Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: UMNO berpaling dari PN - apakah Muhyiddin bertemu jalan buntu?

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berhasil merampas tampuk kepimpinan pada Februari lalu dalam suatu peristiwa bersejarah. Selepas 18 bulan berkuasa, PM Muhyiddin mungkin saja digulingkan menerusi percaturan serupa terhadap dirinya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: UMNO berpaling dari PN - apakah Muhyiddin bertemu jalan buntu?

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 Ogos 2021. (Gambar: Facebook/Muhyiddin Yassin)

BERITAmediacorp: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berhasil merampas tampuk kepimpinan pada Februari 2020 dalam peristiwa bersejarah, apabila beliau berpaling dari kerajaan gabungan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru. Selepas 18 bulan berkuasa, PM Muhyiddin mungkin saja digulingkan menerusi percaturan serupa terhadap dirinya sendiri.

(Gambar: Bernama)

(Gambar: Bernama)

Bak kata pepatah, semua tindakan pasti ada balasannya kelak. Hanya 18 bulan yang lalu, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dan sekutu-sekutunya mengorak Langkah Sheraton, dengan memimpin sekumpulan Anggota Parlimen (AP) supaya berpaling dari gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai ramai AP UMNO.

UMNO BERPALING

Pada Selasa (3 Ogos), Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menarik balik sokongan terhadap PM Muhyiddin. Pengumuman itu sekali lagi mencetuskan kejutan dalam kalangan lapisan masyarakat. Keputusan UMNO untuk berpaling dari PN mungkin membayangkan PM Muhyiddin akan menanggung padahnya tidak lama lagi. Ramai pengamat kini menjangkakan peristiwa akan berulang seakan-akan seperti Langkah Sheraton, yang menggulingkan kerajaan PH.

Ahmad Zahid didampingi beberapa pemimpin parti semasa sidang media untuk mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan. Mereka termasuk tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah, mantan Perdana Menteri Najib Razak, Setiausaha Agung Ahmad Maslan dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional dalam sidang media pada 3 Ogos. (Petikan video: UMNO ONLINE/YouTube)

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional dalam sidang media pada 3 Ogos. (Petikan video: UMNO ONLINE/YouTube)

Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya lapan anggota parlimen (AP) dari UMNO dan seorang menteri kabinet - Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah - menarik balik sokongan mereka terhadap PN. Dari segi pengiraannya, PM Muhyiddin nampaknya sudah kehilangan majoriti di Parlimen. Ini memandangkan beliau kini meraih sokongan daripada sekitar 106 AP daripada jumlah 222 anggota Dewan Rakyat.

PERCATURAN MUHYIDDIN SETERUSNYA

Dalam perutusan khas kepada negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu (4 Ogos), PM Muhyiddin mencuba untuk menunjukkan pendirian berkeyakinan. Beliau menegaskan beliau masih meraih sokongan majoriti di Parlimen dan berjanji akan membenarkan usul undi percaya untuk dibentangkan pada September untuk membuktikannya.

Sungguhpun demikian, ramai pengamat meragui sama ada PM Muhyiddin benar-benar berhasrat untuk meneruskan dengan undi percaya pada September, atau sama ada ia sekadar suatu taktik berlengah untuk menggalakkan AP-AP pembangkang supaya ‘melompat parti’.

Perdana Menteri Malaysia menyampaikan perutusan khas kira-kira sejam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 Ogos 2021. (Petikan video: RTM menerusi YouTube/PMO Malaysia)

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas kira-kira sejam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 Ogos 2021. (Petikan video: RTM menerusi YouTube/PMO Malaysia)

Pertanyaan yang bermain dalam fikiran orang ramai sekarang: siapakah AP-AP pembangkang yang mungkin sanggup berpaling kepada PN untuk menggantikan lapan AP UMNO yang menarik diri supaya PM Muhyiddin dapat kekal berkuasa?

Buat masa ini, masa depan politik Malaysia akan ditentukan oleh ahli-ahli politik dan Yang di-Pertuan Agong, dan bukan rakyat biasa, memandangkan Parlimen tidak mungkin akan dibubarkan di tengah-tengah krisis COVID-19 sekarang. Pilihan raya negeri Sarawak, yang sepatutnya berlangsung tahun ini, ditunda selepas Yang di-Pertuan Agong melanjutkan perintah darurat di negeri itu sehingga Februari 2022.

Meskipun berdepan dengan pembelotan politik, PM Muhyiddin masih mempunyai ruang untuk mengatur langkah seterusnya. Pada hakikatnya, aturan politik sekarang akan kekal sehinggalah Pembangkang mampu merapatkan barisan. Langkah AP-AP UMNO yang tarik diri daripada PN tidak semestinya bermakna Pembangkang memegang sokongan majoriti. Ia juga tidak bermakna Anwar Ibrahim, selaku pemimpin pembangkang, meraih mandat untuk menyandang jawatan Perdana Menteri.

MAHATHIR SEBAGAI ‘KINGMAKER’?

Buat masa ini, para AP pembangkang di Parlimen juga termasuk AP-AP dari parti-parti bukan PH, seperti Warisan, Pejuang dan Muda. Selain Anwar, mantan perdana menteri Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Shafie Apdal mungkin sedang menimbangkan aturan kuasa alternatif.

Jika digabungkan, parti-parti mereka merangkumi 12 AP yang tidak menyertai PH. Pada suatu ketika dahulu, Dr Mahathir pernah mengusulkan nama Shafie, dan bukan Anwar, sebagai calon perdana menteri bagi pembangkang. Dr Mahathir juga pernah menyarankan untuk membentuk kerajaan gabungan atau menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Buah fikirannya itu tidak menerima sambutan menggalakkan dan juga tidak mendapat perkenan Agong.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menyertai perarakan pada 2 Ogos 2021 untuk membantah penutupan parlimen. (Gambar: AFP/Arif Kartono)

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menyertai perarakan pada 2 Ogos 2021 untuk membantah penutupan parlimen. (Gambar: AFP/Arif Kartono)

Namun menyusuli perkembangan kebelakangan ini, kemungkinan Dr Mahathir memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ atau dalang politik kini seolah-olah diberi nafas baru. Dan jika kebuntuan politik sekarang tidak diatasi menjelang September, saranan-saranan Dr Mahathir itu mungkin saja dipertimbangkan semula.

PM Muhyiddin berjanji bahawa sidang Parlimen pada September akan dijadikan wadah untuk menguji sokongan terhadapnya, memandangkan beliau dan Istana tidak mendedahkan AP-AP pembangkang mana yang menggantikan AP-AP UMNO yang menarik balik sokongan. Melainkan jika nama-nama itu diumumkan, pembangkang tidak akan sekadar berpeluk tubuh.

Selain itu, kerajaan Muhyiddin tidak semestinya dapat bertahan sehingga undi percaya diadakan pada September. Terdapat kemungkinan lebih ramai AP UMNO akan menarik balik sokongan terhadap PM Muhyiddin, atau pembangkang boleh menamakan calon Perdana Menteri menerusi akuan-akuan berkanun. Kemungkinan kedua itu sukar dibayangkan kecuali jika Dr Mahathir dan Anwar berdamai semula.

HALUAN POLITIK MALAYSIA SUKAR DIRAMAL

Namun terdapat sebuah lagi kemungkinan yang belum diselongkar. Dengan lebih ramai anggota UMNO (yang sering dirujuk sebagai “kelompok mahkamah” kerana mempunyai kes-kes yang masih dibicarakan di mahkamah) yang keluar daripada PN, sesetengah AP pembangkang boleh mencadangkan bahawa PN kini “bersih” dengan ketiadaan pemimpin-pemimpin yang terbabit dengan rasuah.

Hakikat baru itu boleh membuka haluan kepada PN untuk meneroka aturan-aturan kerjasama baru dan mungkin juga memikat anggota-anggota pembangkang yang lain, termasuk anggota-anggota asal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menyertai kerajaan sekarang, seperti Dr Mahathir, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik dan Syed Saddiq.

Yang jelas pada 2020, Dr Mahathir pernah menimbangkan sama ada Bersatu patut menarik diri daripada Pakatan Harapan. Akhirnya beliau enggan berbuat demikian kerana langkah itu akan melibatkan kerjasama dengan “kelompok mahkamah” UMNO. Namun ini tidak menghalang PM Muhyiddin untuk menerajui sekumpulan AP Bersatu untuk ‘melompat’ kepada PN.

Bagaimanapun, hubungan antara Dr Mahathir dengan PM Muhyiddin bertambah tegang sejak mereka berpisah. PM Muhyiddin menggugurkan Dr Mahathir daripada Bersatu dan anaknya Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, dan Dr Mahathir menyelar PM Muhyiddin secara terang-terangan berhubung dengan keupayaan kerajaannya untuk menangani krisis COVID-19.

Jika terdapat sesiapa dalam ‘kem’ Dr Mahathir yang memutuskan untuk menyokong PN, ia akan menjadi pusingan U yang ganjil dalam politik Malaysia dan sukar untuk disampaikan kepada rakyat Malaysia yang serba hampa. Namun dalam politik Malaysia, seseorang perlu membiasakan diri dengan jalan cerita yang sentiasa berputar belit di luar jangkaan.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “UMNO Withdraws from Perikatan: September Blues for Muhyiddin?”.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau salah seorang penulis buku “Reaching for the Crescent: Aspirations of Singapore Islamic Studies Graduates and the Challenges". 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan