Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sebesar mana sekalipun ia baru gelombang pertama; sudahkah kita bersedia bagi yang lebih besar lagi

Apa yang diperlukan ke atas kita adalah kesepakatan dan semangat satu hati dalam sama-sama menyekat penularan   COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

Sudah lebih tiga bulan dunia bergelut dengan wabak COVID-19,  tetapi baru beberapa hari lalu kita di Singapura mula merasakan apa yang dimaksudkan dengan ‘surge’ dan ‘peak’.

Kalau mengikut pakar-pakar, yang kebanyakannya tidak mahu terikat dengan mana-mana kesimpulan buat masa ini, mereka berpendapat bahawa apa yang kita saksikan sekarang hanyalah satu permulaan sahaja.

Ramai pakar perubatan sudah pun mengakui bahawa COVID-19  memanglah krisis kesihatan yang paling serius dihadapi dunia selepas pandemik demam Spanish Flu sekitar 100 tahun lalu.

Dengan lebih dua juta penduduk dunia disahkan sudah dijangkitinya dengan 140,000 kematian dilaporkan sejauh ini, ia memanglah krisis kesihatan yang hebat bagi manusia dalam kurun ini.

Dari segi ekonomi dan kemanusiaan amnya, ramai pakar ekonomi dan pengajian masyarakat, akur ia adalah krisis yang lebih besar daripada kemelesetan Great Depression pada tahun-tahun 1930-an.

LANGKAH BERTAHAP-TAHAP

Bagi kita di Singapura, langkah melawan COVID-19  dilakukan dengan bertahap-tahap mengikut bagaimana situasi penularan itu berkembang.

Apa yang telah kita difahamkan bahawa setiap langkah besar diambil setelah terdapat cukup bukti jelas bahawa situasi akan bertambah buruk jika tiada langkah tegas diambil segera.

Jalan raya sepi di kawasan bandar S'pura

Sekiranya semua usaha tegas yang diambil (menutup tempat kerja, sekolah, kedai, haramkan pertemuan sosial, mewajibkan pelitup, bekerja dan belajar dari rumah dan sebagainya), berkesan dalam mengurangkan penularan, ia tidak bermakna gejala jangkitan sudah berakhir. 

GELOMBANG PERTAMA

Kalaupun ia cukup berjaya, seperti menurut sesetengah pakar, ia hanya berjaya dalam meredakan gelombang pertama ombak besar yang melanda kita.

Oleh itu adalah tidak mungkin semua langkah CB akan ditarik balik dengan serta merta selepas awal Mei depan.

Besar kemungkinan banyak langkah di bawah CB ini akan dikekalkan sebagai norma baru kehidupan kita hari ini.

PERANAN MASING-MASING

Seperti yang kita dilihat baik di Singapura, malah juga di kebanyakan tempat lain,  kejayaan kita dalam membendung pukulan pertama COVID-19 ini amat bergantung pada keupayaan negara dan masyarakat bekerjasama memainkan peranan masing-masing.

Korea Selatan menyaksikan kenaikan ketara dalam jumlah jangkitan COVID-19. (Gambar: Jung Yeon-je/AFP)

Kalau diperhatikan kesemua negara ini pertama sekali memang mempunyai sumber kewangan dan kekuatan ekonomi tersendiri, yang membolehkannya memikul beban berat krisis kewangan dan kesihatan yang berkaitan.

Tidak juga boleh dinafikan bahawa kesemua negara berkenaan bolehlah dikatakan negara yang mempunyai kecekapan dan pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghuraikan sesuatu krisis.

Kekuatan ini semua kemudian dikukuhkan pula dengan taraf kepercayaan dan perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat dan pucuk kepimpinan di negara-negara tersebut.

MODAL SOSIAL

Faktor kepercayaan dan perpaduan ini jelas adalah modal sosial yang sama pentingnya dengan sumber ekonomi dan kewangan yang amat berguna bagi setiap negara dalam ia mengharungi badai besar masing-masing.   

Ada juga negara yang memang tidak kurang dengan kepakaran, kekuatan ekonomi dan kemewahan sumber tetapi agak gagal dalam membuat persiapan secukupnya dalam tahap pertama ‘perlumbaan’ menewaskan COVID-19.

Kakitangan perubatan Kingsbrook Jewish Medical Center, New York, memindahkan mayat pesakit COVID-19 ke trak sejuk beku ekoran kekurangan ruang di rumah mayat. (Gambar: AFP)

Hanya selepas keadaan semakin jelas bahawa mereka tidak akan berjaya sekiranya tiada tindakan tegas diambil, barulah setiap negara itu menguatkuasakan langkah-langkah ‘kurungan’ dan jarak sosial yang lebih keras.

Namun setiap saat mereka lambat bertindak telah menimbulkan banyak kesan besar lain yang akhirnya menjejas sistem kesihatan dan ekonomi masing-masing.

Setiap kali mereka gagal bertindak cepat bilangan kematian meningkat sementara wabak pula telah luas merebak.

Seperti kata sejarawan Yural Noah Harari, setiap kali kita berbalah, setiap kali itu juga virus ini akan berlipat ganda (“When humans squabble, viruses double”).

BUKAN YANG TERAKHIR

Apa yang pasti pandemik COVID-19  mungkin bukan yang terakhir menjejas manusia. Malah ada yang berani menyatakan bahawa wabak sebesar ini mungkin berulang lagi pada masa hadapan.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa kita agak bernasib baik dapat mengatasi penularan SARS dengan kematian sekitar 1,000 orang sahaja.

Tetapi lain ceritanya dengan SARS, COVID-19 mungkin tidak semerbahaya dari segi kematian – jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang dijangkiti dan kemudian pulih semula.

Penularannya dijangka berpanjangan untuk banyak bulan mendatang dengan beberapa gelombang besar baru mungkin terjadi setiap tiga empat bulan.

Inilah yang menyebabkan mengapa ramai pakar dan pemimpin dunia amat bimbang terhadap ancaman virus korona ini – ancamannya terhadap kesihatan kita dan juga kemelut ekonomi besar-besaran yang akan dikejutkannya ke atas kita semua.  

BOLEH DIATASI

Tetapi seperti yang telah ditegaskan beberapa kali ia bukanlah suatu malapetaka besar yang tidak dapat diatasi oleh manusia hari ini.

Walau seberapa besar sekalipun cabaran yang ditimbulkannya, COVID-19 seperti wabak-wabak besar yang pernah melanda manusia,  masih boleh ditewaskan akhirnya.

Namun apa yang penting, kita dan masyarakat sejagat seluruhnya, perlu menunjukkan  kesepakatan dan semangat satu hati untuk melakukan yang terbaik dalam menyekat kemaraan penyakit ini.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan