Images
  • Logo UMNO
    Logo dan slogan UMNO. (Gambar: Vincent Tan)

KOMENTAR: UMNO masih pincang meski bersepakat berdiri atas kaki sendiri

BERITAmediacorp: Di sebalik kata sepakat semasa Perhimpunan Agung UMNO untuk keluar daripada kerajaan PN dalam Pilihan Raya Umum seterusnya, kerapuhan dalaman mungkin menghalang kemenangan.

USAHA UMNO untuk merapatkan barisan anggotanya semasa perhimpunan agungnya baru-baru ini membayangkan masalah-masalah lebih mendalam yang mendahului Pilihan Raya Umum Malaysia seterusnya.

Sepanjang hujung minggu bermula Sabtu (27 Mac), UMNO mengadakan perhimpunan agung tahunannya. Perhimpunan parti politik terbesar dan paling tua di Malaysia itu diadakan dalam format hibrid.

Pucuk pimpinannya serta wakil-wakil dipilih menghadiri mesyuarat itu di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur sementara anggota-anggota lain mengikuti persidangan secara maya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 – yang sudah berkali-kali ditunda akibat larangan COVID-19 – akhirnya dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk dilangsungkan.

Perhimpunan Agung UMNO, parti yang mempunyai lebih 3 juta orang anggota, merupakan perhimpunan parti politik agung yang terbesar di Malaysia.

MENYATUKAN PERWAKILAN

Sejak sekian lama, persidangan itu dijadikan sebagai wadah bagi pemimpin-pemimpin parti untuk menyatupadukan perwakilan dan bagi para anggotanya untuk mengikrarkan taat setia kepada presiden parti.

Format hibird Perhimpunan Agung UMNO terbaru itu melemahkan retorik pidato berapi-api yang sudah menjadi suatu kebiasaan pada persidangan tahun-tahun lalu.

Pencapaian terutama semasa perhimpunan itu ialah kata sepakat perwakilan UMNO berhubung tiga ketetapan penting yang diusulkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Meskipun pemimpin-pemimpin UMNO boleh berbangga dengan hasil sedemikian, masih terdapat faktor-faktor dalaman dan luar yang masih berupaya memporak-perandakan rancangannya menjelang pilihan raya umum ke-15.

ATAS KAKI SENDIRI

Pertama, perwakilan UMNO meluluskan ketetapan bahawa parti itu tidak akan bertanding di bawah naungan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum seterusnya.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengambil pendirian bahawa UMNO perlu dibezakan daripada kerajaan PN sedia ada yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

PN merupakan gabungan parti politik terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam SeMalaysia(PAS), Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah, Parti MajuSabah dan Gerakan.

Pada hakikatnya UMNO bermuka dua – sungguhpun parti itu tidak pernah menyertai PN secara rasmi, 35 anggota parlimennya mendukung PM Muhyiddin sebagai perdana menteri kerajaan PN.

Secara keseluruhannya, 16 AP UMNO memegang jawatan Kabinet.

Memang difahami apabila pucuk pimpinan UMNO mengambil pendirian bahawa parti itu tidak sepatutnya dilayan ibarat ‘adik bongsu’ Bersatu. Sebaliknya UMNO ingin menjadi penentu hala tuju kerajaan seterusnya.

BERBELAH PENDAPAT

Meskipun agenda UMNO selepas pilihan raya diadakan sudah ditetapkan, para AP UMNO berbelah pendapat tentang sama ada mereka patutnya menarik balik sokongan mereka terhadap PN sekarang atau kemudian.

Sesetengah pemimpin UMNO – termasuk Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah – tidak teragak-agak meminta menteri-menteri UMNO supaya meletak jawatan tanpa berlengah-lengah lagi dan jangan menunggu sehingga pilihan raya.

Bahkan sejak sebelum perhimpunan agung lagi, tiga AP UMNO – Tengku Razaleigh, Ahmad Jazlan Yaakub dan Nazri Aziz – menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN. Tengku Razeleigh menggesa menteri-menteri tersebut supaya segera meletak jawatan.

Sebaliknya sebilangan menteri UMNO termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaacob, belum lagi mengulas tentang jadual masa untuk berundur.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa telah menyifatkan gesaan Ahmad Zahid itu sebagai tidak wajar (Ahmad Zahid secara terang-terangan menyifatkan Annuar sebagai “makhluk perosak”.

Khairy kemudian mengusulkan agar pemilihan UMNO diadakan sebelum pilihan raya umum bagi menghuraikan krisis dalaman UMNO.

KERJASAMA DENGAN PAS

Ketetapan kedua adalah bagi UMNO untuk mengutamakan kerjasama dengan PAS di bawah naungan Muafakat Nasional (MN).

UMNO dan PAS, yang pernah berseteru sejak sekian lama, mencapai suatu persefahaman selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Kerjasama ini mendatangkan kemenangan berturut-turut bagi MN dalam pilihan-pilihan raya pada 2019.

Tokoh yang benar-benar memupuk kerjasama itu ialah Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan, yang memangku jawatan presiden antara Disember 2018 hingga Jun 2019 ketika Ahmad Zahid mengambil cuti ketidakhadiran.

Bagi UMNO, gabungan dengan PAS yang berkekalan akan memudahkan pembahagian kerusi parlimen di sebahagian negeri. PAS besar kemungkinan akan kekal berkuasa di negeri-negeri pantai timur, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Lantaran itu, UMNO boleh menumpukan tenaga jentera parti di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak, di mana pengaruh PAS agak lemah.

ISYARAT BERBEZA

Dalam ucapannya, Menteri Besar Johor Hasni Mohamad memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu akan kehilangan pengaruhnya di negeri itu jika ia enggan berpadu tenaga dengan UMNO.

Namun masa depan gabungan UMNO-PAS tidak terletak sepenuhnya dalam tangan UMNO.

Kebelakangan ini PAS menunjukkan isyarat berbeza-beza tentang rancangan masa depannya. PAS berpuas hati dengan jawatan-jawatan yang dipegang para APnya dalam kerajaan PN.

PAS juga menyertai gabungan PN secara rasmi dalam satu langkah yang boleh disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap UMNO.

‘LIHAT DAN TUNGGU LALU’

Sama seperti UMNO, PAS sedang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan politik yang diraih – ia mempunyai 18 AP di Parlimen dengan lapan daripada mereka yang mengisi jawatan Kabinet.

PAS sedang mengambil pendekatan lihat dan tunggu dahulu, dengan meletakkan setapak dalam gabungan MN dan setapak lagi dalam PN.

Tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh bercakap tanpa berlapik apabila beliau menyifatkan PAS sebagai “pelacur politik”. Semasa perhimpunan agung UMNO, kedengaran juga retorik buruk terhadap PAS.

Ini merupakan suatu penghinaan secara terang-terangan memandangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga hadir di persidangan itu.

PARTI SANDARAN UMNO

Satu lagi ketetapan penting adalah untuk menjauhi parti-parti berbilang kaum, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa sebilangan pemimpin UMNO mengadakan perbincangan dengan PKR.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula tidak menafikan bahawa undangan sedemikian berlaku namun beliau menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk membayangkan bahawa terdapat sebarang kerjasama rasmi.

Pastinya, sekiranya pucuk pimpinan UMNO memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR, langkah sedemikian tidak akan dijamin sokongan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

Sehubungan itu, bagi memenangi pilihan raya umum seterusnya, UMNO juga bergantung kepada sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak.

Semasa perhimpunan agung UMNO, perbincangan yang diadakan lebih menitikberatkan jalinan kerjasama di Semenanjung sehinggakan parti-parti rakannya di Malaysia Timur seolah-olah diabaikan.

BERSATU ‘UMNO KEDUA’

Perjalanan yang perlu ditempuh UMNO dari sekarang hingga pilihan raya umum seterusnya bukanlah mudah meskipun para anggotanya menunjukkan perpaduan dan melafazkan taat setia terhadap Ahmad Zahid.

Hala tuju parti itu juga masih bergantung kepada keputusan perbicaraan sebilangan pemimpinnya di mahkamah.

Tambahan pula, ada kemungkinan di mana cukup ramai AP pembangkang yang akan memilih untuk menyokong kerajaan PM Muhyiddin supaya beliau tidak kecundang sekiranya satu undi tidak percaya diusulkan.

UMNO juga mungkin menanggung padahnya di sisi undang-undang jika pihak pendakwa berhasil membuktikan bahawa parti itu adalah penerima terutama dana 1MDB.

Situasi sedemikian mungkin akan merenggangkan lagi perpecahan dalam UMNO.

Yang paling jelas kelihatan, menteri-menteri UMNO setakat berdiam diri semasa perhimpunan agung parti.

Meskipun barisan anggota UMNO bersepakat untuk bersatu padu, tiada sesiapa yang mampu menghalang menteri-menteri itu jika mereka berpaling kepada Bersatu.

Dalam budaya politik ‘lompat parti’ Malaysia, kemungkinan itu bukanlah andaian semata-mata. Pada hakikatnya, Bersatu ialah UMNO kedua.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “UMNO Unites While Bersatu Prevaricates”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

MENGENAI PENULIS:


Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau adalah Ketua Program Masyarakat dan Budaya Rantau Asia Tenggara (RSCS).  

- BERITAmediacorp/nk

Top