Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sedang Virus Wuhan semakin menular, sikap bagaimana yang harus kita tonjolkan

Sebagai pengikut agama yang amat memberatkan kesihatan dan kebersihan, bagaimana masyarakat Islam boleh menyumbang kepada usaha mengekang penularan jangkitan wabak.  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sedang Virus Wuhan semakin menular, sikap bagaimana yang harus kita tonjolkan

(Gambar: Martin Pollard/Reuters)

Hadapinyalah dengan tenang tetapi teruslah berjaga-jaga.

Inilah nasihat sebaiknya dalam masyarakat dunia meningkatkan langkah masing-masing untuk menghadapi penularan jangkitan virus korona baru Wuhan sekarang ini.

Seperti jangkitan-jangkitan sebelumnya:  SARS, selesema Burung H5N1, Ebola, Zika dan juga MERS (atau selesema unta) – ia boleh berlaku di mana-mana dan cepat merebak ke bahagian lain dunia.

Virus MERS. (Gambar: AFP)

Sebagaimana kita diingatkan oleh Prof. Jared Diamond (penulis Guns, Germs and Steel ),  kuman, penyakit dan wabak sebenarnya memang sebahagian besar daripada citra peradaban kemanusiaan sejak ratusan ribu tahun lamanya.

Tanpa virus, kuman, penyakit dan wabak, mungkin sejarah perjalanan manusia amat berbeza sekali daripada hari ini.

Oleh itu terimalah kehadiran semua itu sebagai hakikat yang tidak boleh dipisahkan daripada kemanusiaan kita.

REAKSI SEMPIT

Namun jika sesetengah reaksi terutama di media sosial diambil kira, agak jelas ada yang lebih cenderung ke arah kejahilan dalam soal ini.

Yang ketara adalah reaksi yang bersifat perkauman, xenophobia atau kebencian terhadap orang lain dan ada juga yang mencerminkan pemikiran agama yang sempit dan ekstrem.

Seperti SARS, virus Wuhan ini juga memerlukan vaksin sebagai penawarnya memandangkan vaksin selesema yang ada sekarang tidak cukup mujarab untuk menangani virus baru ini.

PUNCA VIRUS

Antara sebab yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif di kalangan masyarakat bukan Cina adalah punca jangkitan virus baru ini – iaitu dari sebuah pasar basah di Wuhan.

Pusat makanan laut di Wuhan yang dipercayai punca penularan virus, kini ditutup (Gambar: AFP/Noel Celis)

Seperti dilaporkan dalam media, pasar tersebut memang menyediakan daging haiwan-haiwan liar seperti musang, buaya, ular, landak, biawak dan juga kelawar.

Sesetengah laporan menyatakan virus korona terbaru di Wuhan itu berpunca daripada najis kelawar.

Sebagaimana yang berlaku selepas wabak SARS di mana  pemerintah China terpaksa menghapuskan jualan daging musang luwak, ia mungkin terpaksa bertindak pula terhadap jualan daging haiwan-haiwan liar yang lain.

Menurut para  saintis, punca kemunculan virus berbahaya  dari haiwan-haiwan ini bukan kerana kegemaran sesetengah orang memakan haiwan-haiwan eksotik semata-mata.

Amalan ini memanglah suatu yang sukar diterima oleh kebanyakan kita atas sebab-sebab kesihatan dan kemanusiaan.

Namun faktor yang paling utama sekali yang boleh menyebabkan jangkitan berbahaya ini adalah sekitaran di pasar basah itu sendiri.

Keadaannya yang tidak bersih di mana percampuran antara bangkai haiwan, lumuran darah dan air berlecak, semua ini memudahkan kuman membiak dan seterusnya ‘melompat’ kepada manusia.

SIKAP PERKAUMAN   

Memanglah boleh dijangkakan bahawa jangkitan dari Wuhan ini mendapat reaksi-reaksi negatif dari pelbagai masyarakat, baik dari dalam dan juga di luar China.

Reaksi yang bersifat perkauman dan anti-masyarakat Cina umumnya,  pasti memburukkan lagi stereotaip dan prejudis yang sedia ada.

Ia termasuklah stereotaip negatif bahawa rakyat China dan orang Cina umumnya tidak dianggap pembersih dan tidak tahu  memberatkan kesihatan.

Seperti kebanyakan stereotaip dan prejudis kaum yang lain, ia tidaklah boleh dianggap sebagai cerminan yang tepat tentang semua orang Cina.

Namun apabila stereotaip negatif begini bercampur pula dengan pelbagai sentimen kaum dan agama, ia mempunyai kesan dalam meluaskan lagi jurang persefahaman antara kaum dan agama.

Malah lebih buruk lagi ia boleh meningkatkan lagi sebarang ketegangan yang telahpun sedia wujud.

Inilah kemungkinan besar yang akan berlaku sekiranya reaksi-reaksi negatif yang kita baca dalam hantaran dan ciapan media sosial berhubung krisis virus Wuhan ini tidak ditangani dengan baik.

Komen-komen bahawa yang bukan Islam itu ‘memang pengotor’, ‘patut ditimpa bala’, ‘kafir yang tidak perlu dibantu’,  jelas mencerminkan sikap membenci orang lain yang tidak tentu pasal.

MENYEMPITKAN AJARAN

Ia merupakan reaksi yang sengaja menyempitkan ajaran Islam sendiri yang tidak menggalakkan kebencian dan pemikiran sempit walaupun dalam ketika kita berhadapan dengan musibah.

Bagi mereka yang cukup memahami inti dan prinsip utama Islam akan menyedari bahawa sikap ihsan dan rahmah perlu ditunjukkan bukan kepada orang Islam sahaja, tetapi juga kepada seluruh alam.

Jadi dalam berhadapan dengan musibah,  keprihatinan umat Islam haruslah kepada semua orang tidak kira kaum atau agama.

Selain menunjukkan sikap prihatin dan ihsan, umat Islam sepatutnya lebih memahami bahawa langkah utama yang digalakkan oleh agama adalah supaya kita lebih proaktif dalam mengambil usaha-usaha pencegahan sambil rela untuk menangani bersama krisis yang dihadapi.  

Jika prinsip-prinsip kebersihan dan kesihatan ini terus dipegang dan diamalkan umat Islam, ia boleh menjadi penyumbang besar dalam segala usaha kita untuk mencegah penularan sesuatu jangkitan itu.

IHSAN DAN RAHMAH

Tetapi jika kita sekadar pandai mengungkapkan bahawa Islam itu lebih baik dan mulia kerana itu dan ini,  namun tidak pandai dalam menghidupkan prinsip-prinsipnya, ini tidak akan menjamin kita terselamat sekiranya kita juga ditimpa bencana dan musibah.

Dalam kita melaksanakan tanggungjawab besar untuk menyumbang kepada kesejahteraan dan kebaikan seluruh alam ini, biarlah ia dilakukan dengan sifat penuh ihsan dan rahmah yang sejati.

Biarlah ia dilakukan untuk  semua tidak kira kaum atau agama – dan bukan kerana atas dasar bahawa umat Islamlah yang perlu dibantu dahulu kerana mereka saudara seagama kita.

Ini adalah pendirian yang tidak menunjukkan kematangan dalam beragama.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan