Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Setiap kita boleh perkasakan diri demi perpaduan sosial pasca krisis COVID-19

Setiap kita boleh bertindak secara proaktif selaku pemimpin dalam lingkungan pengaruh masing-masing untuk memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Setiap kita boleh perkasakan diri demi perpaduan sosial pasca krisis COVID-19

(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Kesejahteraan masyarakat yang padu adalah kesejahteraan sang individu. Kepelbagaian kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama pula, adalah sumber kekuatan kita.

Namun, kita kini mengharungi cabaran masa depan yang mampu memperkukuh atau menggegarkan perpaduan sosial kita.

Marcapada kita kian rumit dengan penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan besar menjuram ekonomi dan mengancam kedamaian dan kesejahteraan di skala tempatan serta global.

Oleh itu semakin menjadi penting lagi bagi kita memperkasakan diri dan masyarakat keseluruhannya supaya setiap daripada kita boleh memainkan peranan berkesan dalam memperkukuhkan perpaduan yang sedia ada.

Dalam kita memperkasakan diri sebagai individu dan masyarakat, kita tidaklah dipulaukan dan dibiarkan bertindak tanpa sumber dan panduan.

Jemaah semasa solat Jumaat pada 24 Jan. (Gambar: Zainal Abidin Omar)

TRADISI AGAMA DAN PANDUAN

Sebagai masyarakat Melayu/Islam kita boleh bersandarkan kepada tradisi dan panduan masyarakat Melayu serta Islam kita yang cukup kaya.

Tradisi Islam dan tradisi-tradisi dalam dunia Melayu-Indonesia di Nusantara kita kaya dengan sumber dan panduan yang boleh menjadi inti pati agensi diri dan masyarakat.

Kampus Universiti Al-Azhar dan Masjid Al-Azhar. (Gambar-gambar: Abdullah Ahmad)

Pergabungan tradisi Islam dan Melayu/Indonesia bersama bidang-bidang seperti sains sosial, pembelajaran kemanusiaan, sains alami dan kesenian amatlah penting bagi memupuk dan mentabiatkan masyarakat yang giat membangunkan perpaduan sosial masyarakat tanpa selalu bertongkatkan pertolongan pemerintah.

CAWANGAN ILMU

Pergabungan ilmu ini tidak lari daripada tradisi ilmu Islam, di mana ulama dari dahulu kala hingga sekarang mendalami dua cawangan ilmu – al ‘ulum al ’aqliyah dan al ‘ulum al naqliyah.

Al ‘ulum al ’aqliyah adalah cawangan ilmu intelektual dan rasional seperti sains sosial, falsafah, ilmu alam, kimia, ilmu hisab, muzik, sejarah dan sebagainya.

Al ‘ulum al-naqliyah pula merupakan cawangan ilmu berkenaan dengan ilmu yang diturunkan dalam bentuk wahyu (Al Quran), serta sunnah dan hadis-hadis Rasulullah saw, yang dihampiri dengan tafsir dan ta’wil.

Kalimah kitab suci Al-Quran asal Terengganu pada abad ke-19 adalah salah satu karya seni Islam yang akan dipamerkan secara tetap di galeri Muzium Tamadun Asia. (Gambar: Ira Musfirah)

Pendekatan tafsir dan ta’wil kepada ayat-ayat atau tanda-tanda keesaan dan rahmat Tuhan di sekian alam akan mendekatkan kita lagi kepada Allah swt dan memperbaiki hubungan kita dengan Tuhan, manusia yang lain, iklim, alam semesta dan organisme-organisme yang melata di dunia.

TRADISI MELAYU ISLAM

Kita ada banyak unsur baik dalam tradisi Melayu Islam yang boleh dibanggakan yang bersabit dengan pembinaan perpaduan sosial melalui pemerkasaan agensi diri dan masyarakat secara baik.

Ada aliran positif yang kuat dalam tradisi Melayu Islam yang berorientasi humanistik berkeagamaan, yang berlainan dengan humanisme sekular, yang memperkasakan agensi diri dengan baik dalam mengingati Tuhan dan nilai-nilai murni.

Dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu Islam, salah satu karya agung yang humanistik adalah Taj Us-Salatin, yang ditulis di Aceh pada awal abad ke-17.

Karya penting ini merupakan sejenis Nasihat al-Muluk atau nasihat dan pencerminan bagi raja-raja Melayu, di mana pengkaryaannya dipengaruhi unsur-unsur Parsi.

Karya ini menasihati raja-raja dan pemimpin-pemimpin untuk menggunakan agensi diri dengan nilai-nilai positif seperti keadilan untuk rakyat jelata.

Kita semua selaku pemimpin di dunia ini, yang memberi pedoman kepada diri kita sendiri dan orang yang lain, walaupun kita sedar atau tidak. Oleh itu, karya ini relevan bagi kita semua.

INDIVIDUALISME POSITIF

Pemupukan agensi humanistik yang diutamakan dalam karya itu berlaku melalui pengutaraan individualisme positif, kedudukan sama di mata hukum, pencapaian kecemerlangan, maruah individu, maruah kerjaya, kebebasan memilih antara baik dan buruk serta keadilan sosial.

Ia juga menganjurkan pendekatan kritikal dan rasional, sifat dan sikap berhemat dan sebagainya, yang berlandaskan tasawwur Islam yang asas dan dasar, seperti kepercayaan yang yakin dengan keesaan dan rahmah Allah swt.

Nilai-nilai universal Islam yang berkeagamaan humanistik ini akan memperkasakan agensi diri dan masyarakat dalam membina perpaduan sosial.

Dari segi sains sosial pula, satu contoh bagaimana kita dapat memperkasakan agensi diri dan masyarakat boleh diilhamkan dari psikologi positif.

100 pemimpin muda antarabangsa sembang santai bersama Presiden Halimah Yacob membincangkan isu-isu perpaduan dan keagamaan. (Gambar: Syawal Yusof)

RAHMAH BERKESEDARAN

Rahmah berkesedaran mengingatkan kita bahawa kita semua berkesinambungan dalam kemanusiaan yang sama dan harus berbaik hati terhadap diri sendiri dan orang lain.

Ada teknik-teknik tertentu yang dapat dipraktikkan untuk mentabiatkan rahmah berkesedaran.

Salah satu teknik melatih diri untuk mempraktikkan rahmah berkesedaran bagi diri sendiri, adalah teknik memerhatikan perasaan dan fikiran yang melintasi minda dan hati dengan pendekatan yang objektif dan dengan sikap ingin tahu, tanpa menilai atau menghukum fikiran atau perasaan kita dengan nilai baik atau buruk.

Rahmah berkesedaran akan mempertingkatkan daya tahan diri dan masyarakat, menghembuskan nafas kasih sayang antara anggota-anggota masyarakat, dan membina individu dan masyarakat yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan positif tetapi yang bukan melampaui batas atau realisme positif.

Secara kolektif, rahmah berkesedaran akan membina perpaduan sosial Singapura untuk sebuah masyarakat yang gemilang.

PERKASAKAN DIRI

Kita sebagai insan berpotensi bertindak sebagai khalifah agentik di dunia yang mendatangkan manfaat kepada sekian alam dan manusia sejagat dari setiap pelosok dunia.

Setiap individu boleh dan harus bertindak secara proaktif selaku pemimpin dalam lingkungan pengaruh masing-masing, dan memberi kesan yang baik terhadap masyarakat, tidak kira jawatan, taraf atau kedudukan si individu dalam masyarakat.

Bak pepatah, “kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap”.

Ayuh jangan membazir penganugerahan Allah swt dan perkasakanlah agensi diri dan masyarakat dalam membina perpaduan sosial dan membina normal baru pasca-Covid-19 yang lebih baik bagi masyarakat, negara dan dunia sejagat.  

Faris Ridzuan berkelulusan Kepujian Kelas Pertama Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Nasional Singapura. Selain kerjaya beliau, beliau berkecimpung sebagai sukarelawan dan penggiat dalam masyarakat sivil dan sektor sosial, khususnya dalam perpaduan silang agama, kepercayaan, kaum dan amalan, serta penyelidikan dan program untuk membantu golongan yang memerlukan. Beliau gemar menghasilkan serta mengarang muzik dan pantun dalam masa lapang beliau. Beliau akan melanjutkan kajian sarjana pada tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan