Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sentuhan ibu demi ketenteraman keluarga di tengah penularan wabak

Dalam menghadapi keadaan yang cukup mencabar, seorang ibu atau wanita boleh memainkan peranan besar dalam mengurangkan tekanan kepada keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sentuhan ibu demi ketenteraman keluarga di tengah penularan wabak

Seorang ibu menghantar anak lelakinya ke pusat tadika. (Gambar fail: Alif Amsyar)

BERITAmediacorp: Dalam menghadapi keadaan yang cukup mencabar, seorang ibu atau wanita boleh memainkan peranan besar dalam mengurangkan tekanan kepada keluarga.

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)

Peranan wanita sebagai ibu dan fungsi wanita sebagai ‘tiang rumahtangga’ amatlah penting bagi terwujudnya keluarga yang rukun dan harmonis seperti dalam menentukan kesihatan mental anggota keluarga, umpamanya.

Kajian menunjukkan sokongan bersama ahli keluarga dan mereka yang duduk bersama keluarga adalah agar mereka terhindar daripada mengalami gejala mental, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis penularan wabak COVID-19.

Demi memastikan hubungan keluarga terus rukun dan harmonis di tengah-tengah cabaran wabak ini, dua perkara asas harus diberikan perhatian oleh kaum wanita sebagai ibu rumah tangga.

Jalinan kekeluargaan yang kuat dapat melindungi ahli keluarga daripada ancaman yang timbul di tengah-tengah krisis penularan virus COVID-19.

Kekeliruan dan kerisauan kerana kehilangan pekerjaan, kekurangan bekalan makanan dan terputus dengan dunia luar bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, tetapi juga emosi dan mental.

Langkah-langkah berikut harus diusahakan wanita sebagai ibu rumah tangga dalam mengukuhkan jalinan hubungan dan kekeluargaan demi meraih sokongan dan kekuatan menghadapi cabaran COVID -19.

HUBUNGAN BERMAKNA

Setiap ahli keluarga mempunyai kapasiti daya ketahanan mental yang tersendiri. Sebagai ibu rumah tangga, wanita perlu menjadi model menguruskan kerisauan yang baik pada anak-anak dan pasangan. Mulakan dengan menjadi pendengar yang baik.

Luangkan waktu untuk mendengar kebimbangan dan keluh-kesah anak-anak dan suami serta ahli keluarga yang lain.

Seperti selepas solat bersama atau semasa berbuka puasa. Berkumpul sambil mendengar dan menasihati dapat menghilangkan rasa cemas untuk kesejahteraan emosi dan mental, sekali gus mengelakkan diri daripada berasa terasing.

MELIBATKAN KELUARGA

Usahakan untuk melibatkan ahli keluarga dalam aktiviti yang bermakna seperti mengadakan struktur harian bagi mengelakkan mereka mudah berasa bosan dan timbul kebimbangan.

Selang-selikan waktu kerja rumah atau kerja sekolah dengan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan di samping waktu untuk berehat. Berikan peluang untuk mereka bersenam dan berinteraksi dengan kawan dalam talian.

Keluarga yang mempunyai warga emas seperti nenek dan datuk, usahakan cucu-cucu menemani dan menghiburkan mereka dengan mendengar ceramah atau bercerita tentang hal ehwal semasa.

Para ibu juga harus menjadikan musim ini peluang untuk mengajak anak-anak dan suami bekerja secara kolaboratif dalam urusan kerja rumah.

Gambar hiasan (Gambar: Facebook/Faishal Ibrahim)

SENTIASA BERSAMA, BUAT PENYESUAIAN

Bagi ahli keluarga yang terjejas akibat kegagalan perniagaan atau kehilangan pekerjaan, perasaan kecewa dan gelisah boleh memberi kesan kepada fikiran, perasaan, tingkah laku dan mengganggu kehidupan seharian seseorang.

Ini kadangkala dapat mengakibatkan tindakan yang kurang wajar dari ahli keluarga. Situasi ini memerlukan wanita bersikap tenang dan bijak dalam menghadapi masalah ekonomi keluarga.

Sebagai ibu tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan bersikap baik dan menghargai kerja keras suami di saat sulit mendapatkan nafkah.

Tanamkan sikap qannah (berasa cukup) dan bersyukur dengan nafkah yang diberikan ayah walaupun sedikit. Pada waktu yang sama mencari idea agar dapat mencukupi keperluan setiap anggota.

Lakukan ini dengan melibatkan anak-anak dan suami untuk sama-sama memikirkan cara meringankan masalah kewangan keluarga.

Langkah proaktif yang boleh disarankan ialah menilai kembali cara pengelolaan kewangan keluarga dan jika perlu sesuaikan dengan norma baru kehidupan keluarga.

BERHEMAH, HIKMAH UJIAN

Sikap menghayati dan menghargai hikmah di sebalik krisis sangat bermakna dalam membangunkan daya tahan keluarga dalam mengharungi cabaran krisis COVID-19.

Setiap ahli keluarga perlu diajak untuk memerhati dan merenung setiap kejadian dan reaksi yang timbul daripada krisis ini. Banyak kebaikan yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran. Hikmah ini hanya akan dihargai oleh mereka yang dapat melihat krisis ini dengan lensa positif lagi terbuka.

Usahakan untuk mengajak anak-anak dan suami untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka secara terbuka.

Tanamkan empati dalam diri mereka dengan merasakan kepedihan dan dukacita yang dirasakan orang yang dijangkiti virus, pekerja barisan hadapan dan juga yang kehilangan pekerjaan.

Seorang jururawat menantikan ketibaan ambulans di luar Hospital Elmhurst di New York. (Gambar fail: Lucas Jackson/Reuters)

Galakkan anggota keluarga untuk belajar dari satu sama lain dengan pemahaman serta keihsanan kerana setiap orang berhak untuk memahami dan difahami.

Berhemah semasa memberikan pandangan dan reaksi kepada para anggota terhadap krisis secara adil.

Jangan sampai ada di antara ahli keluarga yang berasa tersinggung dan berduka dengan kritikan yang menyakitkan.

SUASANA HARMONIS

Jelas sekali sumbangan wanita sebagai ibu rumah tangga amatlah kritikal dalam melindungi kerukunan keluarga dan suasana harmonis daripada ancaman cabaran COVID-19.

Sentuhan ibu dapat membantu ahli keluarga mencapai ketenangan dan menghindari kekeliruan. Namun, ini hanya boleh berlaku jika wanita mempunyai penguasaan pengurusan diri yang baik.

Penguasaan pengurusan diri akan membantu wanita dalam menjalani pengurusan keluarga dengan lebih efektif.

RAIKAN KEKUATAN

Sebagai ibu dalam rumah tangga, hal utama yang perlu dimiliki seorang wanita adalah kesedaran diri yang baik. Seorang wanita perlu mengetahui tentang kekuatan dan kelemahan yang dimilikinya.

Kesedaran ini dapat membantu wanita memanfaatkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan pada diri secara efektif. Setiap wanita mempunyai kekuatan. Gunakan kekuatan yang ada untuk membangunkan kemahiran yang baru.

Dalam memperbaiki kelemahan diri, fokus kepada apa yang mampu dilakukan ketika ini. Berlaku adil dan jangan terlalu memaksa diri.

Sentiasa ingatkan diri sendiri yang anda sedang melakukan sesuatu yang sangat bermakna dalam usaha memperbaiki diri untuk kesejahteraan keluarga bersama.

KETENANGAN ROHANI

Tidak dinafikan dalam situasi ketidakpastian, perasaan resah dan bimbang adalah sesuatu yang normal. Wanita harus bijak dalam mengawal perasaan bimbang dan risau.

Elakkan daripada menjauhkan diri dari ketakutan. Sebaliknya hadapi situasi ketidakpastian yang ada dengan minda dan jiwa yang terbuka. Ingatlah, ujian adalah permainan hidup.

Sebagai ibu, jika kita sentiasa menunjukkan kebimbangan dan berfikiran yang negatif, ini akan mengganggu jiwa anak-anak dan boleh mempengaruhi kelakuan mereka apabila berdepan dengan permasalahan.

Cuba atasi perasaan ini dengan berkongsi kerisauan dengan suami, ahli keluarga yang lain atau teman-teman yang boleh dipercayai.

Selain itu imbangi keperluaan duniawi dan kerohanian dengan kaedah yang sesuai untuk mencapai ketenangan seperti menjadikan rutin harian dengan melibatkan senaman dan pemakanan seimbang.

Tidur yang cukup boleh membantu aturan emosi dan mengurangkan kerisauan. Perlu diwujudkan rutin harian baru yang lebih fleksibel.

Wanita perlu bersikap optimis dengan mengingatkan diri bahawa kehidupan perlu diteruskan demi orang-orang yang disayangi.

Tingkatkan ibadah, berzikir dan banyakkan berdoa semoga diberikan ketabahan untuk menghadapi situasi mencabar ini.

IKUTI PERKEMBANGAN

Wanita perlu mengikuti perkembangan berita yang terkini dari dalam dan luar negeri agar dapat membuat penyesuaian dan perancangan.

Namun pastikan maklumat yang diterima dan dikongsi adalah daripada sumber yang dipercayai. Informasi yang sahih dapat mengurangkan kekaburan dan memperbetulkan kekeliruan. Elakkan diri dari dibebani dengan berita yang negatif di masa krisis.

(Gambar: Brooke Lark/Unsplash)

Pastikan wanita bijak memilih apa yang perlu dibaca dan dipelajari pada masa ini. Dapatkan bacaan dan nasihat daripada sumber yang boleh dipercayai.

Ini penting sebagai ibu yang bertanggungjawab untuk memperolehi maklumat bagi memastikan keselamatan keluarga.

Perlu berfikir jauh dalam memilih bahan bacaan dalam talian yang berguna dan daripada sumber yang sahih.

Salah satu caranya ialah dengan ditetapkan had berapa banyak bahan bacaan yang perlu diikuti dan dibaca sehari. Sekiranya membaca berita di media sosial membuatkan diri semakin resah, hentikan seketika.

NORMA BARU

Ternyata sentuhan ibu dan wanita memastikan COVID-19 peluang untuk melakukan sesuatu yang lebih produktif.

Ia merupakan peluang untuk menjalin dan merapatkan hubungan dengan anak-anak dan peluang mencari hikmah di sebalik sesuatu ujian dan kejadian.

Inilah norma-norma kehidupan yang baru yang akan menjamin ketenteraman dan kerukunan keluarga untuk meniti masa depan. 

MENGENAI PENULIS:

Presiden PPIS Rahayu Mohamad.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan