Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sedari sikap perkauman boleh wujud di mana-mana; bagaimana untuk mengatasinya

Isu perkauman kembali membara di Amerika Syarikat ekoran bantahan-bantahan keganasan ke atas masyarakat kulit hitam. Apakah reaksi dan pengajaran yang diperolehi bagi masyarakat di luar Amerika? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Isu perkauman kembali membara di Amerika Syarikat ekoran bantahan-bantahan keganasan ke atas masyarakat kulit hitam. Apakah reaksi dan pengajaran yang diperolehi bagi masyarakat di luar Amerika?

Nama lelaki kulit hitam George Floyd yang menjadi mangsa keganasan polis Minnesota, Amerika Syarikat, kini cepat menjadi lambang bantahan-bantahan anti-perkauman di negara itu. 

Floyd didapati mati selepas dikasari seorang anggota polis yang melutut di lehernya sehingga beliau tidak dapat bernafas.

Kematian George Floyd dalam tahanan polis pada 26 Mei 2020 cetuskan tunjuk perasaan di Amerika Syarikat (Gambar: AFP/Kerem Yucel)

Namun Floyd hanyalah seorang daripada sejumlah besar rakyat Amerika Syarikat berkulit hitam yang kerap menjadi mangsa keganasan pihak polis.

Ada di antara mereka ditembak tanpa alasan, diberkas dengan ganas, disyaki tanpa bukti dan dipenjarakan lebih lama untuk kesalahan-kesalahan yang kecil berbanding penduduk Amerika Syarikat yang berkulit putih.

Inilah yang mendorong pembentukan gerakan membantah keganasan terhadap penduduk kulit hitam seperti #BlackLivesMatter (BLM) yang ditubuhkan pada tahun 2013.

Gerakan ini merupakan gabungan tenaga masyarakat kulit hitam di Amerika (dan di beberapa negara lain) yang berusaha untuk menghentikan keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan oleh orang awam atau “vigilante” terhadap masyarakat berkulit hitam.

Antara aktiviti mereka termasuk mengatur tunjuk perasaan yang bersifat aman – ini merupakan sesuatu yang dibenarkan di Amerika Syarikat.

Para penunjuk perasaan berarak di luar Gereja St. John's, berhampiran Rumah Putih di Washington, DC, dalam perhimpunan terhadap kematian George Floyd. (Gambar fail: REUTERS)

Mereka juga melindungi golongan kulit hitam yang paling tertindas termasuk golongan LGBTQ, wanita, kurang upaya, tanpa dokumentasi dan sebagainya.

Pendeknya gerakan anti-rasisme dan pro-keadilan untuk golongan kulit hitam ini memang berbagai ragam dan tidak semestinya sefahaman dan satu wawasan.

Walaupun berbeza ia tetap sehaluan untuk menghentikan segala bentuk keganasan dan ketidakadilan terhadap masyarakat kulit hitam.

REAKSI SEJAGAT

Tunjuk perasaan di Sydney, Australia pada 2 Jun 2020. (Gambar: Reuters/Loren Elliott) 

Aksi gerakan BLM secara demonstrasi ataupun di alam maya telahpun menular di platform-platform media sosial termasuk Instagram, Twitter dan sebagainya.

Ramai netizen di merata dunia yang peka terhadap apa yang berlaku turut menyebarkan kesedaran terhadap isu rasisme dan keganasan.

Mereka menyertai usaha meningkatkan kesedaran tersebut dengan mengirimkan hantaran-hantaran yang pelbagai ragam sebagai tanda sokongan, termasuk dengan menggunakan tanda pagar #blacklivesmatter dan #blackoutTuesday.

Gelombang sokongan terhadap kempen BLM ini juga mencetus perbincangan-perbincangan penting baik dari pihak penyokong mahupun pengkritik.

Antaranya, persoalan tentang keutuhan sokongan melalui media sosial yang mungkin tidak bermakna bagi pengkritik dan pesimis.

Ramai yang menjawab kritikan ini dengan menjelaskan bahawa sokongan melalui media sosial mempunyai kesan tersendiri selain menunjukkan sokongan yang global dan luas bagi orang-orang yang terlibat secara langsung.

Lebih-lebih lagi jika hantaran tersebut disisipkan mesej-mesej yang mendidik lebih ramai orang tentang isu-isu penting.

HUBUNGAN KAUM

Walaupun BLM itu seolah-olah isu khas penduduk Amerika Syarikat, sebenarnya ia merupakan penentu isu sejagat kerana membabitkan prinsip-prinsip hak dan kesaksamaan manusia serta perbincangan hubungan etnik dan minoriti.

Kejayaan gerakan kemanusiaan seperti BLM dan kalah menang kesinambungan gerakan hak sivil ini menentukan ajal landasan moral dan kemanusiaan sedunia.

Mahu atau tidak, nasib kaum minoriti di seluruh dunia seolah-olah sedikit sebanyak berpaut dengan nasib orang kulit hitam.

(Gambar: Reuters)

Sebagai contoh, keganasan terhadap golongan beragama Islam di India dan di Palestin berkait dan seolah-olah ikut meningkat seragam kebelakangan ini.

Apatah lagi, mereka yang menyokong gerakan pelampau sayap kanan ‘Alt-Right’ mungkin akan lebih memberanikan diri jika mereka berasa bahawa kemenangan kini di sisi mereka.

SIKAP PERKAUMAN

Sejak kebelakangan ini juga perbincangan tentang rasisme menyusuli BLM turut mengetengahkan persoalan sejauh mana rasisme wujud di dalam masyarakat kita.

Dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Singapura, tidak hairan jika sikap perkauman juga boleh wujud dalam kalangan sesetengah orang.

Mesej perpaduan yang dipaparkan dalam kereta api bertema harmoni di Singapura (Gambar: Elizabeth Neo/CNA)

Di dalam masyarakat Melayu/Islam sendiri, kita tidak perlu menafikan bahawa adanya sikap sedemikian juga, walau sekecil mana bilangan mereka ini.

Misalnya, ada lagi sebahagian daripada kita yang masih mewarisi dan menggunakan kata-kata rujukan yang kasar, rasis dan menghina terhadap mereka yang berkulit gelap atau golongan berbangsa lain.

Kita harus lebih peka dan mendidik anggota masyarakat kita supaya generasi yang akan datang tidak lagi bersifat sedemikian.

Mungkin kita tidak sedar jasa-jasa orang berkulit hitam dan orang-orang yang berasal dari Afrika.

Dalam dunia Islam, orang-orang berkulit hitamlah yang merupakan antara Sahabat terdekat dengan Rasulullah s.a.w. termasuk Sayyidatina Umm Ayman dan Usamah ibn Zayd serta ilmuwan-ilmuwan terbesar.

HORMAT DAN SANTUN

Khabib Nurmagomedov bersama kanak-kanak Afrika. (Gambar: Khabib_Nurmagomedov/Instagram)

Budaya dan dunia hiburan kita juga penuh dengan pinjaman budaya orang-orang kulit hitam di Amerika Syarikat dan juga Afrika.

Ramai golongan muda kita menggunakan muzik orang kulit hitam untuk mengetengahkan isu-isu masyarakat kita selain suka dan duka sehinggakan dijadikan kerjaya.

Mereka mungkin tidak sekalipun mengharapkan sokongan kita baik di media sosial atau di alam nyata.

Mungkin ada di antara kita yang tidak begitu setuju dengan rusuhan dan rampasan harta yang dilakukan oleh segelintir akibat kemarahan mereka.

Ataupun ada yang tidak terima bahawa BLM itu memayungi golongan sewarna yang mengidentifikasi diri mereka sebagai jantina yang berbeza.

Sebenarnya, menyokong gerakan hak sivil itu ataupun saudara semanusia secara am dan berprinsip memanglah tidak ada salahnya.

MENOLAK KEKERASAN

Kita mungkin tidak boleh menerima penggunaan kekerasan yang dilakukan sesetengah anggota BLM umpamanya.

Tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh menyokong usaha mereka untuk memperbaiki suasana yang mencetuskan keganasan terhadap kaum minoriti.

Kita haruslah terus berprinsip bahawa keganasan, rusuhan dan rampasan harta itu tidak boleh ditiru di dalam konteks kita.

Walau apapun janganlah kerana kehidupan kita yang selesa dan aman menyebabkan kita berpendirian untuk mendiamkan diri sahaja sambil beranggapan bahawa kita tidak berhak dan tidak memahami keadaan mereka.

Sekurang-kurangnya jadikanlah apa yang berlaku di negara luar itu sebagai sesuatu yang boleh juga dijadikan pengajaran kepada masyarakat kita sendiri.

MENGENAI PENULIS: 

(Gambar ihsan: Muhammad Haziq Jani)

Muhammad Haziq Jani adalah seorang Penganalisis Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan