Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Setahun sudah kita hidup dalam berkrisis – bagaimana kesannya ke atas kita

Apakah pengajaran yang kita perolehi sepanjang setahun bermulanya pandemik COVID-19. Sudahkah ia menjadikan kita lebih berdaya tahan dalam terus menghadapi masa depan yang mencabar?   

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Setahun sudah kita hidup dalam berkrisis – bagaimana kesannya ke atas kita

Gerakan ujian swab COVID-19 ke atas para peniaga pasar tradisional di Jakarta (Gambar: /REUTERS)

Genap sudah setahun sejak kes pertama jangkitan koronavirus COVID-19 dilaporkan di Singapura dengan ulang tahun pertamanya datang dan pergi, dengan ramai mungkin  tidak menyedari mengenainya.

Ia pernah disifatkan sebagai krisis segenerasi, yakni krisis terbesar pernah dilalui oleh kemanusiaan sejak sekian lama.

Namun hakikatnya ramai juga daripada kita yang  belum lagi dapat menghayati  kesan atau impak sebenarnya pandemik ini ke atas kita semua.

Walaupun bilangan jangkitan sudah pun melebihi 100 juta orang dan jumlah kematian pula menjangkau 2 juta, kemunculan vaksin COVID lewat tahun lalu mengukuhkan keyakinan ramai bahawa penyakit ini akhirnya akan dapat dibendung juga.

Dan apabila segala-galanya sudah terkawal mungkin ramai yang beranggapan bahawa kehidupan biasa yang memberikan pelbagai keselesaan lama – bebas bergerak, bekerja, beriadah dan beribadah tanpa sekatan dan peraturan – akan kembali sedia kala.

Malangnya seperti yang telah ditegaskan oleh pemerintah dan para pemimpin negara, walaupun vaksin yang berkesan sudah ada, sebenarnya tiada kepastian bilakah semuanya boleh dipulihkan seperti yang lalu.

Encik Lawrence Wong menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 13 Jan 2020 (Gambar: MCI)

BUAT PERANCANGAN

Lantaran itu daripada kita sekadar mengharapkan bahawa wabak ini akan akhirnya terbendung juga, adalah lebih baik kita  terus membuat perancangan bagi menyesuaikan diri bagi masa hadapan yang bakal terus berubah-  bukan sahaja kerana COVID, tetapi akibat perubahan mendadak lain yang telah dan bakal menimpa kita semua.

Kalau ikutkan sejarah, setiap kali pandemik sejagat berlaku, setiap kali itulah perubahan besar berlaku dalam sejarah.

Seperti yang diperhatikan oleh sejarawan Jared Diamond (penulis Guns, Germs and Steel ),  kuman, penyakit dan wabak memang sebahagian faktor penting dalam perubahan peradaban kemanusiaan amnya.

Ia adalah hakikat sejarah yang tidak boleh dipisahkan dalam pemerhatian kita terhadap faktor-faktor yang boleh mengubah haluan sesuatu perkembangan sejarah itu.

Wabak Maut Hitam (atau Black Death) yang banyak merosakkan dunia pada kurun ke-13 hingga ke-16, mungkin juga menjadi faktor yang telah melemahkan dunia Arab-Islam ketika itu, walaupun kesan utamanya adalah lebih jauh besar ke atas Eropah dibandingkan dengan Timur Tengah keseluruhannya.

PERUBAHAN MENDADAK

Mungkin ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada perubahan mendadak itu, tetapi hakikatnya selepas pandemik tersebut peradaban Arab-Islam relatifnya mengalami penurunan dibandingkan Barat.

Peradaban Eropah pula mengalami Renaissance atau kebangkitan semula budaya sains, seni dan pemikiran sekitar kurun ke-15, mengakhiri zaman ‘kegelapannya’ selama beberapa kurun sebelum itu.

Begitu juga pada awal kurun ke-20,  pelbagai perubahan besar dialami dunia selepas pandemik Spanish Flu (sekitar 1918-1920) yang membawa kepada Kemelesetan Besar-Besaran (Great Depression), disusuli dengan Perang Dunia Kedua dan seterusnya kebangkitan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia baru, dekolonisasi dan bermulanya proses mengakhiri penjajahan Eropah.

Pandemik COVID pula yang kini baru memasuki tahun pertama impaknya kepada dunia juga diramalkan mengakibatkan kesan besar-besaran ke atas kesihatan, ekonomi, pekerjaan dan kehidupan.

Malah juga dalam budaya politik dan perubahan kepada sesetengah kefahaman atau ideologi kita.

PEMACU DAN KESAN PERUBAHAN

Pendigitalan yang berputar ligat kini adalah juga pemacu kepada Revolusi Industri 4.0  dan pada masa yang sama juga adalah kesan berakibat daripada pandemik COVID.

Seperti yang terdampak hari ini ia memang menyediakan pelbagai peluang baharu tetapi juga telah menambahkan pelbagai tekanan sosial dan politik kepada banyak masyarakat dan negara.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Amerika Syarikat sepanjang pentadbiran Trump dan ketika pandemik semakin memuncak tinggi.

Ketidakseimbngan dan ketidaksamarataan ekoran penstrukturan semula ekonomi negara itu, dengan jurang kekayaan semakin bertambah luas, mencetuskan kebangkitan fahaman pelampau kelas pertengahan dan pekerja kulit putih.

Fahaman nasionalis pelampau bercorak kaum dan kelas ekonomi itu terus berkembang menjadi gerakan yang cukup kuat sehingga berjaya menguasai parti Republican yang sebelum ini bersifat konservatif sederhana.

Seorang penyokong Trump cuba melepasi hadangan polis di luar Capitol AS pada 6 Jan 2020 (Gambar: AP/Julio Cortez)

Kebangkitan fahaman pelampau berunsurkan kaum dan agama bukanlah suatu yang unik kepada negara-negara besar atau negara tertentu sahaja.

MASALAH SEJAGAT

Ia adalah masalah yang dihadapi oleh dunia umumnya disebabkan oleh perpecahan dan polarisasi yang semakin berlaku dalam masyarakat.

Seperti yang kita saksikan apa yang berlaku di Singapura baru-baru ini dengan penahanan seorang remaja yang dituduh terpengaruh dengan fahaman pelampau berunsur kaum dan agama yang diimport dari luar.

Perkembangan tersebut merupakan contoh jelas bahawa fahaman-fahaman radikal dan pelampau mudah sekali menyerap ke dalam masyarakat, lebih-lebih lagi disebabkan oleh media digital yang begitu poros sempadan.

Memanglah bukan satu kebetulan bahawa teknologi komputer dan perhubungan serta gejala ketidaksamarataan dan ketegangan politik disebut para pengamat seperti Martin Wolf sebagai antara beberapa faktor utama yang akan terus menimbulkan cabaran besar kepada kita walaupun selepas pandemik COVID berakhir.

Kita haruslah manfaatkan seberapa yang boleh pengajaran-pengajaran yang dipelajari sepanjang setahun kita bergelut dengan wabak korona.

Sambil kita memanfaatkan pengajaran tersebut pergunakanlah tempoh seterusnya bagi mempersiap diri untuk meningkatkan lagi daya tahan dan daya bingkas dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar lagi.  


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan