Images
  • fake news
    (Gambar fail: TODAY)

KOMENTAR: Undang-undang berita palsu – mana yang betul, mana yang batil

BERITAmediacorp: Dengan menghayati rangka undang-undang yang diusul, kita dapat memahami lebih mendalam bagaimana POFMA boleh memainkan peranan dalam mengekang penyebaran maklumat palsu.

Parlimen Singapura bakal membahaskan dalam sidangnya akan datang rang undang-undang baru iaitu Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian, (Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act, POFMA).

Sejauh manakah undang-undang ini dapat mengekang berita palsu dan membanteras ucapan benci di negara kita? Adakah hak berucap dan berpendapat juga akan dibatas? Dan siapakah yang menentukan sesuatu maklumat itu betul atau batil?

Dengan menghayati rangka undang-undang yang diusul, kita dapat memahami secara lebih mendalam bagaimana POFMA boleh memainkan peranan bersama undang-undang Singapura kita yang lain seperti Akta Perbuatan Fitnah (Defamation Act) dan Akta Perlindungan Daripada Gangguan, Protection from Harrassment Act (POHA), demi mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh membawa padah kepada masyarakat kita.

SASARAN POFMA BUKAN PENDAPAT

POFMA bertujuan untuk mengekang penyebaran fakta palsu di Singapura serta menyasar sumber pembiayaan penyebaran tersebut dan membanteras penyalahgunaan ‘bot’ dan akaun online yang tidak tulen. POFMA mengambil pendekatan dua kriteria:
(a) Seseorang tidak boleh melakukan apa-apa perbuatan di dalam atau di luar Singapura untuk menyebarkan kenyataan yang palsu (sama ada dia tahu ia palsu atau dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan itu palsu); dan
(b) Penyebaran tersebut dapat menggugat kepentingan awam kita di Singapura.

Kepentingan awam pula merangkumi hal atau perkara yang boleh:
(a) menjejas keselamatan negara, kesihatan awam, ketenteraman awam atau kewangan awam, hubungan luar negara kita, atau mempengaruhi pilihan raya di Singapura (sama ada pilihan raya umum, Presiden, pilihan raya kecil ataupun referendum),
(b) menghasut perasaan kebencian antara kaum di Singapura,
(c) mengurangkan daya keyakinan orang awam terhadap fungsi Pemerintah, ataupun sebarang lembaga berkanun yang boleh menyebabkan akibat yang parah pada ekonomi negara dan daya keyakinan pelabur.

Dengan ini, melahirkan pendapat semata-mata, tidak salah dalam rangka POFMA. Ia hanya menangani kenyataan palsu (yang dibuat dengan sengaja) yang boleh menggugat kepentingan awam.

Maka itu, tidaklah salah untuk kita bertukar pendapat dan bersuara bagi membuat perubahan yang positif di dalam masyarakat. Tetapi ucapan yang tidak beralaskan fakta yang tulen sama padahnya dengan ucapan yang tiada berbatas.

PERINTAH DALAM POFMA

Jika seseorang disabit kesalahan dalam menyebar kenyataan palsu, dia boleh dikenakan hukuman denda S$50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah korporat pula dendanya S$500,000. Jika akaun online yang tidak tulen atau ‘bot’ digunakan dalam penyebaran tersebut atau jika penyebaran itu menjejas kepentingan awam, pesalah akan dikenakan hukuman yang lebih berat.


Mereka yang sengaja hendak memporak-perandakan masyarakat kita dengan membiayai aktiviti-aktiviti penyebaran maklumat palsu pula (sama ada dari dalam atau luar negara), akan dikenakan hukuman penjara dan denda yang berat. Mahkamah juga ada kuasa mengenakan denda sebanyak jumlah yang mereka terima sebagai bayaran.

Semua ini setimpal kerana perbuatan mereka membawa padah terhadap kepentingan awam negara kita. Dengan membiayai penyebaran maklumat palsu atau menggunakan bot atau akaun online yang tidak tulen, pesalah tersebut dengan sengaja hendak bersembunyi seperti pengecut yang setelah lempar batu sembunyi tangan.

Rangka undang-undang kita memang tidak patut membiarkan mereka terlepas begitu sahaja.

POFMA membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri untuk memberi arahan pencegahan jika kedua-dua kriteria telah berlaku iaitu kenyataan palsu disebarkan dan kenyataan tersebut boleh menggugat kepentingan awam.

Antara arahan yang boleh diberi adalah: (a) Arahan Pembetulan / Correction Direction; (b) Arahan Menghentikan Penyebaran / Stop Communication Direction; dan (c) Arahan Memansuhkan / Disabling Direction.

Arahan Pembetulan boleh dikeluarkan terhadap individu atau syarikat penyedia wadah online atau media sosial tertentu. Ia mengarahkan pihak tersebut supaya meletakkan notis pembetulan bersama dengan pernyataan fakta palsu dan menyiarkan notifikasi tesebut di akhbar atau penerbitan bercetak di Singapura.

Ini penting kerana dengan adanya fakta yang betul bersama fakta yang palsu tersebut, masyarakat boleh mendapatkan maklumat yang sepenuhnya untuk membuat kesimpulan.

Arahan Menghentikan Penyebaran dan Arahan Memansuhkan pula dikenakan bagi perkara yang amat mendesak, untuk menghentikan penyebaran maklumat tersebut ataupun menyekat akses untuk menerima maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, semasa tragedi pengganas di masjid-masjid di Christchurch, New Zealand, pihak pemerintah NZ tidak mempunyai rangka undang-undang yang dapat menyekat penularan video dan manifesto tertulis pengganas tersebut dalam wadah Facebook.


Gambar fail para pegawai polis di New Zealand (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Video tersebut disekat dengan keizinan wadah media sosial berkenaan kerana tidak ada rangka perundangan NZ yang mewajibkan mereka untuk menyekat akses. Walaupun maklumat tersebut bukan palsu, ia berbaur perkauman dan boleh mengakibatkan lebih ramai pengganas atau ekstremis dari kedua-dua belah pihak untuk membalas dendam.

Maka, dengan adanya Arahan Menghentikan Penyebaran dan Arahan Memansuhkan, rangka undang-undang Singapura dapat menghadapi situasi yang sama dengan lebih pantas dan tangkas, sebelum nasi menjadi bubur. Pendekatan kita di Singapura praktikal dan berlandaskan nilai teras masyarakat kita yang berbilang kaum.

MAHKAMAH MENENTUKAN

Jika arahan-arahan yang dikeluarkan melalui POFMA dipatuhi, tiada sekatan jenayah akan dikenakan terhadap pihak tersebut. Namun jika sebarang pihak tidak puas hati dengan arahan tersebut, mereka boleh menghadapkan kes dan merayu kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan bahawa maklumat itu palsu ataupun tidak.

Sementara menunggu mahkamah membuat keputusan, arahan itu akan tetap berkuat kuasa buat sementara waktu supaya tidak lagi memburukkan keadaan.

Dengan adanya peruntukan undang-undang yang jelas, ia memberi laluan untuk mengemukakan rayuan di hadapan Mahkamah Tinggi. POFMA memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk mengetengahkan kes mereka ke muka pengadilan. Pihak kementerian juga harus bersedia mempertahankan sebab arahan-arahan dikeluarkan dan menjelaskan mengapa maklumat atau kenyataan tersebut itu palsu. Di sini, mahkamah akan menentukan jika ia palsu atau tidak; lantas menentukan jika arahan-arahan tersebut betul atau tidak.

Dengan adanya sistem sebegini, kita juga mendapat jaminan bahawa pihak kementerian akan membuat keputusan yang adil dan menyeluruh sebelum mengeluarkan sebarang arahan melalui POFMA kerana ia boleh diteliti oleh pihak mahkamah.

Situasi ini tidaklah berlainan dengan sebarang kes saman malu (defamation) yang dihadapkan ke mahkamah. Sebagai menyangkal tuduhan dalam kes saman malu, seseorang itu boleh membuktikan kenyataan beliau itu benar (justification) atau ia berlandaskan pendapat yang munasabah (fair comment).


Mahkamah akan menentukan bahawa ia benar atau pendapat yang munasabah. Rangka POFMA tidak berlainan dari segi ini. Malah, pendapat, kritikan, satira dan parodi tidak disekat oleh POFMA.

HAK DAN PERLINDUNGAN INDIVIDU

Dalam kita menumpukan perhatian terhadap akibat berita palsu pada negara dan masyarakat, kita juga tidak harus terlepas pandang akan akibatnya terhadap individu-individu yang dijadikan sasaran akibat berita atau maklumat palsu.

Sebagai contoh, Encik Prakash Kumar Hetamsaria, seorang warga Singapura sejak 1999, pernah menjadi mangsa berita palsu apabila gambarnya digunakan oleh sebuah wadah media alternatif di Singapura dan dikaitkan dengan artikel yang berunsur anti-pendatang asing.

Mengikut artikel itu, kononnya beliau ingin mendapatkan balik status kewarganegaraannya yang lama. Akibat berita palsu itu, keluarga beliau menerima pelbagai cemuhan dan gangguan oleh orang yang tidak dikenalinya.

Diluluskan pada tahun 2014, Akta Perlindungan Daripada Gangguan, Protection from Harrassment Act (POHA) menangani gangguan dan kes-kes buli di dunia fizikal dan online. Kini, menyusuli laporan Jawatankuasa Pilihan, POHA juga akan dikemas kini untuk mengetatkan lagi hukuman untuk pelanggaran perintah mahkamah melalui POHA.

Perintah Mengekang Penerbitan (Non-Publication Order) boleh diarahkan mahkamah untuk menghentikan penyiaran kenyataan dan memerintah seseorang itu untuk menjelaskan bahawa kenyataan itu palsu.

Pemerintah juga akan menubuhkan sebuah mahkamah khusus untuk mengendalikan kes-kes POHA.


Kesalahan "doxxing" akan diperkenalkan antara pindaan POHA baru-baru ini. Doxxing melibatkan penerbitan maklumat peribadi (seperti gambar, nombor telefon, atau maklumat pekerjaan) untuk mengganggu atau mengancam mangsa. Kini terdapat peningkatan trend di mana maklumat peribadi individu akan diterbitkan online dengan tujuan untuk mengganggu individu tersebut.

Selalunya, ini dilakukan oleh online vigilantes yang boleh mempengaruhi orang ramai untuk mengecam dan mencemuh mangsa. Situasi ini boleh tercetus akibat maklumat atau berita palsu yang disalahgunakan dan ia boleh membawa padah kepada si mangsa ataupun kaum dan agama mangsa tersebut.

AKIBAT BURUK DI MERATA DUNIA

Pada tahun 2018, ada khabar angin di Sri Lanka bahawa kaum minoriti Muslim cuba memberi pil-pil kepada kaum majoriti Sinhalese supaya mereka tiada zuriat. Sebenarnya, pil itu adalah kandungan tepung saja. Ada pihak yang menggunakan video seorang pekerja restoran Muslim yang tersilap “mengaku” untuk menghasut kaum Sinhalese.

Menyusuli khabar palsu tersebut, banyak masjid yang dibakar dan pengganasan tercetus sehinggakan pemerintah Sri Lanka mengisytiharkan keadaan darurat di negara tersebut.

Berita palsu juga telah mengancam negara-negara jiran kita di ASEAN. Di Indonesia, berita palsu pada 2016 mengenai seorang wanita Cina yang mengadu tentang sebuah masjid dan imam masjid tersebut, telah mencetus rusuhan yang menyebabkan kebakaran 12 kuil dan pelbagai kerosakan.

Di Myanmar pula, ada berita palsu yang menular pada tahun 2014 tentang kes pencabulan maruah oleh dua orang Muslim. Selepas itu, pengganasan berlaku dan masjid-masjid dibakar di Myanmar. Padahal, “mangsa” tersebut sebenarnya dibayar untuk membuat aduan palsu.

Ada banyak lagi contoh di merata dunia di mana berita palsu digunakan untuk menghasut keganasan antara kaum dan agama. Oleh itu, pemerintah-pemerintah dunia dengan sebulat suara meluluskan undang-undang bagi menangani penyiaran dan perkongsian berita dan maklumat palsu.

Perancis pada tahun 2018 meluluskan undang-undang yang menyasar penyiaran berita palsu melalui kaedah digital. Jerman juga kini mempunyai undang-undang untuk mengarahkan pihak rangkaian media sosial untuk mengeluarkan maklumat yang mengandungi kepalsuan. Australia baru-baru ini meluluskan rangka undang-undang yang lebih ketat untuk menangani masalah yang sama.


Singapura tidak boleh ketinggalan. Singapura telah lama membina sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang harmoni dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bekerjasama dalam memelihara cara kehidupan kita bagi generasi akan datang.

Walaupun kita mengalu-alukan rakyat yang mempunyai kepelbagaian dalam pemikiran, berbeza dalam pendapat atau kecenderungan politik, namun teras dan nilai-nilai kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, tidak boleh dikompromi.

Justeru kita tidak boleh membiarkan berita palsu online ataupun khabar angin yang sengaja disebarkan untuk mencapai sesuatu agenda yang boleh memecah-belahkan masyarakat kita. Ucapan online yang berbaur perkauman dan benci tiada tempat di Singapura dan pindaan seperti POFMA dapat melindungi keharmonian kaum kita.

KESIMPULAN DAN PEMERHATIAN

Pada tahun lalu, ketika saya memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan untuk memberi penjelasan kepada hujahan bertulis saya, saya berkongsi kebimbangan masyarakat kita tentang keadaan undang-undang kita yang harus dikemas kini, kepentingan pertahanan sosial dan peranan wadah yang lebih inklusif untuk memupuk pandangan alternatif yang membina masyarakat.

Saya juga menjelaskan bagaimana Islam memberi penekanan terhadap usaha menjaga kebenaran dan menangkis fitnah. Dalam pencerahan tersebut, saya merujuk kembali kepada cara bagaimana Islam, menerusi Al Quran dan Hadis disebarkan melalui masa dan bagaimana ketepatannya dipelihara dan rantaian penyebaran itu tidak terputus, dan dapat diverifikasikan dengan setiap hafiz dan pembawa isnad yang mengesahkan satu sama lain.

Sememangnya sebagai seorang Muslim, kita harus ada sifat mengesahkan sesuatu berita dan tidak menularkan fitnah. Fitnah bukan sahaja dalam menyebarkan sesuatu berita tetapi juga dalam menokok-tambah dan mengapi-apikan keadaan.

Kita harus memupuk dalam masyarakat Islam kita, supaya ada sifat yang bersangka baik dan rajin mengesahkan berita dahulu sebelum “terjun botol”. Mungkin dengan penekanan agama dalam isu ini, ia boleh membantu mengekang penularan berita-berita palsu yang boleh membawa padah kepada negara, masyarakat dan agama kita.

POFMA sebagai rang undang-undang tidak bertujuan untuk menghukum mereka yang tiada niat jahat dan hanya tersilap dalam menyebarkan maklumat atau berita yang tidak diketahui pada masa itu, sebagai berita atau maklumat yang palsu. Namun, ia dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat kita untuk lebih prihatin sebelum mengkhabarkan sesuatu. Oleh itu, tidaklah cukup untuk membanteras fenomena berita palsu ini dengan mengemas kini undang-undang kita.

Kita juga harus kembali kepada jati diri kita sebagai masyarakat yang menitikberatkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan; yang menghargai dan mendambakan keamanan antara semua kaum dan agama di negara kita; dan yang tidak akan mempergadaikan nilai-nilai teras kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum.

Biarlah kita mencerminkan hasrat dan keinginan itu melalui perbuatan dan percakapan kita di alam yang nyata mahupun maya (online):

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.


Mengenai penulis:


Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

- BERITAmediacorp/tq

Top