Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Untuk menjadi bapa yang berkesan perlukan perubahan minda dan usaha gigih

Adakalanya perubahan yang hendak dilakukan memang amat mencabar dan kurang menyelesakan. Apatah ia melibatkan seorang ayah itu mengubah beberapa kepercayaan asas yang dipegang sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Adakalanya perubahan yang hendak dilakukan memang amat mencabar dan kurang menyelesakan. Apatah ia melibatkan seorang ayah itu mengubah beberapa kepercayaan asas yang dipegang sejauh ini.

Dengan perubahan yang berkembang terus yang kita jalani sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan dan pandangan tradisional terhadap banyak hal telah manjadi lapuk.

Ini adalah kerana perubahan yang berterusan itu tadi telah merombak semula pemikiran asas kita dan dengan secara langsung, tahap demi tahap telah mempengaruhi perspektif kita dalam segala segi.

Ini termasuk isu keibubapaan, terutama sekali perihal jangkaan peranan bapa dalam mendidik dan perkembangan diri anak-anak.

Pertubuhan-pertubuhan yang menyokong dan mempromosikan kebapaan aktif telah menyenaraikan bukti faedah-faedah yang ketara akibat pelibatan langsung seorang bapa.

Watak ayah dalam membentuk sifat seorang anak amat penting; seperti pepatah Inggeris “A dad is a daughter’s first love, a son’s first hero.”

CONTOH POSITIF

Dengan adanya contoh positif bukan sahaja dari ibu tetapi juga dari bapa, anak itu tadi akan menerima didikan, kasih sayang dan perhatian yang seimbang.

Ini akan mencegah mereka daripada merasa keliru dengan sesuatu amalan atau corak pemikiran atau prinsip hidup.

Pergaulan antara anak dengan bapanya terutama sekali melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan kerjasama atau pertukaran idea akan mengakibatkan peningkatan keyakinan anak itu tadi.

Gambar hiasan. (Gambar: iStock/global moments)

Sifat ini amat penting bagi menjamin kemajuan dan mengatasi masalah di masa hadapan.

Memang tidak dapat dinafikan, seorang ibu adalah pakar dalam mengasuh anak. Namun begitu, pendapat seorang ibu itu biasanya berdasarkan nilai yang lebih cenderung kepada pemikiran kaum wanita.

Di dalam keluarga yang mendapat pelibatan aktif seorang bapa, anak itu tadi mempunyai sumber pandangan yang berbeza.

TEGAS DAN PENYAYANG

Kestabilan dari segi peribadi, mentaliti dan emosi yang disebabkan oleh kehadiran seorang bapa dalam kehidupan anaknya adalah satu-satu faedah yang amat ketara yang membantu anak itu membesar dengan kemantapan diri secara menyeluruh.

Ketegasan perangai seorang ayah adalah sesuatu yang semula jadi. Kajian-kajian yang djalankan telah mengesahkan bahawa rumah tangga yang mempunyai pelibatan bapa yang aktif membentuk akhlak anak itu menjadi seorang yang berdisiplin.

(Gambar fail: TODAY)

Kebijakan dan kematangan sosial adalah satu kemahiran hidup yang amat penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang bersemangat dan penyayang.

Didikan yang diberikan seorang bapa dari sudut ini begitu meninggalkan kesan yang mendalam kerana pada umumnya, sikap tegas dan sikap penyayang adalah dua konsep yang bercanggah.

Hanya melalui contoh kelakuan dan tindak-tanduk dari seorang yang dianggap serius yang akan dapat menerapkan kualiti ini.

TINGKATKAN PELIBATAN

Pendedahan yang anak-anak zaman sekarang hadapi amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh orang tua mereka di zaman dahulu.

Budaya kongsi bebas di jaringan internet yang sedia ada dan semakin berkembang dengan pesat telah menyerlahkan lagi tahap pemikiran mereka dan menimbulkan kesukaran bagi ibu bapa untuk menjalin hubungan dengan anak-anak mereka.

Ramai bapa "diketepikan" kerana kebiasaan masyarakat. (Gambar hiasan: iStock)

Usaha ini akan menjadi bertambah rumit sekiranya langkah-langkah yang diambil oleh ibu bapa tidak tepat pada sasarannya.

Terutama sekali bagi kaum bapa yang dari awalnya tidak begitu terlibat dengan membesarkan anak mereka.

PERUBAHAN MINDA

Kunci utama bagi seorang bapa yang ingin memainkan peranan lebih besar dalam pelibatan langsung adalah perubahan minda.

Ia perkara yang amat mencabar kerana untuk melaksanakannya memang kurang selesa disebabkan perlunya dia menyoal kembali beberapa kepercayaan asas yang dipegang sebelum ini.

Seorang lelaki berkelah bersama anaknya di sebuah pantai. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Kebanyakan kaum bapa biasa dengan menyerahkan tanggungjawab menjaga anak kepada isteri sambil memerhatikannya.

Justeru, tidak mudah untuk dengan segera bertukar pendirian dan amalan yang sudah sebati itu tadi.

Dengan ketekunan, kesabaran dan keikhlasan untuk memulakan perjalanan ini, perubahan minda boleh dicapai.

KOMUNIKASI EFEKTIF

Salah fahaman sering berlaku apabila pihak berkenaan kurang berkomunikasi. Untuk menjamin perjalanan yang menepati matlamatnya, komunikasi yang efektif perlu memenuhi beberapa perkara.

Antaranya adalah mengamalkan perhubungan terbuka di mana bapa dan anaknya boleh bertukar pengalaman tanpa ragu.

Penting juga untuk bapa dan anak memastikan kekerapan komunikasi yang konsisten kerana ini akan meningkatkan lagi pemahaman antara satu sama lain dan kemesraan anak-beranak.

Perkara yang boleh melumpuhkan usaha baik ini malangnya sering tidak disedari oleh kaum bapa. Mungkin ini kerana sifat mereka yang secara semula jadi ingin menyelesaikan masalah.

Pertanyaan kepada anak-anak semasa bersembang dengan mereka kerap menjadi seperti soal siasat yang menekan, dengan semua perkara hendak diambil kira.

Yang penting untuk diingati, semua pertanyaan itu sebenarnya adalah untuk memahami duduk perkara sesuatu situasi itu.

BERGANDING BAHU

Perjalanan ini tidak mungkin akan berjaya jika si bapa tidak mengatur pentas untuk mempermudahkan anaknya ikut serta dengan rancangannya.

Sekiranya hubungan bapa dan anaknya tidak begitu rapat dari awal, usaha mendekatkan diri ini akan membuat mereka berasa janggal dan kurang senang.

(Gambar hiasan: MariMari1101/Pixabay)

Di sini, suami isteri perlu bekerjasama untuk membiasakan anak mereka dengan kehadiran bapa dalam aktiviti-aktiviti dan urusan seharian.

Kemesraan dan kepercayaan adalah perkara yang tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan. Ia memerlukan usaha gigih dan memakan masa untuk berputik dan berkembang.

PROSES BERTERUSAN

Matlamatnya bukanlah untuk mengurangkan atau menghentikan pelibatan ibu dalam kehidupan anaknya.

(Gambar fail: Reuters)

Ia adalah untuk meningkatkan tahap komitmen bapa untuk memberi anaknya proses pembesaran yang lebih menyeluruh.

Ibu bapa perlu ingat bahawa pembangunan seseorang anak adalah satu proses berterusan (work-in-progress).

Untuk menjangkakan perubahan dalam dinamika kehidupan keluarga dengan sekelip mata adalah satu angan-angan belaka.

Setiap perkara dan cabaran yang dialami sebenarnya memerlukan kesabaran dan ketekunan. Kedua-dua ibu dan bapa mestilah bertekad untuk tidak menyerah kalah sehinggalah tercapai cita-cita ini.

MENGENAI PENULIS:

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan