Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sejauh mana ‘berpisah secara damai’ mampu meredakan pertikaian selepas bercerai?

Realitinya, perceraian biasanya berpunca apabila pasangan tidak rasa pernikahan mereka yang telah retak dapat dibaiki semula. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sejauh mana ‘berpisah secara damai’ mampu meredakan pertikaian selepas bercerai?

(Gambar hiasan: Nataliya Vaitkevich/Pexels)

BERITAmediacorp: Pada awal bulan Mei yang lalu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan usaha untuk mengumpul maklum balas orang awam tentang cadangan untuk menjadikan prosiding perceraian kurang bertelagah.

MSF juga ingin memahami apakah yang boleh dilakukan agar setiap keluarga yang menjalani proses perceraian dapat mengurangkan perbalahan dan melangkah ke hadapan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Walaupun usaha ini tertumpu kepada perceraian bagi pernikahan sivil di bawah Piagam Wanita (Women’s Charter), masyarakat Islam juga perlu prihatin tentang sebab-sebab usulan ini diketengahkan.

PUNCA RUMAH TANGGA RETAK

Realitinya, perceraian biasanya berpunca apabila pasangan tidak rasa pernikahan mereka yang telah retak dapat dibaiki semula.

Keretakan pernikahan pula boleh berpunca daripada pelbagai sebab – tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang diharapkan, masalah penderaan dan pukul-bantai, isu hubungan sulit, campur tangan mertua dan ipar-duai, ditinggalkan, sudah tidak tinggal bersama, tidak lagi bersefahaman dan berbagai-bagai lagi.

Salah-menyalahkan membawa kepada perceraian berbalah.

Petikan video ihsan PPIS.

(Petikan video ihsan PPIS)

Sememangnya, setiap pasangan yang menginginkan perceraian akan mendatangkan bukti dan hujah-hujah mengapa rumah tangga mereka sudah tidak dapat diselamatkan.

Sebagai plaintif, iaitu pihak yang menuntut cerai, mereka perlu meyakinkan mahkamah bahawa mereka mempunyai sebab yang kukuh. Ini menjurus kepada mencari kesilapan pasangan. Pihak defendan pula akan berusaha untuk mempertahankan diri dan kewibawaannya sebagai pasangan; dan selalunya dengan menampilkan bukti-bukti sebagai tentangan.

Apabila ia sampai ke tahap salah-menyalahkan, emosi negatif akan berleluasa dan pasangan akan lebih bertekad untuk memastikan yang pihak lawan tidak akan dapat ‘lepas begitu sahaja’.

Kadangkala, walaupun satu pihak menginginkan perceraian secara damai, ia tidak bermakna pihak yang satu lagi akan membenarkannya.

ANAK IBARAT BIDAK CATUR

Di sinilah masalah menular kepada anak-anak yang dijadikan bidak catur pergelutan ibu bapa mereka. Kita perlu sedar bahawa perceraian bukan setakat akhirnya perhubungan pernikahan antara suami dan isteri.

Kesannya berentetan kepada anak-anak yang juga perlu menanggung akibat putusnya ikatan ibu bapa mereka. Sebelum bercerai, si anak mungkin dijadikan tempat luahan perasaan ibu atau bapa yang memburuk-burukkan pasangan masing-masing. Anak akan rasa tertekan untuk memihak kepada ibu atau bapanya.

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)

Bagi sesetengah anak, mereka perlu membuat pilihan siapa yang mereka ingin ikuti setelah ibu bapa mereka bercerai nanti. Mereka menjadi serba salah kerana memilih yang satu akan diertikan seperti menolak yang lain. Bagi sebahagian pasangan, pergelutan untuk mendapatkan hak penjagaan anak juga menjadi pertelagahan di mahkamah nanti.

ANAK TANGGUNG PADAH SEBAGAI MANGSA PERCERAIAN

Sering kali anak menjadi mangsa apabila ada perbalahan dalam perceraian. Jika perceraian tidak berlaku secara damai, si anak mungkin akan terputus hubungan dengan ibu atau bapa yang tidak dapat hak penjagaan.

Malah hubungan bersama ahli keluarga lain seperti datuk nenek dan saudara-mara sebelah ibu atau bapa juga mungkin akan terputus bila terjadi perceraian berbalah. Oleh kerana perceraian tidak berlaku secara damai, ada pihak yang melihatnya sebagai pertarungan kalah-menang.

Tentunya ada yang terluka dan mungkin akan berdendam.

BOLEHKAH 'BERPISAH SECARA DAMAI' BERLAKU?

Cadangan untuk membenarkan pasangan membuat permohonan untuk berpisah secara damai (amicable divorce) berpandukan tanggapan: jika perceraian tidak tertumpu kepada ‘salah siapa’, maka kedua-dua pasangan tidak perlu membuka pekung di dada masing-masing di hadapan hakim; menghindar rasa malu dan mengurangkan perbalahan.

Istilah 'berpisah secara damai' merujuk kepada kaedah yang membolehkan pasangan yang bersetuju untuk berpisah memfailkan perceraian tanpa perlu menyatakan sebab mengapa perkahwinan mereka gagal.

Dalam konteks ini, tiada plaintif dan tiada pula defendan.

Harapan yang tersemat dalam mengutarakan ‘perceraian mesra’ ini adalah supaya hubungan baik antara pasangan dapat dikekalkan, lebih-lebih lagi demi kemaslahatan anak-anak yang masih perlukan kasih sayang ibu bapa setelah ibu bapa mereka berpisah dan hidup berasingan.

Gambar fail: CNA

(Gambar fail: CNA)

Kalau direnungkan, perceraian dalam Islam sudahpun menjurus kepada keihsanan, maaf-memaafkan dan melepaskan secara baik.

Hanya kita sahaja yang mungkin kurang peka akan kesan perceraian pada diri anak-anak dan orang sekeliling untuk bersikap rahmah dan berlaku adil antara satu sama lain.

Oleh itu, khidmat kaunseling sebelum dan sesudah perceraian yang diusahakan oleh Agensi Khusus Sokongan Perceraian (DSSA) amat dialu-alukan dan perlu diperkembangkan.

SOKONGAN TAMBAHAN BAGI ANAK-ANAK

Sebagai tambahan, program khusus untuk anak-anak seperti ‘Children-In-Between’ yang dikelolakan oleh badan-badan DSSA harus menjadi sesuatu yang diwajibkan bagi mereka untuk memastikan perasaan, kebimbangan dan kebajikan mereka dapat dikenal pasti dan dijadikan keprihatinan utama bagi ibu bapa apabila perceraian berlaku.

Laman Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Tidak lupa juga, bolehkah DSSA bekerjasama dengan badan-badan tertentu untuk mengusahakan satu program bagi anak-anak berkeperluan khas yang mungkin juga terjejas oleh perceraian ibu bapa mereka?

Perceraian adalah realiti kehidupan yang tidak dapat dinyahkan sama sekali kerana lumrah hidup berpasangan akan ada pasang surutnya.

Tahap kesabaran dan komitmen dalam perhubungan pernikahan pula berbeza-beza. Apa yang kita boleh cuba lakukan adalah mengurangkan kesannya terhadap anak-anak supaya mereka dapat membesar dengan rasa konfiden bahawa diri mereka masih tetap disayangi walaupun ibu atau bapa tidak lagi hidup di bawah satu bumbung. 

MENGENAI PENULIS:

Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019. 
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan