Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tumpuan usaha celik kewangan baik bermula dari rumah

Pendidikan celik kewangan amat penting untuk mengelakkan masalah cuai berbelanja. Namun usaha ke arah celik kewangan masih lagi kurang mendapat tumpuan yang sepatutnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tumpuan usaha celik kewangan baik bermula dari rumah

(Gambar fail: Thomas White/ Reuters)

BERITAmediacorp: Pendidikan celik kewangan amat penting untuk mengelakkan masalah cuai berbelanja. Namun usaha ke arah celik kewangan masih lagi kurang mendapat tumpuan yang sepatutnya.

Undang-undang untuk menangani kes-kes muflis telah disemak semula baru-baru ini untuk memberi perhatian dan tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan dan bukan berdasarkan hukuman seperti dahulu.

Dengan semakan tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa ada golongan muflis akan mengambil peluang daripada kelonggaran ini untuk terus berlaku cuai terhadap pengurusan kewangan mereka.

Jika kita menganalisis dengan lebih mendalam lagi sebab musabab mereka kurang prihatin dengan isu-isu kewangan mereka, ia ada kena-mengena dengan sikap dan perspektif mereka terhadap wang secara umum, pinjaman, perbelanjaan, penjimatan, dan keperluan masa depan.

Mengikut laporan Pejabat Insolvensi, sebuah unit Kementerian Undang-Undang, statistik mengenai muflis menunjukkan lebih ramai golongan bankrap telah dilepaskan daripada kemuflisan lebih awal akibat perubahan undang-undang ini.

Trend dijangka akan berterusan dan ini amat membimbangkan sekiranya tiada program-program pendidikan atau panduan yang berkesan untuk membantu bekas muflis supaya lebih prihatin dan berlaku bijak mengendalikan urusan kewangan mereka.

Ini kerana dengan pengaruh-pengaruh dari iklan-iklan yang begitu agresif meggalak berbelanja tidak menentu, besar kemungkinan mereka yang bekas muflis akan mengulangi kesilapan-kesilapan mereka dan akan terjerumus sekali lagi dalam masalah kewangan.

SUMBER MASALAH

Masalah kewangan yang terdapat dalam kalangan masyarakat di sini kebanyakannya berpunca daripada sikap boros berbelanja. Ia menjadi lebih genting apabila sikap boros berbelanja itu dilakukan dengan menggunakan kredit atau pinjaman seperti kad kredit, overdraf bank, pinjaman peribadi, bayaran ansuran, program sewa-beli, program pakai dahulu bayar kemudian dan sebagainya.

Gambar fail: DAMIEN MEYER/AFP

Dengan adanya kemudahan-kemudahan cara membayar yang begitu kreatif sekali yang dipasarkan dengan agresif oleh peruncit-peruncit serta gabungan antara bank dan pedagang, mereka yang kurang faham dengan cara-cara mengendalikan kredit atau yang kurang disiplin membuat bayaran tetap seperti yang dijanjikan, mungkin dalam masa yang amat singkat akan terperangkap dalam situasi hutang keliling pinggang.

Membeli-belah dengan menggunakan pinjaman memanglah mudah dan ia memberi seseorang itu ruang bernafas sementara menunggu gaji pada hujung bulan. Tetapi, dana kredit yang digunakan itu semuanya diiringi dengan kadar faedah yang lumayan.

Disebabkan kesan kompaun faedah yang menjadi kiraan, apabila seseorang itu tidak mampu untuk melunaskan bayaran sepenuhnya dalam kitaran pembayaran (biasanya 28 hari) yang dikenakan, jumlahnya akan meningkat dan akhirnya berlipat ganda.

PERANCANGAN BELANJAWAN

Langkah penting untuk mencapai pengurusan kewangan yang baik dan tabiat bijak berbelanja bermula dengan perancangan belanjawan yang teliti. Ia melibatkan pemahaman yang jelas antara keperluan dan kemahuan; penilaian yang tepat antara apa yang boleh ditangguh dan apa yang terpaksa diperolehi dengan segera.

Para pekerja di sekitar pusat perusahaan Singapura. (Gambar fail: SIMIN WANG/AFP)

Untuk menyediakan perancangan belanjawan yang relevan dan boleh digunakan bagi mencapai matlamat kewangannya, seseorang itu terpaksa mengambil tahu setiap harga barangan yang akan disertakan dalam senarai belanjawan tersebut.

Ini termasuk setiap barangan dapur, kelengkapan peribadi, kos purata bulanan “api air”, yuran sekolah, wang saku setiap ahli keluarga yang ditanggung, gaji pembantu, peruntukan cukai pendapatan, simpanan Medisave dan sebagainya.

Malangnya, walau betapa penting sekalipun pengetahuan perancangan belanjawan ini, subjek tersebut tidak dididik di sekolah-sekolah … tidak di peringkat rendah, tidak di peringkat menengah, tidak juga di peringkat pos-menengah atau peringkat pengajian tinggi langsung.

Sekiranya ada pun sekadar secara mata pelajaran elektif atau aktiviti tambahan dan bergantung kepada pengetua sekolah masing-masing.

Kelihatan jelas di sini bahawa pengetahuan pengurusan kewangan peribadi dan perancangan belanjawan masih kurang mendapat tumpuan utama.
Justeru usaha untuk meningkatkan kecelikan kewangan harus terus diterajui oleh badan-badan bantu diri atau persatuan-persatuan masyarakat dan keusahawanan sosial melalui bengkel-bengkel dan perbincangan di platform-platform pelbagai media.

BERMULA DI RUMAH

Seperti pepatah “Charity begins at home” (Kebajikan bermula di rumah), begitu juga dengan sikap bijak berbelanja dan pengurusan kewangan. Kanak-kanak yang diberi pendedahan kepada pengurusan bijak kewangan peribadi di sekolah-sekolah tertentu tidak dapat memanfaatkan pengetahuan itu secara menyeluruh sekiranya suasana di rumah mereka tidak menyokong konsep-konsep yang telah dipelajari itu.

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

Malah, ia akan menimbulkan pergeseran pendapat dan boleh menyebabkan perselisihan faham antara angota keluarga mereka.

Misalnya, konsep berjimat cermat akan sukar dipraktikkan di rumah di mana ibu bapanya boros berbelanja. Begitu juga dengan penentuan antara keperluan dan kemahuan, dengan perspektif yang kurang jelas akan membuat mereka keliru dan ini perlu dielakkan sama sekali kerana ini adalah isu asas yang memerlukan persefahaman setiap ahli isi rumah.

MENJADI CONTOH

Orang tua memainkan peranan yang amat penting dalam setiap pendidikan dan usaha menanam nilai-nilai tertentu. Dan yang sering kita lupa, kanak-kanak memandang pada orang tua sebagai contoh yang mereka yakin untuk mengikuti. Tak hairanlah kita sering dengar yang setiap berbuatan kita selaku orang tua menjadi panduan bagi anak-anak.

“Kanak-kanak memang sukar nak dengar kata-kata orang tua. Tetapi mereka tidak pernah gagal untuk meniru orang tua mereka.“ kata James A. Baldwin.

Persoalan yang logik untuk melangkah ke hadapan setelah rangka kerja perancangan belanjawan sudah tersusun rapi, apakah tindakan yang kritikal bagi tahap seterusnya untuk kita memulakan pengurusan kewangan bijak?

Jawapannya seperti hujah Warren Buffett, “Jangan hanya mula menyimpan bakinya setelah berbelanja, tetapi belanja hanya apa bakinya setelah terlebih dahulu menyimpan.”

Dengan ini, simpanan kita akan berkembang secara sistematik dan perbelanjaan kita akan sering kita mempersoalkan sama ada ia keperluan atau kemahuan semata-mata.

MENGENAI PENULIS: 

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan