Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Siapa maju, siapa mundur - siapa faktor penentu, pemimpin atau institusi?

Kepimpinan yang baik sahaja tidak mencukupi jika ia tidak dilengkapi dengan pembentukan institusi bersifat inklusif, terbuka dan progresif. 

Anggaran Waktu Membaca:

Kota Venice di selatan Itali suatu ketika amat berpengaruh sebagai pusat dagangan di rantau Mediterranean. Setandingnya adalah adalah kota Melaka yang memainkan peranan penting di Asia Tenggara.

Melaka hilang pengaruhnya sebagai pusat dagangan Asia mulai kurun ke-16, Venice pula mengalami kemerosotan sekitar kurun ke-14 akibat pelbagai faktor.

Kalau kejatuhan Melaka dan juga kuasa ekonomi dunia Melayu disebabkan oleh faktor-faktor sejarah terutama sekali akibat dominasi Eropah, kejatuhan Venice pula masih menjadi perbahasan bagi sesetengah sarjana.

Apakah ia berpunca daripada hilangnya pengaruh Venice terhadap perdagangan rempah ratus – yang dikuasainya ratusan tahun sebelum itu? Atau apakah kerana ia kehilangan daya saing atau sebab-sebab kesilapan dasar ekonomi, politik dan ketenteraan?

Bagi dua pakar ekonomi pembangunan Daron Acemoglu dan James A Robinson, mereka melihat kejatuhan Venice bukan pada kegagalannya untuk mengekalkan daya saing kota dagangan itu.

Faktor utamanya adalah kegagalan Venice untuk mengamalkan sistem atau institusi kenegaraan yang bercorak inklusif.

Inilah yang menjadi teras perbincangan mereka dalam buku: WHY NATIONS FAIL - The Origins of Power, Prosperity, and Poverty (Kenapa Negara-Negara Gagal – Sumber-sumber Kuasa, Kemakmuran dan Kemiskinan).

Dalam penelitian Acemoglu dan Robinson, sejarah cukup dengan bukti-bukti jelas yang menunjukkan bahawa  kemajuan dan kemunduran sesebuah negara dan masyarakat itu bukan terletak pada faktor sejarah, geografi ataupun kepimpinan semata-mata.

INSTITUSI INKLUSIF

Yang lebih penting bagi mereka adalah keupayaan sesebuah negara itu mewujudkan ‘institusi’ – baik dalam bentuk nilai, amalan dan sistem – yang bersifat ‘inklusif’.

Institusi politik yang inklusif, bagi mereka termasuklah sistem dan amalan demokratik yang terbuka di mana adanya pilihan raya bebas dan perlembagaan bertulis.

Matlamat utama sistem begini adalah dalam membataskan kuasa pihak berwewenang menerusi peraturan dan undang-undang yang jelas (supaya tiadanya penyelewangan kuasa).

Institusi ekonomi yang inklusif pula bererti sistem, peraturan dan undang-undang yang melindungi hak milik harta benda, perlindungan kontrak, ekonomi terbuka, kemudahan rakyat untuk memulakan niaga dan membuat pilihan bebas.

Bertentangan dengan institusi inklusif adalah apa yang dipanggil Acemoglu dan Robinson sebagai institusi politik dan ekonomi yang bersifat ‘ekstraktif’ atau ‘pemeras’.

INSTITUSI EKSTRAKTIF

Di bawah institusi ekstraktif, seluruh sistem politik dan ekonominya lebih bertujuan untuk melindungi kepentingan elit tertentu dan bukannya untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.

Pucuk pimpinan yang menguasai insitusi atau sistem bercorak ekstraktif ini akan memastikan bahawa semua sumber kekayaan dan alam semulajadi negara akan dibolot untuk mengukuhkan kuasa dan kedudukan golongan mereka.

Dengan bertambahnya kemewahan dan kekuasaan mereka, para pemimpin sedemikian berupaya mengukuhkan lagi kuasa dan pengaruh dengan mengetatkan lagi konkongan dan cengkaman terhadap masyarakat.

Pembangunan ekonomi boleh berlaku di bawah institusi bersifat ekstraktif, mungkin dalam jangka pendek seperti di China umpamanya. Tetapi dalam jangka panjang, Acemoglu dan Robinson melihat sistem sedemikian akan akhirnya luntur dan tidak lagi bermaya seperti yang berlaku pada akhir-akhir era Soviet Union dahulu.

PENJAJAHAN DAN PEMBANGUNAN

Melihat kepada zaman penjajahan Eropah, kedua-dua penulis menganggap institusi dan amalannya yang memeras dan menindas menyumbang kepada corak kepimpinan dan sistem yang tegar dan penuh keganasan – contohnya seperti masyarakat di Amerika Selatan.

Dalam sistem begini, elit dan pucuk pimpinan sibuk berebut-rebut kuasa sesama mereka  menyebabkan banyaknya kejadian rampasan kuasa tentera dan perang saudara di rantau tersebut.

Penjajahan Eropah di Asia Tenggara bolehlah juga disifatkan sebagai amalan ekstraktif dan bukannya inklusif. Ini kerana tiadanya amalan demokrasi dan kebebasan.

Malah yang berleluasa adalah pemerasan dan penindasan ke atas pihak yang dijajah sehingga mereka terus terbelakang dan mundur dibandingkan dengan pihak menjajah.

Memang agak jelas dan sukar disangsikan bahawa hanya di bawah sistem dan institusi bersifat inklusif sahajalah kemajuan dan pembangunan yang mampan boleh dicapai.

Tetapi tidakkah ini bermakna bahawa sistem sedemikian hanya boleh diwujudkan sekiranya sudah ada di dalam sesebuah masyarakat itu kepimpinan yang celik tentang pentingnya amalan dan nilai-nilai yang menggalakkan sifat inklusif.

WARISAN KEPIMPINAN

Bagaimana pula bagi sesebuah negara dan masyarakat yang tidak mempunyai kepimpinan sedemikian.

Apakah ia akan terus dalam keadaan keterbelakang tanpa kemajuan dan pembangunan selagi tiada siapa yang sanggup bersedia dan berjuang untuk mewujudkan sistem dan institusi sedemikian.

Sebenarnya Acemoglu dan Robinson memang tidak menafikan pentingnya corak dan jenis kepimpinan yang baik dalam mempengaruhi pembangunan sesebuah negara dan masyarakat.

Mereka mengambil contoh, mantan pemimpin Tunisia Habib Bourguiba dan pemimpin pengasas Singapura modern Lee Kuan Yew sebagai dua tokoh yang banyak mempengaruhi pembangunan negara masing-masing.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

KEPIMPINAN BAIK

Teori dan tesis kedua-dua penulis mungkin tidak dapat diterima keseluruhannya tentang apa yang sebenarnya mendorong kemajuan dan kemunduran sesebuah negara dan masyarakat.

Namun sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju bahawa disebalik apa sahaja sistem dan institusi yang baik itu tentunya adalah para elit atau pemimpin yang berpegang pada nilai-nilai progresif, berintegriti, berwawasan, cekap dan amanah.

Inilah juga yang menjadi masalah besar bagi kita hari ini. Yakni betapa kurangnya kepimpinan sebegini  demi memastikan adanya kemajuan dan pembangunan yang mampan kepada negara dan masyarakat.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan