Images
  • OC
    (Gambar: Robin Buxton, OCT, 118/14 OCC)

KOMENTAR: Terima kepelbagaian dan bukan setakat toleransi untuk tangani fahaman ekstrem

BERITAmediacorp: Sebagai masyarakat matang dan kosmopolitan kita perlu meningkatkan pemikiran berkenaan isu-isu kepelbagian dari sikap toleransi kepada penerimaan satu sama lain. Dalam tulisan berikut, aktivis sosial Khalid Awang berhujah toleransi sahaja tidak cukup jika kita mahu mengekalkan perpaduan dan perasaan hormat yang berpanjangan.

“Ni betul-betul berbilang kaum ni… ada budak India, budak Tionghua, budak Melayu. Tu budak Owm Puteh (Kaukasia) ke, Serani ke?” Teguran ibu saya apabila melihat gambar cucunya bersama teman-teman karibnya yang sedang menjalani latihan di Sekolah Pegawai Kadet Institut Ketenteraan, Angkatan Bersenjata Singapura.

Beliau menyambung, “Dorang kawan dah lama ke?” Saya menjawab, “Tak semua. Ada yang bermula di bangku sekolah dan ada yang bertemu semasa di Pusat Latihan Ketenteraan Asas di Pulau Tekong.”

Foto empat sekawan ini yang diambil ketika di Hari Lawatan Keluarga OCS pada bulan Januari tahun ini amat menyentuh hati saya kerana ia melambangkan bersatu-paduan masyarakat kita yang tidak pedulikan latar belakang atau bangsa dan agama.

Kalau kita fikirkan, banyak lagi contoh yang boleh kita petikkan di mana persahabatan tidak berbataskan kaum atau kepercayaan agama di Tanah Air kita ini. Malah, pergaulan yang menerima kepelbagaian secara terbuka ini berlaku bukan dengan cara tidak sengaja.

Ia menjadi cara hidup kita disebabkan adanya dasar-dasar yang dirancang rapi dan dilaksanakan dengan gigih serta konsisten oleh pemerintah dari awal lagi semenjak tahun lewat 1960-an.

DASAR INTEGRASI


Dasar-dasar integrasi yang dikuatkuasakan di perumahan awam untuk mencegah kepekatan sesuatu kaum dan pembinaan tempat-tempat beribadat di kawasan yang sama atau berhampiran telah menggalakkan sikap toleransi sesama kita yang disemai sejak awal lagi dan sejauh ini sudah bertahan lebih 5 dekad.

Upacara-upacara berunsur keagamaan seperti Bulan Hantu dan Thaipusam juga solat Jumaat dan Tarawih yang kerap menyebabkan sedikit kesulitan kepada para penduduk di kawasan berdekatan, jarang sekali menjadi hal perbalahan di sini. Ini menjadikan Singapura dikagumi masyarakat-masyarakat lain.

Di institut-institut pengajian juga, murid-murid dari peringkat rendah hingga ke tahap Pra-U diberikan pendedahan umum kepada tradisi dan budaya berbilang kaum. Aktiviti-aktiviti yang sedia dianjurkan seperti kelas pertuturan bahasa untuk para penuntut mengenali bahasa bukan bahasa ibunda mereka, berpeluang menggunakan Melayu/Mandarin/Tamil dalam beberapa sesi di sekolah.

Di samping itu, kegiatan-kegiatan seni dan kunjungan ke tempat-tempat etnik seperti Little India, Chinatown dan Geylang Serai semua diselitkan dalam kurikulum pelajaran dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian yang wujud di antara mereka dan secara langsung mengukuhkan lagi sikap toleransi antara satu sama lain.

Setiap tahun, sekolah-sekolah di sini menyambut Hari Keharmonian Kaum dengan mengesyorkan pelajar-pelajar berpakaian tradisional mereka pada hari itu. Terdapat juga pameran-pameran yang disediakan di dewan atau di ruang sekolah bagi memaparkan cara hidup berbilang kaum di Singapura. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta… nah, kalau dah kenal maka mulalah datangnya cinta.

MENJEJAS PERPADUAN


Amat membimbangkan apabila segelintir daripada masyarakat kita masih berpegang teguh kepada pendapat dan pemikiran negatif terhadap sesuatu kaum lain; dan bukan itu sahaja tetapi mereka juga semakin aktif menyebarkan perasaan kurang sihat itu.

Kita perlu prihatin di sini kerana sikap berikut boleh merosakkan dan menjejas perpaduan kita sebagai satu masyarakat aman damai.

Bayangkan kalau seseorang itu menuduh kita selaku orang yang beragama Islam sebagai pengganas yang gemar membunuh sesuka hati, yang Islam itu agama yang condong kepada kemusnahan. Kita akan menentang tanggapan itu dengan keras sebagai satu perkara yang tidak benar. Kita akan marah kalau kita dikecam dan difitnah sebegitu.

Tetapi, pernahkah kita berfikir yang kita juga bersalah jika berkelakuan sedemikian terhadap kaum atau puak atau penganut agama lain? Ada di antara kita yang dengan mudah menuduh bahawa sesuatu bangsa itu terdiri daripada orang yang kejam dan kita merangkumkan yang semua orang daripada bangsa itu mengancam keselamatan orang beragama Islam.

Persoalannya, kalau kita tidak menendang kepercayaan busuk itu apa bezanya kita dengan mereka yang menggalakkan Islamofobia?

SIKAP TOLERANSI

Setakat ini, sikap tolak ansur di antara kita adalah berdasarkan undang-undang ketat yang mencegah perkauman dan dasar-dasar integrasi yang membentuk doktrin toleransi kita.

Sebagai masyarakat matang dan kosmopolitan, untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini kita perlu meningkatkan pemikiran kita berkenaan isu-isu kepelbagian dari sikap toleransi kepada penerimaan, atau ‘acceptance.’

Toleransi sebagai tahap pertama dalam usaha keharmonian itu penting, tetapi ia tidak kukuh dan kurang stabil sekiranya kita berhasrat untuk mengekalkan perpaduan dan perasaan hormat pada satu sama lain. Ini adalah kerana ia cetek dan berdasarkan keperluan untuk mengurangkan kesulitan. Sikap toleransi hanya mampu setakat menguruskan isu-isu remeh, bukan cabaran-cabaran yang kompleks.

Kesimpulannya, kita tidak akan dapat menerima sesuatu perkara yang kita tidak fahami.

Tetapi jika sekadar bertolak ansur, kita hanya perlu meyakinkan diri kita yang sesuatu perkara itu tidak penting.

Justru itu, dengan cara bertahap-tahap, penerimaan kita terhadap satu sama lain wajib dimantapkan secara menyeluruh kerana manusia sering berasa resah dan tidak selesa apabila berhadapan dengan perkara-perkara asas seperti agama dan amalan-amalan budaya yang mereka kurang faham.

Dengan pendedahan yang lebih luas dan mendalam sambil melibatkan organisasi-organisasi sosial, budaya, dan silang kepercayaan, maka ancaman ekstremisme boleh ditangani dengan lebih efektif kerana pemahaman terhadap satu sama lain yang lebih menusuk dan intim akan menjadi pedoman kita bersama.


MENGENAI PENULIS: 

Khalid Awang adalah anggota Rangkaian Anti-Drug Abuse Advocacy (A3) di bawah naungan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA). Peranan beliau dalam A3 termasuk mendampingi dan menyebarkan mesej antidadah kepada ibu bapa, pelajar, bekas penagih dan pesalah dadah serta keluarga mereka. 

- BERITAmediacorp/na

Top