Images
  • Pertunjukan bunga api NDP 2020
    Pertunjukan bunga api sebagai sambutan Hari Kebangsaan S'pura ke-55

KOMENTAR: Sambutan Hari Kebangsaan – peluang mantapkan lagi jati diri bersama

Selepas pilihan raya umum baru-baru ini kini sambutan Hari Kebangsaan negara pula.

Kedua-duanya menyediakan peluang penting bagi rakyat merenung dengan mendalam erti menjadi warga negara di pulau Titik Merah ini.

Kalau mengikut usia manusia, 55 tahun itu memanglah sudah cukup matang malah boleh dikatakan semakin meniti usia senja.

Namun bagi sesebuah negara, usia 55 tahun masih boleh dianggap sebagai  ‘muda’,  mentelah kebanyakan negara ‘matang’ yang telah lama merdeka, ada yang sudah berusia ratusan, malah ribuan tahun lamanya (China, Jepun, Amerika Syarikat, Britain, umpamanya).

Pada satu segi,  Singapura – kalau sejarah modennya diambil kira – memanglah masih muda.

Tetapi jika sejarah panjangnya yang menjadi ukuran (bermula dengan Temasek dan Sang Nila Utama sekitar sealaf lalu), Singapura sebagai sebuah kota pelabuhan bolehlah dianggap cukup matang dan amat berpengalaman dalam turun naik sesebuah peradaban manusia.

Kalau pada masa-masa lalu, Singapura sebagai bandar pelabuhan yang terbuka dan pelbagai, tidak menekankan soal  semangat kebangsaan dan kekitaan yang bersama, dengan setiap kaum dan penduduknya tidak menganggap pulau ini sebagai tempat tinggal mereka yang berkekalan.

Namun, pasca-kemerdekaan semangat kebangsaan dan kekitaan semakin menjadi penting demi memastikan keutuhan dan kelanjutan kota ini sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

BEBAS AMALKAN

Walaupun demikian seperti yang telah ditekankan berkali-kali Singapura sebagai negara merdeka dan demokratik berpegang pada prinsip berbilang kaum dan agama, dengan setiap rakyat dan setiap lapisan masyarakatnya bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing.

Dalam konteks hari ini, kedaulatan, perpaduan dan kesetiaan terhadap negara, mahu atau tidak mahu, mestilah berjalan sehaluan dengan penghormatan terhadap hak individu yang mahukan kepelbagaian dan penerimaan terhadap perbezaan kepercayaan dan fahaman.

Era globalisasi yang kita warisi sejak dua, tiga dekad lalu ini, menimbulkan dilema besar kepada kebanyakan negara terutama dalam soal menangani isu kerencaman dan kepelbagaian tuntutan yang datang dari bawah.

Negara-negara yang lemah dalam menangani pelbagai dinamika ini menghadapi bahaya institusi kenegaraan mereka semakin tergugat dan bertambah lemah (lantaran akibat politik kaum dan agama, kepimpinan populis dan kepimpinan yang mundur intelek dan akhlak).

TERIMA KEPELBAGAIAN

Kalau pengalaman panjang Singapura sebagai kota pelabuhan yang dinamik di rantau ini boleh dijadikan panduan,  terdapat banyak bayangan bagaimana masa hadapannya harus dibentuk oleh rakyat dan pemimpinnya.

Bagi para sejarawan yang meneliti sejarah lama Singapura, mereka mendapati bahawa ciri penting yang menjamin penakatannya, adalah nilai keterbukaannya dan kesediaan menerima kepelbagaian (kemasukan orang luar dari rantau ini dan penerapan pengaruh, agama dan budaya luar).  

Sebagai sebuah kota pelabuhan terbuka (yang makmur dan berbilang kaum, menurut Sejarah Melayu), peranan yang dimainkannya itu mencerminkan dengan ketara ciri-ciri masyarakat kosmopolitan.

Ia adalah ciri-ciri masyarakat yang tededah kepada perdagangan bebas, kemasukan barangan dan kedatangan pedagang dan pengunjung dari pelbagai pelusuk dunia, dan juga keterbukaan kepada pelbagai budaya, agama dan idea yang berbeza-beza.

Keterbukaan dan kesediaan menerima pelbagai idea dan fahaman inilah yang telah membentuk masyarakat awal dan juga kedinamikan budaya Melayu di rantau sebelah sini.

TIDAK MUDAH TUNDUK

Walaupun Singapura kemudian pernah merudum akibat faktor sejarah dan ilmu alam, ia dapat bangkit semula sebagai kota pelabuhan yang penting dari kurun ke-19 hinggalah ke hari ini.

Kedudukan geografi mungkin antara ciri penting yang menjadikan Singapura sebuah negeri bertuah sejak berkurun-kurun lamanya.

Namun, ciri-ciri asas yang membentuk jati diri masyarakat Singapura sejak dari mula lagi kerap menunjukkan sikap tidak mudah tunduk pada nasib dan sebaliknya sedia menangani cabaran.

Bagi masyarakat Melayu pula terdedahnya ia  kepada pelbagai budaya dan idea yang berbeza-beza telah  memperkayakan budaya dan pandangan hidupnya terhadap dunia luar.

Ia bukan sahaja menjadikannya lebih toleran terhadap kepelbagaian dan perbezaan antara satu sama lain, malah menjadi lebih bertenaga lagi dalam memanfaatkan segala kerencaman ini.

DINAMIKA DAN BERTENAGA

Dengan mewarisi ciri dinamika dan bertenaga ini telah membolehkan masyarakat Melayu Singapura dapat menerima pemodenan lebih awal daripada masyarakat-masyarakat Melayu yang lain.

Ini terbukti dengan kemampuannya memanfaatkan kedudukan penting Singapura sebagai bandar kosmopolitan untuk menjadikan pulau ini sebagai pusat budaya, intelektual dan komersil untuk beberapa dekad sekitar lewat kurun ke-19 lagi.

Dalam merenung tentang negara dan masyarakat yang bagaimana hendak dicorak pada hari-hari muka, inilah yang harus diambil kira oleh kita semua.

Ciri keterbukaan dan kesediaan kita untuk sentiasa berperanan dan relevan kepada dunia luar sebenarnya telah lama menjadi jati diri utama masyarakat Singapura – dari dahulu sehinggalah hari ini.

Dapatkah nilai-nilai ini terus dipertahan dan diperkembangkan lagi akan menentukan penakatan Singapura dalam dunia yang semakin mencabar ini.


- BERITAmediacorp/ib

Top