Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tidak mudah tangani golongan bersikap negatif; ada panduan berhadapan dengan mereka

Akan sentiasa ada golongan Muslim yang bersikap negatif terhadap langkah-langkah yang menjejas amalan agama demi mencegah penularan pandemik seperti COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Akan sentiasa ada golongan Muslim yang bersikap negatif terhadap langkah-langkah yang menjejas amalan agama demi mencegah penularan pandemik seperti COVID-19. Bagaimana kita boleh berhadapan dengan golongan sedemikian?

Pelbagai panduan agama dan fatwa yang menuntut Muslim melakukan ubah suai dan menyekat amalan agama sebagai sebahagian langkah bagi menangani wabak COVID-19 masih berjalan hari ini; seperti penutupan masjid dari solat Jemaah/Jumaat dan pembatasan jumlah kehadiran bagi solat berjemaah/Jumaat.

Terdapat persamaan dan kesepakatan pada panduan dan fatwa dalam perkara yang dinyatakan di atas.

Baik yang dikeluarkan oleh institusi-institusi fatwa di bawah pemerintah negara, badan-badan agama yang berwibawa ataupun individu ulama yang telah dikenali ramai.

Namun sebahagian anggota masyarakat Muslim Singapura tetap memilih bersikap negatif dan mempersoalkan panduan yang ada.

Ada yang menuduh bahawa ia dibuat kerana tunduk kepada pemerintah bukan Muslim, sedangkan ia juga dilaksanakan dan difatwakan oleh mufti-mufti dan ulama di negara-negara Islam yang lain.

Gambar fail. (Gambar: BERITAmediacorp)

Gambar fail. (Gambar: BERITAmediacorp)

Ramai aktivis sosial/agama menjadi sasaran sikap negatif dalam bentuk cemuhan dan sindiran yang dilontarkan langsung kepada mereka ketika bertugas atau melalui media sosial.

Yang terkini ialah sikap negatif yang keterlaluan apabila semua tempat bagi menunaikan solat Hari Raya Haji di masjid Singapura penuh diisi dalam tempoh beberapa minit sahaja setelah waktu tempahan di buka.

BUKAN BARU

Hal ini bukan sesuatu yang baru. Sikap buruk yang sama wujud dalam banyak isu sebelum ini. Ia adalah sesuatu yang mengaibkan kerana tidak mencerminkan akhlak mulia yang diajarkan oleh agama anutan masyarakat.

Para mufti dan ulama memang boleh tersilap atau pendapatnya tidak mesti yang terbaik selalu. Maka, mereka boleh tidak dipersetujui, ditegur atau diberi maklum balas.

Namun, ia bukan justifikasi untuk bersikap negatif yang melampau terhadap mereka atau aktivis sosial/agama sebagai pelaksana panduan-panduan itu.

Walaupun sikap negatif ini perlu dibaiki, ia tidak akan hilang secara total. Di masa akan datang dan seterusnya, ia pasti akan muncul.

Hal ini disebut dalam Al-Quran sebagai “asam garam” dakwah yang turut dihadapi oleh para nabi.

Lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura. (Gambar fail: MUIS)

Para asatizah. (Gambar fail: (Gambar fail: MUIS)

Oleh itu, bagaimana sikap negatif sebegini dihadapi dalam kehidupan, khususnya oleh para aktivis sosial/agama di masjid-masjid dan badan-badan Islam?

PANDUAN AL-QURAN

Terdapat banyak “tips’ dari Al-Quran dalam hal ini dalam banyak ayatnya untuk dijadikan panduan.

Tulisan ini akan hanya memberi tumpuan kepada dua ayat di bawah:

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; Jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.” (Al-An`am: 68-9)

Kedua-dua ayat ini turun bersebab sikap sebahagian orang musyrik Arab yang mengejek dan mempersenda ajaran Nabi s.a.w. ketika beliau duduk di majlis mereka kerana ingin beramah mesra bagi tujuan berdakwah. Allah taala turunkan ayat ini bagi mengajar Nabi s.a.w bagaimana menangani mereka.

JAUHI SEKETIKA

Dalam ayat-ayat ini, Allah taala perintah Nabi s.a.w untuk jauhi mereka seketika, iaitu ketika mereka berperangai negatif, bukan tinggalkan mereka langsung.

Sebab golongan yang mempunyai kecenderungan negatif terhadap usaha agama atau golongan tertentu jangan dijauhi dan ditinggalkan sama sekali kerana tidak harus ada prejudis bahawa sikap mereka akan sedemikian dalam semua keadaan.

Menjauhi dan mengelakkan diri dari mereka pula menimbulkan persoalan, bagaimana dakwah akan sampai kepada mereka?

Jika mereka terdiri daripada anggota masyarakat Muslim sendiri pula, mereka tetap mempunyai hak untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat agama dari asatizah dan badan-badan agama setempat serta akses ke masjid.

Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir, menyampaikan khutbah Aidiladha di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. (Gambar: MUIS)

Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. (Gambar: MUIS)

Hal ini disebut dalam anjuran Nabi s.a.w agar mendatangi mereka semua apabila mereka berhenti dari bersikap buruk atau berbicara tentang perkara-perkara lain pada peluang lain dalam Al-An`am: 68.

Dalam Al-An`am: 69 pula, Allah taala mengatakan bahawa golongan sebegini masih tetap boleh mencapai taqwa, iaitu berubah meninggalkan perangai buruk, jika peringatan terus disampaikan, walau sedegil mana sekalipun.

Dalam ayat Al-Quran yang lain, Allah taala menegaskan bahawa perubahan seseorang itu tergantung juga pada hidayah dariNya (Al-Qasas:56).

Hikmah di sebalik anjuran ini pula adalah dengan tidak membalas dengan sikap negatif yang sama atau dengan menjauhi mereka, paling kurang, suasana negatif dapat dielakkan meningkat dan memburuk.

Misalnya, jika seseorang itu tidak dapat membalas sikap negatif itu dengan sesuatu yang lebih baik atau memaafkannya sebagaimana yang dianjurkan dalam Al-Quran (Fussliat: 34 dan Al-Sura: 43)

FOKUS PADA TUGAS

Dalam situasi yang mana sikap negatif mereka tidak dapat dielak seperti apabila mereka menghadiri kuliah agama terbuka, Al-Quran menganjurkan agar diserahkan urusan mereka kepada Tuhan sahaja.

Aktivis dan petugas sosial/agama hendaklah fokus kepada memberi penjelasan terbaik dan melaksanakan amanah yang ada kerana Allah taala berfirman: “tugasmu [Muhammad dan para pendakwah] hanya menyampaikan saja, sedang Kami-lah yang menghisab amalan mereka. ….” (Al-Maidah: 99)

Al-Quran menyatakan bahawa golongan yang negatif terhadap usaha-usaha baik akan pasti ada sepanjang masa dan menganjurkan berpaling sahaja dari mereka ketika bersikap buruk.

Namun ini bukan bermakna para aktivis sosial/agama tidak perlu berfikir akan pendekatan terbaik dalam mendekati atau berkomunikasi dengan mereka.

Ini kerana seperti dalam ayat tadi, ia juga menganjurkan agar “peringatan” tetap disampaikan terutama pada ketika mereka tidak bersikap negatif atau pada peluang lain yang sesuai.

MENILAI DIRI

Bermuhasabah untuk menilai diri perlu dibuat kerana kadangkala sikap negatif itu memang berpunca dari kelemahan sendiri.

Selain itu, andaian bahawa mereka tetap boleh mencapai takwa, seharusnya mendorong untuk berfikir, bagaimana para aktivis boleh berbicara dengan mereka tanpa cetus dari mereka ini sikap negatif atau defensif.

Ini memerlukan ilmu dan kemahiran komunikasi yang baik. Oleh itu, perlu faham serba sedikit ilmu ini bagi memastikan keberkesanan dalam berinteraksi dengan manusia dan dalam berdakwah.

Dua ayat yang dibicarakan juga mengajar bahawa harus bagi para aktivis untuk abaikan dan tinggalkan sahaja keburukan atau kemungkaran yang berlaku jika teguran dan nasihat yang diberi tidak akan memberi kesan pada ketika itu atau jika dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.

Namun, perkara itu hendaklah dibenci dalam hati pada ketika itu. Pada ketika lain yang sesuai, barulah teguran dan nasihat boleh disampaikan.

KONTEKS SEHARIAN

Walaupun ayat yang dibicarakan dalam artikel ini menyentuh pada asalnya golongan bukan Muslim yang memusuhi Nabi s.a.w dengan keras, tapi pelajaran yang terkandung di dalamnya boleh dikembangkan pada golongan lain.

Mereka adalah golongan yang suka bersikap negatif terhadap seseorang atas sebab-sebab peribadi atau perbezaan fahaman dari kalangan Muslim dan ahli keluarga.

Ayat tersebut bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam bidang kerja sosial/agama tetapi boleh juga diterapkan dalam konteks kehidupan seharian seperti di tempat kerja dan di wadah media sosial.


MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan