Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ujian umat Islam UK, iktibar buat Muslim Singapura

Sejak peristiwa pengeboman nekad oleh empat pemuda Muslim pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 jiwa dan melumpuhkan sistem pengangkutan di London, suasana umat Islam di negara itu mengalami pergolakan besar. Kehadiran umat Islam di Britain dapat disusur seawal abad ke-17.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ujian umat Islam UK, iktibar buat Muslim Singapura

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

BERITAMediacorp: Sejak peristiwa pengeboman nekad oleh empat pemuda Muslim pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 jiwa dan melumpuhkan sistem pengangkutan di London, suasana umat Islam di negara itu mengalami pergolakan besar. Kehadiran umat Islam di Britain dapat disusur seawal abad ke-17.

Antara tokoh besarnya dan dianggap ‘syeikh ummah’ ialah Abdullah Henry Quilliam yang mendirikan masjid, madrasah dan rumah anak yatim di Liverpool pada awal abad ke-20 serta melancarkan hubungan ihsan dan harmoni antara agama.

Penulis mapan, Mohd Raman Daud, berkunjung ke Britain baru-baru ini dan terkejut dengan ancaman ‘Hari Dera Muslim’ yang tular di media sosial. Bagaimanakah reaksi umat Islam di sana dan apakah iktibar yang boleh dipelajari? Ini KOMENTAR beliau yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp:

(Gambar: Twitter)

PADA 3 April lalu, berlaku suatu ancaman luar biasa ke atas umat Islam minoriti di Britain – tersebar di ruang siber dan kertas layang dengan seruan ‘Punish A Muslim Day‘ (Hari Dera Muslim).

Saya dan isteri saya terkejut dan kecut – apakah ia ancaman sebenar atau gertak belaka? Maklumlah kami baru saja memulakan ziarah saudara-mara di Britain.

Di Pusat Islam Wales Selatan yang sesak di sebalik suhu 10 darjah Celsius, khutbah Jumaatnya dibacakan dalam bahasa Arab dan Inggeris. Khatibnya telah menyeru agar umat Islam memaparkan pekerti mulia – mesra dan suka menolong masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama serta bersabar walaupun di sebalik pelbagai ancaman dan sikap perkauman.

Di Britain atau United Kingdom (UK), jumlah umat Islam dipercayai lebih 3 juta jiwa atau enam peratus daripada seluruh penduduk empat negeri utama iaitu England, Wales, Scotland dan Ireland Utara.

Bagi kalangan kita yang pernah berkunjung ke London, memang terpapar perwajahan Muslim Britain yang menonjol. Antara lain, Datuk Bandar London, Sadiq Khan, merupakan seorang tokoh Muslim. Pola Uddin atau Baroness Uddin merupakan Muslimah pertama yang berjaya menjadi ahli parlimen UK.

Ditemani seorang anak saudara, saya dan isteri sempat bersolat sebagai musafir, Maghrib dan Isyak di salah sebuah masjid terbesar di East London Mosque bersebelahan Pusat Muslim London. Saya kagumi akan kerapian masjid ini dari segi pentadbiran sehingga kepustakaannya. Di luar masjid ini terdapat deretan toko yang menjual pelbagai keperluan Muslim, termasuk pakaian ala Arab seperti jubah atau qamis.

Sayangnya, terdapat protes besar apabila Masjid Abbey Mills (juga dipanggil London Markaz atau Masjid-e-Ilyas) hendak dibangunkan di Stratford, di timur London. Ia dijangka boleh menjadi masjid terbesar di UK dan mungkin juga Eropah.

KESAN SEJARAH

Menurut sejarah, dakwah Islam tiba di kepulauan British seawal abad ke-17 apabila British menguasai sejumlah kawasan penduduk majoriti Muslim, terutama di Asia Selatan.

Pada 1911 iaitu pada puncak kemegahan Empayar British, 94 juta orang anak jajahannya didapati beragama Islam berbanding dengan 58 juta penduduk Kristiannya!

Dapatan sejarah menunjukkan Revolusi Industri yang dirintis Britain pada tahun-tahun 1800-an itu, antara lain, dihasilkan daripada kekayaan sumber yang diperas keluar daripada kawasan Benggala. Kehadiran ‘lascar’ (ejaan Melayu, ‘laskar’) iaitu askar dari Benggala (timur India) yang beragama Islam di England seawal abad ke-18 menandakan kaitan Empayar British dengan jajahannya itu.

Lebih 400,000 askar Islam berkhidmat dalam tentera British dalam Perang Dunia I; sekitar 62,060 terkorban di medan. Sekitar setengah juta askar Muslim dari India berkhidmat dalam tentera British dalam Perang Dunia. Perdana Menteri Britain, David Lloyd George (berkhidmat antara 1916-1922) mengiktiraf pengorbanan dan kesetiaan askar Islam dari India.

Terdapat 2,000 masjid atau tempat solat di UK daripada yang memuat 200 jemaah sehingga 7,000 orang.

SUMBANGAN HENRY QUILLIAM

Masjid pertama di UK dibina oleh Syeikh Abdullah Henry Quilliam (1856-1932), seorang peguam dan tokoh masyarakat terkenal di Liverpool. Ketika dinasihati doktornya agar berehat di Gibraltar demi pulih daripada penyakitnya, beliau berkunjung ke Maghribi dan terpesona kepada Islam.

Pulang ke tanah airnya, beliau mendirikan masjid dan rumah anak yatim di Liverpool dan bertanggungjawab mengislamkan 500 orang Inggeris termasuk paderi. Bukunya mengenai Islam menarik perhatian Ratu Victoria.

Sultan Abdul Hamid II dari Daulat Uthmaniyah mengurniakannya gelar ‘syeikh (tuan guru) Islam’ bagi Kepulauan British dan menjadi duta sultan.

Setelah kematiannya, tekanan ke atas Muslim Liverpool memaksa mereka berpindah ke Woking, di daerah London. Lantaran itu, masjid pertama di Liverpool dan rumah anak yatimnya terbiar sehingga diambil alih oleh Majlis Bandaraya Liverpool. Namun selepas 106 tahun, Majlis Bandaraya itu mengembalikannya ke sekumpulan Muslim berdedikasi dan kini masjid itu dibaik pulih.

HUBUNGAN MEMBIMBANGKAN

Hari ini, bahagian timur London dianggap ‘kampung’ Muslim yang majoritinya adalah asal Bangladesh.

Suasana hubungan kaum di Britain memang membimbangkan. Misalnya, kaum Yahudi mengadakan protes di tengah kota London dengan menuduh ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn gagal mengawal sikap kalangan ahli partinya yang membenci kaum Yahudi.

(Bantahan terhadap Punish a Muslim Day. Gambar: Mohd Raman Daud)

Pada 24 Mac, sudah berlaku 48 kejadian pembunuhan di ibu kota London. Ketika saya meninggalkan Lapangan Terbang Heathrow pada 6 April, angkanya meningkat 55 jiwa. Kebanyakan mangsanya adalah belia kulit hitam yang ibu bapa atau datuk nenek mereka berasal dari rantau Carribean. Lazimnya golongan minoriti ini beragama Kristian.

Hakikatnya, masyarakat UK kian majmuk dengan kehadiran penganut Sikh dan kaum Arab, Turkey dan Kurdi serta Cina di Britain dan pendatang dari Eropah Timur.

RAMAI PENDATANG

Demi membangun semula selepas kepunahan dek pengeboman Nazi Jerman dalam Perang Dunia (1939-1945), Britain mengizinkan kemasukan ramai pendatang dari benua kecil India. Majoriti pendatang Islam berasal dari Pakistan dan Bangladesh.

Dari segi luaran, Britain berbangga sebagai antara negara Barat yang dipandang amat matang dari segi hak asasi manusia. Dikatakan bahawa demokrasi Inggeris terpahat pada piagam ulungnya, Magna Carta pada 1215. Namun realitinya berbeza.

Banjiran pendatang tadi telah menimbulkan keresahan kepada majoriti kulit putih. Akibatnya, timbul suasana pergeseran kaum yang kian lantang sejak awal dekad 1960-an. Ia memuncak pada 1968 apabila seorang Anggota Parlimen dari Parti Konservatif, Enoch Powell, membuat ucapan yang terkenal, Rivers of Blood (Sungai-Sungai Berdarah) yang memberikan amaran apabila kelak kaum kulit hitam memegang cemeti dan memperhamba kaum kulit putih.

Ucapan Powell tadi mendorong proses perundangan untuk mengatur hubungan kaum. Namun gerakan pelampau ketuanan kulit putih kian lantang mewarnai Britain. Jenayah benci kaum terus berlaku.

MENYUARAKAN HAK

Dek tertekan oleh tekanan golongan radikal, maka kaum minoriti di UK tampil menyuarakan hak mereka menurut perundangan. Betapun begitu, umat Islam menjadi tersepit dek suasana kebangkitan radikalisme Muslim. Berlaku beberapa kejadian pengeboman nekad yang dikaitkan dengan Muslim Britain yang menjadi radikal sendiri atau terpengaruh oleh diayah ISIS.

Bagaimanapun para tokoh Muslim dan badan-badan Islam Britain segera bangkit untuk menenteramkan suasana. Antara mereka yang dianggap berpengaruh ialah Allama Qamaruzzaman Azmi, ketua Pergerakan Islam Sedunia atau World Islamic Mission yang telah mengutuk pengganasan dan menyeru umat Islam di Britain agar taat sebagai warga yang bertanggungjawab. Seorang lagi tokoh Muslim ialah Yusuf Islam yang pernah dikenali sebagai penyanyi tersohor, Cat Stevens.

Saya dan isteri cukup terkesan ketika berkunjung ke Masjid Abu Bakr di kawasan Universiti Cambridge, antara institusi pendidikan terulung di dunia. Masjid kecil ini (boleh menampung 500 jemaah sekali gus) didatangi oleh sekumpulan penganut Kristian dan warga Britain yang bukan Muslim pada Hari Dera Muslim. Mereka membawa sepanduk dan sempat meluahkan rasa sokongan serta perpaduan dengan umat Islam.

SALING MEMPERCAYAI

(Padang besar di tengah-tengah kawasan Universiti Cambridge. Gambar: Mohd Raman Daud)

Peristiwa di Cambridge itu memang terpencil. Namun ia amat bermakna sekali bagi saya selaku pengamat, kerana sekurang-kurangnya dua perkata penting – pertama, Cambridge bakal mempunyai masjid besar yang bakal dirasmikan lima bulan lagi dan kedua, suasana aman yang selesa di sebalik ancaman serius yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Menurut imam Masjid Abu Bakar di Cambridge, Ustaz Muhammad Imran Karim: “Kami mahukan suasana harmoni, saling mempercayai. Kehadiran para sahabat yang bukan seagama tadi penting bagi kami, kerana mereka juga mengongsi harapan kami.”

Imam itu telah menasihati jemaah agar berwaspada dan jangan berjalan sendirian di kawasan terpencil demi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini.

(Ustaz Muhammad Imran. Gambar: Mohd Raman Daud)

MENJALIN HARMONI

Ketika meninggalkan Cambridge dengan menaiki bas ke London, saya terasa suasana damai yang luar biasa – menyaksikan pada deretan kedai makan dan runcit yang menjual barangan halal sehingga kehadiran mahasiswi yang bertudung, termasuk dari Indonesia dan Malaysia.

Adakah ‘Hari Dera Muslim’ akan berulang lagi di UK khususnya di kota-kota ramai Muslim seperti Bradford, Cardiff, Leicester, London dan Sheffield? Menulis secara satira di laman sawang akhbar ‘New Statesman’ pada 12 Mac lalu, penulis Ruqaya Izzidien berpendapat bahawa setiap hari berlaku penderaan ke atas Muslim di UK.

Oleh itu, tidak diperlukan hari khas. Yang penting, hujah beliau, umat Islam di Britain, perlu memajukan diri dan menjalin harmoni sebagai warga setia. Sebaliknya, kalangan pembenci Muslim yang rugi kerana mendapati diri mereka sebenarnya terkeliru.

Tanggapan penulis itu bak menggemakan pesan Syeikh Quilliam bahawa mengharungi ekstremisme berlaku ke atas mana-mana golongan minoriti. Yang utama ialah ketabahan untuk hidup dengan bermaruah dan menyumbang kepada kesejahteraan seluruh masyarakat.

(Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS: 

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan