: Video Abu Uqayl - Bagaimana ia bawa ancaman keganasan lebih dekat ke S’pura

BERITAMediacorp: Antara perkembangan mutakhir yang mengejutkan rakyat Singapura ialah kemunculan rakyat negara ini yang bernama Megat Shahdan Abdul Samad, yang mengenalkan dirinya sebagai Abu Uqayl. Anggota ISIS itu muncul dalam satu video propaganda, yang bertujuan menyebarkan mesej pengganasan dan juga untuk merekrut anggota.

Apakah pengertian dan implikasi daripada kemunculan video ISIS Singapura itu? Dua penganalisis, Remy Mahzam dan Muhammad Faizal Abdul Rahman, mengupas persoalan tersebut dalam artikel KOMENTAR ini, yang mereka sumbang kepada BERITAMediacorp:


(Abu Uqayl dalam video terbitan ISIS. Gambar: Facebook)

VIDEO ISIS yang buat pertama kalinya menampilkan Abu Uqayl, seorang anggota militan ISIS yang berasal dari Singapura, membuktikan pengaruh ekstremis yang melanda Asia Tenggara kian meluas sekaligus membawa ancaman itu lebih dekat ke Singapura.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) mengesahkan penglibatan Abu Uqayl dalam kumpulan militan ISIS dan percaya bahawa beliau menjadi radikal semasa bekerja di luar negara tiga tahun yang lalu.

Bagaimanakah ISIS terus mendapatkan sokongan dari pendukung-pendukung mereka setelah kehilangan kawasan yang dikuasainya di Iraq dan Syria? Ini merupakan satu soalan yang perlu ditinjau secara teliti.

PINDAHKAN TUMPUAN

Setelah gagal bertahan di Timur Tengah, ISIS melakarkan pembangunan seterusnya dengan memindahkan tumpuan pertempuran dari Iraq dan Syria ke rantau-rantau kejiranan seperti Yaman, Afrika, Libya, Khurasan (Afghanistan dan Pakistan) serta Asia Tenggara.

Penggunaan media sosial serta video yang licik merupakan satu strategi ISIS dalam usaha memperluaskan perekrutan dan pengaruh ideologi keganasan mereka. Propaganda kumpulan ekstremis tersebut lazimnya mendatangkan kisah pejuang-pejuang asing dari pelbagai latar belakang kemudian menonjolkan mereka sebagai satu simbol yang dianggap ‘heroic’ dan berpengaruh.

PERHATIAN KEPADA PEJUANG-PEJUANG ASIA

"Inside the Khilafah" (Di Bawah Pemerintahan Khilafah) merupakan satu siri video baru yang diedarkan sejak bulan Julai 2017 bagi mempromosikan kempen menegakkan Daulah Islamiyah atau sebuah wilayah di bawah naungan ISIS. Kempen media tersebut seringkali menyalahgunakan teks keagamaan untuk membenarkan anggota-anggota mereka menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

Di antara pejuang-pejuang yang ditampilkan dalam siri video ini adalah seorang warga Australia bergelar Abu Adam dan beberapa lagi warga Filipina yang berjuang di Marawi.

Anggota-anggota militan tersebut menyebarkan mesej yang serupa dalam video yang berlainan, iaitu menyeru kepada kaum mereka untuk berjihad dan berhijrah ke wilayah-wilayah pertempuran termasuk di Marawi, Filipina.

Dalam siri ke-empat, "Inside the Khilafah 4" penampilan Abu Uqayl dalam video tersebut secara tidak langsung meletakkan pejuang warga Singapura yang berbangsa Melayu itu sama baris dengan tokoh-tokoh pengganas terdahulu seperti Jihadi John (Abu Abdullah al-Britani) dan Abu Jandal Al-Indonesi yang berkhidmat sebagai ahli ideologi ekstremis dan konflik di luar negara.


(Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan seorang anggota pengganas ISIS, Megat Shahdan dari Singapura. Gambar: Facebook)

MENGGUGAT KEHARMONIAN

Pelancaran video Abu Uqayl juga dipercayai bertujuan untuk menggugat keharmonian kaum dan agama di Singapura, selain daripada menyebarkan virus radikalisme.

Pada bulan Jun 2016, sebuah video sepanjang 20-minit yang berjudul "Al-Bunyan Al-Marsus" (Bangunan Yang Kukuh) sudah pun memperkenalkan tiga lagi pejuang warga Asia iaitu Abu Walid al-Indonesi dari Indonesia, Abu Abdul Rahman al-Filipini dari Filipina dan Abu Awn al-Malisi dari Malaysia.

Ketiga-tiga pejuang ini menggesa rakyat mereka masing-masing untuk bersatu di bawah kepimpinan ketua ISIS bahagian Asia Tenggara, Isnilon Hapilon dan menyertai gerakan jihad di Filipina.

Sebelum ini, propaganda ISIS sering disampaikan dalam Bahasa Melayu kerana ia memang bertujuan untuk merayu kepada pendukung-pendukung di rantau ini terutama sekali dari kalangan rakyat Indonesia dan Malaysia supaya bergabung dengan regimen tentera Melayu yang dikenali sebagai Katibah Nusantara di Timur Tengah.

Video Abu Uqayl membawa satu kelainan dalam pembangunan propaganda ISIS dan ia menandakan satu peralihan strategik baru.

PENINGKATAN DALAM PEREKRUTAN

Penampilan seorang militan berbangsa Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris secara fasih mencerminkan satu peningkatan dalam kriteria perekrutan. Golongan yang lebih muda, berpendidikan tinggi dan memahami pergolakan politik di rantau yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam, menjadi sasaran dalam propaganda tersebut.

Video Abu Uqayl tidak mengandungi unsur-unsur kekejaman seperti pemancungan kepala atau pembunuhan orang-orang tawanan sehingga ada pengaliran darah. Ia juga tidak memberi penggambaran kanak-kanak yang berpakaian seragam dalam latihan bersenjata seperti video-video yang terdahulu.

Sebaliknya, video tersebut menekankan peranan Abu Uqayl yang lebih bermakna sebagai seorang anggota militan yang cekap dengan menunjukkan kemahiran tenteranya melepaskan tembakan menggunakan senapang meriam dari kenderaan tentera yang dipadunya.

ISIS IKUTI PERKEMBANGAN S’PURA

Dalam pesanan akhirnya, Abu Uqayl turut membuat ancaman kepada Putera Harry yang pernah datang ke Singapura dengan menggunakan kata-kata yang menggerunkan "kami akan menghantar anda dan kuncu-kuncu sekali ke api neraka".

Secara tersirat, ancaman tersebut menunjukkan bahawa ISIS mengetahui perkembangan-perkembangan penting di Singapura, termasuk juga langkah-langkah pencegahan pengganas serta kewujudan sasaran yang bernilai tinggi.

Justeru, video Abu Uqayl secara tidak langsung menggalakkan individu dan kumpulan-kumpulan radikal yang mendukung ideologi ISIS di Asia Tenggara ini untuk melancarkan serangan domestik bila wujudnya kesempatan.

Penampilan Abu Uqayl juga menunjukkan bahawa ISIS terus bergiat untuk menarik individu yang radikal yang mampu menggantikan tempat teroris-teroris yang terbunuh dalam serangan di Timur Tengah.

Landskap keganasan global akan terus memacu secara dinamik kerana ISIS mampu mempertahankan nilai propaganda mereka yang berpotensi untuk memberangsangkan radikalisasi dan membangkitkan semangat jihad bersenjata. Perhatian kumpulan militan itu terhadap Asia Tenggara boleh merumitkan keadaan sekiranya masalah-masalah tempatan mahupun serantau seperti konflik Rohingya di Rakhine serta pergolakan di Mindanao dan Marawi dieksploitasikan.


(Pelarian Rohingya menunjuk perasaan terhadap penindasan di wilayah Rakhine. Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

TINGKATKAN USAHA PENCEGAHAN

Video propaganda Abu Uqayl membuktikan bahawa usaha pencegahan keganasan adalah satu perjuangan yang panjang tatkala ancaman itu menjadi semakin dekat dengan Singapura. Trend penangkapan bagi kegiatan berkaitan pengganasan yang meningkat menunjukkan bahawa Singapura tidak kebal daripada ancaman pengganasan.

Satu tinjauan Straits Times yang melaporkan bahawa 4 di antara 5 warga Singapura belum bersedia untuk menghadapi serangan teroris amat membimbangkan.

Rakyat Singapura perlu menyesuaikan diri dengan mengambil tahu tentang langkah-langkah kecemasan dan penggunaan alat kemahiran kecemasan seperti aplikasi SGSecure supaya mereka dapat melindungi diri mereka dan membantu agensi keselamatan semasa krisis.

Singapura perlu terus mengemaskinikan langkah-langkah pencegahan dan usaha mitigasi terorisme dengan mengikuti perkembangan semasa dan cabaran-cabaran baru.

BERWASPADA DAN ELAKKAN PERGESERAN

Di peringkat masyarakat, rakyat Singapura perlu meningkatkan kewaspadaan supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya pergeseran antara kaum dan agama yang boleh memusnahkan kepercayaan dan menggoyahkan perpaduan sosial. Konsep persefahaman dan toleransi haruslah diterima oleh semua kumpulan agama dan setiap lapisan masyarakat.

Di peringkat institusi, pemimpin masyarakat, asatizah serta badan-badan seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) perlu melakarkan program-program yang strategik untuk menentang pengaruh pengganas dan daya tarikan ekstremis terutama sekali di wadah media sosial.

Kecanggihan dalam penggunaan teknologi di kalangan kumpulan pelampau seperti ISIS serta wujudnya golongan belia yang bermasalah menjadi punca pengambilan anggota para pelaku keganasan.

PUPUK NILAI AGAMA YANG PROGRESIF

Untuk menghapuskan fahaman ekstremis, program-program pemulihan juga perlu diadakan untuk mereka yang terjebak dalam masalah radikalisasi. Kurang pengetahuan atau tidak tahu menahu tentang Islam adalah diantara sebab mengapa ada golongan yang terdedah kepada pengaruh pengganas.

Nilai-nilai agama yang progresif perlu diterapkan untuk menggalak kesedaran dan rasa hormat kepada kepelbagaian dan kesaksamaan dalam budaya supaya titik persamaan boleh terbentuk.

Jika pemerintah, masyarakat dan para individu bekerjasama dalam usaha menangani pengaruh pengganasan, segala usaha yang dicurahkan boleh menghasilkan kejayaan jangka panjang yang lebih memberangsangkan.

MENGENAI PENULIS:
Remy Mahzam adalah zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR). Muhammad Faizal Abdul Rahman adalah zamil penyelidik di Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara (CENS) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).  

- BERITAMediacorp/fa

Top