Images
  • Komentar main
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

KOMENTAR: Usaha ke arah menggalak masyarakat mobiliti aktif penuh cabaran tetapi boleh dicapai

BERITAmediacorp: Idea mobiliti aktif memang menimbulkan banyak cabaran tetapi ia boleh dicapai menerusi pendidikan dan sikap tidak mementingkan diri sendiri sahaja.

Mobiliti aktif adalah sesuatu yang baru bagi kebanyakan daripada kita di Singapura ini. Ia berkaitan dengan keupayaan untuk bergerak bebas dan selamat, tentang kehidupan yang mesra alam sekitar dan berdaya mampan serta gaya hidup aktif dan sihat, sedang kita semakin menua.

Konsep ini penting dan perlu, khususnya bagi sebuah negara kecil seperti Singapura supaya pembangunan berterusan negara kita, untuk memenuhi jumlah penduduk yang kian meningkat, tidak akan menjejas sekitaran kita. Sebaliknya, kekal sesuai dan selesa untuk didiami.


(Gambar: LTA)

Rangka tindakan Mobiliti Aktif dilakar oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) serta agensi-agensi pemerintah yang lain. Ia merangkumi visi Walk Cycle Ride bagi menggalak masyarakat supaya menaiki pengangkutan alternatif untuk terus bergerak dan aktif sedang kita berusaha merealisasikan visi sebuah bandar yang tidak terlalu bergantung kepada kereta.

Ini bukan setakat menjadi sebuah bandar yang mesra berbasikal, yang sudah dibayangkan sejak 15 tahun lalu. Malah, ia perlu memenuhi keperluan pelbagai jenis peralatan yang berbeza seperti PMD, PMA, basikal, kerusi roda dan untuk mereka yang berjalan kaki dan sebagainya.

BERKONGSI LALUAN

Lantaran itu, pembangunan prasarana masa depan perlu menimbangkan jenis-jenis peralatan, keperluan dan kemahuan para penggunanya serta bagaimana mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ini sekaligus menjadikan mobiliti aktif proses yang kompleks dalam kehidupan seharian kita.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat bandar-bandar baru seperti Punggol dan Sengkang yang disediakan lebih banyak laluan berbasikal atau laluan yang dikongsi bersama serta laluan pejalan kaki yang lebih luas bagi memenuhi lebih banyak kegiatan mobiliti aktif.

Bandar-bandar matang seperti Tampines dan Ang Mo Kio juga dinaik taraf dengan ruang-ruang yang boleh dikongsi bersama, laluan pejalan kaki pula diperluaskan atau laluan berasingan disediakan bagi basikal untuk memenuhi kegiatan-kegiatan sedemikian.


(Gambar: URA)

LTA juga sudah mengumumkan bahawa lebih banyak laluan berbasikal akan dibina di Woodlands, Choa Chu Kang dan Toa Payoh dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bagi memudahkan perjalanan antara bandar dan menyediakan penghubung laluan berbasikal di Geylang dan Queenstown, menghubungkan laluan PCN dan laluan berbasikal sedia ada bagi ketersambungan yang lebih baik dari bandar-bandar ini ke kawasan-kawasan CBD.

Secara ideal, kita seharusnya mempunyai prasarana berbeza yang dapat memenuhi keperluan para pengguna yang juga berbeza-beza. Ini bagi mengurangkan konflik antara para pengguna, khususnya di negara yang maju dan ramai penduduk seperti Singapura.

PERLU ADA KESEIMBANGAN

Hakikatnya, keterbatasan tanah di Singapura tidak dapat memperuntukkan prasarana khusus untuk pengguna yang berbeza-beza dan sukar untuk terus mengembangkan prasarana-prasarana sedia ada atau membina yang baru. Ini merumitkan lagi mobiliti aktif yang sudah sedia kompleks.


Memburukkan lagi keadaan, ia juga hampir mustahil untuk mengasingkan trafik kenderaan dan pengguna peralatan mobiliti di negara yang tanahnya terhad seperti negara kita ini. Seperti kebanyakan perkara dalam hidup, kadangkala kita meraih sesuatu, kadangkala kita kerugian sesuatu yang lain.

Maka itu, mesti ada keseimbangan antara apa yang kita mahukan dengan apa yang kita perlukan. Sebarang keputusan yang dibuat untuk menghuraikan satu-satu masalah mungkin boleh menimbulkan suatu isu atau cabaran yang lain pula.

TUGAS BERAT DAN PENTING

Salah satu cabaran yang dihadapi adalah ketiadaan sumber semula jadi selain daripada tanah yang terbatas. Oleh itu, ekonomi kita amat bergantung kepada sektor pelancongan, import, eksport atau perniagaan-perniagaan yang melakukan pemindahan (ke kapal) serta menganjurkan persidangan dan pameran bertaraf dunia.

Semua perniagaan itu dipacu oleh rangkaian pengangkutan dan prasarana yang intensif (darat, udara dan laut) selain dasar-dasar dan tadbir urus yang baik oleh pemerintah.

Disebabkan itu, konsep mobiliti aktif di dalam konteks Singapura perlu merangkumi trafik kenderaan dan sebarang dasar berkaitan mobiliti aktif perlu difikirkan masak-masak dan dikuatkuasakan dengan cekap. Ini supaya bukan sahaja ia boleh bertahan apabila berdepan dengan tekanan dan cabaran yang diharungi negara ini, malah dapat melengkapi dasar-dasar lain juga.

Dalam erti kata lain, keseimbangan antara mewujudkan sekitaran yang baik, sesuai dan boleh didiami dengan kehidupan yang berdaya mampan baik secara fizikal dari segi ekonomi, sekitaran dan persaingan yang perlu dihadapi menjadi satu tugas yang berat dan penting bagi pemerintah.

KEHIDUPAN MOBILITI AKTIF

Sungguhpun demikian, tidak mustahil untuk menggalak kehidupan melalui mobiliti aktif di Singapura. Malah, kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menggalakkannya dan menjadikan Singapura lebih menarik untuk dikunjungi, membuat pelaburan dan didiami.

Perubahan-perubahan prasarana dan perundangan mempunyai keterbatasan memandangkan keadaan unik kita di Singapura seperti yang dinyatakan sebelum ini. Oleh itu, pendidikan kekal menjadi komponen utama dan juga untuk melaksanakan gaya hidup mobiliti aktif. Pendidikan akan mengubah minda masyarakat dan membentuk keperibadian mereka.

Malah dengan minda dan keperibadian yang betul, kita semua boleh hidup di samping satu sama lain dengan aman, bergerak ke sana dan ke mari dengan bebas dan selamat, tidak mengira ada atau tiada prasarananya (purpose build infrastructure).


Kemalangan-kemalangan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan pejalan kaki dan pengguna alat pergerakan atau mobiliti.

Kemudian timbul pula masalah daripada skim-skim basikal sewa sehingga kegagalan syarikat-syarikatnya membuat ramai menuding jari menyalahkan kurangnya prasarana yang betul, kurangnya undang-undang serta tadbir urus atau peraturan.

Malah sebahagian masyarakat juga menyatakan isu-isu ini menjejas usaha kita untuk mengecap visi kurang bergantung kepada kereta dan menggesa pemerintah supaya menimbangkan semula pendiriannya untuk melaksanakan idea-idea mobiliti aktif. Mereka juga menggesa agar penggunaan peralatan-peralatan tertentu diharamkan.

PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Jika kita meneliti punca kemalangan dan insiden-insiden yang berlaku, ia disebabkan kelakuan pengguna peralatan-peralatan tersebut berbanding kurangnya prasarana atau peraturan.

Dari kes-kes menunggang dengan terlalu laju, penggunaan yang tidak betul, amalan-amalan berbahaya dan cuai, meletak basikal-basikal sewa sebarangan dan sebagainya, semuanya menunjukkan perbuatan dan sikap tidak bertanggungjawab para penggunanya.


Individu-individu yang melakukan sesuatu sesuka hati dan mementingkan diri mereka sendiri walaupun mereka melanggar undang-undang, sikap tidak bertimbang rasa terhadap orang lain juga mencetuskan masalah dan ada sebahagian daripadanya mengancam nyawa.

Maka itu, tindakan segera adalah untuk menangani punca sebenar masalah tersebut menerusi pendidikan dalam bentuk Program Penunggang Selamat (Safe Rider Programme) serta pendidikan awam bagi menggalak sikap baik budi.


(Gambar: LTA)

Banyak yang perlu kita pelajari dari segi tanggungjawab sosial dan sikap berbaik budi dan kita harus berusaha untuk mempertingkatkannya menerusi usaha-usaha berterusan bagi mendidik dan mengubah minda masyarakat.

Hanya jika kita boleh menimbangkan kepentingan orang lain sebelum diri kita, menunjukkan sikap belas ihsan dan kebaikan, menghargai apa yang kita ada serta orang sekeliling kita, tidaklah mustahil untuk kita mewujudkan sebuah masyarakat yang baik budi.

Ini sekaligus mempermudahkan usaha merealisasikan idea-idea mobiliti aktif serta mencapai visi bandar yang tidak terlalu bergantung kepada kereta dalam masa yang lebih singkat.

Kita semua boleh hidup harmoni di samping satu sama lain dan bergerak dengan selamat jika kita bersikap terbuka untuk berkongsi tanggungjawab di tempat-tempat awam, berbaik budi dan saling menjaga bagi memastikan semua selamat.

Pada dasarnya, kita semua akan dapat meraih manfaat daripada sekitaran yang lebih bersih, aman dan selamat.

Mengenai Penulis: 


​Komentar ini adalah tulisan Steven Lim dan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga adalah Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP).

- BERITAmediacorp/ai

Top