Images
  • Haniff Hassan
    Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)

KOMENTAR: Usaha pupuk persefahaman agama keperluan genting bukan satu pilihan

BERITAMediacorp: Mengapa dialog antara agama kini harus dianggap sebagai satu keperluan? Bukan setakat keperluan ringan, tetapi suatu keperluan dari sudut sosial, agama dan tradisi bagi masyarakat Muslim di Singapura.

Demikian pandangan Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan dalam artikel KOMENTAR beliau untuk BERITAMediacorp ini. Pendeknya, pakar pengganasan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) itu berasa masyarakat Muslim bukan setakat perlu menyertai dialog antara agama, malah harus bersikap proaktif dalam mendalami pengetahuan tentang bidang tersebut. Ini hujah-hujah beliau: 

Sesiapa yang faham prinsip dakwah Islam akan akui bahawa Islam tidak mensasarkan untuk menjadikan semua manusia Muslim kerana ia sesuatu yang menyalahi banyak firman Allah Taala dalam Al-Quran... - Ustaz Dr Haniff Hassan

KEPERLUAN SOSIAL

Muslim di Singapura hidup dalam masyarakat majmuk. Dalam masyarakat seperti ini, interaksi dengan masyarakat berlainan kaum, agama dan pemikiran adalah sesuatu yang tidak terelak.

Perbezaan ini semakin berpengaruh dalam kehidupan hari ini dan akan datang disebabkan oleh teknologi infokom yang menjadikan manusia semakin terbuka pada dunia luar dan pelbagai maklumat.

Kewujudan kepelbagaian dan pendedahan padanya boleh memberi kesan positif - memperkayakan sumber dan peluang untuk membangun diri dan masyarakat.

Ia juga boleh membawa kesan negatif - menjadi sebab bagi konflik dan ketegangan antara kaum dan pemeluk agama. Oleh itu, kepelbagaian bukan hanya sesuatu yang perlu dimanfaatkan. Ia juga perlu diurus dengan baik bagi merendahkan risiko dari kesan negatif.

Salah satu cara untuk mengurus kepelbagaian ini agar ia menatijahkan yang positif ialah membina kefahaman antara pelbagai pihak yang berbeza.

SIKAP SALING MEMAHAMI

Oleh kerana agama merupakan salah satu faktor pembeza penting dalam masyakarat Singapura, pembinaan sikap saling memahami dan meyakini antara pemeluk agama yang berbeza adalah penting dan berdialog merupakan wasilah penting juga.

Kepelbagaian memang satu yang lumrah dan alami. Namun, kehidupan harmoni bersama kepelbagaian bukan sesuatu yang datang secara semula jadi pada diri manusia.

Usaha keras diperlukan untuk memupuknya dan perlu juga usaha keras untuk tangkis cabaran dari segolongan manusia yang menolak kepelbagaian dan perbezaan. Golongan ini hanya mahu orang lain menjadi seperti mereka dan membenci apa yang berbeza.

MENYEMAI KEBENCIAN

Lahir dari mereka ini pemikiran-pemikiran yang menyemai kebencian terhadap yang berbeza hingga lahir pula tingkah laku untuk memaksa orang lain menuruti mereka.

Ada pula yang mengabsahkan kekerasan dan kezaliman dengan menggunakan alasan agama, kaum, watan dan ideologi. Contoh dalam hal ini ialah aliran pemikiran bersifat Islamofobia, ideologi kumpulan ISIS/Al-Qaeda dan fahaman anti-warga asing.

Mereka yang khuatir akan agamanya tidak perlu terlibat dalam usaha ini, tapi jangan berprejudis terhadap mereka yang melibatkan diri dalamnya kerana mungkin sahaja niatnya baik dan dia ada keupayaan memelihara agamanya... -  Ustaz Dr Haniff Hassan

Dengan peningkatan arus pemikiran yang tidak toleran dengan perbezaan (termasuk perbezaan agama) kerana dipermudahkan oleh teknologi infokom, usaha memupuk persefahaman antara pemeluk agama melalui dialog dan interaksi sosial menjadi keperluan yang genting, bukan pilihan.

KEPERLUAN AGAMA

Islam bukan hanya membenarkan usaha dialog antara agama, ia bahkan menggalakkannya. Keharusan dan anjuran ini wujud dalam Al-Quran. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang berbicara langsung kepada Ahli Kitab (3:64, 4:171).

Bahkan terdapat ayat yang jelas menganjurkan dialog bersama antara Muslim dan pemeluk agama lain (3:64, 16:125, 29:46) dan memerintah pula Rasulullah s.a.w untuk melakukan dialog dengan pemeluk agama lain untuk memastikan kebenaran yang diterimanya (10:94).

Walaupun Al-Quran mengguna perkataan “jidal” yang pada umumnya memberi makna berdebat, ia bukanlah bermaksud perdebatan sebagaimana yang disaksikan dalam pertandingan debat atau dalam arena politik yang diwarnai dengan ketegangan dan pertentangan.

Hal ini kerana Allah taala menganjurkan “jidal” dalam ayat-ayat berkenaan dilakukan dengan cara yang paling baik.

Atas dasar ini, yang lebih tepat bagi maksud “jidal” ialah berdialog, sejajar dengan semangat yang terkandung dalam ayat Al-Quran yang ajak Muslim untuk utamakan titik persamaan (3:64) apabila berinteraksi dengan pemeluk agama lain.

Dari segi amalan Rasulullah s.a.w, terdapat banyak laporan hadis dan sejarah tentang dialog beliau s.a.w dengan pemeluk agama lain tentang kepercayan masing-masing.

DIALOG DAN BERTUKAR MAKLUMAT 

Yang paling popular ialah dialog Rasulullah s.a.w dengan delegasi pemimpin agama Kristian dari Najran yang datang ke Madinah semata-mata untuk berdialog dan bertukar-tukar maklumat tentang kepercayaan masing-masing. Dialog ini berakhir dengan delegasi itu kembali ke tempat mereka tanpa memeluk agama Islam.

Jika dikaitkan pula ayat-ayat Al-Quran yang menganjurkan dialog antara agama dengan ayat-ayat yang menganjurkan umat Islam melakukan dakwah, dapat disimpulkan bahawa berdialog dengan bukan Muslim adalah salah satu kaedah dakwah yang dianjurkan.

Dinilai dari penggunaan kata kerja perintah (fi`il amr) dalam ayat-ayat berkaitan dialog antara agama, kaedah dialog adalah satu kaedah yang sangat dicadangkan bagi menyebarkan kefahaman tentang Islam kepada pemeluk agama lain.

KEPERLUAN TRADISI 

Dialog antara agama adalah sebahagian dari tradisi dan sejarah dakwah Singapura.

Maulana Abdul Aleem Siddique, seorang tokoh agama yang dihormati, bukan hanya aktif mengajar agama di kalangan masyarakat Islam tetapi juga aktif mendakwahkannya di kalangan bukan Muslim.

Antara legasi beliau dalam dakwah ialah penubuhan Jamiyah yang nama asalnya ialah Jam`iyah Al-Da`wah Al-Islamiyah atau dalam Bahasa Melayunya ialah Pertubuhan Dakwah Islamiyah Singapura, dan penubuhan Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Dialog antara agama memang boleh dimanipulasi oleh sesiapa tapi ia juga boleh dimanfaatkan untuk kebaikan oleh sesiapa yang mempunyai tujuan yang baik. Ia bergantung pada individu itu sendiri dan pihak yang menganjurkannya.  -  Ustaz Dr Haniff Hassan

IRO adalah sebuah badan yang berperanan menggalak usaha dialog dan bina jembatan antara pelbagai agama di Singapura, dengan tujuan utama membina sikap saling memahami antara pemeluk pelbagai agama agar dapat hidup bersama secara harmoni bersama.

Kedua-dua badan ini masih wujud dan aktif memberi sumbangan kepada Singapura. Duduk di bawah IRO kini, wakil-wakil dari 10 agama utama yang wujud di Singapura. Sekali imbas orang tidak akan sangka bahawa IRO adalah satu badan yang ditubuhkan oleh seorang ulama, tapi itulah hakikatnya.

JAMBATAN ANTARA AGAMA

Ini berlaku tidak lain kerana keyakinan pengasasanya bahawa usaha dialog dan membina jambatan antara agama sedemikian adalah sesuatu yang sah di sisi agama.

Dengan menubuhkan IRO dan Jamiyah, Maulana Abdul Aleem meninggalkan legasi yang membuat kaitan rapat antara Islam dengan dialog antara agama dan antara dakwah dan dialog antara agama yang bersifat lunak, mesra dan menjurus pada perkongsian fahaman agama tanpa perlu menukar akidah seseorang.

Apa yang dilakukan oleh Maulana Abdul Aleem ini wajar diakui sebagai tradisi setempat dan perlu dipelihara oleh generasi seterusnya.

Oleh itu, pelibatan aktif Muslim dalam dialog antara agama bukanlah sesuatu yang baru atau reaktif pada perkembangan semasa atau mengikut-ikut Barat. Yang sebenarnya ia adalah penerusan dan pelestarian tradisi seorang tokoh agama yang ulung dan bervisi jauh.

JAWAPAN KEPADA YANG RAGU-RAGU

Terdapat suara-suara yang mempersoalkan pelibatan Muslim dalam usaha dialog antara agama. Sebahagian persoalan ini telah dijawap di atas tadi seperti persoalan keharusan dialog antara agama di sisi Islam dan dakwaan bahawa dialog antara agama adalah satu bentuk menuruti pengaruh Barat.

Ada banyak persoalan lain yang pastinya tidak dapat dijawab semuanya melalui tulisan yang terhad ruangnya ini. Namun, di bawah ini dikongsi perspektif bagi menjawab dua persoalan yang ada.

Pertama ialah dakwaan bahawa dialog antara agama tidak sejajar dengan anjuran berdakwah untuk mengajak manusia memeluk Islam kerana aturan dan objektif umum yang disepakati dalam bidang ini ialah untuk saling memahami dan menghormati kepercayaan lain, bukan untuk menukar akidah pesertanya.

Dakwaan bahawa aturan dan objektik sedemikian tidak sejajar dengan anjuran dakwah dalam Islam tidaklah tepat.

BUKAN SATU-SATUNYA OBJEKTIF

Mengajak bukan Muslim menjadi Muslim memang satu objektif dakwah tapi ia bukan satu-satunya objektif. Termasuk dalam objektif dakwah ialah untuk memahamkan bukan Muslim ajaran Islam sebenar hingga dengan itu dia tidak memusuhi atau membenci Islam.

Sesiapa yang faham prinsip dakwah Islam akan akui bahawa Islam tidak mensasarkan untuk menjadikan semua manusia Muslim kerana ia sesuatu yang menyalahi banyak firman Allah taala dalam Al-Quran (5:48, 11:118-9, 16:93, 42:8).

Pastinya mereka yang mahu kekal bukan Muslim tetapi bersikap mesra dan tidak memusuhi Islam itu lebih baik dari yang sebaliknya, apatah lagi mereka yang mahu membantu Islam seperti Abu Talib.

Golongan ini wujud sepanjang zaman dan perlu dicari, didekati dan dipupuk. Maka berdialog tanpa menyasarkan subjek dialog menjadi Muslim mempunyai peranan penting dalam dakwah dan menyumbang pada maslahat dakwah, bukan sebaliknya.

Selain itu, dialog antara agama bukan dicadangkan sebagai satu-satunya wasilah mendekati bukan Muslim. Pendekatan-pendekatan dakwah lain perlu diteruskan seiring dengannya. Ertinya, jika seseorang yang ingin mencebur dialog antara agama, tidak perlu atau jangan menceburinya untuk menukar akidah orang lain ke Islam.

BIDANG DAKWAH LAIN

Jika ingin melakukan yang seperti itu, hendaklah ceburi bidang dakwah lain tanpa perlu mempersoalkan usaha dialog antara agama. Ini boleh diibaratkan seperti seorang yang ingin bersukan. Dia mempunyai banyak pilihan.

Jika dia ingin bersukan bolasepak, hendaklah ikut peraturan yang sesuai seperti tidak boleh guna tangan untuk menjaring gol, atau menyondol pemain lain untuk merebut bola. Jika tidak, pilihlah sukan lain tanpa perlu mencela suka bolasepak.

Kedua ialah dialog antara agama adalah satu helah yang dirancang bukan Muslim untuk memesongkan Muslim ke agama lain atau paling kurang untuk “mencairkan” akidah Muslim melalui penyerapan secara halus fahaman-fahaman yang salah di sisi Islam.

Muslim yang terlibat akan secara perlahan-lahan dan halus dipengaruhi hingga kemudiannya menukar agama atau, paling kurang, memahami dan amalkan Islam sejajar dengan selera bukan Muslim. Jawapan bagi dakwaan ini ialah ia satu kemungkinan yang tidak ditolak.

Namun sama ada usaha ini harus di sisi agama tidak ditentukan pada dasarnya oleh kewujudan golongan yang berniat jahat seperti itu. Di atas telah dinyatakan dalil dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang mengharuskan dialog antara agama.

DIALOG BOLEH DIMANFAATKAN

Dialog antara agama memang boleh dimanipulasi oleh sesiapa tapi ia juga boleh dimanfaatkan untuk kebaikan oleh sesiapa yang mempunyai tujuan yang baik. Ia bergantung pada individu itu sendiri dan pihak yang menganjurkannya.

Oleh itu juga, sikap yang betul adalah untuk mengamalkan pemikiran yang kritikal dan tidak naif apabila terlibat dalam dialog antara agama agar tipu daya dan helah golongan yang ingin mengambil kesempatan dapat dielakkan, bukan menolaknya sama sekali.

Pelibatan golongan berniat jahat, bukan bermakna Muslim harus menjauhi dialog antara agama secara keseluruhan. Sebaliknya anjuran kuat Al-Quran untuk berdialog dengan pemeluk agama lain sepatutnya mendorong Muslim untuk berinisatif sendiri bagi mencorak usaha ini sesuai dengan tujuan-tujuan murni sebagaimana yang dicontohkan oleh Maulana Abdul Aleem Siddique.

Mereka yang khuatir akan agamanya tidak perlu terlibat dalam usaha ini, tapi jangan berprejudis terhadap mereka yang melibatkan diri dalamnya kerana mungkin sahaja niatnya baik dan dia ada keupayaan memelihara agamanya.

WAJAR MELIBATKAN DIRI

Hari ini terdapat projek besar dialog antara agama yang diusahakan oleh tokoh-tokoh dan ulama Islam, iaitu projek A Common Word (http://www.acommonword.com/ ) yang dilancarkan di Amman dengan sokongan kerajaan Jordan dan menjurus pada dialog atas dasar persamaan antara Islam, Kristian dan Yahudi.

Apabila dilancarkan, projek ini mengeluarkan satu perisytiharan A Common Word Between Us and You yang ditandatangani, sekali gus bukti sokongan terhadapnya, oleh lebih dari 400 tokoh-tokoh Muslim yang meliputi ratusan ulama yang tersohor yang kewibawaan mereka diakui oleh umat Islam di merata dunia.

Adakah ulama ini tidak tahu, jika dialog antara agama itu salah di sisi agama? Adakah mereka telah mencairkan pegangan agama mereka? Adakah mereka ini hanya menturuti kehendak bukan Muslim atau telah ditipu oleh mereka?

Memandangkan keperluan dari segi sosial, agama dan tradisi, Muslim Singapura wajar melibatkan diri dalam bidang ini setelah memahami selok beloknya dengan baik. Projek A Common Word di atas yang direstui oleh ramai ulama juga boleh dijadikan contoh dan motivasi bagi kalangan yang berminat.

MENGENAI PENULIS:

Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. 

- BERITAMediacorp/nk

Top