Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sambutan Hari Kebangsaan - keramat kebangsaan dan kedaulatan warga

Setiap negara yang merdeka pasti ada sambutan Hari Kemerdekaan, kadang disebut Hari Kebangsaan ataupun Hari Peringatan kenegaraan yang dikaitkan dengan raja yang memerintah.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setiap negara yang merdeka pasti ada sambutan Hari Kemerdekaan, kadang disebut Hari Kebangsaan ataupun Hari Peringatan kenegaraan yang dikaitkan dengan raja yang memerintah.

Bendera negara terbang lalu semasa Perbarisan Hari Kebangsaan 2019. (Gambar: Jeremy Long)

Sambutan Hari Kebangsaan pada 2019. (Gambar fail: CNA) 

Di republik ini, Hari Kebangsaan disambut pada tanggal 9 Ogos setiap tahun. Inilah hari keramat dan banyak masa, tenaga dan sumber diperuntukkan bagi sambutannya.

Boleh dikatakan setiap negara mempunyai ritus kenegaraan ini.

Singapura adalah salah satu negara di mana hari kebangsaannya sangat-sangat dinantikan, malah diikuti oleh pengagum negara luar yang terpegun dengan sambutan bertema tahunan Hari Kebangsaan kita yang spektakular, teriring dengan lagu tema dan pertunjukan yang sangat bertenaga, cekap dan kreatif.

Kita turut bangga, malahan sering kali siang-siang hari kita menampah tiket untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan, yang sememangnya menggembeling pelbagai kepakaran dari pasukan berseragam di republik ini. Satu yang menarik tentang hari kebangsaan kita, ia benar-benar direncana dan diselaras sepenuhnya oleh negara. Di satu sisi, ia memperlihat negara dan masyarakat yang etos perancangan sangat tangguh.

Namun kalau kita jengok di beberapa negara lain, hari kebangsaan atau kemerdekaan mereka, khasnya yang tersambut dalam kalangan rakyatnya lebih bersahaja, alami dan membumi. Ia bukan temasya negara semata-mata, tetapi temasya warga. Inisiatif dari bawah untuk menyambut hari kebangsaan diadakan dengan pesta lumba itu dan ini, terkumpul anak-anak desa, dengan pelbagai permainan, hiburan dan keupacaraan.

PUPUK SEMANGAT CINTA TANAH AIR

Hari Kebangsaan seperti itu terlihat sisi patriotisme yang berakar dan menumbuh. Dari rakyat terbanyak, cinta kepada tanah air, bangsa dan masyarakat datang dari sikap sayang kepada tanah tumpah darah, persaudaraan sebangsa dan senegara, keterikatan kepada daerah masing-masing yang bertali-temali dengan kuasa pusat yang memerintah negara.

Menyebut tentang patriotisme, ada baiknya ia dikaitkan dengan sejenis pengabdian kepada kebajikan dan kesejahteraan terhadap sesebuah negara. Dalam negara moden sekarang, patriotisme ini adalah semangat dan dedikasi warga kepada negara tanah tumpah darahnya, bersedia memberikan yang terbaik atau berbakti demi kepada negara dan warga sesama.

Seorang kakitangan memegang bendera Singapura di atas kenderaan semasa raptai perarakan kenderaan di Tuas South pada 1 Ogos 2020. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Gambar fail: Gaya Chandramohan

Dalam konteks kita di Singapura, kebajikan negara dan warga itu tercita dan terjamin dalam lafaz Ikrar Negara, yang setiap satu dari kita dibesarkan dengan mengucapkan ikrar ini semenjak di bangku sekolah lagi:

“Kami, warga negara Singapura,
sebagai rakyat yang bersatu padu,
tidak kira bangsa, bahasa, atau agama,
berikrar untuk membina suatu masyarakat yang demokratik,
berdasarkan kepada keadilan dan persamaan
untuk mencapai kebahagiaan,
kemakmuran dan kemajuan bagi negara kami.”

Terkandung dalam cita kebajikan itu untuk menjamin negara yang demokratik, dengan keadilan dan kesetaraan menyatukan setiap satu warga.

Sebenarnya ini adalah sebuah lafaz patriotisme. Maksudnya patriotisme ini bukan sekadar simbol, atau terikat dengan kesetiaan mutlak kepada negara (atau pemerintah yang berkuasa) tetapi adalah pengakuran kepada nilai-nilai luhur yang boleh menjadikan kita sebuah bangsa dan negara yang adil, demokratik dan sejahtera untuk setiap satu warga dan penduduknya.

PELUANG RAKYAT HAYATI ERTI SEBENAR HARI KEBANGSAAN

Hari Kebangsaan sesungguhnya harus membawa kita merenung setiap tahun akan keberadaan kita dalam landasan patriotisme yang dihubungkaitkan dengan dasar kebajikan yang harus terjaminkan untuk semua.

Sekadar menyambut dengan kemeriahan pelbagai kegiatan, Hari Kebangsaan itu akan menjadi sekadar temasya suka-ria, tanpa pengisian yang reflektif dan substantif.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan masyarakat yang berdaulat, bermartabat, dan beradab akan menumbuhkan sikap patriotisme yang teguh dengan nilai dan amalan derma bakti, pertanggungjawaban, cinta-kasih dan lain-lain segi budi manusiawi untuk masyarakat dan tanah airnya.

Namun di banyak tempat, patriotisme telah dibelokkan maknanya. Patriotisme diseiraskan dengan sikap nasionalisme mundur, dijana oleh penguasa yang bermain sentimen etnik, agama, suku, bahasa dan daerah demi mengekalkan kuasa.

Di sinilah banyak negara yang baru merdeka terjunam dengan konflik pemisahan. Bukan patriotisme yang menjamin kebajikan bersama yang dibangunkan, tetapi nasionalisme kepuakan yang akhirnya menjadi penyebab runtuh perpaduan nasional di kalangan rakyat.

Begitulah juga yang telah diingatkan oleh Frantz Fanon, seorang pemikir dunia ketiga yang terbilang. Tegas beliau, nasionalisme harus bangun beralih daripada kesadaran nasional kepada ranah kesadaran sosial dan politik.

Frantz Fanon mengingatkan bahawa nasionalisme harus bangun beralih kepada ranah kesedaran sosial dan politik. (Gambar: onewhodresses.com)

Sekiranya ini tidak berlaku ia akan menggagalkan pembangunan politik dan sosial yang sebenarnya.

“If you really wish your country to avoid regression, or at best halts and uncertainties, a rapid step must be taken from national consciousness to political and social consciousness.” The Wretched of the Earth (1963)

JANGAN PUTAR BELIT MAKNA PATRIOTISME

Hari ini kita telah saksikan betapa banyak negara tersembam ke lembah nasionalisme dangkal dan narsistik, bermain dengan api perkauman dan keagamaan. Makna patriotisme diputar-belitkan sehingga ia ditakrifkan sebagai kesetiaan dan kebaktian mutlak kepada sang penguasa, bersekongkol dengan pemerintah yang sering kali jadong (jahat-bodoh-pembohong dalam istilah S H Alatas).

Penulis Afrika yang terkenal, Chinua Achebe, pernah melihat kecenderungan ini yang melarat di belahan benuanya.

“There will always be some people whose personal, selfish interests are, in the short term at least, well served by the mismanagement and social iniquities. Naturally they will be extremely loud in their adulation of the country and its system and will be anxious to pass themselves off as patriots and to vilify those who disagree with them as trouble-makers or even traitors. But doomed is the nation which permits such people to define patriotism for it.” The Trouble With Nigeria. (1983)

Syukur negara dan masyarakat kita tidak terjerat dengan budaya politik yang durjana seperti itu. Namun kita harus akur bahawa kita tidak sampai ke jeratan itu kerana adanya disiplin nasional yang telah terbina awal, integriti kepimpinan yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

'HARI KESYUKURAN' TERHADAP KESEJAHTERAAN & KEMAKMURAN NEGARA

Hari Kebangsaan sebagai hari kesyukuran oleh kerana wujudnya keamaman, kesejahteraan dan kestabilan, jelas mengundang refleksi kritis akan keadaan kita.

Sambutan riang gembira pastilah wajar, tetapi ruang untuk bermuhasabah juga harus terbudaya, dengan keberanian mengapung persoalan-persoalan seperti makna hidup bermasyarakat, tanggungjawab dan hak, bakti warga dan khidmat sosial, keluhuran demokrasi dan perlindungan perlembagaan, dasar negara dengan pertimbangan moral, hubungan pemimpin dengan rakyat, penagihan adil dengan kemajuan ekonomi yang cergas, kepelbagaian kelompok dan keutuhan individu dan banyak lagi.

Refleksi yang ampuh inilah yang wajar disebut keramat kebangsaan dalam pengertian perluasaan kesadaran sosial politik, sebagaimana yang diserukan Fanon. Sekiranya ini dikaitkan dengan patriotisme, ia adalah cita dan amal untuk menegakkan kebajikan dan kesejahteraan kepada masyarakat dan negara.

Kedaulatan negara bisa terjamin dengan panji kuasa, dan perundangan.

Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)

Gambar fail: MOE

Namun tiada negara akan utuh sejahtera sekiranya kedaulatan warganya tidak tumbuh dan terjamin sama. Dan kedaulatan itu berkait rapat dengan setiap warga mengidentifikasikan peranan masing-masing untuk kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cemerlang dan sempurna.

Dengan Hari Kebangsaan yang akan menjelang nanti, moga berdenting di benak fikiran dan perasaan kita untuk merenung sama akan makna patriotisme. Mungkin ujaran Achebe tentang siapakah sang patriot itu berguna diperhatikan:

“Who is a patriot? He is a person who loves his country. He is not a person who says he loves his country. He is not even a person who shouts or swears or sings his love of his country. He is one who cares deeply about the happiness and well-being of his country and all its people. Patriotism is an emotion of love directed by a critical intelligence. A true patriot will always demand the highest standards of his country and accept nothing but the best for and from people. He will be outspoken in condemnation of their short-comings without giving way to superiority, despair or cynicism.” The Trouble With Nigeria. (1983)

Sesungguhnya keramat kebangsaan ini sangat tersulam utuh dengan makna kedaulatan warga. Cita patriotisme dari warga adalah antara asas terpenting agar keduanya itu terus hadir dan berlangsung.

Hari Kebangsaan di tempat mana pun tidak bisa terlepas dari pemaknaan seperti ini. Betapa lagi dengan tema sambutan kita tahun ini “Together, Our Singapore Spirit” atau “Bersama, Dengan Semangat Singapura” – terpanggil seruan itu yang berinti ranumnya makna kebangsaan yang merangkul kebersamaan warga dan patriotisme yang mencerah. Itu adalah lafaz cita sekali gus pertanggungjawaban.

Dirgahayu Singapura dengan Kebangsaan Warga Menyatu!

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee.
Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan