Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Suara sudah didengar, keputusan sudah dibuat; apa pula selepas ini…

Sikap dan budaya politik yang cermat, bijak dan teliti dalam membuat keputusan boleh menjadi daya tahan penting dalam negara menghadapi keadaan semakin tidak menentu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Suara sudah didengar, keputusan sudah dibuat; apa pula selepas ini…

Pengundian semasa Pilihan Raya Umum S'pura, 10 Jul 2020 (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Demokrasi moden, dengan amalan pilihan raya bebas dan hak untuk memilih sesiapa sahaja yang diinginkan, sering disebut sebagai sistem pemerintahan yang paling bijak dicipta manusia.

Ia berasaskan pada anggapan bahawa semua orang yang bergelar warga negara mempunyai hak yang sama tidak kira yang kaya atau miskin, tua atau muda, untuk memilih siapa sahaja yang harus menjadi pemimpin mereka.

Jika ia bijak diamalkan tanpa adanya penyalahgunaan atau penyelewengan oleh sesiapa, demokrasi moden atau juga dipanggil sebagai demokrasi ‘liberal’ (tidak kiralah Barat atau Timur) memastikan adanya peralihan kuasa politik secara aman dan tenteram.

Amalan demokrasi seperti inilah yang telah menjamin kemakmuran dunia sejak berdekad-dekad lamanya – walaupun adanya krisis dan kekecohan di sana sini - menyusuli tamatnya Perang Dunia Kedua dan era Perang Dingin tahun-tahun 80-an.

Kemakmuran tersebut kemudian membantu pula negara-negara membangun seperti Singapura dan banyak negara Asia yang lain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan peningkatan mutu kehidupan rakyatnya.

Semua kemajuan dan pembangunan pesat ini telah menyumbang pula kepada era globalisasi tahun-tahun 90-an yang menyaksikan pelbagai ledakan dalam teknologi maklumat, teknologi perusahaan dan pengilangan, perdagangan dan pergerakan tenaga buruh di seluruh dunia.

US manufacturing posted the fourth straight month of faster expansion in December as new orders and output jumped, pointing to a growing economy. (AFP/Bill Pugliano)

Pada satu pihak ia membawa pembangunan dan kemakmuran; di satu pihak yang lain pula ia mewujudkan pelbagai ketegangan, tekanan, perpecahan dan polarisasi (kaum, agama, atau puak).  

Tekanan ke atas institusi demokrasi bertambah berat dengan meningkatnya desakan dan tuntutan supaya lebih banyak dilakukan oleh pemerintah kepada golongan bawahan dan pekerja – akibat pembangunan dan kemewahan yang tidak seimbang serta meluasnya jurang ketidaksamarataan dalam masyarakat.

TEKANAN SOSIAL DAN POLITIK

Ketidakseimbangan ini bercampur ketegangan dan tekanan sosial dan politik, mewujudkan pelbagai perasaan marah dan kebencian tidak tentu pasal, yang kerap ditujukan ke arah orang lain.

Kerap menjadi mangsa kebencian, golongan pendatang baru, para pekerja dan rakyat asing yang berbeza warna kulit, bahasa dan kepercayaan – malah juga mereka yang berbeza pandangan, kepercayaan dan gaya hidup yang berlainan.

Pankaj Mishra (penulis the Age of Anger) menyifatkan zaman globalisasi ini sebagai ‘globalisasi kemarahan’ (Globalization of Rage).

Bagi ramai pemerhati mereka berpendapat kalau kita mahu mencari punca perpecahan dan polarisasi sosial sekarang ini, lihatlah pada gejala globalisasi tahun-tahun 90-an.

GLOBALISASI 90-AN

Segala bentuk perasaan tidak senang dan rasa gelisah baik dalam soal ekonomi, pekerjaan dan hubungan politik mahupun dalam ketegangan dalam soal hubungan kaum, agama dan budaya ada kaitannya dengan apa yang berlaku akibat proses globalisasi tahun-tahun 90-an.

Pada era ketika itulah segala perasaan yang sekian lama terpendam akhirnya tidak lagi dapat dibendung dan terus meledak menjadi fahaman dan ideologi kumpulan-kumpulan tidak toleran dan ekstrem di sana sini.

Dalam masyarakat Islamnya ia menjadi ideologi kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al Qaeda atau ISIS.

Di negara-negara demokrasi seperti di Amerika Syarikat dan Eropah, ia melahirkan kumpulan-kumpulan pelampau kaum kulit putih yang bencikan pendatang dari luar.

Ini pula menimbulkan reaksi daripada masyarakat pendatang asing yang bertindak balas dengan membentuk kumpulan masing-masing atas nama memperjuangkan agama atau cara kehidupan mereka yang dikhuatiri terancam dengan ‘nilai-nilai pemodenan Barat yang songsang.’

Kalau di Amerika Syarikat sikap keterlaluan kulit putih boleh mengizinkan kemunculan pemimpin populis seperti Donald Trump, di rantau Asia Tenggara pula ia telah mengukuhkan lagi pengaruh fahaman nasionalis etnik atau agama di kalangan sesetengah kumpulan.

KEPERCAYAAN MEROSOT

Walaupun sikap mereka pada dasarnya telah menyimpang daripada prinsip demokrasi dan kebebasan (kerana kurangnya rasa toleran terhadap orang lain) mereka tidak berasa kekok untuk menggunakan demokrasi sebagai alat tunggangan bagi meluaskan pengaruh dan menguasai tampok kekuasaan politik.

Jika trend seperti ini berterusan kita boleh menjangkakan merosotnya kepercayaan dan penghormatan kepada demokrasi sebagai institusi yang berwibawa.

Ia pula boleh menggugat dan melemahkan lagi demokrasi  – seperti yang sudahpun berlaku di Amerika dan Eropah – dan menjadikannya kurang berkesan dalam menangani krisis yang dihadapi negara.

Penunjuk perasan bersemuka dengan polis di luar Rumah Putih di Washington, DC, pada awal 30 Mei 2020. (Gambar: Eric Baradat/AFP)

Tidak seperti banyak negara lain, kita beruntung dapat mempelajari daripada pengalaman negara-negara demokrasi yang lain tentang bagaimana tekanan ke atas mereka seharusnya ditangani dengan baik.

KEMATANGAN POLITIK

Persoalannya adalah apakah sistem dan budaya politik di Singapura semakin menunjukkan kematangan yang boleh mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam pelbagai kancah krisis yang dihadapi negara-negara lain.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Rata-rata keputusan menyeluruh menunjukkan adanya keinginan kepada kepimpinan baik yang berterusan dan pada masa yang sama ada juga keinginan bagi lebih banyak kepelbagaian pandangan dan pendekatan.

Sikap dan budaya politik yang cermat, bijak dan teliti dalam membuat keputusan boleh menjadi antara daya tahan penting Singapura dalam ia menghadapi keadaan semakin tidak menentu pada masa-masa akan datang.

Budaya politik yang sederhana, sentiasa mencari jalan tengah boleh diperkukuhkan lagi dengan meletakkan kata sepakat dan semangat perpaduan sebagai nilai-nilai utama kita.

Dengan negara baru sahaja melalui proses pemilihan kepimpinannya dan disusuli pula dengan ketibaan Hari Ulang Tahun negara bulan depan, ini tentunya masa yang baik bagi kita yang bergelar warga negara untuk turut memikirkan persoalan ini dengan lebih mendalam  lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan