Images
  • pakatan harapan (1)
    (Gambar fail: Manan Vatsayana/AFP)

KOMENTAR: Tewas lagi, bagaimana masa depan Pakatan Harapan selepas Tg. Piai?

BERITAmediacorp: Apa sebenarnya punca kekalahan Pakatan Harapan Sabtu lalu? Apa yang perlu dilakukannya untuk terus mendapat sokongan rakyat M'sia?

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lalu seakan-seakan membuktikan kerajaan sudah tidak lagi disokong rakyat.

Nasib gabungan empat parti ini berbeza jika dibandingkan dengan keputusan pilihan raya umum pada Mei 2018, di mana PH mengakhiri pemerintahan selama 61 tahun kerajaan campuran Barisan Nasional (BN).

Setelah itu, PH kalah dalam empat pilihan raya kecil, antara sembilan yang sudah diadakan.

Malah dua kerusi yang dimenangi PH pada 2018 bertukar tangan kepada BN.

Kekalahan PH sebelum ini berlaku di kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan Islam, dan ia di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pilihan raya kecil di Tanjung Piai, sebuah kerusi parlimen di Johor, dikosongkan akibat kematian mengejut Mohd Farik Mohd Rafik.

PENGUNDI CINA

Berbeza dengan pilihan-pilihan raya kecil yang disebutkan tadi, demografi penduduk di Tanjung Piai agak rencam: 42 peratus daripada 52, 986 penduduk yang dalam senarai pengundi adalah daripada masyarakat Cina.


Masyarakat ini boleh membentuk keputusan pengundi. Dan amat jelas, kemenangan jelas bagi BN di sana menunjukkan sikap positif masyarakat Cina terhadap calon BN Wee Jack Seng, dari parti MCA.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan ini sebagai kembalinya sokongan masyarakat Cina terhadap BN.

Majoriti 15,000 yang diperolehi BN kali ini adalah 30 kali ganda majoriti yang diperolehi PH pada tahun 2018.

Pertandingan kali ini bersifat enam penjuru, tetapi hakikatnya, ia adalah persaingan antara BN and PH.

PH diwakili Karmaine Sardini. Empat calon lain tidak meraih 3,000 undian keseluruhannya, dan ini membuktikan mandat yang diterima BN amat jelas.

ISU PERKAUMAN

Sepanjang kempen, kedua-dua pihak memainkan isu perkauman. Misalnya, ada laporan yang mengatakan bahawa ada surat layang yang menampilkan wajah Karmaine dengan ungkapan “Kempen Beli Produk Islam”.

Sumber surat-surat sebegini belum dapat diketahui, tetapi menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ia menakut-nakutkan pengundi Cina.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin PH menuduh pemimpin BN sebagai berdolak-dalik kerana menyokong calon bukan Islam, sedangkan sebelumnya, mereka mahu memartabatkan Islam dan menyeru pengundi hanya mengundi calon-calon beragama Islam.

Ada juga khabar angin yang disebarkan bahawa Encik Wee adalah seorang anti-Islam, satu tuduhan yang disangkal pemimpin MCA itu.

ISU-ISU SOSIO-EKONOMI

Sebenarnya, pilihan raya kecil Tanjung Piai ini berpusat kepada isu-isu sosio-ekonomi, dan bukan agama, atau kaum.


Hakikatnya, taraf kehidupan masyarakat bawahan belum dipertingkat sejak 2019. Malangnya PH masih berkempen seperti sebuah parti pembangkang, dan menyalahkan BN bagi setiap masalah yang dihadapi negara masa kini.

Walaupun BN perlu dipertanggungjawabkan bagi masalah masa kini, PH juga perlu dipersalahkan juga. Perpecahan antara parti dalam PH, dan dalam parti-parti PH sendiri, melemahkan ajuan reformasi koalisi tersebut.

PH harus lebih introspektif dalam merenung kekalahan di Tanjung Piai ini jika ia mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya akan datang.

PERUBAHAN DRASTIK

Malah, ia perlu melakukan perubahan-perubahan drastik demi melancarkan program-program yang dilakar untuk rakyat.


Cara mereka memainkan isu kaum adalah sama seperti kerajaan sebelumnya, sedangkan BN kini boleh mendabik dada dengan menyatakan ia masih mendukung sikap setia kawan antara parti-parti Melayu, Cina dan India dalam BN.

Ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina tidak begitu prihatin terhadap kesepakatan UMNO dan PAS yang dicapai baru-baru ini. Kesediaan PAS menerima calon MCA ini membuktikan ia tidak berfahaman kanan sepeti yang digembar-gemburkan.

Lebih malang buat PH adalah ramai menteri kabinet yang hadir dalam ceramah-ceramah semasa waktu berkempen: antaranya Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.

Kekalahan besar buat PH ini amat memalukan, kerana kerahan jentera federal tidak berjaya mengubah ke arah kemenangan buat PH.

Bagaimanapun, kedudukan BN masih utuh di akar umbi, kerana Johor adalah kubu kuat BN sehingga Mei 2018, malah kekalahannya di Tanjung Piai masa itu amatlah tipis. Ternyata, Johor masih kubu kuat BN.

GAGASAN UTAMA

Buat masa ini, PH harus berusaha lebih gigih untuk memenuhi janji-janji pilihan raya yang lalu. Ia juga perlu menghentikan spekulasi terhadap peralihan kuasa, kerana itu bukanlah objektif utama PH.

Ia harus menjadikan masalah ekonomi masyarakat umum sebagai satu gagasan utama. Ia harus mengubah masalah imej kepimpinan yang tamak kuasa, dan keluar daripada kerangka kaum dan agama.

Keputusan di Tanjung Piai membuktikan bahawa masyarakat Cina tidak mengutamakan masalah politik agama dan kaum yang dimainkan BN kerana PH mainkan cara politik yang serupa.

Misalnya, penyertaan Dr Mahathir di Kongres Maruah Melayu. PH juga enggan menghantar balik pendakwah kontroversi berasal dari India, Zakir Naik walaupun beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan sensitif terhadap masyarakat Cina.

UTAMAKAN BANTUAN

PH harus mengutamakan bantuan terhadap golongan kelas pertengahan yang tersepit. Isu-isu berkaitan perumahan, pendidikan, dan jagaan warga emas menjadi keprihatinan besar terhadap golongan B40.


Penduduk Tanjung Piai adalah manifestasi golongan ini, kerana walaupun lokasi kawasan ini adalah di pantai barat Semenanjung Malaysia, dan lebih menempatkan kawasan bandar, Tanjung Piai merupakan kawasan luar bandar.

Masyarakat petani, nelayan dan pengusaha minyak kelapa sawit menetap di sana. Walaupun masih ada masa untuk PH melakukan perubahan, dan perbicaraan kes 1MDB dan korupsi terus didengar, PH harus menganjakkan perubahan di peringkat akar umbi.

Mengenai Penulis:


Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau juga penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press).  

- BERITAmediacorp/na

Top