Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Vaksin yang dinantikan satu permulaan baru yang perlu dimanfaatkan

Dengan penemuan dan pengagihan vaksin dapatkah ia dimanfaatkan sepenuhnya atau menjadikan sesetengah kita mula leka dalam soal pencegahan? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Vaksin yang dinantikan satu permulaan baru yang perlu dimanfaatkan

Gambar hiasan botol dengan label vaksin virus korona COVID-19 (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Dibandingkan dengan kali terakhir dunia kita dilanda pandemik besar-besaran, iaitu wabak flu 1918, krisis kesihatan COVID-19 nampaknya masih lagi dalam kemampuan kita untuk mengawalnya.

Kalau semasa pandemik ‘Spanish Flu’ itu sehingga 20% penduduk dunia (sehingga 500 juta orang) akhirnya menjadi mangsa jangkitan, penularan virus korona 2019 sejauh ini masih terkawal – dengan hanya 1% peratus penduduk dunia telah dijangkiti (atau 73 juta orang).

Dan dengan berita kejayaan beberapa syarikat farmaseutikal menghasilkan vaksin-vaksin yang diluluskan,  ini pasti sedikit sebanyak menimbulkan tanggapan salah bahawa cabaran COVID-19 akhirnya akan selesai tidak lama lagi.

Tanggapan salah seperti inilah yang bakal memburukkan lagi keadaan seperti yang jelas kita lihat dengan apa yang sedang berlaku di banyak negara lain – baik di Amerika Syarikat, Eropah dan juga Asia.

Ini semua  berpunca daripada kesilapan menganggap bahawa penyakit covid itu bukan masalah serius dan kalau pun serius hanya melibatkan sesetengah orang sahaja.

Ada juga kerana sikap terlalu mementingkan diri sendiri sahaja sehingga tidak melihat pentingnya untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan seperti penjarakan selamat dan pemakaian pelitup.

Semua langkah keselamatan ini memang bukan untuk perlindungan diri sendiri daripada dijangkiti tetapi untuk melindungi orang lain sekiranya kita menjadi punca penyebaran virus tanpa disedari.

Sebenarnya seperti yang ditunjukkan oleh krisis covid sejauh ini, ia memanglah bukan masalah kesihatan semata-mata.

Lebih penting lagi ia adalah juga masalah nilai dan moral bagi sesetengah kumpulan atau golongan manusia yang enggan meletakkan keutamaan orang lain lebih atas daripada kepentingan mereka sendiri.

MASALAH SERIUS

Seperti yang berlaku di sesetengah negara, terutama sekali di Amerika Syarikat di mana masih ada ratusan ribu, malah jutaan orang yang kurang yakin bahawa pandemik covid adalah masalah kesihatan yang serius.

(Gambar: Reuters)

Dengan kemunculan vaksin-vaksin baru pula apakah ini bakal menyebabkan lebih ramai lagi orang mengambil ringan terhadap pandemik ini dan sekali gus mengancam keberkesanan langkah-langkah mencegah penularan wabak?

Perkara begini sememangnyalah sudah pun diambil kira oleh kebanyakan pemerintah sedang mereka bertungkus lumus melaksanakan satu demi satu langkah kawalan dari semasa ke semasa.

Selepas hampir setahun negara-negara di dunia berlumba dengan masa untuk mencegah penularan dan pada masa menangani pelbagai cabaran kesihatan dan kesan-kesan sosial dan ekonomi, tentunya banyak sudah dipelajari berhubung dengan pandemik ini.

PENCEGAHAN BERKESAN

Antaranya adalah pencegahan berkesan tetap merupakan langkah yang jauh lebih penting daripada menangani masalah kesihatan yang sudah pun berlaku.

Tanpa pencegahan berkesan masalah kesihatan akan bertumbuh buruk, dengan bilangan pesakit akan bertambah ramai dan kemungkinan berlakunya lebih banyak kematian adalah besar sekali.

Penemuan vaksin untuk COVID-19  hanyalah satu sahaja kejayaan awal yang penting dalam saingan dunia untuk menghapuskan pandemik virus korona ini.

Seperti kerap kita diingatkan oleh para pemimpin tempatan dan juga dunia amnya, ia hanyalah satu permulaan baru yang penting sedangkan pandemik itu sendiri bakal memerlukan satu atau dua tahun lagi untuk dibasmi sepenuhnya.

Bagi negara-negara yang sudah bersedia untuk memperolehi vaksin,  mereka bolehlah berasa beruntung dengan kemungkinan rakyatnya dapat diberikan suntikan seawal-awal lewat tahun ini atau awal tahun depan.

SAINGAN SENGIT

Usaha untuk menghasilkan vaksin tersebut melibatkan saingan yang amat sengit dalam kalangan sesetengah negara, sama sengitnya dengan usaha untuk mendapatkannya bagi negara-negara yang memerlukan.

Hakikatnya adalah sekiranya saingan pengeluaran dan pengagihan tidak dapat diuruskan dengan baik terdapat kemungkinan ada negara-negara yang tidak berpeluang langsung untuk mendapatkan bekalan awal.

Pengumuman Singapura bahawa ia telah pun menjalin perjanjian untuk memperoleh sejumlah besar bekalan awal vaksinnya adalah langkah penting demi mengelakkan negara ketinggalan dalam mendapatkan bekalan.

Ia adalah langkah bijak yang bukan sahaja dapat memberi jaminan kepada rakyat bahawa kita bakal menerima  bekalan yang diperlukan.

(Gambar: Reuters)

Seperti yang dilaporkan dalam media,  bagi sesetengah negara terutama dalam kalangan negara-negara miskin, terdapat kemungkinan bekalan vaksin untuk mereka tidak dapat dipastikan secukupnya.

PERANCANGAN TELITI

Dengan negara-negara yang lebih maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Kanada telah pun memastikan tempahan masing-masing, harga vaksin yang tinggi dan ketidakpastian tentang bekalan secukupnya meletakkan banyak negara ‘kurang berkemampuan’ dalam keadaan tidak menentu di tengah-tengah usaha hebat mereka untuk menangani pandemik covid.

Kebanyakan negara sedemikian dilaporkan terpaksa mencari vaksin alternatif kerana khuatir sekiranya bekalan tidak sampai kepada mereka, memandangkan negara-negara yang lebih kaya sudah pun membuat tempahan lebih awal.

Sejak dari mula lagi apabila jangkitan virus korona mula menular, negara yang cepat memahami bahawa ia bakal menjadi krisis kesihatan yang besar akan terlebih dahulu membuat perancangan teliti tentang bagaimana penularan ini dapat diatasi.

Dengan pandemik covid kini memasuki tahapnya yang baru dengan penemuan vaksinnya yang berkesan, perancangan teliti seterusnya adalah bagaimana memastikan penawar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Tentunya perancangan itu termasuk juga memastikan bahawa rakyat tidak tersalah anggapan bahawa masalah pandemik ini bakal berakhir segera dan semuanya akan kembali kepada keadaan sedia kala yang lalu.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan