Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tingkatkan kehidupan pelajar dari keluarga susah sambil lestarikan semangat gotong-royong

Untuk mendorong para pelajar berkeperluan supaya kekal di bangku sekolah dan terus meningkatkan prestasi, masyarakat perlu bergotong-royong untuk menggembleng tenaga ‘sekampung’. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Untuk mendorong para pelajar berkeperluan supaya kekal di bangku sekolah dan terus meningkatkan prestasi, masyarakat perlu bergotong-royong untuk menggembleng tenaga ‘sekampung’. Gotong-royong pada zaman moden diperlihatkan dengan gabungan tenaga agensi-agensi pemerintah, badan-badan bantuan dan tenaga sukarelawan.

“Masa sudah berubah” - ungkapan ini sudah lali kita dengar, namun saya tiada pilihan kecuali menggunakannya.

Tidak beberapa lama dahulu, jika anda memberitahu anak anda bahawa di Singapura ini hanya terdapat sebuah rumah kampung sahaja yang tinggal (terletak di Buangkok) dan mungkin terdapat sebuah lagi di Pulau Ubin, mereka mungkin teruja untuk terus mengunjunginya. Sekarang, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19, mereka mungkin hanya mahu ditunjukkan saja gambar-gambarnya yang terdapat di ruang Internet.

Saya membesar di kampung sehingga usia enam tahun. Saya terkenang bagaimana pintu rumah-rumah di kampung terbuka kepada sesiapa saja – setiap rumah terletak berdekatan antara satu sama lain tetapi tidak pernah tertutup kepada jiran tetangga. Jika anak seseorang terjatuh, seluruh warga desa bergegas membantu. Semasa majlis-majlis persandingan, semua jiran tetangga akan berhimpun dan rewang bersama untuk menyiapkan jamuan.

Suasana kehidupan di kampung tentunya hanya tinggal kenangan, tetapi saya percaya bahawa semangat gotong-royong masih terus hidup – kita masih peduli, murah hati dan bersedia membantu mereka yang kurang bernasib baik – hanya bentuk bantuannya tidak jelas seperti dulu.

Gambar: Kementerian Pendidikan (MOE)

Gambar: Kementerian Pendidikan (MOE)

Awal tahun ini, saya telah berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi Kementerian Pendidikan (MOE) tentang konsep penyelarasan sokongan oleh sekolah-sekolah dan pelbagai pihak berkepentingan dalam masyarakat untuk membantu para pelajar serta keluarga yang kurang berkemampuan dan yang menghadapi berbagai cabaran sosial. Bantuan sedemikian dihulurkan dari beberapa penjuru. Saya ingin mengajak anda melihat ini sebagai gotong-royong kehidupan masyarakat moden hari ini.

KEPERLUAN SELEPAS TAMAT WAKTU SEKOLAH

Satu lagi ungkapan yang sering kita dengar ialah – “kanak-kanak adalah masa depan kita!”

Sememangnya salah sebuah tunggak sokongan untuk menjamin masa depan lebih cerah ialah sekolah-sekolah kita. Di peringkat sekolah rendah, guru-guru giat mengenal pasti murid-murid yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk mereka dari latar belakang kurang bernasib baik. Mereka mungkin menahan lapar dan bahkan ada yang sering tidak hadir ke sekolah. Persekitaran rumah mereka juga mungkin tidak sesuai bagi pembangunan peribadi dan pembelajaran.

Guru-guru bertungkus lumus untuk meyakinkan ibu bapa supaya menerima bantuan seperti Jagaan Selepas Tamat waktu sekolah, mendapatkan subsidi yuran, malahan mereka juga menyiapkan dokumen-dokumen untuk menyelaraskan permohonan subsidi tersebut. Mereka sentiasa bersedia untuk membimbing ibu bapa selagi mereka memerlukan bantuan.

Berita baiknya adalah, sejak tahun lalu, setiap sekolah rendah telah mengadakan pusat jagaan yang menyediakan persekitaran yang selamat dan membina bagi murid-murid selepas tamat waktu sekolah. Bagi kanak-kanak dengan keperluan lebih rumit, sekolah-sekolah juga berpadu tenaga dengan rakan-rakan masyarakat dan Agensi-Agensi Khidmat Masyarakat yang relevan untuk memenuhi keperluan mereka dan keluarga mereka.

Gambar fail: Mediacorp

Sokongan selepas tamat waktu sekolah ini juga dilanjutkan untuk penunut-penuntut sekolah menengah. Para pelajar yang memerlukan persekitaran lebih berstruktur bagi sokongan pembelajaran dan sosio-emosi boleh menyertai kegiatan-kegiatan berdasarkan minat masing-masing serta berhubung dengan rakan-rakan atau orang-orang dewasa yang mereka percayai dari Kumpulan-Kumpulan Bantu Diri (SHG) dan kumpulan-kumpulan masyarakat lain. Dengan sokongan yang diterima, kita dapat meningkatkan motivasi para pelajar dari segi pembelajaran, mempererat keterhubungan mereka dengan sekolah serta  memperkukuh daya bingkas mereka. Pada 2020, lebih 6,700 pelajar meraih manfaat daripada program-program sedemikian.

Khusus bagi pelajar yang datang dari keluarga yang memerlukan, usaha mengekalkan mereka di sekolah semasa dan  selepas waktu sekolah dengan penjagaan yang lebih baik,  akan juga dapat memperkaya kemahiran sosial dan membina keyakinan diri mereka untuk menempuh berbagai cabaran.

Jika anda fikirkan, usaha tersebut sama dengan pengalaman masa lalu di mana kita akan bergaul dengan jiran tetangga, pakcik dan makcik serta rakan-rakan untuk bermain guli atau menganyam ketupat sambil mempelajari nilai-nilai murni.

“MATA” DAN “TELINGA” DALAM MASYARAKAT YANG AMBIL BERAT

Bagaimana pula dengan kehidupan anak-anak kita di luar pekarangan sekolah? Seperti di suasana kampung yang saling menyokong, kita dikelilingi “mata” dan “telinga” dalam masyarakat yang ambil berat dan prihatin serta terus mendampingi belia kita, bahkan juga membantu mereka mempelajari kemahiran baru.

Sekolah-sekolah sedang berganding bahu dengan agensi-agensi pemerintah dan masyarakat untuk menawarkan keupayaan  dan kepakaran  dalam usaha ini. Ini termasuk COMLINK, UPLIFT serta M³ yang menghimpunkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), MENDAKI dan MESRA untuk menumpukan bantuan holistik kepada keluarga-keluarga ini.

Sesetengah pelajar kurang bernasib baik serta keluarga mereka yang tinggal di Boon Lay, Kreta Ayer, Bukit Merah dan Woodlands juga disokong oleh Penyelaras Peringkat Bandar UPLIFT masing-masing, atau TLC, di bawah Program Perintis Masyarakat UPLIFT.

Bagi saya, pegawai-pegawai TLC ibarat penduduk-penduduk kampung yang begitu cekap memanfaatkan sumber-sumber, mempunyai ramai kenalan dan berupaya menggembleng tenaga untuk menjayakan sesuatu. Mereka akan masuk campur untuk menyampaikan maklumat dan menyelaraskan sokongan dari pelbagai agensi masyarakat dan pihak sekolah bagi seseorang pelajar serta keluarganya.

TLC memainkan peranan penting kerana mereka meneliti secara lebih menyeluruh tentang sokongan yang perlu disediakan, baik di sekolah mahupun dalam masyarakat. Hasilnya, potensi pelajar dapat digilap sepenuhnya.

Di Boon Lay, Kreta Ayer, Bukit Merah dan Woodlands, usaha gotong-royong sekampung sudah membuahkan hasil: Sekitar 80% pelajar yang menyertai Program Perintis Masyarakat UPLIFT sejak 2020 lebih kerap hadir ke sekolah.

Gambar: Kementerian Pendidikan (MOE)

Gambar: Kementerian Pendidikan (MOE)

Para sukarelawan dalam masyarakat juga tampil untuk mendampingi keluarga-keluarga berkenaan bagi memahami keperluan mereka dan menyediakan bantuan secara praktikal. Kami berbesar hati atas sambutan yang memberangsangkan semasa kedua-dua sesi pengambilan dan latihan sukarelawan. Kami mengundang mereka di luar sana untuk juga tampil dan menyumbang sama sebagai pendamping keluarga-keluarga ini.

Baru-baru ini saya bertemu dengan keluarga muda Encik Nazri, isterinya dan enam orang anak. Mereka menyertai Program Perintis Masyarakat UPLIFT di Jalan Kukoh. Encik Nazri mengalami kecederaan dan sukar mendapatkan pekerjaan tetap buat masa ini sementara isteri beliau tidak mampu keluar bekerja kerana perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil.

Pasangan suami isteri itu inginkan yang terbaik bagi anak-anak mereka namun mereka tertekan oleh keadaan hidup mereka. Mereka tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bantuan dan jenis-jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan.

Menerusi UPLIFT, mereka dihubungkan dengan pelbagai program bantuan masyarakat. Sukarelawan yang mendampingi keluarga mereka membantu untuk mendaftarkan anak-anak mereka dalam program-program pendidikan MENDAKI.

Sementara itu, pegawai TLC mereka menghubungkan isteri Encik Nazri dengan program perniagaan dari rumah AMP kerana beliau ingin meneroka peluang untuk memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan untuk menambah hasil pendapatan keluarga. Pejabat Khidmat Sosial (SSO) pula menyediakan bantuan kewangan dan sosial untuk memenuhi keperluan mereka. Nazri dan isterinya kini lebih bersemangat dan terdorong dengan suntikan harapan ini. Mereka kini boleh membayangkan masa depan lebih cerah bagi anak-anak mereka. Anak-anak mereka juga kini terdorong untuk terus ke sekolah dan merasa lebih yakin dalam pelajaran mereka.

Pembangunan dalam zaman remaja adalah kritikal kerana ia adalah masa di mana pembangunan harga diri dan identiti menjadi  tumpuan utama dalam kehidupan sesorang remaja. Remaja yang dibesarkan dengan latar belakang kurang bernasib baik berdepan dengan cabaran lebih sukar dalam menangani masalah harga diri dan keyakinan.

Bagi remaja sedemikian, MOE mengadakan programe GEAR UP yang menyediakan bantuan dan sokongan kepada mereka. Saya terharu melihat hasil program GEAR UP ini  semasa saya mengunjungi sekumpulan pelajar di Sekolah Menengah Admiralty. Kakitangan dan sukarelawan dari Pertubuhan-Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO) memperkenalkan program-program intervensi yang kreatif untuk mencungkil bakat para pelajar – menerusi kesenian, drama, muzik dan bahkan juga berpidato. Saya melihat keyakinan diri para pelajar ini apabila saya berbual dengan mereka tentang pengalaman mereka dalam program GEAR UP.

GOTONG-ROYONG SEKAMPUNG

Semua perkara yang saya bentangkan di atas adalah antara inisiatif-inisiatif utama yang diselaraskan oleh UPLIFT, sebuah pasukan bertindak antara agensi yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2018 dan dipengerusikan saya sejak tahun lalu. UPLIFT adalah singkatan bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga.

Pokoknya, UPLIFT merupakan sesuatu yang menyemarakkan semangat gotong-royong untuk menjana pembagunan semasyarakat. Perbezaannya terletak pada kaedah bantuan dan sokongan yang terancang dan berstruktur, menerusi penubuhan program-program dan rangka kerja jagaan bagi mereka yang berkeperluan dalam kalangan masyarakat kita.

Gambar fail: Mediacorp

Kita perlu memperhebat tenaga sukarelawan untuk memakmurkan kampung moden kita. Mungkin ada yang mengatakan sukar untuk mencari kelapangan masa untuk melakukan kerja-kerja sukarela. Namun kerja sukarela tidak sekadar mengadakan masa semata-mata. Ia memerlukan iltizam untuk menghasilkan perubahan – dalam hal ini, perubahan kepada kehidupan rakan senegara kita yang berdepan dengan cabaran-cabaran sosial. Saya percaya bahawa sebaik saja hasrat demikian ditanam, kelapangan masa untuk berkhidmat akan timbul.

Kita sering mendengar pepatah Afrika “seluruh kampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak” (“it takes a village to raise a child”). Dengan sumbangan segenap masyarakat, saya pasti kita dapat menyemarakkan semangat gotong-royong dalam membesarkan anak-anak Singapura yang baik dan berjaya.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan