Images
  • munsyi abdullah main
    Naskhah Sejarah Melayu edisi Munsyi Abdullah. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

KOMENTAR: Teks Melayu sebagai sumber sejarah, sejauh mana ia sudah diterima

Teks klassik Melayu kerap dilihat tidak sesuai sebagai sumber penulisan sejarah kerana banyaknya percampuran antara fakta dengan mitos. Namun lebih dari itu apakah ia kerana kita tidak menghormati atau bersikap kurang adil terhadap sumber-sumber sejarah kita sendiri?


(Gambar: SBO)

Beberapa minggu lalu, Pejabat DwiAbad Singapura telah melancarkan secara rasmi acara kemuncaknya, Perjalanan Bicentennial (Bicentennial Experience). Persembahan berbilang media itu sekaligus mengkedepankan jalur naratif sejarah negara yang baharu.

Kalau selama ini, ramai daripada kita dibesarkan dengan naratif di mana nasib pulau ini hanya berubah menjadi moden setelah “dijumpai” oleh Raffles dan pihak Inggeris pada tahun 1819, kini naratif yang baharu sepertinya berusaha untuk menangkis persepsi sedemikian.

Misalnya, titik mula sejarah Singapura kini dianjakkan lima abad ke belakang ke abad ke-13, ketika Sang Nila Utama menemui pulau Temasek, seperti yang dikisahkan dalam Sejarah Melayu.


Sementara kehadiran pihak Inggeris serta kolonialisme hanya dianggap sebagai salah satu daripada pelbagai titik perubahan dalam sejarah negara, dan bukanlah pemacu perubahan seperti yang diuar-uarkan selama ini.

Barangkali naratif sejarah yang baharu ini boleh dilihat sebagai usaha awal untuk mengembalikan semula tempat Singapura ke dalam lingkungan sejarah dunia Melayu.

Selama ini, penulisan dan cara sejarah Singapura diajar di sekolah boleh dikatakan cenderung untuk memisahkan perkembangan Singapura daripada rantau ini, lebih-lebih lagi sejarah Singapura sebelum kedatangan kolonialisme, seakan-akan sejarah hanya bermula dengan kehadiran orang Eropah.

LEBIH POSITIF

Bagaimanapun, dalam jalur naratif sejarah yang baharu, antara babak yang diketengahkan termasuklah hubungan awal Singapura dengan kesultanan Melaka, Johor dan Aceh sebelum abad ke-18.

Tambahan lagi, menerusi naratif ini, sepertinya ada ruang untuk penerimaan yang lebih positif terhadap penggunaan teks-teks Melayu sebagai sumber penulisan sejarah.

Walhal sebelum ini, agak kerap kita dengar kalau teks-teks Melayu sukar dijadikan narasumber dan sebaliknya sering dicurigai oleh para pengkaji Orientalis dan beberapa ahli sejarah ternama akan ketelusannya, kerana teks-teks ini dirumuskan sebagai terlebih banyak mitos daripada faktanya.

Oleh itu, mungkin naratif baharu ini boleh membuka peluang untuk kita memikirkan semula tanggapan popular kalau teks-teks Melayu kurang sesuai dijadikan sumber sejarah.

Sayugia memperkenalkan juga kewujudan teks-teks selain daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Abdullah (seperti yang digunakan dalam naratif terbaru ini) dalam korpus sastera kita, lebih-lebih lagi yang boleh digunakan untuk menulis tentang Singapura di abad ke-19.


BANYAK TULISAN
Kalau diperhatikan, cukup banyak tulisan yang bersangkut paut dengan Singapura – sama ada secara langsung ataupun tidak langsung – yang dihasilkan ketika itu.

Antara lain, syair-syair dan cerita pendek tulisan Munsyi Abdullah; syair-syair Tuan Simi (1830an) tentang kesan pemerintahan awal Inggeris ke atas penduduk Singapura; Syair Rakis karangan Pengiran Shahbandar dari Brunei (1840an) yang menyelitkan peringatan kepada sultan beliau agar berhati-hati dengan pihak Inggeris selepas apa yang terjadi kepada sultan di Singapura; dan juga Syair Lampung Karam (1880an) yang meskipun mengisahkan tentang kesan ledakan Gunung Krakatau ke atas kota Lampung, dihasilkan pengarang setelah dia lari ke Singapura untuk menyelamatkan diri.


Telok Ayer Street pada masa dahulu. (Gambar: National Archives of Singapore)

Mentelah lagi, Singapura sejak pertengahan abad ke-19 juga merupakan pusat intelektual dalam rantau ini, dengan industri percetakan buku dan litograf yang marak. Jadi agak menghairankan mengapa masih terdapat semacam keberatan untuk menjadikan teks-teks Melayu sebagai sumber untuk menulis sejarah, khususnya di Singapura.

Walhal sejak tahun 1970an, bidang sejarah secara umumnya sudah mula akur akan kesesuaian dan kepentingan sastera lokal sebagai narasumber sejarah.

PENYAHJAJAHAN SEJARAH

Antara sebab mengapa keberatan ini berlanjutan mungkin terletak dalam cara sejarah sebagai sebuah disiplin ilmu diketengahkan di kampus dan dalam kalangan mereka yang berpengaruh, baik dari sfera akademik mahupun politik.

Tidak dapat dinafikan kalau konsep sejarah sebagai sebuah disiplin ilmu moden hanya benar-benar muncul setelah zaman Pencerahan (Enlightenment), dan untuk sekian lama, dianggap juga sebagai sebuah cabang sains yang menggunakan bukti empirikal (yakni fakta) untuk mencungkil semula apa yang terjadi di masa silam.

Kebetulan juga, era pasca-Pencerahan ini bertindan dengan era peluasan kuasa imperialis Eropah, dan pengusahaan ilmu tentang dunia Timur berkembang sejajar dengannya.


PRASANGKA EROPAH

Jadi tidak dapat tidak, sejarah sebagai sebuah bidang ilmu yang formal berkait rapat dengan imperialisme, dan sekaligus, segala prasangka masyarakat Eropah terhadap dunia Timur juga mewarnai cara sejarah tentang masyarakat bukan Eropah ditulis dan diajar, termasuk kepada masyarakat di tanah-tanah jajahan.

Ditambah lagi dengan usulan-usulan yang pernah diajukan para pemikir yang dianggap sebagai paus dalam bidang sejarah.

Misalnya, pemikir Jerman, G.W.F Hegel, berani membayangkan kalau sejarah masyarakat bukan Eropah hanya bermula setelah kedatangan masyarakat Eropah, kerana sebelum itu mereka tidak mempunyai apa yang boleh disebut dan difahami dalam konteks moden sebagai ‘sejarah’.

Ia merupakan pandangan yang telah dikritik rapi sejarawan asal India, Ranajit Guha, dalam buku beliau, ‘History at the Limits of World-History’, tapi barangkali belum cukup dihadam para pelajar sejarah kita pada hari ini.

MEMPERLEKEH TEKS-TEKS

Maka mudah sekali untuk para pelajar kita memperlekehkan teks-teks tempatan semata-mata sebagai “sastera”, yang membenarkan pencampuran fakta dengan imaginasi, mitos dan elemen-elemen fiktif yang lain.

Ini berbanding dengan rekod-rekod Eropah yang dikatakan mengikut standar empirisisme moden yang menekankan fakta dan penelitian objektif, dan justeru lebih dipercayai.

Persepsi sebegini terbawa-bawa hingga ke era pascakolonial dan dibiasakan dalam ruang pembelajaran, sehinggakan para pelajar kita hampir secara automatis bertanggapan bahawa teks-teks lokal sudah semestinya kurang nilai berbanding dokumen-dokumen dari pihak administrasi kolonial dan tulisan sarjana Eropah yang lebih saintifik dan ‘benar’.

Sudah tentu, kalau kita hendakkan teks-teks Melayu sekadar menjadi penyalur maklumat untuk dijadikan fakta, sama seperti statistik dan laporan-laporan rasmi, maka kita akan dihampakan sama seperti para pengkaji dan penulis sejarah terdahulu.


Tapi lebih parah dari itu, dalam kita berbuat demikian, kita seakan-akan tidak menghormati dan kurang adil terhadap sumber-sumber sejarah kita, dan juga terhadap sejarah sebagai bidang ilmu itu sendiri.

TIDAK PERLU ‘BEKU’

Masa silam mungkin tidak boleh diubah, tapi cara kita berfikir, menulis dan mengkaji sejarah tidak perlu sama ‘beku’.

Seharusnya kita kritis bukan sahaja dalam pembacaan narasumber sejarah kita tanpa mengira bahasa, tapi juga sama – atau bahkan, lebih – kritis dalam mempersoalkan mengapa kita sampai terbiasa menganggap teks-teks lokal kurang sesuai dijadikan sumber sejarah.

Mungkin di sinilah terletaknya langkah-langkah awal untuk kita menyahjajahkan (decolonize) sejarah, atau secara ringkasnya usaha untuk membebaskan sejarah daripada belenggu imperialisme ilmu.

Tanpa ragu lagi, penyahjajahan sejarah tidak cukup sekadar mengetengahkan sejarah daripada perspektif yang dijajah ataupun menerusi penggunaan sumber-sumber tempatan.

Penyahjajahan sejarah adalah suatu komitmen untuk menggugah rangka kuasa di tiap zaman yang membungkam mereka yang tertindas, dan ini boleh bermula dengan penilaian semula apa yang kita fahami tentang sejarah dan apa makna sejarah buat kita.

MENGENAI PENULIS:


Nur Syafiqah Ahmad Jaaffar berkelulusan Sarjana di Jabatan Sejarah, Universiti Nasional Singapura (NUS). Kajiannya tertumpu kepada persimpangan sejarah, sastera, dan imej visual. Beliau juga penulis bebas dan editor sebuah penerbitan digital tentang Singapura di abad ke-19.

- BERITAmediacorp/ur

Top