Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Vaksin sebagai benteng penting perkukuh daya tahan bersama

Penghasilan dan pengagihan vaksin sudah pun satu cabaran yang amat berat. Jangan pula ia dihambat dengan sikap yang memperlekehkan langkah vaksinasi besar-besaran.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Vaksin sebagai benteng penting perkukuh daya tahan bersama

Ketibaan kiriman pertama vaksin COVID-19 di S'pura pada 21 Dis.

Ketibaan bekalan pertama vaksin COVID-19 untuk Singapura awal minggu ini membuka lembaran baru dalam perjuangan negara melawan pandemik virus korona.

Kiriman pertama itu diterima sedang Singapura membuat persiapan bagi tahap ketiga ‘pembukaan semula kehidupan’ mulai 28 Dis ini, dengan lebih banyak kelonggaran sekatan boleh dijangkakan.

Ketibaan vaksin dan tahap ketiga pembukaan semula berlaku sedang situasi pandemik memberikan gambaran yang bercampur baur bukan sahaja di sini tetapi juga di luar negara.

Di Singapura, situasi covid masih amat terkawal walaupun mungkin ada satu, dua kes jangkitan dalam kalangan masyarakat; tetapi di negara-negara lain,  COVID-19 agak ‘mengganas’ dengan kes-kes jangkitan meningkat dengan mendadak di sana sini.

Pekerja kesihatan di UK memakai pelitup dan pelindung wajah di tengah COVID-19 (Gambar: Hannah McKay/AFP)

Ditambah pula dengan kemunculan ‘jenis’ baru virus COVID-19 di Britain yang dilaporkan lebih mudah dijangkiti berbanding dengan jenis yang ada sekarang

Lantas semua ini mencetuskan sekali lagi pelbagai keadaan kelam kabut di seluruh dunia mengakibatkan penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.

BELUM MUKTAMAD

Inilah prospek yang dihadapi dunia sedang kita di ambang tahun baharu 2021 dan dalam kita melangkah ke ulang tahun pertama pandemik COVID-19, yakni pandemik terbesar dalam sejarah dunia sejak lebih seratus tahun lalu.

Dari segi apa skala sekalipun – kesihatan, ekonomi, pekerjaan, sosial – terlalu banyak kesan mendadak telah dicetuskan oleh pandemik ini, sehingga impak jangka panjangnya masih lagi dalam perkiraan belum muktamad oleh pakar-pakar dunia.

(Gambar: Reuters)

Menurut anggaran ramai pakar sekiranya vaksin yang berjaya dihasilkan sejauh ini (baik keluaran Pfizer-BioNTech, Moderna, Oxford/AstraZeneca), dapat diagih secepat mungkin ke seluruh dunia, ini semua tetap memerlukan sehingga setahun untuk berlaku.

Berbanding dengan cabaran-cabaran pandemik sebelum ini, kejayaan dunia menghasilkan vaksin yang berkesan dalam tempoh kurang setahun tetap merupakan kejayaan besar bagi kemanusiaan.

BERTUNGKUS LUMUS

Ia adalah proses yang melibatkan satu perlumbaan yang agak sengit dalam kalangan puluhan syarikat perubatan, baik yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan vaksin dan keperluan berkaitannya.

Memandangkan ia adalah proses yang melibatkan perbelanjaan yang cukup besar, tidak mungkin syarikat-syarikat gergasi seperti Pfizer atau Johnson & Johnson mahu menyertai perlumbaan ini, tanpa jaminan bahawa mereka boleh meraih keuntungan jika semua usaha mereka berjaya.

Hasil sokongan daripada beberapa negara kaya yang menyediakan pelbagai geran dan bantuan telah mendorong firma-firma ini sedia bertungkus lumus dalam menghasilkan vaksin masing-masing.

Di Amerika Syarikat, program pemerintah yang dipanggil Operation Warp Speed menyediakan sekitar 12 bilion dolar Amerika kepada firma-firma farmaseutikal (termasuk Moderna, Novavax, Johnson & Johnson dan AstraZeneca) untuk membuat penyelidikan dan penghasilan vaksin.

Pengeluar vaksin berkesan yang pertama, Pfizer-BioNTech mungkin tidak menerima dana daripada pemerintah Amerika Syarikat, tetapi projeknya tetap disokong dengan dana setengah bilion dolar daripada pemerintah Jerman.

MEMPERCEPAT PENGHASILAN

Bantuan dan pendanaan berbilion dolar inillah telah membantu syarikat-syarikat berkenaan akhirnya berjaya mempercepatkan penghasilan vaksin covid daripada tempoh beberapa tahun kepada kurang setahun sahaja.

Kalau penghasilan vaksin yang berkesan merupakan antara cabaran paling utama dalam melawan pandemik covid, rintangan seterusnya pula melibatkan persoalan bagaimana ia  dapat diagih dan disalurkan dengan sama berkesannya.

Negara sebesar Amerika Syarikat dengan tempahan melibatkan beberapa bilion dolar untuk kiriman sehingga 600 juta dose suntikan, tentunya memerlukan tempoh waktu yang lama bagi menyelesaikan semua kirimannya.

Malah, bagi negara kecil seperti Singapura, dengan jumlah penduduk sekitar 60 kali lebih kecil daripada Amerika dan dengan belanja tempahan lebih sebilion dolar, akan hanya dapat memenuhi semua keperluan bekalan vaksinnya pada suku ketiga tahun hadapan.

Menurut pakar-pakar semua keperluan  logistik untuk menghasil, menghantar dan menyimpan vaksin yang dihasilkan melibatkan cabaran logistik yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

SEBERAPA CEPAT MUNGKIN

Keperluan logistik untuk mengirimkan sejumlah besar vaksin seperti COVID-19 yang diisi dalam jutaan botol kecil (vial), biasanya boleh disiapkan dalam tempoh lima atau enam tahun.  Kali ini ia perlu disegerakan seberapa cepat yang mungkin.

Ini termasuklah keperluan mencari bahan-bahan kimia yang diperlukan, kilang-kilang yang boleh menghasilkan cecair vaksin tersebut, ruang-ruang penyimpanan vaksin dan sistem pengangkutan kiriman yang boleh dipercayai.

Dua  vaksin utama sejauh ini, Pfizer/BioNTech perlu disimpan di bawah -70 darjah selsius sementara Moderna, memerlukan tempat penyimpanan di bawah -20 darjah selsius dengan tempoh simpanan tidak lama daripada enam bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, sebelum ini telah pun memberi amaran bahawa biasanya sehingga 50 peratus vaksin terbuang begitu sahaja di seluruh dunia kerana kegagalan dalam memastikan prasarana logistik yang secukupnya.

(Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

BAHAYA TERBUANG 

Setelah banyak usaha dan kepakaran dibelanjakan untuk menghasilkan vaksin covid ini, tentunya kita tidak akan membiarkan ia ‘terbazir’ dengan begitu sahaja kerana kesilapan dalam penghantaran dan penyimpanan.

Ia akan terbuang dan dibazirkan bukan sahaja kerana kesilapan dan kelemahan logistik, tetapi juga kerana satu masalah manusia – masalah sikap yang memperlekehkan segala usaha di sebalik pencarian dan penghasilan vaksin ini.

Antara lain ia adalah sikap yang tidak percaya bahawa pandemik covid ini adalah benar-benar satu masalah yang serius.

Kalau pun serius, mereka masih menyangsikan bahawa vaksin yang dihasilkan sekarang benar-benar berkesan.

Satu dos vaksin BioNTech dan Pfizer diberikan. (Gambar: BioNTech/Reuters)

Terdapat juga sekumpulan manusia yang meragui pengambilan apa sahaja jenis vaksin kerana bimbang tentang kesan-kesan sampingan dari segi kesihatan.

Ada juga yang mencurigainya atas dasar fahaman agama dan kepercayaan masing-masing.

PENERIMAAN RAMAI

Memamdangkan penerimaan orang ramai adalah sama pentingnya dengan usaha-usaha pencegahan yang lain, ia juga usaha yang memerlukan kepakaran;  terutama sekali kepakaran dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan cukup menyakinkan.

Oleh itu seperti banyak usaha lain dalam mencegah penularan pandemik ini, ia juga melibatkan seberapa banyak kerjasama yang rapat antara individu, masyarakat dan negara.

Sekurang-kurangnya kerjasama rapat ini dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk turut bersedia tampil ke hadapan bagi mendapatkan suntikan vaksin masing-masing apabila sudah tiba giliran berbuat demikian.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan