Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tolak fahaman pelampau dengan menyemai nilai kemanusiaan pada anak-anak

Perancangan ngeri remaja yang ditahan ISD mempunyai implikasi dan kesan yang amat buruk sekali termasuk potensi retakkan hubungan antara kumpulan agama di sini. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tolak fahaman pelampau dengan menyemai nilai kemanusiaan pada anak-anak

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

BERITAmediacorp: Perancangan ngeri remaja yang ditahan ISD mempunyai implikasi dan kesan yang amat buruk sekali termasuk potensi retakkan hubungan antara kumpulan agama di sini.

Bagaimana kita boleh bertindak untuk mengelakkannya daripada berulang?Masyarakat Singapura dikejutkan dengan berita seorang remaja 16 tahun yang merancang untuk melakukan serangan ke atas dua masjid tempatan.

Dia kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dikenakan Perintah Tahanan.

Remaja tersebut telah dipengaruhi ideologi pelampau sayap kanan dan mendapat inspirasi dari Brenton Tarrant, lelaki yang menyerang masjid di Christchurch, New Zealand dua tahun yang lalu.

Penyiasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) ke atas remaja itu mendedahkan bahawa dia telah membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk melakukan serangan tersebut.

Ini termasuk percubaan membeli parang dalam talian dan mendapatkan kenderaan untuk memandu antara dua masjid yang menjadi sasarannya.

Sudah pasti, ini satu perkembangan yang membimbangkan. Perancangan ngeri anak muda ini mempunyai implikasi dan kesan yang amat buruk sekali termasuk potensi meretakkan hubungan antara kumpulan agama di sini. Insiden ini juga jelas menunjukkan sesiapa sahaja boleh terpengaruh dengan fahaman pelampau yang berbahaya.

TIADA KAITAN DENGAN AGAMA

Radikalisasi (radicalization) atau proses seseorang menjadi radikal akibat terpengaruh dengan fahaman pelampau adalah satu fenomena global yang melanda banyak masyarakat di seluruh dunia. Bahkan, ia berlaku tanpa mengenal latar belakang usia, jantina, agama dan kaum.

Dalam kerumitan menghadapi cabaran fahaman pelampau ini, agama sering dikaitkan. Bagi kebanyakan orang, imej keganasan dengan agama masa kini amat sukar dipisahkan.

Persepsi ini timbul disebabkan oleh wujudnya individu dan kumpulan pelampau yang bertindak melakukan keganasan atas nama agama. Hakikat ini berlaku dalam masyarakat Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya.

Setiap tindakan keganasan tidak dapat disembunyikan di sebalik nama agama atau kepercayaan apa pun kerana setiap agama mengajar untuk menghormati yang lain dan memelihara nilai kemanusiaan.

CONTOH BAIK NABI

Nabi Muhammad s.a.w. telah menujukkan contoh yang baik dengan mempromosikan perdamaian, toleransi dan belas kasihan secara aktif terhadap semua orang, baik Muslim mahupun bukan Muslim.

Sebagai contoh, ketika orang Kristian Najran perlu menunaikan ibadah mereka ketika berdiskusi dengan Nabi, Baginda menawarkan penggunaan masjidnya, Masjid An-Nabawi untuk ibadah mereka.

Bayangkan betapa mulianya dan bagaimana Nabi memudahkan urusan mereka. Ini adalah contoh bagaimana kesungguhan, kebaikan dan tindakan hubungan manusia yang indah menjadi tunggak bagi penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi dunia masa kini.

Maka itu masyarakat kita digesa agar menjauhkan diri dari perbuatan menyalahkan sesuatu agama atau menuding jari ke arah golongan tertentu sekiranya berlaku insiden seperti ini.

Apa yang harus diberi perhatian adalah bagaimana setiap golongan agama dapat meyakinkan satu sama lain bahawa kejadian ini merupakan kejadian terpencil dan bukan dari ajaran mana-mana agama.

MENGHIDUPKAN NILAI KEMANUSIAAN

Untuk menangani ancaman fahaman pelampau dengan lebih berkesan, kita perlu mewujudkan strategi jangka panjang dan pendekatan yang bersifat holistik. Ini penting demi memastikan kesan yang baik dan lebih efektif.

Tidak dinafikan bahawa institusi keluarga dan juga didikan agama amat penting sekali demi membentengi anak remaja kita dari fahaman pelampau. Harus difahami bahawa ajaran agama itu sangat luas dan apa yang harus ditekankan dalam bimbingan agama kepada anak remaja kita bukanlah hanya soal ibadat sahaja tetapi soal akhlak dan juga moral.

Antara perkara utama yang diajarkan Islam ialah sifat kasih sayang atau rahmah yang perlu ada pada setiap Muslim. Sifat rahmah ini bukan hanya perlu dipraktikkan terhadap keluarga dan orang Muslim sahaja, bahkan terhadap seluruh ciptaan Tuhan termasuk orang bukan Muslim dan juga ciptaan Tuhan yang lain seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Sekiranya sifat rahmah ini dapat dihidupkan dalam diri setiap dari kita, maka akan lahir jati diri atau identiti yang menghargai nilai kemanusiaan. Nilai kemanusiaan ini amat tinggi sekali dan menjadi tunggak ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

CONTOH BAIK IBU BAPA

Lihat sahaja contoh yang telah diberikan di atas bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. berakhlak terhadap golongan bukan Muslim dengan penuh adab, rasa hormat dan kasih sayang.

Untuk menerapkan nilai kemanusiaan dan nilai-nilai moral yang lain, institusi keluarga memainkan peranan penting. Ibu bapa dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan anak-anak mereka dapat dijauhkan dari fahaman pelampau dan orientasi yang tegar.

Antara yang dapat dilakukan oleh ibu bapa, waris atau penjaga anak-anak ialah melazimkan perbualan dengan anak-anak secara santai tetapi serius tentang pentingnya menghargai setiap insan tidak kira apa sahaja latar belakang mereka.

Cara ini merupakan wasilah untuk menanam nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Selain itu, ia juga penting dalam mengakrabkan lagi hubungan ibu bapa dengan anak-anak.

Sebagai contoh, sebagai ibu bapa kita harus menunjukkan contoh yang baik dalam hubungan dan interaksi kita dengan jiran bukan Muslim. Menghulurkan apa sahaja bantuan kepada jiran bukan Muslim walaupun hanya setakat berkongsi juadah dengan mereka itu adalah cerminan dari akhlak yang baik.

Ia juga memaparkan nilai kemanusiaan yang sangat tinggi. Sekiranya anak-anak dapat melihat ibu bapa mereka melaksanakannys, maka sifat kasih sayang terhadap semua manusia dapat dipupuk dari kecil lagi.

MENOLAK ORIENTASI BERBAHAYA

Penangkapan remaja yang dipengaruhi fahaman pelampau sayap kanan ini pasti menjadi kerisauan dan kebimbangan semua, baik pemerintah dan juga mesayarakat. Ini disebabkan fahaman yang dipengaruhi anak remaja ini merupakan orientasi berbahaya yang menggugat keselamatan negara dan masyarakat.

Fahaman dan orientasi seperti yang didasari kebencian dan sikap anti golongan agama lain memang sedang tersebar luas di internet. Inilah yang membimbangkan.

Hari ini kita hidup dalam satu kampung yang global. Fahaman pelampau yang dipropagandakan mereka di luar negara menyelinap ke dalam masyarakat kita melalui wadah internet dan media sosial.

Setiap orang termasuk anak-anak juga tidak terlepas daripada cengkaman penggunaan teknologi dalam era yang mencabar ini. Bahkan anak-anak remajalah yang paling ramai dan sering menggunakan wadah digital dan dalam talain ini.

Tambahan lagi, kecenderungan dalam menggunakan media sosial dan platform dalam talian di era COVID-19, adalah satu lagi cabaran besar bagi masyarakat untuk menangani dan membongkar maklumat palsu yang mudah mempengaruhi orang ramai yang tidak berwaspada.

MENGEKALKAN KEHARMONIAN

Ideologi pelampau, baik yang timbul dari kumpulan sayap kanan mahu pun dari kumpulan pelampau Islam seperti ISIS didasarkan juga atas ideologi kebencian. Perasaan kebencian yang meluap-luap boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak dikawal.

Maka itu, setiap anggota masyarakat harus terus berwaspada akan bahayanya ideologi kebencian ini. Pada masa yang sama menolak segala bentuk diskriminasi, sikap tidak toleran dan segala orientasi dan fahaman yang berbahaya.

Kesan dan akibat daripada sesuatu tindakan ganas di Singapura adalah terlalu besar ke atas perpaduan sosial dan keutuhan kehidupan yang harmoni.

Ayuh, marilah kita terus bekerjasama sebagai satu masyarakat untuk mengekalkan keharmonian dan mendukung keindahan kehidupan berbilang agama di sini.

Ia memerlukan kita untuk menolak segala jenis tindakan keji yang berpotensi menghambat usaha kita dalam memelihara agama dan kehidupan yang harmoni.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohamed Bin Ali ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam NTU Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan