Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sejauh mana masyarakat Melayu/Islam peka terhadap wabak COVID-19

Cabaran terkini adalah untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura meningkatkan kepekaan terhadap langkah-langkah pencegahan yang dianggap tepat dan berpatutan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sejauh mana masyarakat Melayu/Islam peka terhadap wabak COVID-19

Para penumpang dalam sebuah kereta api di Singapura pada 18 Mac 2020. (Gambar: Catherine Lai)

BERITAmediacorp: Cabaran terkini adalah untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura meningkatkan kepekaan terhadap langkah-langkah pencegahan yang dianggap tepat dan berpatutan.

Imej masyarakat Melayu/Islam Singapura sebagai sebuah kumpulan yang masih belum terjejas oleh wabak COVID-19 hancur dengan satu berita dari Kuala Lumpur.

Satu pertemuan Jemaat Tablighi di sebuah masjid di Kuala Lumpur telah mengakibatkan sesetengah peserta dijangkiti virus COVID-19.

Suasana kecemasan tempatan mula dirasai apabila diketahui bahawa acara yang sebesar 16,000 peserta turut dihadiri oleh segelintir warga Singapura.

(Gambar: Petikan dari video)

Baru-baru ini pula, syarikat pengurusan perkahwinan Melayu, Orange Ballroom mengakui bahawa ia telah menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk menyediakan senarai nama tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di dewan jamuannya pada Sabtu, 21 Mac lepas.

Walaupun tiada butiran lanjut diberikan, apa yang dimaklumkan menerusi perbincangan di internet ialah dua pesakit yang dijangkiti COVID-19 telah menghadiri majlis pada hari itu.

TIADA KAITAN ETNIK

Keadaan ini berbeza dari tempoh lebih awal apabila penularan wabak bermula di Singapura. Walaupun pihak berkuasa tidak mengaitkan pertalian etnik dalam laporannya.

Kelompok-kelompok jangkitan yang pertama dikenal pasti sebagai tiada hubungan dengan masyarakat Melayu/Islam.

(Gambar: Mediacorp)

Ia mencetuskan tanggapan bahawa masyarakat Melayu tidak akan terjejas oleh virus ini. Sebagai seorang Melayu, ini menjadi bahan pertanyaan semasa perbualan saya dengan rakan-rakan bukan Melayu semasa itu.

Memang secara kolektif, masyarakat Melayu/Islam Singapura membanggakan diri sebagai suatu komuniti yang telah dipupuk dengan tabiat menjaga kebersihan diri yang tinggi.

Amalan ini diperkuat dengan kepercayaan agama Islam yang menegaskan berwuduk sebelum menunaikan setiap solat lima waktu.

Gambar seorang lelaki mengambil wuduk. (Gambar: AFP / NOORULLAH SHIRZADA)

Ringkasnya, kebersihan bukan sahaja amalan budaya, ia adalah tanda keagamaan. Pemikiran ini sekali lagi ditimbulkan dalam kajian saya mengenai identiti belia Melayu melalui beberapa perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan kumpulan pemuda Melayu.

Persepsi yang sama dikongsi oleh kumpulan pemuda bukan Melayu yang juga mengambil bahagian dalam kajian yang sama.

Walau bagaimanapun, kebimbangan tentang perlunya meninggikan tahap kepekaan masyarakat Melayu terhadap langkah-langkah pencegahan dan pembendungan wabak COVID-19 tercetus akibat perkembangan yang kini berlaku.

PENCEGAHAN SEMASA

Setelah penularan wabak semakin ketara, arahan dari pihak berkuasa untuk mengawal dan membendung virus COVID-19 lebih dicepat kuasa.

Langkah jarak sosial (social distancing) kini dilaksanakan dengan jarak 1 meter digunakan sebagai kepastian.

Tempat duduk yang ditandakan 'X' bagi jarak selamat. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Pusat-pusat hiburan diperintah ditutup untuk sementara waktu dan tidak melebihi 10 orang dibenarkan untuk berkumpul pada satu-satu masa.

Khususnya pada masyarakat Islam, MUIS telah mengambil tindakan untuk menutup semua masjid dan memulakan proses pembersihan dan pembasmian kuman.

RESPONS UMMAH

Walaupun masih ada kelompok kecil pengkritik, perbualan yang dikesan melalui media sosial menunjukkan bahawa majoriti umat Melayu/Islam memahami rasional di sebalik keputusan itu dengan menunjukkan sokongan bagi tindakan MUIS.

Pesanan yang digunakan oleh para pemimpin agama sebagai asas bagi tindakan ini adalah walaupun hidup manusia terletak di tangan Tuhan, Allah tetap menyeru umat Islam untuk menunjukkan tanggungjawab mereka sebagai rakyat negara.

Masjid Sultan ditutup sementara kepada pelancong. (Gambar: BERITAmediacorp)

Walau bagaimanapun, masih berlaku insiden di mana anggota-anggota masyarakat Melayu kurang menunjukkan kepekaan dalam tindak balas mereka bagi membendung wabak COVID-19.

Sebagai contoh, beberapa mesej yang dimuat naik oleh anggota yang kurang berfikir panjang di internet boleh dianggap tidak produktif dan menurunkan kebaikan kolektif ummah Singapura.

Sebuah mesej Whatsapp yang menonjolkan sepasang tangan yang mengalami kelecuran baru-baru ini telah dimuat naik bagi tontonan pembaca Melayu sebagai amaran bahaya jika terlalu dekat dengan api masak sebaik selepas melapisi tangan dengan sanitiser berasaskan alkohol.

Mesej Whatsapp itu segera diikuti oleh beberapa lain yang ‘menunjukkan’ bagaimana produk seperti ini boleh membakar dan menyebabkan kecelakaan.

Mesej-mesej Whatsapp ini berakhir dengan pembawa cerita memberi nasihat supaya masyarakat Melayu menahan diri dari menggunakan produk sanitiser yang berasaskan alkohol.

TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Terdahulu sebelum ini, disebabkan keberatan masyarakat Melayu untuk menggunakan sanitiser tangan yang berasaskan alkohol, MUIS telah berusaha membuat penjelasan bahawa produk sebegini tidak dilarang dalam Islam.

Ini kerana ia bukanlah sesuatu yang digunakan untuk berkhayal tetapi sebagai produk bagi memastikan perlindungan terhadap jangkitan kuman.

Gambar hiasan seseorang menggunakan cecair pembasmi kuman.

Penjelasan itu berjaya meyakini para ummah supaya menerima penggunaan sanitiser alkohol sebagai keperluan untuk penjagaan diri dari jangkitan.

Klip video yang memaparkan bahaya jika tersalah menggunakan sanitiser alkohol memang megandungi nilai sosial.

Malangnya mesej sebegitu mengetepikan kebaikan yang lebih besar bagi masyarakat Melayu amnya, dengan kesimpulan yang menasihati para pengguna dari menggunakan produk berasaskan alkohol tersebut.

Dengan mempermainkan kepercayaan umat Islam, pencipta mesej-mesej ini bertindak tidak bertanggungjawab yang mungkin akan lebih memburukkan lagi nasib masyarakat Melayu/Islam Singapura.

PERLU KEPEKAAN

Lebih banyak cadangan boleh dibuat untuk meninggikan taraf kepekaan masyarakat Melayu mengenai langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19.

Misalnya, penganjur yang masih berhasrat untuk meneruskan acara keramaian mereka mesti mengambil langkah khas bagi mewujudkan suasana ‘pencegahan’ bagi majlis mereka.

Sebagai tetamu di beberapa majlis seperti ini, saya dapat merasakan perbezaan antara suasana kemeriahan dicampur dengan langkah pengawalan dan penjagaan; di mana tetamu dikehendaki mengisi borang pendaftaran penjejakan dan suhu mereka diambil di pintu masuk; dan majlis di mana amalan-amalan sebegini tidak diadakan.

(Gambar fail: BERITAmediacorp)

Majlis yang pertama memberi saya kesenangan hati untuk mengamalkan 'Salam Mufti' dengan tetamu yang lain.

Majlis yang kedua pula membuat saya rasa kurang selesa untuk melakukan yang sama kerana menghadapi respons sinis dari kumpulan yang kurang peka tentang keadaan semasa.

Sesetengah tetamu wanita yang saya berbicara juga memberitahu saya bahawa saudara-mara mereka menunjukkan perasaan tersinggung apabila mereka menolak tradisi ciuman kiri, kanan, kiri pipi yang diamalkan kaum hawa.

LANGKAH PENCEGAHAN

Penganjur yang mengadakan acara di bawah blok umpamanya harus mencontohi protokol pencegahan yang telah menjadi norma di institusi-institusi pemerintah.

Sebagai tambahan, MUIS dan badan-badan Melayu/Islam yang lain boleh menghasilkan poster yang dapat dimuat turun dari internet dan digunakan sebagai notis untuk ditampal di sekitar acara mereka.

Satu lagi cara untuk memberi pemesanan yang lebih jelas tentang pentingnya pencegahan adalah dengan mengatur supaya seorang penerima tetamu memegang sebotol semburan sanitiser tangan yang dipicit bagi setiap tetamu yang tiba.

Keseluruhannya, cabaran terkini yang kita hadapi adalah untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura meningkatkan kepekaan mereka terhadap langkah-langkah pencegahan virus COVID-19 yang dianggap tepat dan berpatutan.

Ini boleh dicapai melalui tabiat pemikiran yang lebih kritikal: untuk berfikir secara rasional, secara bebas dan tanpa mempercayai setiap 'nasihat' yang mereka temui.

Sebaliknya, mereka harus lebih bergantung kepada maklumat yang disediakan oleh media yang terkawal, terurus dan boleh dipercayai.


MENGENAI PENULIS:


Dr Mohamad Shamsuri Juhari, Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS) di Universiti Nasional Singapura (NUS). 

Dr Mohamad Shamsuri Juhari adalah Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS) di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau mengkhusus dalam penyelidikan yang memberi tumpuan kepada isu-isu masyarakat Melayu/Islam Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan