Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sikap sederhana dan bertolak ansur sumber kekuatan penting

Sikap mengambil jalan tengah (wasatiyah) bukanlah sikap yang lemah atau tidak bertempat tetapi ia sentiasa merupakan strategi yang berjaya sejak zaman awal Islam lagi. Bagaimana kita boleh memahaminya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sikap sederhana dan bertolak ansur sumber kekuatan penting

Antara peninggalan Islam di Eropah melambangkan kepelbagaian agama yang diwarisinya.

Antara banyak persoalan besar yang disuarakan oleh Ibn Khaldun, pengamat sejarah ulung kelahiran kurun ke-14, adalah pertanyaan kepada kepada dirinya sendiri tentang mengapakah sejarawan melakukan kesilapan.

Salah satu sebab katanya adalah sikap suka memihak (kepada kumpulan masing-masing atau juga kepada pandangan yang disukai).

Ibn Khaldun juga tidak menolak kemungkinan faktor-faktor seperti sikap mudah percaya dan sikap jahil terhadap sebab musabab sesuatu perkara.

Arca Ibn Khaldun di Tunis, Tunisia 

Sebagai pemerhati yang amat prihatin terhadap persoalan turun naik sesuatu peradaban atau masyarakat, Ibn Khaldun amat memahami peranan faktor ‘suka memihak’ (partisanship) atau kepuakan ini.

Beliaulah sarjana sejarah pertama yang meletakkan faktor sosio-psikologi seperti ‘asabiyah (cakap mudahnya, semangat kekitaan atau perpaduan sosial) sebagai penentu penting kejayaan sesebuah kumpulan dalam menangani cabaran-cabaran sejarah.

BERSIKAP OBJEKTIF

Dalam renungannya terhadap soal kebangkitan peradaban Arab selepas kemunculan Islam pada kurun ke-7, Ibn Khaldun melihat pentingnya faktor perpaduan puak dalam menggembeleng jiwa dan semangat sesama mereka untuk menjadi sumber kekuatan yang penting.

Dalam kita memahami sejarah, seperti Ibn Khaldun, kita juga perlulah bersikap objektif dan arif dalam menilai sesuatu faktor yang boleh mempengaruhi pandangan dan pendirian kita.

Kesimpulan yang dicapai Ibn Khaldun berdasarkan konteks, maklumat dan data yang dapat diperolehinya ketika itu.

Begitu juga dengan kita,  sesuatu kesimpulan besar yang hendak dibuat haruslah juga berdasarkan sikap dan pandangan yang objektif berdasarkan konteks, maklumat dan data yang kita miliki hari ini.  

PERMASALAHAN UTAMA

Bagi kita hari ini persoalan besar yang harus ditanyakan kepada diri sendiri supaya tidak tersilap dalam membuat kesimpulan, adalah apakah pokok permasalahan utama yang sedang dihadapi oleh  masyarakat dan negara.

Dan apakah peranan atau sumbangan yang boleh dan perlu dibuat oleh seseorang dalam membantu masyarakat dan negara menangani bersama cabaran-cabaran yang dihadapinya.

Sejak kebelakangan ini mungkin telah banyak sekali kita diingatkan bahawa dalam kurun ke-21, dua cabaran utama yang dihadapi oleh kemanusiaan selain persoalan sekitaran dan ekonomi, adalah mengenai pemisahan sosial dan ketidaksamarataan yang meluas.

Banyak faktor besar menyumbang kepada keadaan hari ini (antaranya globalisasi, digitalisasi dan sebagainya), yang menimbulkan berbagai tekanan sedia ada - baik tekanan sosial, politik, ekonomi , malah juga kesihatan dan alam sekitar.

Pihak berkuasa suraikan penunjuk perasaan dari Capitol AS pada 6 Jan 2021 (Gambar: AP Photo/Jacquelyn Martin)

Bayangkan pada satu sudut masyarakat diheret ke arah ketidakpuasan hati disebabkan ketidaksamarataan (kerap dipersalahkan ke atas jurang pendapatan, jurang peluang dan ketidakadilan sosial).

PERPECAHAN DAN KEPUAKAN

Di sudut yang lain pula, kita juga diheret ke arah kancah perpecahan dan sikap kepuakan (tribalism) atas dasar menghormati kepelbagaian dan perbezaan budaya, agama, kepercayaan dan orientasi.

Hasilnya bagi masyarakat yang kurang berkemampuan dalam menangani cabaran-cabaran pelbagai sudut yang semakin bertambah ini,  mereka kini berhadapan dengan berleluasanya gejala kemarahan dan perasaan dendam yang mendalam.

Para sarjana dan pengamat yang memerhatikan zaman yang kita lalui hari ini, Pankaj Mishra (Age of Anger), misalnya,  menyuarakan kebimbangan bahawa banyak ‘tenaga’ dan ‘semangat’ yang dijanakan perasaan marah dan dendam sebegini adalah jauh lebih besar kuasanya daripada kemampuan kebanyakan ‘institusi politik, sosial dan ekonomi’ yang kita miliki hari ini.

Lihat sahaja apa yang berlaku di negara demokrasi besar seperti Amerika Syarikat apabila perasaan marah dan dendam itu digembeleng sebegitu rupa sehingga menjadi ‘gerakan’ mega yang hampir menumpaskan sesebuah pemerintah.

BUKAN GEJALA BARU

Dalam kalangan masyarakat Islam global pula gejala ini juga bukanlah suatu perkara yang baru.

Memang benar bahawa radikalisme dan ekstremisme tidak mempunyai tempat dalam ajaran sejati Islam.

Tetapi sejak tiga atau empat dekad lalu, sikap marah dan dendam telah berjaya menyusup masuk ke dalam kerangka pemikiran sesetengah kumpulan sehingga Islam itu sendiri boleh digunakan sebagai ideologi untuk menghalalkan sikap dan tindak tanduk keterlaluan.

Kalau boleh kita ungkapkan semula apa yang disebut oleh sarjana Perancis, Olivier Roy, gejala radikalisme dalam Islam bukanlah kerana Islam itu agama yang radikal.

Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

Tetapi ia adalah kerana fahaman radikal itu yang telah berjaya  ‘membonceng’ atau memperkudakan Islam untuk membantunya memperjuangkan ideologi dan agenda ganas ke atas sistem dan institusi hari ini yang tidak disenanginya.

Seperti Ibn Khaldun dalam kita cuba memahami apa yang sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat Islam, kita juga perlulah bersikap objektif dan arif dalam membuat analisis terhadap gejala dan konteks permasalahan yang kita hadapi hari ini.

MUDAH BERPUTIK

Menerusi pemahaman yang objektif dan sikap terbuka tidak sukar untuk kita fahami bahawa  sikap tegar,  marah dan kurang toleran boleh sahaja  berputik dalam mana-mana  masyarakat termasuk Islam.

Apatah lagi dalam persekitaran di mana isu-isu berkaitan agama mudah sahaja dibangkitkan oleh sesiapa sahaja tidak kira agamawan, ahli politik dan orang awam dengan menekan beberapa butang papan kunci.

Pelbagai wadah tersedia ada untuk sesiapa sahaja yang bijak memanfaatkan isu dan wacana untuk muncul sebagai juara dan pejuang yang memihak kepada kepentingan ramai.

Golongan sedemikian mungkin memperoleh apa yang diinginkan dengan memperjuangkan isu-isu tersebut walaupun masyarakat sendiri kurang jelas bagaimana kepentingannya dalam jangka masa panjang akan terjamin.

MENGAMBIL JALAN TENGAH

Inilah sebenarnya permasalahan besar yang harus dipertimbangkan tentang kepentingan jangka panjang bagaimana yang harus diambil kira setiap kali isu-isu berkaitan agama – atau apa sahaja isu kepuakan – harus diketengahkan dalam persekitaran bergolak hari ini.

Sebagai sebuah masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai dugaan kemarahan dan ketidakpuasan hati, tentunya tindakan yang lebih bertanggungjawab adalah dengan mengajak semua kembali kepada prinsip utama agama, iaitu dasar kesederhanaan dan bertolak ansur baik dalam sikap dan tindak tanduk.

Sikap mengambil jalan tengah (wasatiyah) bukanlah sikap yang lemah atau tidak bertempat tetapi ia sentiasa merupakan strategi yang berjaya sejak zaman awal Islam lagi.

Dengan bersikap demikian terlepaslah kita daripada kecaman sarjana ulung seperti Ibn Khaldun yang melihat semangat berpihak tidak kena tempat sebagai antara kesilapan besar dalam memahami apa yang berlaku di sekeliling kita.  


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan