Images
  • cancel culture
    (Gambar: Unsplash/Markus Winkler)

KOMENTAR: Tersilap kata boleh membinasakan; tapi perlukah budaya mendesak

Sedang pandemik COVID-19 terus mencengkam penduduk dunia, masyarakat tidak terlepas daripada pelbagai isu dan trend sosial.

Lewat ini di Singapura sendiri, kita berdepan dengan pelbagai isu dan trend baru di platform media sosial, salah satu daripadanya ialah trend “cancel culture” atau “budaya memulaukan”.

Budaya ini berlaku apabila seseorang individu itu dipulaukan sama sekali disebabkan oleh kelakuan atau kenyataan yang dibuatnya tidak dapat diterima pendapat umum.

Ini termasuklah kenyataan atau tindakan indvidu itu yang berbaur perkauman, seksis atau menyinggung perasaan.

Golongan yang tersinggung pula majoritinya datang daripada warga net atau netizen yang meraih sokongan kolektif menerusi platform media sosial untuk memulaukan si penyinggung.

Budaya memulaukan ini biasanya hanya berlaku apabila sokongan kolektif mendesak individu penyinggung supaya meminta maaf secara terbuka atas kesalahan yang dilakukan.

Dalam insiden-insiden tertentu, sokongan kolektif itu juga menuntut supaya individu berkenaan tidak diberhentikan kerja atau terus disingkirkan dari pandangan ramai.

KERAP BERLAKU

Di Singapura, apakah kita melihat trend ini bakal meningkat memandangkan kes-kes yang berlaku sejak kebelakangan ini?

Antaranya apabila seorang deejay radio ‘deekosh’ yang dituduh melakukan gangguan seksual ke atas seorang budak lelaki berusia 15 tahun.

Sebelum pilihan raya umum baru-baru ini terdapat insiden sentimen perkauman yang dituduh dibuat oleh seorang instagrammer Xiaxue dan juga satu kes yang telah memaksa seorang bakal calon pilihan raya terpaksa mengundurkan diri.

Tidak lama sebelum itu masyarakat Melayu/Islam pula digemparkan dengan kritikan ramai terhadap siri podcast tempatan OKLETSGO (OLG) kerana dituduh membangkitkan unsur-unsur yang merendahkan martabat wanita.

Kesemua individu yang dikenali masyarakat ini berdepan dengan risiko “dipulaukan” menerusi plaltform media sosial akibat tindakan atau kenyataan mereka.

Pada satu segi trend begini mengarah kepada penegakan keadilan sosial dengan semua pihak yang hendak membuat kenyataan perlulah bersikap bertanggungjawab terhadap kesan tindakan mereka.

Pada satu segi yang lain pula, timbul persoalan sejauhmanakah trend begini harus diterima sebagai satu norma baru dalam masyarakat?

Apakah risiko-risiko lain yang mungkin tidak dijangka daripada trend sebegini?

Dalam semua insiden yang berlalu jelas sekali ia telah membawa kepada keadaan yang lebih baik. Mereka yang telah membuat kesilapan atau terlanjur kata tampil ke hadapan mengaku serta meminta maaf atas kesilapan mereka.

Berhubung kes pengendali podcast setempat OLG, mereka telah memohon maaf menerusi satu kenyataan di Facebook selepas menerima kritikan netizen kerana komen mereka yang bersifat misoginis terhadap wanita.

TIDAK ORGANIK

Walaupun semua teguran itu mendatangkan kesedaran kepada golongan yang melakukan kesilapan, timbul juga keprihatinan apakah langkah mengakui kesilapan dan memohon maaf itu merupakan satu perubahan organik?

Perubahan organik penting kerana ia akan membawa kepada perubahan yang diidamkan berlandaskan kepada moral dan nilai masyarakat.

Sebaliknya, perubahan yang tidak organik hanya berdasarkan kepada tekanan yang diterima masyarakat tanpa menghiraukan, mengendahkan dan menyedari terhadap kesalahan yang dilakukan.

Akibatnya, ada kemungkinan kesalahan yang sama akan berlaku kerana individu yang didesak untuk meminta maaf pada awalnya tidak mempelajari atas kesalahan yang dilakukan.



PERTUKARAN IDEA

Di sisi yang lain ada juga keprihatinan bahawa budaya memulaukan ini seakan melemah dan menghancurkan semangat autonomi atau kebebasan individu untuk menyuarakan pandangan.

Apakah dengan seseorang individu itu khuatir akan ditegur masyarakat, natijahnya nanti akan menyebabkan suara-suara yang tidak konvensional atau yang bertentangan arus, terbungkam.

Sekiranya ini berlaku individu-individu yang ingin memberikan pendapat alternatif akan menjadi bimbang dan takut untuk bersuara dengan lantang.

Akibatnya kepelbagaian suara dalam masyarakat menjadi sepi kerana pendapat-pendapat yang dianggap berlainan tidak lagi diberi ruang untuk didengari.

Situasi seperti ini amatlah tidak sihat kerana bukan hanya ketiadaan pertukaran idea, malah pada masa jangka panjang wacana dalam apa bentuk sekali pun sukar untuk dicapai.

Perlu ditekankan di sini bahawa kenyataan dan tindakan yang tidak selari dengan nilai-nilai universal semestinya perlu ditegur.

Namun yang menjadi keprihatinan adalah kesepian kepelbagaian yang dikhuatiri berlaku terutama melibatkan pandangan-pandangan yang tidak konvensional.

Dalam keadaan sebegini siapa yang menentukan sesuatu itu salah ataupun betul adalah sangat abstrak dan subjektif.



PERANAN MEDIA SOSIAL

Apapun natijahnya trend budaya memulaukan ini menunjukkan pengaruh media sosial yang semakin kuat dalam masyarakat hari ini.

Buat masa ini media tradisional masih boleh menapis dan memberi keutamaan kepada pandangan atau individu yang boleh diterima masyarakat.

Namun media sosial hari ini semakin menjadi medan yang berpengaruh dalam mengabsah ataupun melemahkan status dan kedudukan seseorang.

Trend cancel culture memang berupaya mengheret atau menarik seseorang individu ke arah yang diinginkan suara ramai.

Persoalannya adalah sampai bilakah budaya ini dan pengaruhnya harus kekal berperanan dalam masyarakat?  

- BERITAmediacorp/ur

Top