Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Semakin taat pada amalan agama, semakin kuat juga keinginan untuk berubah

Musim Haji tahun ini berjalan dengan baik tetapi natijah bagaimana yang boleh kita harapkan daripadanya?   

Anggaran Waktu Membaca:

Saban tahun umat Islam mengerjakan haji, saban tahun juga kita mendoakan semua jemaah selamat menjalankan ibadah tersebut  dan akan kembali  ke tanah air  dengan haji mabrur.

Begitu juga dengan tahun ini kita mengharapkan semuanya berjalan baik dengan para jemaah pulang ke tanah air dengan semangat baru dan juga dengan kesedaran yang lebih segar untuk terus mencari kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dari segi idealnya, rata-rata yang menunaikan ibadah haji mengharapkan agar mereka akan menjadi Muslim yang lebih baik:  taat menjalankan amal ibadat, murah hati, ihsan, penyayang dan peramah.

Malah kita juga mengharapkan mereka akan menjadi manusia yang lebih berjiwa besar yang meletakkan kepentingan bersama lebih utama daripada kepentingan diri dan keluarga sendiri. 

Jika kita tidak melihat perubahan-perubahan yang baik ini, besar kemungkinan ibadah haji itu tidak menunjukkan kesan-kesan membina yang seharusnya berlaku ke atas seseorang jemaah.

Memang bukanlah mudah untuk membuat penilaian yang objektif tentang bagaimana ibadah haji telah merubah secara positif kehidupan seseorang yang menunaikan haji.

KESAN IBADAH HAJI

Bagi kebanyakan jemaah, mereka sendiri sahaja yang boleh menilai sejauh mana ibadah haji telah memberi kesan positif terhadap kehidupan beragama dan harian masing-masing.

Oleh kerana kebanyakan kesan haji itu adalah agak subjektif, seperti berapa tinggi paras iman dan kerohanian seseorang itu telah berubah, adalah lebih baik perkara seperti ini dipertimbangkan sendiri oleh seseorang itu.

Para jemaah haji berwukuf di Arafah pada 2019 (Gambar: AFP)

Misalnya, sama ada seseorang itu kini lebih pemurah atau pelokek, lebih ringan tulang atau sebaliknya, atau lebih mematuhi undang-undang atau pun lebih banyak melanggarnya (seperti terlibat dalam jenayah menipu, pecah amanah, memberi atau menerima rasuah).

Walaupun tidak ada indeks tertentu untuk mengukur sejauh mana ‘berkesannya’  ibadah haji ke atas seseorang, kita sedikit sebanyak boleh melihatnya menerusi perubahan tingkah lalu dan juga tindak tanduk yang mencerminkan pegangan nilai-nilai mulia dan akhlak tinggi.  

PERUBAHAN SEKITAR IBADAH HAJI

Perbincangan tentang bagaimana ibadah haji boleh membawa perubahan tertentu kepada diri seseorang jemaah menjadi fokus penting hari ini, kerana adanya banyak perubahan sekitar perjalanan ibadah tersebut sejak ke belakangan ini.

Dalam sebuah buku mengenai perjalanan ibadah haji, Abdellah Hammoudi, pakar sains dan kaji masyarakat di Universiti Princeton, menelusuri perjalanan ibadah tersebut berdasarkan konteks semasa di mana banyaknya perubahan telah dikesan.

Melihat kepada banyaknya perubahan berkaitan ibadah haji, baik dari segi pemodenan dan pembangunan prasanana di Makkah dan Madinah, peraturan dan pelaksanaannya oleh Arab Saudi dan sikap para jemaah itu sendiri, Abdellah melihat adanya pelbagai paradoks  yang sedikit sebanyak menimbulkan kesan ke atas mereka yang melakukan ibadah tersebut.

PELBAGAI MAKNA DAN PENGERTIAN

Antara yang menghairankan kepadanya, mungkin juga pada para pemerhati lain, adalah bagaimana kerohanian dan kesederhanaan dalam ibadah haji boleh jalan seiring dengan kebendaan dan keduniaan (seperti kesibukan membeli belah bukan sahaja untuk keperluan biasa, tetapi untuk cendera mata hinggalah kepada barang mewah seperti barang kemas).

Walaupun antara intipati utama haji adalah kesamarataan antara semua umat manusia, tetapi apa yang jelas  pada Abdellah adalah ketaranya jurang perbezaan antara satu pihak dengan yang lain - tetapi ia langsung tidak dipedulikan ramai orang.

Dan walaupun adanya penekanan kuat Islam sebagai agama damai dan tenteram,  apa yang dilihat pada  sesetengah tindak tanduk dan amalan (misalnya, penyembelihan haiwan korban) tidak menunjukkan keihsanan dan ketenangan jiwa.

Abdellah amat menyedari bahawa ibadah haji memang penuh dengan pelbagai makna dan pengertian mendalam tetapi ini semua tidak digarap dengan baik oleh pihak jemaah dan juga pihak penguasa.

Akibatnya apa yang dihayati oleh jemaah hanyalah pelaksanaan rukun dan amal ibadah dari segi lahiriah sahaja dengan ramai jemaah akan cukup berpuas hati jika mereka merasakan bahawa ibadah mereka sudah sempurna dan diterima Allah.

PERUBAHAN BERMAKNA

Keinginan minimum ini memanglah boleh difahami memandangkan tidak semua orang boleh memahami dengan mendalam pengertian di sebalik hukum dan rukun ibadah haji itu.

Tetapi lebih baik lagi jika mereka boleh melihat bahawa setiap perjalanan ibadah haji itu sebenarnya bertujuan membawa perubahan bermakna kepada kehidupan mereka baik dari segi kehidupan beragama dan juga kehidupan harian.

(Gambar: Zhul Rahim/Facebook)

Dengan melakukan ibadah haji itu para jemaah bukan sahaja mengerti makna dan prinsip asas yang mahu ditegakkan oleh Islam.

Mereka juga memahami bahawa nilai-nilai asas itu mestilah dipegang dan diamalkan sebaik mungkin supaya mereka bukan sahaja menjadi seorang Muslim yang baik tetapi juga sebagai anggota masyarakat, warga negara dan juga sebagai insan berguna kepada negara dan kemanusiaan.

Persoalannya adalah di pundak siapakah tanggungjawab ini harus dipikulkan agar setiap kali jemaah kita menunaikan ibadah haji, mereka akan melaksanakannya dengan pengertian yang lebih meluas dan bermakna lagi.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan