Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Terbuka dan sedia terima kepelbagaian ciri kuat Melayu S’pura sejak awal lagi

Cirinya yang terbuka dan sedia membuat perubahan membolehkan masyarakat Melayu Singapura mencorak identitinya tersendiri berbeza daripada Melayu lain di rantau ini. Asasnya, pada sejarah awal Singapura sendiri.  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Terbuka dan sedia terima kepelbagaian ciri kuat Melayu S’pura sejak awal lagi

Kegiatan Bahasa Melayu di Wisma Geylang Serai (Julai, 2019)

Satu ciri menarik rantau Melayu di Asia Tenggara ini adalah sejak dari awal lagi ia amat terdedah kepada pelbagai unsur dari luar.

Baik dari segi perdagangan, keluar masuk manusia, pembauran idea, budaya dan kepercayaan, ini semua menjadikannya rantau yang dinamik dan sentiasa bersedia menerima perubahan.

Sikap dinamik ini juga yang akhirnya memudahkan pergerakan pelbagai suku kaum Melayu dan Nusantara yang berhijrah ke Singapura dan kawasan-kawasan lain di  Semenanjung Melayu.

Dengan membawa minda sedemikian ke sana sini, masyarakat Melayu Singapura umpamanya, tidak melihat sesuatu keadaan baru itu sebagai cabaran semata-mata.

MENYESUAIKAN DIRI

Mereka sebaliknya menerima setiap keadaan yang berubah itu sebagai peluang untuk ia turut menyesuaikan diri sebagai strategi penakatannya.

Di kalangan masyarakat awal Melayu Singapura, strategi penakatannya melibatkan kesediaan untuk bersama-sama membangunkan semula pulau ini sebagai pusat dagangan utama apabila ia cuba dirancakkan kembali di bawah penguasaan Inggeris.

Bermula dengan hanya sebilangan kecil yang mengikut penghijrahan Sultan Hussein dari kepulauan Riau, ia semakin membesar dengan ketibaan lebih ramai kelompok Melayu baik dari rantau Semenanjung, Sumatera, kepulauan Sulawesi dan juga tanah Jawa.

MASYARAKAT MELAYU AWAL

Daripada mereka semua terbentuklah masyarakat awal Melayu/Islam.

Mereka bermastautin, berniaga dan bekerja dalam pelbagai bidang, mereka semua membantu proses pembangunan Singapura untuk menjadi bandar pelabuhan yang berjaya.

Namun bukan tiada cabaran bagi masyarakat Melayu untuk meraih faedah kemajuan dan kemakmuran Singapura.

Cabarannya memang banyak kerana ramai yang tidak dapat mengecapi semua hasil kemajuan itu dengan mudah.

Akibatnya ramai menjadi ketinggalan dibandingkan dengan sesetengah kaum lain.

KESEDARAN BARU

Kesedaran tentang kemunduran inilah yang mendorong pembentukan kepimpinan baru, berbeza daripada kepimpinan tradisional golongan istana dan bangsawan.

Antara mereka lahirlah tokoh-tokoh pendidikan, penulis dan wartawan, seperti Dato Haji Mohamad Said yang disifatkan ‘sejarawan modernis pertama’ yang mempelopori pemodenan Bahasa Melayu.

Beliau juga membuat sumbangan besarnya di Singapura yang turut membantu dalam memajukan pemikiran progresif di kalangan masyarakat Melayu/Islam ketika itu.

Pemikiran modernis merupakan antara komponen penting pemodenan masyarakat Melayu/Islam lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.

Perkembangan kepimpinan yang dinamik ini berterusan hinggalah ke dekad-dekad 30an, zaman perang 40an dan kepada tahun-tahun 50an.

KEPIMPINAN PROGRESIF

Ramai sarjana melihat bahawa keupayaan kepimpinan Melayu/Islam Singapura membuat respons yang membina terhadap isu pemodenan dan pembangunan pada awal-awal kurun ke-20, membolehkan Singapura muncul sebagai pusat pemikiran dan kebudayaan Melayu/Islam yang utama di rantau ini.

Pemikiran progresif yang dicernakan oleh barisan kepimpinan Melayu/Islam yang bermastautin di Singapura itu melahirkan pelbagai idea baru dan segar, baik dalam bidang penulisan dan kesusasteraan hinggalah kepada bidang seni dan kebudayaan seperti teater, muzik dan perfileman.

Mereka telah membantu masyarakat Melayu/Islam dalam melengkapkan diri dengan ‘keupayaan menyesuaikan diri yang kreatif’ sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa mereka.

Melihat kepada perjalanan sejarah masyarakat Melayu Singapura sejak dari awal lagi (disifatkan sesetengah sarjana sebagai mencerminkan ciri kosmopolitan yang cukup tinggi), mungkin tiada sebab untuk kita perlu khuatir tentang bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat menangani cabaran masa depan yang lebih mencabar.

CABARAN MASA DEPAN

Cabaran utamanya adalah bagaimana ia dapat terus membuat persiapan yang secukupnya, bukan sahaja dari segi pendidikan, kemahiran dan kelayakan.

Lebih penting lagi adalah dari segi pemikiran, minda dan pandangan hidup yang dinamik, memandang ke depan dan cukup bersedia untuk menerima perubahan yang diperlukan.

Antaranya adalah ciri-ciri yang menggalak pemikiran sempit dan bukannya terbuka; menggalak pemencilan serta  sikap eksklusif dan bukannya keterbukaan dan inklusif; serta menggalak perpecahan dan bukannya perpaduan atau kerjasama erat.

Untuk mengatasi pola pemikiran dan trend-trend sedemikian, tentunya masyarakat Melayu Singapura memerlukan kepimpinan yang sama dinamiknya seperti yang pernah dilahirkannya sekitar seabad lalu. 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan