Images
  • komentar em main
    Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memeluk seorang penduduk Muslim di Masjid Kilbirnie di Wellington. (Gambar: Getty Images)

KOMENTAR: Suara inklusif di New Zealand sedang rakyatnya mencari jawapan

BERITAmediacorp: Dua minggu selepas serangan ganas di New Zealand, mesej inklusif terus ditegaskan bahawa kita semua, baik Muslim atau bukan Muslim, adalah sebahagian daripada persaudaraan dalam kemanusiaan.

Kepimpinan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dalam menangani serangan ganas ke atas dua masjid di Christchurch dua minggu lalu rata-rata menerima pujian masyarakat antarabangsa.

Tindakan pantasnya menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan pengganas, serta langkah meminda undang-undang senjata api menunjukkan pendiriannya yang tidak berkompromi dalam memastikan New Zealand kekal sebuah negara yang selamat untuk didiami.

Awal minggu ini, beliau turut mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat serangan tersebut.

Dalam membuat keputusan-keputusan tegas, PM Ardern memikul satu lagi tugas penting iaitu mengungkapkan isi hati rakyat sedang mereka cuba untuk pulih daripada tragedi tidak diduga itu – satu tanggungjawab berat memandangkan serangan yang mengorbankan 50 nyawa itu begitu mengejutkan seluruh warga New Zealand. 


(Gambar: Michelle Hyslop/AFP)

Tidak seperti serangan-serangan pengganas yang pernah berlaku di negara-negara lain sebelumnya, tiada janji dari PM Ardern bahawa New Zealand akan segera bangkit seperti sedia kala.

Apa yang ketara adalah semangat perpaduan warganya, meskipun pada masa yang sama mereka mencari-cari jawapan kepada peristiwa hitam 15 Mac.

Serangan yang dilakukan pelampau haluan kanan kulit putih Brenton Tarrant ke atas Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, dibandingkan dengan reaksi rakyat New Zealand terhadap tragedi itu, menggambarkan dua imej yang amat jelas bertentangan. 

Si pengganas melepaskan tembakan untuk menyebarkan ketakutan dan kebencian namun rakyat New Zealand bertindak balas dengan mendampingi masyarakat Muslim serta menyokong dan membantu mereka dengan sewajarnya.

MENCEGAH PERMUSUHAN

Sokongan yang tidak putus-putus itu menunjukkan sifat ihsan dan empati warga New Zealand. Ramai yang mendapatinya sukar memahami mengapa dan bagaimana keganasan berskala besar seumpama itu boleh berlaku.

Apatah lagi New Zealand memang terkenal dengan kepelbagaian kumpulan etniknya dan keamanan yang dinikmatinya sebelum ini menjadi kebanggaan rakyatnya.


(Gambar: Jerome Taylor/AFP)

Semasa menyampaikan kenyataan menteri mengenai serangan masjid Christchurch di Parlimen, PM Ardern menyebut asal usul pelaku serangan ganas itu – bahawa dia bukan dari New Zealand dan sebaliknya seorang rakyat Australia. Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak merujuk kepada hal tersebut sebagai cara untuk mengalihkan beban kesalahan. 

Bahkan beliau menimbulkan satu perkara yang jarang dibincangkan secara terbuka di New Zealand – bahawa pandangan sama yang dipegang pengganas itu juga wujud di New Zealand meskipun jumlahnya kecil.

Beliau menegaskan lagi hal tersebut dalam beberapa wawancara dengan pihak media kemudian.

Perkauman dan diskriminasi ada di mana-mana namun pengiktirafan PM Ardern tentang pandangan-pandangan serupa di negaranya adalah langkah yang penting dan perlu dalam mencegah gejala kebencian dan permusuhan daripada berleluasa.

MEMBUKA MATA

Beliau tidak mendedahkan sebarang dapatan atau laporan rasmi mengenai peningkatan Islamofobia di New Zealand, namun normalisasi pandangan sedemikian boleh menyuburkan rasa kebencian dan ekstremisme terhadap mereka yang berlainan - sama ada dari segi kumpulan etnik, agama, warna kulit dan sebagainya.

Jika dari awal lagi PM Ardern menggelar serangan masjid Christchurch sebagai satu kejadian “luar biasa” dan “tidak pernah berlaku sebelum ini”, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa tindak balas rakyat New Zealand terhadap serangan tersebut juga membuka mata dunia. Mereka menunjukkan belas ihsan dan simpati luar biasa kepada masyarakat Muslim tidak kira yang terjejas secara langsung oleh kejadian itu ataupun tidak.


(Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Dua minggu sudah berlalu, namun pelbagai bentuk sokongan terus dihulurkan oleh rakyat New Zealand kepada masyarakat Muslim minoritinya. Kegiatan dan perhimpunan sebagai tanda perpaduan diadakan bukan hanya di Christchurch tetapi juga di masjid-masjid di merata New Zealand malah melimpah ke negara-negara lain di merata dunia.

Kempen rasmi mengumpul dana untuk para mangsa dan keluarga mereka menerusi wadah online Give A Little sudah mengumpul lebih NZ$9 juta (S$7.4 juta) hingga 28 Mac dan akan terus menerima derma hingga 15 Mac tahun 2020.

SERANGAN KE ATAS KEBEBASAN

Ini memberi harapan bahawa sokongan dan perpaduan yang ditunjukkan sejak dua minggu lalu bukan hanya bersifat sementara.

Di tengah-tengah krisis yang melanda, PM Ardern berulang kali menekankan di dalam dewan parlimen mahupun dalam pertemuannya dengan anggota masyarakat Muslim, bahawa keutamaan beliau adalah untuk memastikan keselamatan masyarakat Muslim di New Zealand dan seluruh rakyat negara itu secara amnya.

Ini beliau sampaikan secara berkesan melalui kata-kata dan komunikasi bukan lisan. Apa yang berlaku di Christchurch bukan hanya satu serangan ke atas masyarakat Islam tetapi juga nilai-nilai kemanusiaan yang dipegang setiap rakyat New Zealand tidak kira apa pun kepercayaan mereka.


(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Hijab yang dipakai oleh Perdana Menteri ketika bertemu dengan masyarakat Muslim adalah tanda sokongan beliau terhadap mereka yang berasa keselamatan mereka kini terancam.

Ia juga menyampaikan mesej bahawa tiada siapa yang sepatutnya berasa dipencilkan atau disisihkan hanya kerana kepercayaan yang mereka pegang. Prinsip yang sama juga dipertahankan untuk mana-mana kumpulan agama di New Zealand.


(Gambar: Glenda Kwek/AFP)

Serangan ke atas dua masjid itu juga adalah serangan ke atas kebebasan beribadah dan pencabulan terhadap keselamatan diri, masyarakat dan institusi keluarga. Ia meninggalkan kesan yang begitu mendalam bagi kebanyakan rakyat New Zealand kerana mereka yang terkorban adalah pekerja, pelajar, ibu, ayah dan anak yang ingin hidup dalam keadaan selamat di tempat mereka dilahirkan atau pilih untuk membina kehidupan baru.

SAUDARA KEMANUSIAAN

Hari peringatan negara pada Jumaat (29 Mac) di Christchurch bertujuan memberi penutup kepada ahli keluarga para mangsa. Ini masa untuk mereka mendapatkan semula privasi dan meneruskan kehidupan setelah berada di tengah-tengah tumpuan dunia selama 14 hari lalu.


(Gambar: Marty Melville/AFP)

“Mereka adalah kita” merupakan kata-kata sokongan PM Jacinda Ardern kepada masyarakat Muslim selepas serangan pengganas ke atas Masjid Al Noor dan Masjid Linwood. Seruan itu mencerminkan sikap warga New Zealand iaitu “kita”- yang tidak membezakan “mereka” bermaksud masyarakat Muslim.

Dalam kata-kata yang sama “kita” juga boleh diperluaskan untuk merujuk kepada masyarakat dunia yang termasuk masyarakat Muslim - kerana semuanya bersaudara dalam kemanusiaan.

Apa yang perlu dibezakan adalah “mereka” yang mencetuskan keganasan dan menyebarkan permusuhan dan kebencian, tidak kira atas nama apa pun tindakan itu dilakukan.  

- BERITAmediacorp/ai

Top