Images
  • komentar main
    Masjid Al-Azhar setelah melalui pembaikpulihan baru-baru ini. (Gambar: Nur Diyana)

KOMENTAR: Sistem pendidikan lama seperti di Al-Azhar masih lagi relevan

BERITAmediacorp: Apakah sistem pembelajaran universiti tertua seperti Al-Azhar masih lagi relevan kepada masyarakat Islam Singapura? Zamil Dr Norshahril Saat dan penyelidik Nur Diyana Zait menulis Al-Azhar ada kelebihan dan kelemahannya sendiri tetapi terserah kepada para pelajar untuk memanfaatkannya.

Apabila kita sebut tentang universiti terkemuka Islam di seantero dunia, pasti ramai yang akan mengatakan Universiti Al-Azhar. Ia diberi gelaran sebagai Universiti Oxford bagi dunia Islam.

Universiti yang berdiri di Mesir itu ditubuhkan hampir seribu tahun lalu (tahun 970), dan ada yang mengatakan ia adalah universiti tertua di dunia. Baru-baru ini, kami sempat melakukan lawatan ke universiti tersebut dan bertemu dengan pelajar-pelajar Singapura di sana.

Ramai yang pasti tertanya-tanya masih relevankah cara pembelajaran universiti tersebut dalam era kontemporari? Malah ada sarjana yang mempersoalkan sama ada universiti tersebut adalah huraian atau punca masalah yang dihadapi dunia Islam sekarang ini, di mana fahaman ekstrem amat ketara, dan kadangkala menjurus kepada radikalisme.

Berdasarkan pengamatan kami, Al-Azhar, yang mempunyai tradisi (manhaj) sederhana, tidak harus dipersalahkan tentang apa yang sedang berlaku di dunia Islam.

Sebaliknya, setiap pelajar harus berusaha gigih untuk memanfaatkan ilmu daripada guru-guru di universiti tersebut demi untuk menjadi ilmuwan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

SEJARAH AL- AZHAR 

Apabila bercakap tentang Universiti Al-Azhar, kita perlu merujuk kepada asal-usulnya iaitu Masjid Al-Azhar.

Masjid yang dibangunkan pada abad ke-10 ini bertujuan sebagai pusat penyebaran mazhab Syi’ah Isma’iliyah di Mesir pada Dinasti Fatimiyah.

Pada waktu tersebut, mazhab rasmi di Mesir adalah Syi’ah Isma’iliyah sehinggalah Salahuddin al-Ayyubi berjaya menguasai Mesir.


(Gambar para pelajar berbilang bangsa berhalaqah di halaman Masjid Al-Azhar. Gambar: Zangaki, tahun 1870-1890)

Sejak itu, mazhab rasmi berubah dari Syi’ah ke Sunni. Namun demikian, kesan-kesan kerajaan Syi’ah sejak Dinasti Fatimiyyah masih terdapat di sebahagian masjid-masjid lama di sekitar Kaherah.

Malah, masyarakat tersebut bebas mengamalkan fahaman mereka.

Para penuntut dari merata dunia sanggup datang ke negara Mesir semata-mata untuk mendalami agama Islam.

Berdasarkan wawancara kami dengan Naib Presiden Al-Azhar, Dr Yousef Amer, terdapat 33,000 pelajar asing dari 108 negara yang menuntut di Universiti Al-Azhar.

Menurut beliau, majoriti para pelajar asing datang dari Asia Tenggara, termasuk Singapura.

MASLAHAT PELAJAR 

Biasanya, mahasiswa Singapura melanjutkan pelajaran ilmu agama dalam jurusan teologi, syariah Islamiah, dan bahasa Arab.

Secara purata, para pelajar meluangkan masa empat hingga tahun untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar.

Pada tahun 1960-an, terdapat segelintir warga Singapura yang belayar ke Kaherah untuk menuntut ilmu agama di Al-Azhar.

Kumpulan ini terdiri daripada mantan Mufti Syed Isa Semait dan teman-temannya seperti mantan Presiden Mahkamah Syariah, Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim.

Memikirkan tentang kemaslahatan mahasiswa Singapura yang menuntut jauh di Mesir, pada tahun 1969, Syed Isa Semait, mengasaskan PERKEMAS (Persatuan Kebajikan Mahasiswa Al-Azhar Singapura).

Pada lingkungan tahun tersebut, komunikasi tidak semudah sediakala. Dengan perbezaan enam jam antara Singapura dan Mesir, pelajar yang ingin berhubung dengan keluarga di Singapura harus merancang terlebih dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan telefon di PERKEMAS.


(Gambar Dr Norshahril Saat sedang mengadakan perbincangan dengan para pelajar Singapura di markaz Perkemas. Gambar: Nur Diyana)

Selain menjadi pusat kemudahan bagi mahasiswa, PERKEMAS juga memainkan peranan penting bagi menyediakan aktiviti-aktiviti tambahan yang relevan dengan isu semasa.

Ini memastikan mahasiswa tidak ketinggalan dengan pembangunan tanah air yang pesat dan mengorak langkah untuk sentiasa bersedia berhadapan dengan masyarakat.

Persatuan ini yang dahulu terdiri daripada sekurang-kurangnya sepuluh pelajar, 50 tahun kemudian terdapat 270 pelajar Singapura di bawah penjagaannya.

DAYA TARIKAN 

Seperti universiti-universiti terkemuka lain, mahasiswa perlu mengikuti kuliah-kuliah dipimpin oleh profesor-profesor.

Pelajar-pelajar baru akan berasa janggal dengan keadaan universiti tersebut.

Tidak dapat dinafikan fasilitas kuliah dan prasarana di kampus usang, tidak seperti keadaan di negara-negara maju.

Bagaimanapun, ini tidak terkait langsung dengan kualiti pembelajaran. Pelajar Singapura, secara majoriti, mendalami pelajaran fiqh dan teologi, dan mereka didedahkan dengan perbezaan mazhab dan pemikiran, walaupun ini tidak pernah dipaksakan terhadap pelajar.


(Gambar Dr Norshahril Saat sedang mengadakan perbincangan dengan para pelajar Singapura di markaz Perkemas Gambar: Nur Diyana)

Pendedahan perbezaan pendapat menjadi daya tarikan para penuntut dari merata tempat ke Al-Azhar.

Disebabkan pegangannya kepada prinsip sederhana (wasatiyya), manhaj atau metodologi ini cuba diterapkan oleh universiti-universiti dan institusi-institusi lain di luar Mesir.

Kurikulum ini bukan hanya terdapat di Universiti Al-Azhar, malah ia diajarkan di seluruh institusi di bawah jagaan Al-Azhar, termasuk sekolah-sekolah menengah Al-Azhar di Mesir.

PELAJAR S’PURA 

Para pelajar Singapura akur bahawa kurikulum di Universiti Al-Azhar mudah difahami kerana persediaan yang mencukupi sejak di madrasah lagi.

Walaupun cara pembelajaran di Al-Azhar tradisional, dengan penggunaan kitab klasik, para pelajar Singapura setuju bahawa pendekatan tradisi dalam kurikulumnya mengikut konteks dan peredaran zaman.

Oleh itu, kebanyakan pelajar Singapura mengatakan bahawa kurikulum di Al-Azhar serasi dengan masyarakat Islam di Singapura.

Dewan syarahan kebiasaannya dibanjiri ratusan pelajar berbilang bangsa. Sebahagian besar darinya adalah daripada negara Arab yang terkenal dengan suaranya yang lantang dan keras.

Para pelajar dari Nusantara pula dikenali dengan sifat pemalu dan segan.

Ini adalah salah satu faktor yang membuat para pelajar kurang mendekatkan diri dengan pensyarah untuk berdiskusi.

Namun sebagai mencari alternatif untuk memperkayakan lagi pembelajaran mereka, mereka menghadiri kelas-kelas tambahan dengan beberapa ulama dan masyaikh di luar universiti.

ILMU AGAMA

Al-Azhar juga menawarkan sistem pembelajaran unik yang mungkin kurang diamalkan di universiti-universiti di Timur Tengah yang lain.

Di sekitar Mesir, terutama sekali di Masjid Al-Azhar sendiri, ada sistem talaqqi atau pembelajaran secara kecil-kecilan.


(Gambar salah satu contoh halaqah sedang diadakan di Masjid Al-Azhar. Gambar: Nur Diyana)

Kegiatan ini dikawal oleh ulama-ulama Al-Azhar, dan tidak terkandung fahaman radikal. Di sini, ramai pelajar yang menelaah kitab-kitab klasik, di luar apa yang diajar di kuliah-kuliah universiti.

Ada juga yang mendalami ilmu sanad, pembelajaran Al-Quran yang diwarisi hingga ke Rasullullah.

Para pelajar dan alumni mengatakan bahawa kelas-kelas berbentuk halaqah ini adalah penambahbaikan kepada kurikulum yang ditawarkan di kuliah.

Namun, ramai setuju bahawa ia memainkan peranan yang sama penting seperti menghadiri kuliah di universiti.

Justeru itu, kedua-dua komponen pembelajaran ini boleh dianggap sebagai syarat meraih ilmu agama yang berkualiti di Al-Azhar.

CABARAN AL-AZHAR 

Walaupun Al-Azhar menawarkan beberapa bidang ilmu, ini tidak bermakna semua yang ada di Al-Azhar itu ideal. Pelajar Singapura harus memastikan bahawa ilmu yang diraih cukup apabila dibawa ke Singapura.

Misalnya, sistem pembelajaran di universiti tersebut masih memberatkan hafalan daripada pemikiran kritikal.

Sistem peperiksaan yang kurang menekankan pada kajian atau 'assignment' juga perlu difikir ulang. Tentu sekali pelajar tidak boleh mengubah sistem pembelajaran di universiti kerana ini di luar bidang kuasa mereka.

Namun ,mereka boleh melengkapkan ilmu-ilmu tersebut semasa di sana. Mereka juga perlu menguatkan penguasaan Bahasa Arab dan berani berwacana dengan siswa-siswa lain di sana.

Budaya menulis dan terjemahan, menelaah kitab-kitab yang ditulis oleh pemikir-pemikir progresif juga perlu diterapkan.

Kita perlu mengambil contoh daripada Professor Quraish Shihab dari Indonesia, seorang lulusan doktor falsafah, dan antara orang yang pertama memiliki ijazah tersebut dari Al Azhar.

Beliau seorang ahli Al-Quran yang disegani seantero dunia, dan tentu sekali sistem Al-Azhar yang mendorong beliau menjadi seorang terbuka dan kritikal dari segi pemikirannya.

MATLAMAT PELAJAR 

Saya yakin, mahasiswa yang melanjutkan pelajaran di universiti tersebut sehingga peringkat PhD seperti beliau akan menjadi setanding dengan beliau.

Sekitaran di negeri Mesir sendiri memberikan contoh keterbukaan.

Di sana, pengikut Sunni boleh berkongsi masjid dengan pengikut Syiah. Dan tidak ada paksaan terhadap orientasi agama selagi ia tidak menjurus kepada radikalisme.

Justeru, banyak sekali yang boleh diraih daripada Al-Azhar. Yang penting adalah matlamat pelajar tersebut, kerana ada banyak bidang yang ditawarkan di sana.

Cuma kadangkala pemilihan kursus disempitkan oleh kemahuan ibu bapa dan masyarakat.

Mengenai penulis: 


Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar University (ISEAS, 2018). Nur Diyana Zait adalah seorang penyelidik di institusi yang sama, dan beliau adalah seorang lulusan Universiti Al-Azhar.

- BERITAmediacorp/ai

Top