Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Serangan masjid di ChristChurch - reaksi keras dunia penting dalam mengutuk pengganasan

Penulis Remy Mahzam dan Unaisah Adam juga melihat pentingnya umat Islam turut bersuara dan ikut serta masyarakat dunia dalam mengutuk segala jenis pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Gambaran dan respons kuat masyarakat dunia menentang serangan ganas di Christchurch adalah penting dalam menguatkan naratif menentang pengganasan. Penulis Remy Mahzam dan Unaisah Adam juga melihat pentingnya umat Islam turut bersuara dan ikut serta masyarakat dunia dalam mengutuk segala jenis pengganasan.

Remy Mahzam dan Ustazah Unaisah Adam. (Gambar: Remy Mahzam)

SERANGAN ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini telah menjana sokongan dan perpaduan antara agama di seluruh dunia.

Pemimpin-pemimpin negara mahupun masyarakat sedunia telah bertindak dengan pantas untuk menyuarakan rasa kesal mereka ke atas tragedi yang telah meragut 50 nyawa dan mencederakan 20 orang dalam aksi tembakan rambang ke arah jemaah solat Jumaat di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Insiden tersebut membuktikan pengganasan merentasi sempadan agama dan masyarakat Islam sendiri boleh menjadi mangsa kepada aksi terorisme.

REAKSI DUNIA

Hanya beberapa jam setelah serangan berlaku, sumbangan dari pelbagai kelompok agama telah disalurkan kepada masyarakat Islam di New Zealand. Beberapa gereja membuka pintu mereka untuk memberi ruang keselamatan setelah masjid-masjid di New Zealand diarahkan tutup berikutan serangan di Christchurch.

Masjid-masjid juga mula menerima kiriman bunga berserta kata-kata semangat. Pengumpulan dana untuk mangsa serangan mencecah hampir NZ$3.2 juta dolar New Zealand dalam masa 2 jam.

Makanan halal turut diedarkan kepada keluarga serta rakan mangsa-mangsa serangan yang menunggu di hospital.

Monumen bersejarah Sydney Opera House diterangi dengan warna perak bersertakan lambang daun pakis New Zealand. Di Paris, lampu Menara Eiffel dipadamkan pada malam Sabtu.

Bangunan pencakar langit di Midtown Manhattan, New York juga tidak bercahaya sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa serangan di Christchurch.

SERANGAN PELAMPAU

Di lelaman media sosial, orang ramai mula menggunakan hashtag #TheyAreUs (Mereka adalah kami) dalam posting mereka sebagai tanda solidariti bersama masyarakat Islam di New Zealand. Frasa itu mendapat daya tarikan selepas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menggunakannya ketika membahas serangan itu di parlimen.

Puan Jacinda Ardern menyifatkan serangan yang menyasarkan kaum minoriti dan masyarakat pendatang di New Zealand itu sebagai satu serangan pengganas manakala Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pula menggelar penyerang yang terbabit dalam serangan tersebut sebagai "seorang pelampau, ekstremis sayap kanan".

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern semasa satu sidang media di Christchurch. (Gambar: Marty Melville/Pejabat Perdana Menteri New Zealand/AFP) 

(Gambar: Marty Melville/Pejabat Perdana Menteri New Zealand/AFP) 

Hashtag #WeStandTogether (Kita berdiri bersama) juga digunakan oleh Uskup Agung (ArchBishop) Canterbury di lelaman Twitter sebagai dorongan kepada penganut agama Kristian supaya menghadiri solat jumaat bersama rakan-rakan Islam mereka untuk memberi sokongan moral.

RASA DUKA CITA

Di Singapura, beberapa warga New Zealand turut menunjukkan rasa dukacita mereka ke atas tragedi pembunuhan di Christchurch.

Puan Kim Forrester, 47 tahun, seorang penduduk Ulu Pandan telah melawat ke Masjid Al-Huda di Bukit Timah dan bertemu dengan pengerusi masjid, Encik Azman Kassim untuk memohon maaf dan mendoakan kesejahteraan umat Islam.

Encik Graeme Merrall, 48 tahun, seorang warga Kiwi turut melawat Masjid Al-Falah di Orchard Road untuk menawarkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa serangan.

(Gambar-gambar: Masjid Al-Falah, Masjid Al-Huda)

(Gambar-gambar: Masjid Al-Falah, Masjid Al-Huda)

ISYARAT SOLIDARITI

Gambaran dan respons tindak balas terhadap serangan di Christchurch itu adalah penting bagi menguatkan naratif mengutuk segala bentuk keganasan.

Ia juga secara tidak langsung mengikiskan imej negatif yang sering mengaitkan pengganasan dengan agama Islam setelah masyarakat Islam dihantui peristiwa serangan September 11 hampir dua dekad dahulu dan juga kebangkitan kumpulan militan pengganas ISIS yang menggugat perhatian dunia.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang Encik K Shanmugam mengingatkan kita bahawa masyarakat Singapura perlu menghadapi kenyataan bahawa Islamofobia semakin meningkat di seluruh dunia.

Beliau juga menambah ideologi kebencian haluan kanan perlu ditangani dengan tegas seperti ideologi pelampau ekstremis IS.

Tanggungjawab untuk mencegah pengganasan bukan hanya terletak pada pemerintah atau pihak berkuasa sahaja, tetapi kerjasama dan penglibatan rakyat juga memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan negara.

Encik K Shanmugam (Gambar: Mediacorp)

Salah satu cara yang berkesan dalam usaha mencegah pengaruh ekstremis adalah dengan menzahirkan rasa tidak senang hati atau mengutuk sebarang aksi pengganasan tanpa mengira warna kulit, agama atau bangsa.

Dengan demikian, umat Islam dapat membuktikan kesungguhan mereka memerangi pengganasan dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

MENCEGAH MESEJ KEBENCIAN

Media juga memainkan peranan yang penting untuk memberikan gambaran yang jelas dalam laporan-laporan berita mengenai serangan pengganas.

Pembinaan kefahaman yang moderat dan sifat adil saksama dalam menganalisasi satu kejadian pengganasan perlu dibentuk untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah tanggapan.

Kisah-kisah kewiraan berikutan tragedi tembakan di Christchurch seperti tindakan seorang jema’ah, Encik Abdul Aziz yang berjaya menyekat penembak, Brenton Tarrant daripada meneruskan hasratnya untuk terus menyerang perlu diketengahkan sebagai aksi yang terpuji.

Peranan syarikat berteknologi seperti Facebook dan YouTube untuk mencegah pengganasan dan mesej kebencian juga amat dialu-alukan.

Dalam satu kenyataan, Facebook mengumumkan bahawa dalam masa 24 jam setelah berlangsungnya serangan di Christchurch, ia telah berjaya memadam 1.5 juta video rakaman secara langsung yang dirakam sendiri oleh penyerang dan kemudian bertebaran di media sosial.

Platform video terbesar dunia, YouTube juga telah mengambil langkah aktif membuang segala video berbaur kebencian yang memaparkan pengganasan tersebut kerana ia melanggar peraturan yang ditetapkan.

Mayat mangsa serangan pengganas Christchurch mula diserahkan kepada keluarga. (Gambar: Jorge Silva/Reuters)

(Gambar: Jorge Silva/Reuters)

MENENTANG PENGGANASAN 

Insiden di Christchurch membuktikan pengganasan dan ekstremisme tidak terhad kepada mana-mana agama. Orang Islam juga boleh menjadi mangsa kepada aksi satu serangan dan juga berduka cita di atas sebarang pengorbanan nyawa.

Masyarakat Islam perlu bersuara dan turut ikut serta bersama dunia dalam mengutuk segala jenis pengganasan.

Amat penting bagi setiap rakyat Singapura untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah yang sewajarnya dalam bersama-sama mencegah ancaman pengganasan.

Perhatian perlu diberikan terhadap daya tahan sosial negara dan kemampuan sesebuah masyarakat untuk mengharungi dan kekal bersatu padu sekiranya berlaku sebarang ancaman yang menggugat kestabilan.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Remy Mahzam (isremy [at] ntu.edu.sg) merupakan seorang zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Pengganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Ustazah Unaisah Adam adalah Pergawai Agama di Masjid Assyakirin dan pengelola program pembangunan untuk wanita, Sparkreativ.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan