Images
  • mask singapore road
    (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

KOMENTAR: Sesuaikan diri dengan norma baru demi mengharungi cabaran wabak

BERITAmediacorp: Mereka yang enggan membuat penyesuaian sebenarnya tidak mempedulikan ajaran agama supaya kita jangan masukkan diri ke dalam kemusnahan.

Penularan virus COVID-19 kini jelas muncul sebagai ancaman utama dunia.

Kesan-kesan besar yang ditinggalkannya bukan sahaja dari segi kesihatan dan ekonomi sahaja.

Malah ia juga menjejas kehidupan seharian, amalan budaya dan kegiatan keagamaan umat Islam di mana-mana sahaja.

Di Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengambil langkah untuk menutup masjid-masjid di sini buat sementara, menunda segala aktivitinya termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat.


Dalam pengumumannya minggu ini (Selasa, 24 Mac), MUIS menyatakan semua masjid di Singapura akan terus ditutup sehingga keadaan wabak COVID-19 bertambah baik dan selamat bagi masjid-masjid di sini untuk dibuka semula.

Ini berdasarkan saranan Jawatankuasa Fatwa MUIS yang berpendapat bahawa langkah sedemikian itu dibolehkan agama demi mengelakkan kemudaratan dan bahaya.

Walaupun keputusan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan ini sesuatu yang tidak diingini, namun ia perlu dilakukan. Bak kata pepatah “pencegahan itu lebih baik dari perubatan”.

Dalam mengharungi krisis seperti ini, respons dan tindakan kita adalah genting. Ia penentu kejayaan kita atau sebaliknya.

PERUBAHAN DAN PENYESUAIAN

Ketika berdepan dengan krisis sebegini, respons kita yang paling utama adalah melakukan perubahan dan penyesuaian.

Pada ketika ini, kehidupan kita sudah tidak boleh menjadi kehidupan yang biasa lagi. Namun, kehidupan harus diteruskan. Ia harus diteruskan dengan perubahan dan penyesuaian.

Kita harus berfikiran positif, rasional, berani dan serius dalam menyesuaikan diri dengan norma-norma baru. Ini sahaja jalan keluar yang kita miliki. Dengan cara begini, kehidupan kita dapat diteruskan dengan baik dan sediakala.


Perubahan utama yang harus kita lakukan ketika ini adalah perubahan dari segi pemikiran dan cara respons kita.

Kita harus memahami bahawa setiap dari kita mempunyai peranan yang besar dalam usaha menangani penularan virus COVID-19.

Pemikiran yang positif, semangat, keyakinan, kesabaran serta kerjasama antara satu sama lain adalah benteng dan kekuatan kita. Ia mampu mengubah keadaan.

STRATEGI BERKESAN

Singapura boleh dikatakan sebagai salah satu negara yang mempunyai pendekatan dan strategi yang berkesan dalam membendung penularan COVID-19 – suatu yang telah diakui sendiri oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Apa yang menjadikan Singapura mampu untuk melaksanakannya adalah sikap para pemimpinnya yang optimistik serta kesungguhan mereka untuk mewujudkan pendekatan yang efektif dalam menangani krisis ini.


Sebagai rakyatnya, kita harus berani melakukan perubahan. Selain dari cara pemikiran, kita juga harus melakukan perubahan dari segi gaya hidup, meninggalkan beberapa tabiat yang sudah menjadi kebiasaan dan juga menerima norma baru dengan fikiran yang terbuka.

Perubahan ini harus datang dari diri kita sendiri. Apatah lagi, melakukan perubahan itu adalah gesaan agama kita.

Dalam hal ini, Allah swt mengingatkan kita dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Surah Ar-Ra’ad ayat 11).

PENCEGAHAN LEBIH BAIK

Dalam usaha membendung penularan virus COVID-19 ini, Singapura mengambil pendekatan “pencegahan itu lebih baik dari perubatan”.

Setiap dasar dan arahan yang dikeluarkan pemerintah itu sebenarnya merupakan langkah berhati-hati.

Gesaan dan galakan pemerintah untuk meningkatkan tahap kebersihan, tidak bersalam-salaman antara satu sama lain, mempraktikkan jarak sosial dan sebagainya merubah langkah berhati-hati.

Begitu juga arahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), Cuti Ketidakhadiran (LOA) selama dua minggu, penutupan sempadannya bagi mereka yang tiba dari negara-negara tertentu dan sebagainya - kesemuanya itu merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan.


Sebahagian daripada langkah-langkah ini telah menjadi norma baru dalam kehidupan masyarakat kita hari ini. Sebagai contoh, amalan berjabat tangan atau bersalaman sudah menjadi sesuatu yang lumrah dan tabiat semula jadi bagi kebanyakan orang.

Ia juga merupakan tradisi dan juga amalan agama. Meninggalkan amalan ini adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan.

Namun, ia kini harus dilakukan demi maslahat yang lebih besar lagi iaitu mencegah jangkitan dan penularan wabak. Meninggalkan adat berjabat tangan adalah satu cara atau wasilah penting untuk mencegah jangkitan virus COVID-19.

DASAR SYARIAT

Masyarakat Islam perlu memahami bahawa segala perubahan dan penyesuaian yang harus dilakukan ini tidak sama sekali melanggar dasar syariat Islam.

Contohnya, dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS tentang penutupan masjid dan penangguhan solat Jumaat, beberapa prinsip syarak dan kaedah fikih telah diguna pakai untuk mengeluarkan fatwa tersebut.

Di antaranya adalah prinsip: (1) pada keadaan darurat, perbuatan yang dilarang itu dibenarkan; (2) kemudaratan itu hendaklah dihilangkan dan (3) kesulitan mengakibatkan kemudahan. Kaedah-kaedah fikih ini hakikatnya menjunjung Maqasid Syariah atau tujuan syariat yang utama ialah pemeliharaan nyawa.

Realitinya, virus COVID-19 ini amat mudah berjangkit dari manusia ke manusia. Ia boleh mengancam nyawa dan membawa maut.

Menghindarkan amalan berjabat tangan dan mempraktikkan jarak sosial adalah jalan untuk membendung penularan virus ini.

Amalan tidak berjabat tangan dan digantikan dengan meletakkan tangan kanan di dada ketika bersapa sebagai contoh telah menjadi satu norma baru dalam kehidupan. Perubahan seperti ini perlu demi pencegahan.


Satu lagi contoh norma baru yang harus dijadikan tabiat adalah meningkatkan tahap kebersihan diri dan awam. Walaupun ini bukan sesuatu yang baru, namun ia sangat penting sekali.

Menurut ramai pakar kesihatan dan doktor, tahap kebersihan yang tinggi adalah barisan pertahanan utama dalam mencegah penularan COVID-19.

Amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap atau menggunakan “hand sanitizer” jika ketiadaan air hendaklah dijadikan kebiasaan dan norma selagi kita berhadapan dengan krisis COVID-19 ini.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Sedari atau tidak, langkah dan tindakan kita akan mempunyai kesan terhadap orang lain. Dalam mengharungi krisis ini, sikap mementingkan diri sendiri harus dielakkan.

Tindakan kita boleh mendatangkan mudarat kepada orang lain sekiranya kita lalai dan tidak berhati-hati.

Arahan pemerintah agar masyarakat tidak mengadakan kegiatan atau majlis melebihi 250 orang harus dipatuhi.


Gesaan agar anggota masyarakat mempraktikkan jarak sosial di khalayak ramai harus dipandang serius.

Begitu juga pemakaian petitup semasa sakit, tidak berkongsi pinggan mangkuk ketika makan dan sebagainya kesemuanya ini adalah tanggungjawab sosial yang harus kita laksanakan.

Menjalankan tanggungjwab sosial ini merupakan amanah yang harus kita pikul dalam kehidupan bermasyarakat.

Kita harus sentiasa ingat bahawa kita tidak hidup bersendirian di dunia ini. Setiap dari kita harus memainkan peranan masing-masing demi maslahat umum. Perpaduan kita harus jitu.

JANGAN KELIRUKAN KONSEP AGAMA

“Takut kepada virus ke takut kepada Allah?” Soalan ini pernah diungkapkan sebahagian kecil masyarakat Islam yang melahirkan rasa tidak senang mereka apabila masjid-masjid di Singapura diarahkan tutup.

Begitu juga soalan ini timbul dari beberapa pengikut jemaah tabligh yang hadir bagi pertemuan di Sulawesi yang diarahkan supaya ditunda.

Hakikatnya, soalan sedemikian itu salah dan tidak wajar dipersoalkan.

Mujur Mufti Negara Dr Nazirudin telah tampil dengan menjelaskan bahawa ‘takut kita kepada Allah’ adalah dengan menjadi insan bertanggungjawab dan tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain.


Sebaliknya, beliau berkata kita tidak takut kepada Allah dengan menjadi manusia yang cuai dan tidak mengambil langkah pencegahan.

Sebahagian masyarakat kita gagal untuk memahami konsep agama yang benar. Malah, mereka salah menggunakan konsep agama dan keliru dengannya.

Tindakan dan ungkapan mereka ini banyak berdasarkan emosi, rasa ketidakpuasan dan ilmu yang cetek.

Antara konsep agama yang selalu mereka keliru adalah konsep usaha dan tawakkal. Mereka sering mendakwa bahawa kita tidak perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan sebaliknya tawakkal kepada Allah sahaja.

BERUSAHA DAHULU

Begitu juga dakwaan mereka bahawa masjid-masjid tidak perlu ditutup kerana ia mendatangkan kemurkaan Tuhan.

Apa yang mereka gagal untuk memahami adalah sebelum bertawakkal, Tuhan memerintahkan supaya kita berusaha dahulu. Sifat tawakkal harus didahului oleh usaha.

Dengan tidak menghadiri perhimpunan agama yang besar dan menutup masjid-masjid pada saat krisis ini adalah sebahagian usaha kita untuk mencegah penularan.

Dengan tidak menghiraukan ajaran agama yang sebenarnya, mereka yang tidak bertanggungjawab ini telah memasukkan diri mereka ke dalam kemusnahan.

Dan ini sebenarnya melanggar perintah Tuhan dalam Al-Quran di mana Allah swt berfirman:
“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah ayat 195).

PENENTU KEJAYAAN

Ancaman penularan COVID-19 ini dijangka akan berlarutan buat masa yang panjang. Selama krisis ini berlarutan, langkah, tindakan dan juga cara pemikiran kita menjadi penentu apakah kita berjaya menghadapinya dengan berkesan atau tidak.

Bak kekata sebahagian orang “Apa yang berlaku itu tidak penting. Yang penting adalah bagaimana kita membuat respons kepada perkara yang belaku itu”. Inilah yang harus direnungkan.

Melaksanakan perubahan dan menyesuaikan diri dengan norma-norma baru pada waktu krisis ini tidak harus diabaikan.

Ayuh, marilah kita merubah cara pemikiran kita, menjauhi emosi dan sentimen negatif serta bergesa-gesa ke arah melakukan perubahan dan penyesuaian demi kebaikan dan maslahat bersama.

Dengan adanya kesedaran sebegini di samping perpaduan sosial yang jitu, yakinilah dengan ketentuan Tuhan, kita akan mampu mengharungi krisis ini dengan baik dan berkesan.


MENGENAI PENULIS

Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, RSIS (Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam), NTU (Universiti Teknologi Nanyang). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

- BERITAmediacorp/ha

Top