Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: S’pura 200 tahun selepas Raffles – Bagaimana ia harus diperingati

Langkah untuk menyambut 200 tahun Singapura ‘ditemui’ oleh Stamford Raffles bukanlah mudah untuk diterima ramai.  

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Langkah untuk menyambut 200 tahun Singapura ‘ditemui’ oleh Stamford Raffles bukanlah mudah untuk diterima ramai pihak, mentelah lagi beliau adalah kalangan yang banyak bertanggungjawab terhadap penjajahan di rantau ini. Penulis Muhammad Suhail Mohamed bagaimanapun melihat adanya iktibar dalam kita memperingatinya pada 2019 kelak. Beliau berhujah ia mungkin peluang bagi masyarakat merenung episod penjajahan itu dan mengambil pedoman daripadanya dalam kita mengorak langkah ke depan.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Tahun hadapan merupakan ulang tahun yang ke-200 sejak ‘penemuan’ Singapura oleh Sir Stamford Raffles pada tahun 1819. Perancangan sudah dimulakan untuk meneliti bagaimana kita boleh memperingati peristiwa tersebut.

Baru-baru ini, pemerintah telah mengumumkan bahawa Perbarisan Hari Kebangsaan 2019 akan diadakan di Padang sempena ulang tahun dua abad ini. Pejabat 200 Tahun Singapura (SBO) juga telah ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana kita boleh memperingati kepentingan 2019.
April lalu, SBO telah mengumumkan bahawa pelbagai pameran akan diadakan di merata Singapura sepanjang tahun hadapan.

PATUTKAH IA DIRAIKAN

Walau bagaimanapun, terdapat juga sentimen di kalangan masyarakat yang mempertikaikan jika apa-apa perayaan patut diadakan.

Ada yang bimbang jika perhatian kepada tahun 1819 akan meluputkan lagi sejarah Singapura pra-1819 ketika pulau ini wujud sebagai domain kerajaan-kerajaan Melayu yang terdahulu — sejarah ini yang berkurun lamanya tidak harus diketepikan.

Namun, kita tidak boleh leka tetapi harus peka tentang akar persoalan kepentingan 1819. Persoalannya bukan tentang penghayatan legasi sejarah kerajaan Melayu ketika memperingati 1819, tetapi harus bertitik tolak dengan persoalan: patutkah kita raikan ulang tahun ini?

PERSOALAN MORAL

Ulang tahun ini secara terus terang suatu peringatan bagi legasi penjajahan British ke atas pulau Singapura. Apa yang tidak patut dirayakan sedangkan kuasa penjajah ini telah membina struktur pemodenan?

Singapura telah mewarisi sistem perundangan, institusi-institusi, dasar-dasar ekonomi serta falsafah pemerintahan yang terus menjadi tunggak masyarakat moden hari ini.

Masyarakat kita pun begitu fasih berbahasa Inggeris. Ini merupakan antara kesan-kesan kontemporari yang begitu jelas berasal dari pengalaman pemerintahan kolonial.

Tetapi, jika dipertimbangkan dari segi persoalan moral, hujah bagi perayaan 2019 bertambah kompleks.

SISTEM PENJAJAH

Kuasa British bertanggungjawab atas eksploitasi nenek moyang kita yang berasal dari pelbagai penjuru dunia, dari India, China dan yang berasal dari Nusantara.

Ramai antara mereka datang ke Singapura untuk mencari rezeki sebagai buruh kasar dan bekerja dalam keadaan yang kurang berperikemanusiaan dan berhampiran dengan status hamba abdi.

Ada yang berhutang-piutang untuk membiayai perjalanan mereka ke sini dan ada yang bekerja sepanjang hari dan malam untuk golongan kapitalis sama ada berbangsa Inggeris, Cina, Arab, India mahupun Melayu.

Jurang antara yang kaya dan yang miskin begitu melampau. Mangsa eksploitasi ketidakadilan sistem kolonial kapitalisme tidak patut dilupakan begitu sahaja.

PERSOALAN TENTANG RAFFLES

Ulang tahun ke-200 ini juga menimbulkan persoalan tentang tempat Raffles di dalam sejarah kita.

Walaupun ada yang berpendapat bahawa Kolonel William Farquhar, residen pertama Singapura, patut menerima penghargaan sebagai perintis Singapura moden, kita tidak dapat nafikan bahawa Raffles sentiasa menerima perhatian yang lebih dan dikait rapat dengan tahun 1819.

Namun, yang patut dibincangkan ialah persoalan etika yang timbul jika kita terus terima Raffles sebagai ikon Singapura. Kelakuan Raffles di Singapura jauh dari sifat terpuji malah lebih dekat kepada sifat dikeji.

Misalannya, pada tahun 1823, seorang saudagar bernama Sayed Yassin telah mengamuk dan menikam William Farquhar. Dalam kekecohan tersebut, dia telah dibunuh dan mayatnya dikerat-kerat oleh askar British.

Atas arahan Raffles, yang mengarahkan mayat Sayed Yassin diheret merata kota Singapura dan digantung di dalam sangkar besi selama beberapa hari. Ia sebagai amaran kepada penduduk tempatan tentang padahnya melawan kuasa British.

AbeBooks

(Gambar: AbeBooks)

PERISTIWA DI PALEMBANG

Bukan itu sahaja, menurut kajian Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas di dalam bukunya, Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer, Raffles memikul tanggungjawab atas episod pembunuhan orang secara beramai-ramai di Palembang pada tahun 1811.

Beliau juga didakwa telah mengarahkan penculikan lebih 200 orang wanita tempatan untuk dihantar ke Banjarmasin bagi memenuhi tuntutan sahabatnya, Alexander Hare.

Patutkah masyarakat kita bangga dikaitkan dengan personaliti yang berkelakuan seperti ini?

MARUAH DAN NASIONALISME

Mungkin ada yang kurang selesa atau sebaliknya, masih terlalu selesa dengan hujah-hujah moral kerana berpendapat bahawa baik buruk keadaan dan kekurangan manusia merupakan lumrah hidup.

Meskipun begitu, kita perlu sedar bahawa beberapa kesan zaman penjajahan yang kurang baik masih menghantui kita sehingga hari ini.

Contohnya, dasar British yang mengasingkan masyarakat yang dijajahnya menurut perbezaan kaum telah menjadi antara punca politik perkauman setelah Perang Dunia Kedua.

Tidak lupa juga isu status sosio-ekonomi orang Melayu/Islam yang sentiasa menjadi perhatian pemerintah dan tokoh-tokoh masyarakat.

BERBAUR PERKAUMAN

Dasar ekonomi British pada abad ke-19 yang berteraskan kapital telah menghapuskan kelas pedagang Melayu yang dahulu memegang kuasa dalam jaringan perdagangan di rantau ini.

Para pentadbir British mengutarakan stereotaip berbaur perkauman yang salah tanggap orang Melayu sebagai malas. Ini supaya para pentadbir British dapat menciptakan sebab bagi perlunya pemerintahan kolonial untuk mengurus baik rantau ini.

Malah, usaha orang Melayu untuk menyertai sistem ekonomi kapitalis turut dihambat. Contohnya, pada awal abad ke-20, getah menjadi tanaman kontan (cash crop) yang lumayan.

Ramai pengusaha Melayu cuba menanam getah secara kecil-kecilan, tetapi semua usaha mereka dihalang kerana sekatan British ke atas eksport getah menerusi Stevenson Plan pada tahun 1922.

MASALAH JANGKA PANJANG

Kemalapan orang Melayu di dalam ekonomi kapitalis mengakibatkan pelbagai masalah jangka panjang.

Setelah kemerdekaan, pemerintah Singapura mengambil langkah-langkah yang memakan masa berdekad untuk memulihkan status sosio-ekonomi orang Melayu sehingga masyarakat Melayu/Islam kini mencapai kejayaan yang begitu menyerlah.

Ulang tahun ke-200 ini juga berpotensi membongkar semula beberapa legasi zaman pemerintahan Inggeris yang masih kita terima dengan kurang kritikal.

Nama-nama institusi yang berkait rapat dengan legasi penjajahan British telah lama dianggap sebagai nama-nama yang berprestij atau bersifat elit sama ada nama sekolah, hotel ataupun kelab-kelab rekreasi.

Bangunan-bangunan yang dibina pada zaman kolonial begitu mudah dipulihara dan diiktiraf, tetapi banyak bangunan era kemerdekaan kita sudahpun dirobohkan.

Antara contoh yang tragik ialah bangunan Panggung Negara, Stadium Negara dan juga Perpustakaan Negara.

Bangunan-bangunan di Pusat Rochor sudah dalam proses perobohan dan Kompleks Golden Mile pula mungkin akan menjadi mangsa.

LEGASI PASCA KEMERDEKAAN

Kita harus menitikberatkan dan menjaga legasi pasca kemerdekaan kita.

Pada Rapat Umum Hari Kebangsaan yang lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan bahasa Inggeris memperkenalkan beberapa langkah untuk memberi penghargaan kepada ‘Generasi Merdeka’ kita.

Beliau hampir menitiskan air mata apabila mengenang jasa generasi ini yang telah berusaha menerusi titik peluh dan banyak berkorban untuk menjayakan Singapura ketika negara kita baru mendapat kemerdekaan.

PM Lee juga menunjukkan klip video mendiang Lee Kuan Yew, Perdana Menteri pertama Singapura melafazkan slogan “Merdeka!” dengan penuh karisma dan bersemangat ketika negara mendapat pemerintahan sendiri pada 1959.

JASA PEMIMPIN PERINTIS

Tentu usaha memperingati ulang tahun ke-200 mempunyai nada yang berlainan jika kita meletakkan 2019 sebagai tahun merayakan 60 tahun sejak kita menerima pemerintahan sendiri.

Atas usaha pemimpin perintis kita seperti Lee Kuan Yew dan sebelumnya, Lim Yew Hock, David Marshall dan ramai lagi, Singapura berjaya mencapai kebebasan daripada penjajahan British yang menyeluruh.

Kemerdekaan ini jelas suatu nikmat yang tidak boleh diperlekehkan. Bersifat kurang kritikal kepada legasi penjajahan British seolah-olah memudarkan jasa pemimpin perintis kita yang menghargai peri pentingnya nilai kemerdekaan.

Mereka telah berusaha sedaya upaya serta mendukung pelbagai risiko ketika berjuang untuk memartabatkan warga Singapura sebagai bebas dari kuasa penjajah.

PATUTKAH 1819 DIRAIKAN?

Meskipun hujah ini agak ganjil, rumusan artikel seperti berikut: kita perlu senang menghadapi sentimen yang kurang senang.

Setiap peristiwa tentu ada baik buruknya dan memori bukan sentiasa bersifat hitam-putih tetapi boleh bersifat ambivalen ataupun bercampuran.

Pemerintah tepat untuk menyatakan bahawa 2019 peluang yang afdal untuk kita merenung sejarah dan identiti kita sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Apa yang menjadi kebimbangan adalah potensi 2019 untuk dirayakan dengan terlalu meriah dan diagung-agungkan.

KEPAHITAN LEGASI PENJAJAH

Segala usaha memperingatinya perlu secara aktif memundurkan sentimen perayaan dengan mendedahkan kepahitan legasi penjajahan British.

Kata pepatah “yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan” mengingatkan kita bahawa memori yang buruk tidak harus dipadamkan tetapi perlu direnung dalam usaha muhasabah diri.

Mungkin 2019 akan dikenang sebagai suatu episod di mana masyarakat kita menunjukkan kematangan kerana mampu menerima baik buruk sejarah kita sebagai pedoman untuk mengorak langkah ke masa depan.

Bukankah pengalaman ini juga merupakan pengalaman lumrah yang ada dalam kehidupan setiap manusia?  

Mengenai Penulis:

Muhammad Suhail B Mohamed Yazid berkelulusan Sarjana Muda dalam Sejarah. Beliau kini calon Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Topik penyelidikannya adalah budaya politik nasionalisme di Singapura pada awal 1960an.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan