Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tanpa sikap positif dan amalan baik COVID-19 sukar dihapuskan

Memang ada yang mula menunjukkan sikap letih dan lalai dalam berhadapan dengan pandemik covid. Bagaimana usaha kecil tetapi berkesan dapat diambil untuk terus menanamkan sikap positif sesama kita?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tanpa sikap positif dan amalan baik COVID-19 sukar dihapuskan

Jemaah di Singapura menanti dengan teratur untuk diperiksa suhu badan sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid pada 26 Jun 2020. (Gambar fail: MUIS)

BERITAmediacorp: Memang ada yang mula menunjukkan sikap letih dan lalai dalam berhadapan dengan pandemik covid. Bagaimana usaha kecil tetapi berkesan dapat diambil untuk terus menanamkan sikap positif sesama kita?

Para jemaah mengerjakan solat Jumaat di Masjid Mujahidin pada 28 Ogos 2020. (Gambar: BERITAmediacorp)

Jemaah solat Jumaat di Masjid Mujahidin pada 28 Ogos 2020. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Kes jangkitan dalam masyarakat terus berkurangan, fasa ketiga kelihatan semakin tiba, ruang solat di masjid-masjid menambah, dan sambutan Maulid Nabi juga akan dianjurkan secara fizikal.

Walaupun pandemik COVID-19 ini akan berpanjangan lebih lama lagi, hasil usaha masyarakat Singapura untuk mematuhi peraturan-peraturan dapat dilihat dan dirasakan.

Bagi mereka yang bernasib baik, semangat untuk menempuhi cabaran-cabaran kehidupan sungguh berbeza apabila dibandingkan dengan suasana murung menjelang Ramadan dan Aidilfitri beberapa bulan lepas. Namun, kita belum lagi selamat daripada wabak ini.

Dalam suasana tanda-tanda yang memberangsangkan, kita harus juga merenung dan menilai diri bagi mencegah sikap-sikap negatif yang membawa binasa - leka, kurang berwaspada dan tidak bertanggungjawab.

Baik di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Pasifik, banyak negara mengalami kebangkitan jumlah kes-kes jangkitan COVID-19 akibat perbuatan individu-individu yang tidak mematuhi langkah-langkah keselamatan.

Antaranya tidak memakai pelitup muka di restoran-restoran, keluar dari rumah walaupun kurang sihat, dan mengadakan majlis berbesaran.

Di Korea Selatan, seramai 35,000 penduduk terpaksa menjalani pemeriksaan hanya kerana seorang pemesta kelab malam yang tidak bertanggungjawab. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

JANGAN LALAI

Kita di Singapura tidak lali daripada kelalaian. Tinjauan menunjukkan bahawa ramai antara kita sudah letih mematuhi peraturan.

Ada juga yang mengaku bahawa mereka tidak mematuhi peraturan-peraturan sepenuhnya, terutama sekali bila tiada pemantauan.

Pada September lalu, 32 pelanggan restoran didenda S$300 seorang kerana tidak memakai pelitup muka dengan segera setelah makan, bergaul dengan pelanggan bukan semeja ataupun berkumpul lebih daripada lima orang semeja.

Sebanyak 14 kedai makanan dan minuman (F&B) pernah didenda dan ada juga diarahkan ditutup kerana pelbagai kesalahan melanggar langkah-langkah keselamatan. Ini amat merisaukan.

Pihak berkuasa dapati sebilangan pelanggan langgar langkah keselamatan COVID-19 (Gambar: SFA)

(Gambar fail: SFA)

BERSIKAP POSITIF

Untuk mengelakkan penat-lelah menghadapi cabaran-cabaran kehidupan dalam suasana COVID-19 dengan segala macam langkah-langkah keselamatan, kita harus bersikap positif.

Bersikap positif bukan bermaksud menghadkan corak pemikiran kepada yang baik sahaja. Ia merangkumi dan boleh dibina dengan amalan-amalan harian seperti pemakanan yang sihat, senaman dan beramal baik.

Kita boleh mengingatkan ahli keluarga dan rakan-rakan tentang langkah-langkah keselamatan dan peraturan-peraturan.

Kita juga boleh mendorong atau menolong mereka yang mungkin mengalami kesempitan akibat kesan ekonomi COVID-19 atau menghadapi kesusahan untuk mematuhi peraturan-peraturan atau langkah-langkah tersebut.

Antara contoh-contoh yang baik termasuk menyediakan pelitup-pelitup muka bagi mereka yang terlupa atau kurang mampu.

HARUS PRIHATIN

Selain itu, ramai di kalangan masyarakat kita yang mengisi masa sebagai sukarelawan serta menggembleng tenaga dan kewangan untuk menolong golongan miskin dan kurang upaya selama beberapa bulan ini.

Ada juga yang menderma wang, makanan dan sejadah kepada masjid-masjid dan pekerja-pekerja asing.

Para pekerja asing menerima makanan pada pagi Raya. (Gambar: MUIS)

Para pekerja asing menerima makanan pada Aidiladha pada Jul 2020. (Gambar: MUIS)

Dalam konteks pembukaan lebih banyak ruang di masjid-masjid pula, elakkan sikap mementingkan diri sendiri.

Dengan lebih ramai pengunjung ke masjid, kita harus prihatin terhadap masa yang berlalu sambil beribadah.

Sebaiknya, masa yang digunakan di masjid harus seringkas mungkin, kerana nikmat 20-30 minit ini merupakan kelonggaran. Sedekahkanlah masa yang lebih kepada mereka yang menunggu di luar masjid dan belum melakukan kewajipan mereka.

Lagipun, ini akan memudahkan lagi pihak masjid untuk memantau dan mengurus pergerakan orang dan pematuhan peraturan.

BERKASAR BAHASA

Mengimbas pengalaman bulan-bulan yang lalu, ada sebahagian kecil di antara kita yang mula berkasar bahasa dengan pegawai-pegawai masjid kerana tidak puas hati dengan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan.

Ada yang tiba lewat, mahu melakukan solat sunnah sepuas hati walaupun sudah melebihi masa, tidak mahu solat di ruang yang disediakan, tidak mahu menerima teguran untuk memakai pelitup muka.

Ada juga tidak membawa sejadah sendiri, tidak suka mendengar peringatan jarak selamat melalui sistem bunyi masjid dan ada juga yang tidak sabar menunggu giliran.

Mereka menyalahkan pegawai-pegawai masjid dan sukarelawan “SafeEntry” yang terpaksa bersabar dengan kata-kata kasar mereka seperti, “awak tanggung dosa saya”, “saya akan laporkan kepada Mufti”, dan sebagainya.

Kubah Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Kubah Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Selain menjejas suasana dan kesucian masjid, sikap ini hanya menyakiti hati dan menambah perasaan penat-lelah orang sekeliling kepada peraturan di masjid.

Tambahan lagi, kita harus menahan daripada mengangkat suara untuk mengelakkan semburan cecair.

AMALAN BAIK

Walaupun masa dan peluang untuk ibadah di masjid itu terhad, secara individu, kita juga boleh beramal baik sambil menjaga keselamatan dengan melakukan langkah-langkah kecil.

Seperti bersopan-santun, menderma, mengelakkan pembaziran beg plastik dengan membawa beg kasut sendiri, membuang pelekat di tempat yang sesuai, memberi laluan kepada orang yang lain serta saling mendorong dan ingat-mengingati.

Mudah-mudahan, dengan amalan-amalan baik “alternatif” ini, masyarakat kita secara keseluruhan dapat mencapai sikap berpositif yang akan memberi tenaga dan semangat yang diperlukan untuk mengatasi COVID-19.

Satu hari nanti, anak-anak atau cucu-cucu kita mungkin ingin tahu tentang pengalaman kita melalui zaman COVID-19.

Sebaiknya, jawapan kita penuh dengan contoh-contoh yang membanggakan. Sekurang-kurangnya kita dapat mewariskan teladan-teladan baik sebagai generasi yang menghadapi wabak ini.

Malang sekali jika kita digolongkan antara mereka yang leka, degil, atau lebih teruk lagi, jika kitalah setitik nila yang memburukkan lagi keadaan di ambang pemulihan. 

MENGENAI PENULIS:

(Gambar ihsan: Muhammad Haziq Jani)

Muhammad Haziq Jani adalah seorang Penganalisis Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan